Tuesday, July 4, 2023

Halaman 236 : Yusuf, 12:5-14


PERKATAAN HARI INI

كَادَ / كَيَدَ = Merancang, menipu, memperdayakan. 

24 kali disebut di dalam al-Quran. 


SINOPSIS

  1. Mimpi Nabi Yusuf AS dan tafsiran Nabi Yaakub AS terhadap mimpi Nabi Yusuf AS (12:5-6) 
  2. Rancangan membuang Nabi Yusuf AS ke dalam telaga (12:7-10) 
  3. Persekongkolan saudara-saudara Nabi Yusuf AS dan penipuan kepada ayah mereka (12:11-14) 


Mukadimah 

Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama menyambung Surah Yusuf, surah yang penuh tragedi, kehibaan dan penuh dengan kesayuan. Diharapkan ia menjadi penawar kepada kita semua. Ini adalah kisah kita juga, sesuai untuk semua peringkat umur. Allah SWT melambung Nabi Yusuf AS dalam badai kehidupan untuk membawa kepada satu perkara yang indah di dunia ini apatah lagi di akhirat nanti. 



 Ayat 12:5

 قَالَ يَـٰبُنَىَّ لَا تَقْصُصْ رُءْيَاكَ عَلَىٰٓ إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا۟ لَكَ كَيْدًا ۖ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ لِلْإِنسَـٰنِ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ٥ 

Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. 

 Pengajaran 

  1. Allah SWT turunkan surah ini untuk memberi pujukan kepada Nabi Muhammad SAW yang sedih apabila isteri dan bapa saudara baginda wafat. Dalam masa yang sama, Nabi SAW menghadapi berbagai cabaran. Surah ini juga untuk memujuk kita. 
  2. Nabi Yusuf AS sebagai anak lelaki yang masih kecil bercakap dengan penuh sopan kepada ayahnya tentang mimpi seperti yang telah kita lihat pada halaman lepas. Ayahnya menjawab dengan sopan juga.
  3. Ini menunjukkan contoh komunikasi anak lelaki dengan ayah. Ayah mithali itu ialah Nabi Yaakub AS. Semoga ayah-ayah dapat mencontohi Nabi Yaakub AS. 
  4. Nabi Yaakub AS menasihatkan Nabi Yusuf AS supaya tidak menceritakan kepada adik beradiknya tentang mimpi itu. Dikhuatiri abang-abangnya akan membuat tipu daya (كَيْدًا) terhadapnya. 
  5. Pengajarannya, bukan semua perkara yang berlaku kepada setiap anak perlu diceritakan kepada semua anak. Ini kemahiran yang boleh kita belajar daripada Nabi Yaakub AS. 
  6. Bila anak-anaknya buat perangai, Nabi Yaakub AS tidak benci kepada mereka tetapi Nabi Yaakub AS makin jelas bahawa permusuhan syaitan adalah punca yang sebenarnya untuk memusnahkan keluarganya. 


 Ayat 12:6

 وَكَذَٰلِكَ يَجْتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعْقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيْكَ مِن قَبْلُ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْحَـٰقَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ٦ 

Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". 

 Pengajaran 

  1. Nabi Yaakub AS memberitahu Nabi Yusuf AS bahawa Allah SWT memilih (يَجْتَبِيكَ) Nabi Yusuf AS untuk diberi ilmu takbir mimpi kerana Nabi Yusuf AS ada kritirea yang baik. 
  2. Nabi Yusuf AS sangat bersopan dalam komunikasi dengan ayahnya. Perkataannya amat tersusun dengan menyebut bintang, bulan, matahari. Nabi Yaakub AS sudah nampak potensi Nabi Yusuf AS. 
  3. Perkataan تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ (takwil mimpi-mimpi) bermakna menguruskan sesuatu yang mengelirukan. Maksudnya, Nabi Yusuf AS akan bertemu dengan wanita yang menggoda, dimasukkan ke dalam penjara dan sebagainya. Baginda akan dapat menyusun dan menyelesaikan kekeliruan yang akan berlaku. 
  4. Nabi Yaakub AS memberitahu yang Nabi Yusuf AS akan dapat membanggakan keluarganya. Sepertimana Nabi Yaakub dahulu menyempurnakan ajaran nenek moyangnya, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ishak AS. 
  5. Nabi Yaakub AS menaikkan harga diri (esteem) anaknya Yusuf AS dengan memberitahu potensi yang dimiliki anaknya itu. 6. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. 


 Ayat 12:7

 ۞ لَّقَدْ كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِۦٓ ءَايَـٰتٌۭ لِّلسَّآئِلِينَ ٧ 

Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar). 

 Pengajaran 

  1. Kisah Nabi Yusuf AS dengan saudara-saudaranya mengandungi pengajaran bagi orang-orang yang bertanya untuk mengambil iktibar. Inilah kebesaran Allah SWT kepada orang-orang yang menyoal. 
  2. Yang bertanya Nabi Muhammad SAW tentang Nabi Yusuf AS ialah orang-orang Yahudi. Orang Arab tidak tahu sangat tentangnya. 
  3. Dalam bersoal jawab, jika soalannya ada kaitan dengan sesuatu masalah, kita akan dapat menangkap solusinya dengan cara berfikir aras tinggi. Orang yang bertanya akan mendapat jawapan. 


 Ayat 12:8

 إِذْ قَالُوا۟ لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَىٰٓ أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍ ٨ (

Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata." 

 Pengajaran

  1. Walapun seorang nabi, ada juga anaknya yang buat perangai. Ini tidak bermakna nabi tersebut tidak buat kerja sebagai ayah. Ini adalah apa yang boleh berlaku dalam diri mana-mana anak dalam proses mereka membesar. 
  2. Abang-abangnya berkumpul dan mereka berkata Yusuf AS dan adiknya (Bunyamin) lebih disayangi oleh ayah mereka. Mereka merasa mereka lebih kuat (عُصْبَةٌ). Ini juga ada kaitan dengan mereka dari kumpulan yang besar kerana mereka berbeza ibu. 
  3. Pada permulaannya saudara-saudara Yusuf AS berkumpul kerana merasa tidak puas hati. Akhirnya hasad masuk, mereka mula berdengki dan merancang sesuatu yang tidak baik. 


 Ayat 12:9

 ٱقْتُلُوا۟ يُوسُفَ أَوِ ٱطْرَحُوهُ أَرْضًۭا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا۟ مِنۢ بَعْدِهِۦ قَوْمًۭا صَـٰلِحِينَ ٩ 

(Ramai di antara mereka berkata): "Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna". 
 

Pengajaran 

  1. Mereka merancang membunuh atau membuang Nabi Yusuf AS di suatu tempat yang mereka sendiri tidak pasti. Mereka beranggapan, apabila Yusuf AS tiada, ayah mereka akan beri perhatian kepada mereka sahaja. Mereka akan menjadi baik bila perhatian ayah tertumpu kepada mereka. 
  2. Di dalam keluarga dan organisasi juga boleh berlaku perkara sebegini, hasad dan dengki. 
  3. Pengajaran bagi kita, elakkan berkumpul yang membawa kepada kedengkian dan perancangan yang tidak baik. 


 Ayat 12:10

 قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا۟ يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ ٱلسَّيَّارَةِ إِن كُنتُمْ فَـٰعِلِينَ ١٠ 

Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu". 

 Pengajaran 

  1. Salah seorang daripada abang mereka melarang bunuh Yusuf AS tetapi buang sahaja ia ke dalam perigi buta (غَيَٰبَتِ ٱلْجُبِّ) supaya ia dipungut oleh sebahagian daripada orang-orang musafir yang lalu di situ. 
  2. Mereka buat jenayah itu tanpa ada perasaan. 

 

Ayat 12:11

 قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَا مَا لَكَ لَا تَأْمَ۫نَّا عَلَىٰ يُوسُفَ وَإِنَّا لَهُۥ لَنَـٰصِحُونَ ١١ 

Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya? 

 Pengajaran

  1. Mereka berjumpa ayah mereka untuk membawa Yusuf AS berjalan. 
  2. Mereka menggunakan perkataan يَٰٓأَبَانَا yang tidak selembut perkataan yang digunakan Yusuf AS. Bahasa mereka lebih kasar. 
  3. Mereka menggunakan لَا تَأْمَ۫نَّا sebagai taktik reverse psychology ke atas ayah mereka untuk membuatkan ayah mereka percaya. 


 Ayat 12:12

 أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًۭا يَرْتَعْ وَيَلْعَبْ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ ١٢ 

Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya". 


 Ayat 12:13

 قَالَ إِنِّى لَيَحْزُنُنِىٓ أَن تَذْهَبُوا۟ بِهِۦ وَأَخَافُ أَن يَأْكُلَهُ ٱلذِّئْبُ وَأَنتُمْ عَنْهُ غَـٰفِلُونَ ١٣ 

Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ". 


 Ayat 12:14

 قَالُوا۟ لَئِنْ أَكَلَهُ ٱلذِّئْبُ وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّآ إِذًۭا لَّخَـٰسِرُونَ ١٤ 

Mereka berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi". 
 

Pengajaran Ayat 12-14 

  1. Mereka berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf AS. 
  2. Nabi Yaakub AS merasa sedih dan bimbang Nabi Yusuf AS akan dimakan serigala (ٱلذِّئْبُ) apabila keluar dengan abang-abangnya. 
  3. Nabi Yaakub AS menyedari bahawa komplot sedang berlaku. Nabi Yaakub AS menggunakan perkataan ٱلذِّئْبُ (serigala itu) merujuk kepada abang-abang Nabi Yusuf AS yang akan mengkhianati adik mereka. 
  4. Mereka menyakinkan Nabi Yaakub AS bahawa mereka kuat dan boleh menjaga Nabi Yusuf AS daripada dimakan oleh serigala. 


 RESOLUSI 

 Ingat! 
  1. Urus emosi anak-anak yang pelbagai ragam dan kekadang hasad (12:5) 
  2. Elakkan berkata sesuatu kesan daripada hasad (12:8) 
  3. Sentiasa berjaga dari hasad dalam sesuatu keluarga (12:11) 

Saya berasa lega kerana cerita Nabi Yusuf AS mengajar saya berdepan dengan isu hasad dengki dalam keluarga dan organisasi. 

Saya jelas untuk urus emosi anak-anak yang pelbagai ragam agar tidak timbul hasad. Saya jelas untuk elakkan berkata sesuatu kesan daripada hasad. Saya jelas untuk sentiasa berjaga daripada hasad dalam keluarga. 

Ya Allah, ajarkan kami untuk jaga emosi anak-anak yang pelbagai ragam agar tidak timbul hasad dalam kalangan mereka. Ya Allah, jauhkan kami darpada mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kesan daripada hasad. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa berjaga daripada hasad dalam keluarga dan organisasi kami. Ya Allah, lindungi kami daripada hasutan syaitan yang menjadi punca tidak puas hati dan hasad. 

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...