PERKATAAN HARI INI:
وَرَدَ = Menuju, datang.
11 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Sambungan kisah Nabi Musa (11:98-99)
- Ibrah daripada kisah umat yang zalim di dunia (11:100-102)
- Ibrah daripada kisah al-Quran dalam bentuk adanya balasan di akhirat (11:103-108)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah Hud pada halaman 233. Hari ini kita akan sambung kisah Nabi Musa AS. Semoga kita dapat mengambil ibrah daripada kisah umat terdahulu. Surah Yunus dan surah Hud banyak menceritakan kebejatan rakyat.
Ayat 11: 98
يَقْدُمُ قَوْمَهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فَأَوْرَدَهُمُ ٱلنَّارَ ۖ وَبِئْسَ ٱلْوِرْدُ ٱلْمَوْرُودُ ٩٨
Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.
Pengajaran
- Allah SWT memberitahu kita tentang azab yang dikenakan kepada pemimpin yang zalim.
- Firaun membuat kezaliman di dunia, di sana nanti, dia akan memimpin umatnya pergi ke tempat yang penuh dengan api.
- Bila seseorang itu menjadi pemimpin, dia akan guna masa yang amat banyak untuk memimpin. Allah SWT menggunakan perkataan يَقْدُمُ menunjukkan seorang pemimpin itu dia membuat persediaan.
- Firaun menggunakan segala nikmat yang Allah berikan kepadanya untuk berbuat kejahatan dan kezaliman, maka di sana nanti dia juga akan mengetuai rombongan-rombongannya pergi ke empangan yang penuh dengan api. Itulah seburuk-buruk tempat yang dimasuki.
- Orang-orang beriman akan pergi ke telaga Kautsar. Mereka tidak akan dahaga.
- Orang-orang yang zalim akan kehausan mencari air. Namun mereka akan pergi ke tempat yang penuh dengan api. Ini adalah sebagai satu azab yang amat sengsara.
- Ini mesej kepada kita sebagai pemimpin. Bila kita memimpin, kita perlu asaskan kepimpinan itu kepada wahyu sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa AS.
- Pemimpin-pemimpin zalim akan berada di neraka. Pemimpin-pemimpin mestilah pastikan apa yang dibuat adalah berdasarkan cahaya (nur), bukan membuat sesuatu di dalam kegelapan (zulumat).
Ayat 11: 99
وَأُتْبِعُوا۟ فِى هَـٰذِهِۦ لَعْنَةًۭ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ بِئْسَ ٱلرِّفْدُ ٱلْمَرْفُودُ ٩٩
Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.
Pengajaran
- Mereka dilaknat di dunia hingga ke akhirat. Sebenarnya laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan oleh Allah SWT kepada Firaun.
- Sebagai pemimpin, jika kita memberi duit, makanan, untuk menyokong kezaliman, menyokong arak, hiburan tanpa asas, itu adalah kebajikan neraka yang sedang dibuat oleh seorang pemimpin seperti yang ditunjukkan oleh Firaun.
- Sebagai pemimpin janganlah kita berbuat zalim sehingga digelar teruk seperti Firaun.
Ayat 11: 100
ذَٰلِكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْقُرَىٰ نَقُصُّهُۥ عَلَيْكَ ۖ مِنْهَا قَآئِمٌۭ وَحَصِيدٌۭ ١٠٠
Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap).
Pengajaran
- Ini adalah di antara kesimpulan akhir dalam surah Hud. Ini adalah berita besar (أَنۢبَآءِ) tentang negeri-negeri yang telah dihancurkan oleh Allah SWT.
- Allah SWT menceritakan kepada kita supaya kita ambil pelajaran. Ikut contoh kebaikan yang dilakukan oleh nabi-nabi dan jauhi perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim.
- Sebahagian kawasan itu masih ada seperti piramid di Mesir dan kawasan Madyan. Yang lain telah hancur lebur dan hilang lenyap (حَصِيدٌ).
Ayat 11: 101
وَمَا ظَلَمْنَـٰهُمْ وَلَـٰكِن ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ۖ فَمَآ أَغْنَتْ عَنْهُمْ ءَالِهَتُهُمُ ٱلَّتِى يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍۢ لَّمَّا جَآءَ أَمْرُ رَبِّكَ ۖ وَمَا زَادُوهُمْ غَيْرَ تَتْبِيبٍۢ ١٠١
Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
Pengajaran
- Allah SWT tidak menzalimi hambaNya tetapi hambaNya lah yang menzalimi diri sendiri dengan kemaksiatan dan kekufuran yang dilakukan.
- Kalau kita tersilap, cepat-cepat istighfar dan bertaubat untuk elakkan kita jadi gelap.
- Kita mungkin tidak menyembah kubur atau berhala, tetapi nafsu dalam diri kita juga adalah illah yang tidak bermanfaat. Berbagai kerosakan dan kemusnahan akan berlaku apabila seseorang itu menzalimi diri sendiri dengan mengikut nafsu.
Ayat 11: 102
وَكَذَٰلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَآ أَخَذَ ٱلْقُرَىٰ وَهِىَ ظَـٰلِمَةٌ ۚ إِنَّ أَخْذَهُۥٓ أَلِيمٌۭ شَدِيدٌ ١٠٢
Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.
Pengajaran
- Azab Allah SWT sangat pedih lagi sangat dahsyat. Di dunia pedih, di akhirat lebih pedih.
- Semoga COVID-19 menjadi ujian bagi kita untuk membawa kita dekatkan diri kepada Allah SWT. Kita perlu bergantung kepada Alah SWT kerana Firaun ada teknologi, ada tentera dan sebagainya tetapi dia lemas sahaja sebagai balasan daripada Allah SWT.
Ayat 11: 103
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةًۭ لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ ٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌۭ مَّجْمُوعٌۭ لَّهُ ٱلنَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌۭ مَّشْهُودٌۭ ١٠٣
Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.
Pengajaran
- Allah SWT ulang-ulang cerita tentang orang-orang yang zalim untuk kita ambil pelajaran agar tidak mendapat azab pada hari akhirat.
- Kezaliman yang berlaku juga berulang-ulang sampai zaman kita.
- Orang yang takut azab akhirat akan sentiasa memikirkan balasan yang akan di terima di akhirat. Contoh: Minum teh yang sedap pun dikaitkan dengan air di akhirat yang pasti lebih sedap. Orang yang tidak kisahkan akhirat akan merungut bila diuji dengan sedikit kesakitan, sedangkan azab di akhirat jauh lebih pedih.
- Kita akan dikumpulkan pada hari akhirat (يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ) untuk menerima balasan dengan disaksikan oleh seluruh makhluk (يَوْمٌ مَّشْهُودٌ).
Ayat 11: 104
وَمَا نُؤَخِّرُهُۥٓ إِلَّا لِأَجَلٍۢ مَّعْدُودٍۢ ١٠٤
Dan tiadalah Kami lambatkan hari kiamat itu melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu.
Pengajaran
- Allah SWT tidak akan menangguhkan hari kiamat melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu.
- Allah SWT beri peluang kepada kita semua untuk kembali kepadaNya, jadi hendaklah kita cepat-cepat minta ampun dan bertaubat.
Ayat 11: 105
يَوْمَ يَأْتِ لَا تَكَلَّمُ نَفْسٌ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ فَمِنْهُمْ شَقِىٌّۭ وَسَعِيدٌۭ ١٠٥
(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.
Pengajaran
- Pada masa datangnya hari kiamat itu, tiadalah seorangpun dapat berkata-kata untuk membela dirinya atau memohon pertolongan melainkan dengan izin Allah.
- Ada di antara mereka yang celaka (شَقِىٌّ), dan ada pula yang berbahagia. Happy ever after tidak ada di dunia. Bahagia (سَعِيدٌ) sebenar-benarnya yang kekal abadi ialah di akhirat kelak.
Ayat 11: 106
فَأَمَّا ٱلَّذِينَ شَقُوا۟ فَفِى ٱلنَّارِ لَهُمْ فِيهَا زَفِيرٌۭ وَشَهِيقٌ ١٠٦
Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).
Ayat 11: 107
خَـٰلِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ إِلَّا مَا شَآءَ رَبُّكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌۭ لِّمَا يُرِيدُ ١٠٧
Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
Ayat 11: 108
۞ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ سُعِدُوا۟ فَفِى ٱلْجَنَّةِ خَـٰلِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ إِلَّا مَا شَآءَ رَبُّكَ ۖ عَطَآءً غَيْرَ مَجْذُوذٍۢ ١٠٨
Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.
Pengajaran ayat 106-108
- Di akhirat nanti orang-orang yang celaka (شَقُوا۟) disebabkan keingkaran dan maksiat, maka di dalam nerakalah tempat mereka.
- Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik (زَفِيرٌ) dan merintih-rintih (شَهِيقٌ) seperti suara keldai.
- Mereka kekal di dalamnya. Allah Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
- Orang-orang yang berbahagia disebabkan imannya dan taatnya, tempat mereka adalah syurga. Allah SWT akan berikan nikmat yang tidak putus-putus kepada mereka.
- Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan dijauhkan daripada termasuk dalam golongan orang-orang yang celaka.
RESOLUSI
Ingat!
- Berikan yang terbaik dalam dunia ini (11:99)
- Selalu berfikir risiko di sini dan di sana dengan kisah yang terpapar dalam al-Quran (11:103)
- Bahagia kekal abadi perlu diusahakan dari sekarang (11:108)
Saya berasa lega Allah SWT akan berikan syurga yang kekal abadi sekiranya saya usahakan buat yang terbaik dari sekarang.
Saya jelas untuk berikan yang terbaik dalam dunia ini. Saya jelas saya mesti selalu berfikir risiko di sini dan di sana dengan kisah yang terpapar dalam al-Quran. Saya jelas untuk bahagia kekal abadi perlu diusahakan dari sekarang.
Ya Allah, pimpin kami untuk berikan yang terbaik dalam dunia ini. Ya Allah, ajarkan kami kisah al-Quran agar kami dapat mengambil pengajaran untuk menjauhkan risiko di sini dan di akhirat. Ya Allah, bantu kami untuk lakukan amalan soleh agar kami mendapat kebahagian yang kekal abadi sampai ke syurga.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.