PERKATAAN HARI INI
شَعَرَ = Sedar, perasaan.
40 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Komplot abang-abang Nabi Yusuf AS (12:15-18)
- Selamatnya Nabi Yusuf AS dengan memegang timba dan perjalanannya bersama para pedagang (12:19-20)
- Keberadaan Nabi Yusuf AS dalam lingkungan kerajaan Mesir (12:21-22)
Mukadimah
Alhamdulillah, hari ini kita dapat menyambung kisah Nabi Yusuf AS selepas abang-abangnya meminta izin daripada Nabi Yaakub AS untuk membawa Nabi Yusuf AS keluar. Nabi Yaakub AS sedih hendak melepaskan Nabi Yusuf AS pergi bersama abang-abangnya.
Ayat 12:15
فَلَمَّا ذَهَبُوا۟ بِهِۦ وَأَجْمَعُوٓا۟ أَن يَجْعَلُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمْرِهِمْ هَـٰذَا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ١٥
Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya: "Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi)".
Pengajaran
- Mereka pergi dengan membawa Nabi Yusuf AS bersama. Mereka berbincang dan sepakat untuk membuang Nabi Yusuf AS ke dalam perigi.
- Itulah bahaya bila kita mula bercakap-cakap, ada perkara negatif, mengumpat dan membawa kepada hasad yang akhirnya merancang perkara yang tidak baik. Ini membawa kerosakan kepada keluarga, organisasi dan masyarakat.
- Bila bercakap perkara negatif, itu sudah sebahagian dosa. Meninggalkannya, kita dapat pahala. Kalau bercakap perkara baik walaupun belum buat, kita sudah dapat pahala. Kalau buat lagi dapat pahala.
- Sebagai budak kecil, Yusuf AS takut tetapi Allah SWT memberi ilham (wahyu) yang dia kelak akan memberitahu peristiwa ini kepada abang-abangnya sedang mereka tidak sedar dan tidak mengingatinya lagi. Ini adalah sebagai terapi kepada Nabi Yusuf AS. Jadi baginda tidak trauma dengan peristiwa tersebut.
- Bila anak kecil diletak dalam bilik gelap, dipukul pasti ia akan trauma yang boleh memberi kesan psikologi hingga peringkat dewasa. Namun, Allah SWT membantu Nabi Yusuf AS.
- Wahyu memainkan peranan untuk meredakan dan memberi syifak kepada kita atas pengalaman tidak baik yang dilalui pada waktu kecil.
Ayat 12:16
وَجَآءُوٓ أَبَاهُمْ عِشَآءًۭ يَبْكُونَ ١٦
Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.
Pengajaran
- Mereka mendatangi ayah mereka sambil pura-pura menangis dan mengatakan yang Nabi Yusuf AS telah dimakan oleh serigala. Mereka menggunakan perkataan serigala juga yang telah digunakan oleh ayah mereka pada halaman lepas.
- Orang yang menipu, mereka gunakan idea yang sudah ada. Mereka guna sahaja apa yang telah didengari dan tidak perlu memikirkan yang lain-lain.
Ayat 12:17
قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّا ذَهَبْنَا نَسْتَبِقُ وَتَرَكْنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَـٰعِنَا فَأَكَلَهُ ٱلذِّئْبُ ۖ وَمَآ أَنتَ بِمُؤْمِنٍۢ لَّنَا وَلَوْ كُنَّا صَـٰدِقِينَ ١٧
Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar".
Pengajaran
- Mereka menipu dengan mengatakan Nabi Yusuf AS dimakan serigala.
- Orang yang menipu biasanya akan banyak bercakap dengan memberi alasan-alasan untuk menunjukkan mereka benar.
Ayat 12:18
وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍۢ كَذِبٍۢ ۚ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًۭا ۖ فَصَبْرٌۭ جَمِيلٌۭ ۖ وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ ١٨
Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: "Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu."
Pengajaran
- Bagi mengesahkan dakwaan itu mereka melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu.
- Nabi Yaakub AS sedih tetapi tidak marah-marah kepada anak-anaknya. Nabi Yaakub AS pandai mendidik anak-anaknya yang buat perangai. Baginda kembali kepada Allah SWT dengan mengatakan فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ (bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu)
- Abang-abang Nabi Yusuf A.S tidak sedar bahawa apa yang mereka buat akan menjadi berita besar dan memberi kesan kepada mereka suatu hari nanti. Mereka tidak memikirkan perasaan ayah mereka dan kesannya.
- Bila seseorang mula mengumpat, hasad, merancang, ia akan membawa kepada dosa-dosa lain yang lebih besar.
- Orang yang mengumpat, cuba merasionalkan apa yang mereka buat. Ini adalah kaedah orang berdosa yang tidak mahu bertaubat atas dosanya. Psikologi ini dibongkar oleh Nabi Yaakub AS.
- Sebagai ayah, jika berleter, memukul kepada anak yang ada masalah perangai, akan menimbulkan lebih banyak masalah.
- Semoga Allah SWT memelihara kita daripada mengikut perasaan yang membuat kita dan orang sekeliling kita stres dan trauma.
Ayat 12:19
وَجَآءَتْ سَيَّارَةٌۭ فَأَرْسَلُوا۟ وَارِدَهُمْ فَأَدْلَىٰ دَلْوَهُۥ ۖ قَالَ يَـٰبُشْرَىٰ هَـٰذَا غُلَـٰمٌۭ ۚ وَأَسَرُّوهُ بِضَـٰعَةًۭ ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ ١٩
Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: "Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)". (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.
Pengajaran
- Semasa Nabi Yusuf AS dalam perigi, datanglah ke tempat itu satu rombongan ahli perniagaan yang sedang dalam perjalanan. Mereka menghantarkan seorang pencari air. Setelah sampainya ke perigi itu dia pun menghulurkan timbanya. Apabila ia melihat Nabi Yusuf AS bergantung pada timbanya ia sungguh gembira apabila melihat seorang budak lelaki yang cantik parasnya.
- Mereka sembunyikan Nabi Yusuf AS dalam barang-barang dagangan. Mereka hendak menjual Nabi Yusuf AS walaupun pada masa itu perbuatan perhambaan kanak-kanak adalah salah. Ini adalah perbuatan orang-orang yang tidak beriman.
- Allah SWT Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan
- Pengajaran untuk kita, bila terjumpa barang yang bukan milik kita, jangan ambil sewenang-wenangnya. Contoh: Kalau ada lori terbalik di jalan raya, jangan ambil barang-barang yang jatuh.
Ayat 12:20
وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍۭ بَخْسٍۢ دَرَٰهِمَ مَعْدُودَةٍۢ وَكَانُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلزَّٰهِدِينَ ٢٠
Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.
Pengajaran
- Mereka menjual Nabi Yusuf AS dengan harga yang murah (بِثَمَنٍۭ بَخْسٍ).
- Mereka mahu cepat-cepat menjualnya kerana perbuatan menjual budak untuk perhambaan adalah salah di sisi undang-undang pada waktu itu.
- Bayangkan jika anak kita melalui semua ini angkara adik-beradik sendiri. Inilah kisah yang memujuk Nabi Muhammad SAW yang kehilangan isteri dan bapa saudara. Nabi Muhammad SAW tidak pernah bertemu Nabi Yusuf AS. Kisahnya diketahui melalui wahyu.
Ayat 12:21
وَقَالَ ٱلَّذِى ٱشْتَرَىٰهُ مِن مِّصْرَ لِٱمْرَأَتِهِۦٓ أَكْرِمِى مَثْوَىٰهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوْ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدًۭا ۚ وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُۥ مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ ۚ وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمْرِهِۦ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ٢١
Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Pengajaran
- Seorang pemerintah Mesir membeli Nabi Yusuf AS. Dia menyuruh isterinya (Zulaikha) memberi tempat tinggal dan menjaga Yusuf AS dengan baik. Dia berharap Nabi Yusuf AS dapat dijadikan sebagai anak atau pembantu kerana isterinya tidak ada anak. Isterinya kesunyian, kerana pemerintah itu seorang ahli politik yang sibuk ke sana kemari.
- Inilah caranya Allah SWT menetapkan kedudukan Nabi Yusuf AS di Mesir. Allah SWT mengajarkan kepada Nabi Yusuf AS ilmu takbir mimpi dan kebolehan menguruskan keadaan yang mengelirukan. Inilah potensinya yang boleh melihat sesuatu yang mengelirukan dan dia boleh selesaikan. Dia pandai menyusun perkataan sebagaimana dilihat oleh ayahnya pada awal surah ini.
- Allah SWT Maha Berkuasa (غَالِبٌ) atas segala yang berlaku kepada Nabi Yusuf AS, tetapi kebanyakkan manusia tidak memahami perkara ini.
- Dengan apa yang berlaku kepada kita sekarang, PKP sampai hampir 2 tahun, hendaklah kita ingat bahawa Allah SWT Maha Berkuasa (غَالِبٌ). Kita mungkin tidak faham apa perancangan Allah SWT untuk kita. Sudah pasti semuanya untuk kebaikan kita. Kita serahkan kepada Allah SWT untuk menolong kita.
Ayat 12:22
وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥٓ ءَاتَيْنَـٰهُ حُكْمًۭا وَعِلْمًۭا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ٢٢
Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki
Pengajaran
- Apabila Nabi Yusuf AS sudah cukup dewasa, Allah SWT berikan kepada baginda kebijkasanaan (حُكْمًا) dan ilmu (عِلْمًا). Kebijaksanaan bermakna dia boleh buat keputusan. Allah SWT sebutkan perkataan حُكْمًا dahulu kerana ada orang banyak ilmu tetapi dia tidak boleh buat keputusan untuk melakukan sesuatu yang baik berdasarkan ilmunya.
- Inilah balasan bagi orang yang melakukan kebaikan. Kalau kita terus berbuat kebaikan dalam hidup kita ini, ihsan dengan Allah, ihsan dengan manusia, walaupun menghadapi ujian berat, tetapi masih ingat kepada Allah SWT, Allah akan berikan hikmah dan ilmu. Inilah yang membuatnya semakin dewasa dan pandai mengambil hati majikannya.
RESOLUSI
Ingat!
- Yakin Allah SWT akan bantu walaupun rasa tidak ada sumber atau hilang punca (12:15)
- Elakkan menipu (12:17)
- Amalkan kesabaran yang indah untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT
Saya berasa lega kerana yakin Allah SWT akan bantu apabila saya menghadapi masalah dalam hidup.
Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT akan bantu walaupun rasa tidak ada sumber atau hilang punca. Saya jelas untuk elakkan menipu. Saya jelas saya mesti amalkan kesabaran yang indah untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT.
Ya Allah, bimbing kami untuk yakin Engkau akan bantu apabila kami menghadapi kesusahan. Ya Allah, jauhkan kami daripada perasaan hilang punca bila berdepan dengan ujian. Ya Allah, jauhkan kami daripada perbuatan menipu. Ya Allah, pimpin kami untuk jadi orang yang amalkan kesabaran yang indah agar kami mendapat pertolongan Mu.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.