Tuesday, July 4, 2023

Halaman 235 : Hud, 11:118-123 dan Yusuf, 12:1-4


PERKATAAN HARI INI

زَالَ / زَيَلَ Selalu, hilang, sentiasa, tidak berhenti. 

10 kali disebut di dalam al-Quran. 


SINOPSIS 

  1. Rahsia diselamatkan sesuatu negeri (11:118-119) 
  2. Manfaat daripada kisah para nabi dan perintah untuk beribadah serta bertawakal kepada Allah SWT (11:120-123) 
  3. Indahnya bahasa Arab al-Quran dan kedudukan kisah-kisahnya (12:1-3) 
  4. Mimpi Nabi Yusuf AS dan tafsiran Nabi Yaakob AS terhadap mimpi Nabi Yusuf AS (12:4) 


 Mukadimah 

Alhamdulillah, pada hari yang mulia ini kita dapat bersama baca, faham, amal al-Quran. Hari ini kita akan belajar pada halaman terakhir Surah Hud dan permulaan Surah Yusuf. Kisah Nabi Yusuf AS yang menyayat hati dapat memberi panduan kepada kita pada tahun 2021 ini walaupun ia turun lebih daripada 1400 tahun yang lepas. Kisah ini turun untuk memujuk Nabi Muhammad SAW dan memujuk kita agar terus mendapatkan penawar untuk hati kita. 


Ayat 11:118

 وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ١١٨ 

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. 

Pengajaran 

  1. Ini adalah di antara kesimpulan daripada surah Hud. Kita telah melihat kisah-kisah nabi berhadapan dengan kaum mereka yang bertelingkah. 
  2. Allah SWT jadikan manusia sebagai khalifah. Ini ada kaitan dengan khalfun dengan latar belakang yang berbeza-beza, cara pandang, ilmu, cara bercakap dan dari tempat berbeza. 
  3. Janganlah perbezaan itu membawa kita kepada pertelingkahan dan perpecahan. Sepatutnya kita cuba memahami dan memajukan sesuatu. Bukan untuk kita menolak perbezaan tersebut dan berpecah di antara satu sama lain. 


 Ayat 11:119

 إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ ١١٩ 

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)". 

 Pengajaran 

  1. Allah SWT menerangkan, manusia yang ingin dekat denganNya akan cuba menguruskan perbezaan dengan cara yang terbaik dengan rahmatNya. 
  2. Allah SWT mencipta manusia berbeza-beza untuk diberi rahmatNya hingga ke syurga dan bersatu dalam agamaNya. 
  3. Manusia dan jin masuk ke neraka kerana mereka menyongsang daripada kebenaran. Mereka tidak mahu menerima panduan daripada rasul untuk kembali kepada kalimah Allah SWT yang benar. 4. Kalau ikut cara sendiri, jadilah seperti kaum Aad, Thamud, kaum Nabi Nuh AS yang kena azab. Kita baca al-Quran untuk meluruskan balik pemikiran. Kita disatukan oleh kalimah Tuhan. 


 Ayat 11:120

 وَكُلًّۭا نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِۦ فُؤَادَكَ ۚ وَجَآءَكَ فِى هَـٰذِهِ ٱلْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌۭ وَذِكْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ ١٢٠ 

Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman. 

 Pengajaran 

  1. Kisah rasul-rasul yang Allah SWT ceritakan kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk menguatkan hati baginda. Begitu juga kepada kita. 
  2. Tujuan kisah-kisah ini dibawa adalah kerana ia adalah berita-berita besar, bukan berita picisan. Hendaklah kita banyakkan membaca kisah-kisah para nabi kerana ia dapat meneguhkan hati kita (فُؤَادَكَ). Dengan membaca Quran hati kita akan bersemangat tinggi. 
  3. Kisah-kisah ini memberi peringatan bahawa bukan kita sahaja yang burnt out apabila menghadapi ujian. Para nabi dan rasul juga burn out. Mereka diancam bunuh dan diejek. Allah SWT membawakan kisah-kisah ini sebagai ibrah untuk menguatkan kembali hati Nabi SAW. 
  4. Janganlah kita berasa resah semasa lockdown di rumah. Nabi Yusuf AS lockdown di penjara dalam satu masa yang tak pasti sampai bila. Nabi Yusuf penuhkan aktiviti lockdownnya dengan perkara yang bermanfaat. Lepas keluar dari penjara, baginda terus naik pangkat. Nabi Nuh AS lockdown dalam kapal dan kemudian berlabuh dengan tenang. Itulah yang menjadi keturunan hingga sampai kepada kita sekarang. 
  5. Melalui kisah-kisah yang Allah SWT bawakan ini, kita dapat melihat: a. Kebenaran b. Nasihat c. Peringatan 
  6. Tidak sepatutnya kita merasa resah dan give up apabila berhadapan dengan ujian. Setiap nabi ada ujian mereka sendiri. Itu peluang untuk mereka makin zikir kepada Allah SWT. 


 Ayat 11:121

 وَقُل لِّلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ ٱعْمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنَّا عَـٰمِلُونَ ١٢١ 

Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: "Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami). 


 Ayat 11:122

 وَٱنتَظِرُوٓا۟ إِنَّا مُنتَظِرُونَ ١٢٢ 

Dan tunggulah (akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami)". 

 Pengajaran 

  1. Allah SWT menyuruh Nabi SAW katakan kepada orang-orang yang tidak beriman untuk buatlah apa yang mereka mahu. 
  2. Orang-orang yang beriman tetap mengikut pengajaran daripada Allah SWT. 
  3. Tunggu dan lihat siapa yang betul, siapa yang salah untuk menerima balasan Allah SWT. 


Ayat 11:123

 وَلِلَّهِ غَيْبُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَإِلَيْهِ يُرْجَعُ ٱلْأَمْرُ كُلُّهُۥ فَٱعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ١٢٣ 

Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan 

Pengajaran

  1. Allah SWT mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. 
  2. Hendaklah kita hanya sembah dan berserah kepada Allah SWT. 
  3. Allah SWT tidak sekali-kali lalai akan apa yang kita lakukan. 
  4. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Hanya Allah SWT yang tahu. 
  5. Banyakkan ibadah dan bertawakkal kepada Allah SWT. Untuk kita beribadah kita kena minta tolong kepada Allah SWT. Allah SWT tidak lalai dan tetap menjaga kita. 
  6. Dalam keadaan yang serba mencabar, masing-masing kita kena baiki ibadah, tawakkal kepada Allah SWT kerana masing-masing akan dipertanggungjawabkan. 


Surah 12 - Yusuf 

Ayat 12:1

 الٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ ١ 

 Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. 

 Pengajaran 

  1. Surah ini bermula dengan huruf mukhoto'ah. Kita tidak tahu tetapi hanya Allah SWT yang tahu makna sebenarnya. Ini mengingatkan kita bahawa kita hamba yang lemah. Kita merendahkan diri bila kita inginkan hidayah. 
  2. Ia diikuti dengan penceritaan tentang kitab. Di dalam Surah Hud terdapat banyak hikmah-hikmah daripada kisah nabi-nabi terdahulu. 
  3. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bahawa ini adalah ayat-ayat kitab al-Quran yang jelas (ٱلْمُبِينِ). Hidup kita ini penuh dengan ombak dan badai. Semua ujian-ujian itu adalah di bawah pengawasan Allah SWT sehingga kita ada bukti yang jelas untuk kita kuat dalam hidup. Al-Quran ada bukti yang jelas sehingga kita tidak akan lari daripada perjuangan berpegang kepada Allah SWT. 


 Ayat 12:2

 إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ قُرْءَٰنًا عَرَبِيًّۭا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ ٢ 

Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya. 

 Pengajaran 

  1. Allah SWT menurunkan al-Quran dalam Bahasa Arab yang memerlukan cara berfikir aras tinggi. Makin kita belajar al-Quran dan tadabbur dalam Bahasa Arab, otak kita semakin aktif berfikir (تَعْقِلُونَ). 
  2. Bila kita berfikir pada aras tinggi apabila membaca al-Quran, Allah SWT akan optimumkan akal kita sehingga mampu mengatasi kemelut yang melanda. Contoh: Dalam waktu pandemik ini ada yang berfikiran singkat sehingga sanggup membunuh diri. 
  3. Semoga kita diberikan penawar daripada al-Quran untuk mengubat hati yang resah gelisah. 


Ayat 12:3

 نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ بِمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلْغَـٰفِلِينَ ٣ 

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya. 

 Pengajaran 

  1. Kisah Nabi Yusuf AS ini tidak popular dalam kalangan Arab Mekah. Orang Yahudi di Madinah biasa dengar cerita Nabi Yusuf AS kerana mereka adalah daripada keturunan Bani Israel. Nabi Muhammad SAW tahu kisah ini kerana Allah SWT turunkan wahyu kepada baginda. 
  2. Kisah Nabi Yusuf AS dalam al-Quran adalah kisah yang asli. Dalam riwayat Israeliat, ada cerita yang ditambah-tambah contohnya tentang doa tentang Nabi Yusuf AS berkahwin dengan Zulaikha. Berhati-hati tentang perkara ini kerana kalau cerita yang tidak betul, khuatir kita tidak mendapat ibrah yang sebenarnya. 
  3. Kisah-kisah dalam al-Quran akan menimbulkan keterujaan walaupun kita telah membacanya berkali-kali. Begitulah juga dengan kisah Nabi Yusuf AS. Ini adalah kerana fokusnya bukan pada jalan cerita tetapi ibrah. 
  4. Ibrah adalah nasihat yang memberi kesan sampai ke dalam hati kita. Ia seperti diri kita masuk sekali dalam cerita tersebut. Ini menyebabkan kita membacanya dalam versi yang berbeza mengikut latar belakang dan keadaan diri masing-masing. 
  5. Nama Yusuf ada kaitan dengan perkataan 'asafa' iaitu rasa sedih, bimbang dan minta maaf. 


Ayat 12:4 Babak Pertama Cerita Nabi Yusuf AS

 إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَـٰٓأَبَتِ إِنِّى رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًۭا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِى سَـٰجِدِينَ ٤ 

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". 

 Pengajaran 

  1. Nabi Yusuf AS dengan penuh kasih sayang memberitahu ayahnya tentang mimpinya melihat 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya. 
  2. Nabi Yusuf AS mengulang perkataan رَأَيْتُ (aku melihat) dua kali. Ini menunjukkan apa yang dilihatnya adalah suatu perkara yang besar. 
  3. Sebagai anak, baginda berkongsi cerita mimpi ini dengan ayahnya menunjukkan hubungan anak dan ayah itu sangat akrab. 
  4. Diceritakan dalam tafsir, 11 bintang itu adalah abang-abangnya, matahari merujuk kepada ibunya dan bulan merujuk kepada ayahnya. Susunan perkataan mengikut hirarki itu menakjubkan. Perkataan سَٰجِدِينَ merujuk kepada mereka yang berakal bukan matahari, bulan dan bintang yang tidak berakal. Ini akan dilihat pada hujung surah Yusuf nanti. 


RESOLUSI 

 Ingat! 
  1. Elakkan bertelingkah pada perkara kecil (11:118) 
  2. Baca kisah para rasul untuk meneguhkan hati ketika berhadapan masalah (11:120) 
  3. Yakin Allah SWT tidak lalai apa yang dibuat oleh makhluk-Nya (123) 

Saya berasa lega dapat teguhkan hati dengan membaca kisah para rasul. Saya jelas untuk elakkan bertelingkah pada perkara kecil. 

Saya jelas saya mesti baca kisah para rasul untuk meneguhkan hati ketika berhadapan masalah. Saya jelas dan yakin Allah SWT tidak lalai apa yang dibuat oleh makhluk-Nya. 

Ya Allah, bimbing kami untuk elakkan bertelingkah pada perkara kecil. Ya Allah, kurniakan kami kefahaman yang jelas tentang kisah para rasul agar kami dapat mengambil ibrah untuk meneguhkan hati ketika berhadapan masalah. Ya Allah, jadikan kami orang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. 

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...