Tuesday, July 4, 2023

Halaman 234 : Hud, 11:109-117


PERKATAAN HARI INI:    

نَقَصَ  = Berkurang. 

10  kali disebut di dalam al-Quran.

SINOPSIS   

  1. Jangan pernah ragu akan sia-sianya amalan syirik (11:109)
  2. Peringatan tentang akibat perselisihan dalam taurat (11:110-111)
  3. Istiqamah terhadap perintah Allah SWT (11:112-113)
  4. Perintah untuk solat dan bersabar (11:114-115)
  5. Sebab kehancuran negeri dan umat terdahulu (11:116-117)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah Hud pada halaman 234. Semoga Allah SWT menerima amalan kita dan dimudahkanNya urusan kita. Hari ini kita akan belajar rukun istiqamah. Semoga kita istiqamah dengan al-Quran di mana juga kita berada. 

Ayat 11: 109

فَلَا تَكُ فِى مِرْيَةٍۢ مِّمَّا يَعْبُدُ هَـٰٓؤُلَآءِ ۚ مَا يَعْبُدُونَ إِلَّا كَمَا يَعْبُدُ ءَابَآؤُهُم مِّن قَبْلُ ۚ وَإِنَّا لَمُوَفُّوهُمْ نَصِيبَهُمْ غَيْرَ مَنقُوصٍۢ ١٠٩

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu tentang sia-sianya apa yang disembah oleh mereka yang musyrik itu. Mereka tidak menyembah melainkan sama seperti yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik dahulu. Dan sesungguhnya Kami akan menyempurnakan bagi mereka bahagian mereka (dari azab yang telah ditentukan) dengan tidak dikurangi.

Pengajaran

  1. Pada halaman lepas kita telah melihat tentang orang-orang yang bahagia dan orang-orang yang sengsara di akhirat nanti. 
  2. Dalam hidup kita ini kalau kita dapat nikmat yang besar tetapi kalau terputus-putus ia tidak menarik. Kalau boleh kita hendakkan nikmat sekali gus dan berterusan. 
  3. Allah SWT melarang Nabi SAW ragu-ragu (مِرْيَةٍ) tentang sia-sianya  apa yang disembah oleh mereka yang musyrik itu. 
  4. Mereka tidak menyembah melainkan sama seperti yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik dahulu.
  5. مِرْيَةٍ ada kaitan dengan keraguan selepas fakta-fakta, bukti-bukti disampaikan dengan jelas. Hujjah al-Quran yang jelas akan serang kita daripada pelbagai sudut. Hati kita tidak boleh lari daripada serangan al-Quran apabila kita tilawahnya sampai boleh mengalirkan air mata.
  6. Allah SWT mengulang bahawa  ramai orang mengabdikan diri mengikut nenek moyang (senior). Kalau kita buat tanpa bukti yang jelas itu adalah sesuatu yang tidak diterima. Allah SWT akan menyempurnakan pembalasan kepada kita.
  7. Ayat ini memberi semangat kepada Nabi SAW jangan ragu-ragu kerana ini adalah asas  kepada rukun istiqamah. Begitu juga kepada kita. Bila kita berbuat baik, kadang-kadang kita tidak dihargai namun kita tidak boleh berhenti berbuat kebaikan. Penghargaan Allah SWT yang lebih utama .

Ayat 11: 110

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ فَٱخْتُلِفَ فِيهِ ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةٌۭ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِىَ بَيْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَفِى شَكٍّۢ مِّنْهُ مُرِيبٍۢ ١١٠

(Janganlah engkau merasa bimbang wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu) kerana sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka masih menaruh perasaan ragu-ragu tentang (kebenaran Al-Quran) itu.

Pengajaran

  1. Allah SWT telah memberikan kepada Nabi Musa kitab Taurat tetapi mereka berselisih. Mereka tidak meletakkan kitab itu paling tinggi. Mereka tinggikan pendapat sendiri walaupun di hadapan Taurat.
  2. Bila kita bertelingkah tentang wahyu yang telah sampai, padahal Quran telah jelas membawa penerangan. Allah SWT boleh sahaja mengazab tetapi Allah SWT sudah ada ketetapan. 
  3. Ragu kepada wahyu ada kaitan dengan beribadah kepada tuhan yang salah. Seseorang yang melakukan syirik sebenarnya ada kaitan dengan keraguan kepada al-Quran. Inilah antara sebab mengapa kita perlu  istiqamah bersama dengan al-Quran.

Ayat 11: 111

وَإِنَّ كُلًّۭا لَّمَّا لَيُوَفِّيَنَّهُمْ رَبُّكَ أَعْمَـٰلَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا يَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ ١١١

Dan sesungguhnya tiap-tiap seorang akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Pengajaran

  1. Apa yang mereka perselisihkan itu, Allah SWT akan membalasnya. Ada orang kecewa bila berbuat baik dan tidak dihargai. Allah SWT memujuk Nabi SAW untuk tidak kecewa.
  2. Carilah kawan yang selalu bertaubat dan yang tidak melampau. Jika kita selalu membaca dan memahami al-Quran, kita tidak akan melampau. 

Ayat 11: 112

فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ ١١٢
 
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Pengajaran

  • Surah Hud ini diturunkan pada fasa hujung Makkiyyah. Ketika itu Nabi SAW dikutuk, dicabar. Pada masa itu belum ada lagi peraturan haji, zakat dan lain-lain. Islam pada waktu turunnya ayat ini adalah perjuangan bersama-sama Nabi SAW dengan misi untuk mengangkat akidah dan iman. 
  • Pada masa ini kita mesti perjuangkan akidah dengan solat dan al-Quran. Orang yang syak terhadap al-Quran kesannya dia syak kepada hari akhirat. Kalau ada syak kepada hari akhirat, kesannya dia akan buat perkara-perkara syirik yang kita telah belajar pada ayat 109. Dakwah jangan ditinggalkan.
  • Allah SWT sentiasa melihat segala perkara yang kita lakukan. Kita yang menyokong program Quran, beritahu kepada kawan, semua ini adalah lambang bahawa kita ini sedang ingin bertaubat dan hendak ajak orang lain bertaubat juga.
  • Dua rukun istiqamah:
    • Jangan melampau. Perlu bersama dengan misi menyampaikan kebaikan.
    • Jangan cenderung kepada orang yang zalim
  • Tauhid perlu terus diperjuangkan. Hendaklah kita istiqamah menyampaikan kebenaran. 

Ayat 11: 113

وَلَا تَرْكَنُوٓا۟ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Pengajaran

  1. Janganlah kita cenderung (تَرْكَنُوٓا۟) kepada orang yang zalim. Kalau buat begitu, akan disambar (فَتَمَسَّكُمُ) api neraka.  Orang-orang zalim itu kalau tidak ada yang menyokong atau mengundi mereka, habislah mereka. Bila ada yang menyokong, maka orang-orang zalim itu akan menjadi seolah-olah seperti tiang bergantung. 
  2. Tidak ada pelindung dan penolong selain daripada Allah SWT. Kalau kita cenderung kepada orang-orang yang zalim, kita tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT. 

Ayat 11: 114

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَىِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًۭا مِّنَ ٱلَّيْلِ ۚ إِنَّ ٱلْحَسَنَـٰتِ يُذْهِبْنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤

Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Pengajaran

  1. Rukun ketiga istiqamah ialah dirikan solat. Kalau mahukan bantuan dan perlindungan daripada Allah SWT untuk kita istiqamah, dirikan solat. Susun hidup di sekitar solat. Susun jadual di sekitar solat bukan sebaliknya. 
  2. Solat akan menghapuskan keburukan. Dalam hadis Ibnu Mas'ud menyebut tentang seorang lelaki mencium seorang wanita. Lalu dia mendatangi Nabi SAW maka turunlah ayat ini. Lelaki itu bertanya apakah ayat ini untuknya lalu baginda SAW menyatakan bahawa ia adalah untuk semua.
  3. Dosa kecil kalau dikumpul akan menyebabkan azab daripada Allah SWT. Dengan mengerjakan solat, Allah SWT akan hapuskan dosa-dosa kecil. Masuk waktu solat, terus dirikan solat. 

Ayat 11: 115

وَٱصْبِرْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ ١١٥

Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Pengajaran

  1. Rukun keempat istiqamah ialah sabar. Lepas mendirikan solat, bersabarlah. 
  2. Kita sentiasa berdepan dengan perjuangan antara iman dan nafsu. Allah SWT tidak akan kurangkan pahala bagi orang-orang yang buat terbaik dalam hidupnya. Tak menang lagi tidak apa, terus bersabar dengan solat. Ibu bapa yang belum nampak anak-anak berjaya lagi, teruskan bersabar mendidik anak dengan cara yang terbaik.
  3. Allah SWT pasti akan balas kepada kesabaran dan istiqamah kita.

Ayat 11: 116

فَلَوْلَا كَانَ مِنَ ٱلْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُو۟لُوا۟ بَقِيَّةٍۢ يَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْفَسَادِ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مَآ أُتْرِفُوا۟ فِيهِ وَكَانُوا۟ مُجْرِمِينَ ١١٦

Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.

Pengajaran

  1. Istiqamah dalam hidup ini perlu disokong dengan menjadi orang yang berbuat baik. Orang baik mesti tidak suka tengok benda yang tidak baik berlaku. 
  2. Orang-orang yang mempunyai mindset untuk berbuat kebaikan yang kekal berterusan akan tukar segala perbuatan mereka menjadi amal soleh. Mereka juga mencegah orang lain daripada melakukan kemungkaran.
  3. Orang-orang yang ikut orang yang zalim adalah orang-orang yang berdosa. Ada orang soleh yang membaiki keadaan. Orang yang senyap dan tidak melarang kemungkaran, mereka juga berdosa seperti orang-orang yang berbuat kezaliman. 

Ayat 11: 117

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ بِظُلْمٍۢ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ ١١٧

Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

Pengajaran

  1. Allah SWT tidak akan hancurkan sesuatu negeri secara zalim selagi ada orang-orang yang soleh  ( مُصْلِحُونَ). 
  2. Orang-orang yang soleh itu istiqamah memperbaiki keadaan seperti Nabi Nuh AS, Nabi Hud AS, Nabi Soleh AS. 

RESOLUSI

Ingat!
  1. Jangan melampau dalam kehidupan seharian (11:112)
  2. Berhati-hati dengan orang zalim dan jangan sokong (11:113)
  3. Jaga solat dan sabar untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT (11:114-115)

Saya berasa lega Allah SWT akan berikan ganjaran sekiranya saya jaga solat dan sabar. 

Saya jelas untuk tidak melampau dalam kehidupan seharian. Saya jelas saya mesti berhati-hati dengan orang zalim dan jangan sokong. Saya jelas saya mesti jaga solat dan sabar untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT

Ya Allah, pimpin kami agar tidak melampau dalam kehidupan seharian. Ya Allah, bantu kami untuk berhati-hati dan tidak sokong dengan orang zalim. Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang solat dan sabar. Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang istiqamah berbuat kebaikan.  Kurniakan kami ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...