Tuesday, May 2, 2023

Halaman 25 : Al-Baqarah, 2:164-169

PERKATAAN HARI INI


  خَلَقَ   Mencipta
 261 kali disebut di dalam Al Quran


SINOPSIS   

  1. Keesaan Tuhan, kasih sayang-Nya dan tanda-tanda kebesaran-Nya (2:164)
  2. Keadaan kaum musyrikin bersama tuhan-tuhan mereka (2:165-167)
  3. Penghalalan barang-barang yang baik, pengharaman benda-benda yang haram (2:168-169)


Mukadimah

Alhamdulillah dengan izin, inayah dan limpah kurnianya kita dapat teruskan pengajian di halaman 25 al-Quran yang merupakan sumber kekuatan, sumber kesabaran yang utuh yang diformulasikan oleh Allah SWT. Ingat halaman 25, ingatlah kapal (Prop yang dibawa oleh Tuan Fazrul hari ini).

Untuk menguatkan diri, kita perlukan hidayah daripada Allah SWT dengan membaca al-Fatihah. Al-Fatihah mengingatkan kita bahawa hidayah adalah suatu perkara yang penting untuk membolehkan kita menghadapi cabaran-cabaran dalam kehidupan di dalam dan di luar rumah. Kita ada tanggung jawab yang besar dan perlu bersabar. Hari ini kita akan lihat bagaimana hendak membina kesabaran tersebut.

Setelah Allah SWT memberikan peringatan yang keras tentang azab yang dahsyat kepada orang yang kufur dan menyembunyikan ayat-ayat Allah untuk kepentingan diri sendiri (2:161-162), Allah SWT kemukakan pula pokok ajaran tentang Tuhan pada ayat (2:163) iaitu  وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ - "Dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada tuhan selain Dia, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang." 

Allah SWT peringatkan lagi tentang Keesaan-Nya, tiada Tuhan selain Dia, Yang Maha Pengasih Maha Penyayang; agar janganlah hendaknya mereka berterusan dalam kekafiran dan mati dalam kufur. Hanya Dialah yang wajib disembah dan dipuja. Hanya kepada-Nya tempat memohon pertolongan.

Allah jelaskan tentang potensi-Nya yang hebat ini selepas bercakap tentang peranan kita untuk bertaubat, membaiki diri dan menyampaikan. Peranan ini untuk kita semua yang beriman kepada Allah. Kita tidak mahu jadi umat yang kufur, yang menyembunyikan ayat-ayat Allah untuk kepentingan diri sendiri. 


Ayat [2:164]

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلْفُلْكِ ٱلَّتِى تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٍۢ فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍۢ وَتَصْرِيفِ ٱلرِّيَـٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلْمُسَخَّرِ بَيْنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَعْقِلُونَ ١٦٤

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.


Dalam ayat ini Allah SWT membawa kita untuk merenung dan memikirkan ayat-ayat-Nya yang termaktub di maya pada.  Semuanya adalah tanda kebesaran-Nya untuk manfaat manusia. Tidak mungkin semuanya terjadi dengan sendirinya.

  1. Dengan melihat langit, kita akan merasa begitu kerdil. Amat mengkagumkan bila dilihat pada malam hari yang bertaburan dengan bintang-bintang dan bulan yang indah. Amat menakjubkan pada siang hari dengan matahari bersinar menyinari bumi di langit tinggi tidak bertiang. Subhanallah! 
  2. Bila direnung ke bumi, kita dapati terdapat bermacam tumbuhan dan binatang. 
  3. Pergantian malam dan siang berlaku secara automatik. 
  4. Kapal yang besar di lautan tidak tenggelam boleh menjadi sumber ekonomi kepada sesebuah negara kerana ia membawa muatan perniagaan, untuk di export dan sebagainya. Jika Allah nak tenggelamkan, bila-bila masa pun boleh dengan kuasa-Nya.  Kita kata itu hukum Fizik, tetapi hukum itu adalah ketentuan Allah Yang Esa. Tak ada siapa yang mampu cipta hukum ini.  
  5. Air yang turun dari langit amat diperlukan untuk semua kehidupan; manusia, tumbuhan dan binatang.
  6. Pergerakan angin dan awan yang membantu kehidupan dengan pendebungaan dan kejadian hujan yang menurunkan air dari langit.


Pengajaran

  1. Selain ayat-ayat al-Quran yang menerangkan kebesaran Allah, langit dan bumi, pergantian malam dan siang adalah tanda-tanda kebesaran Allah SWT. 
  2. Kapal besar yang belayar di lautan tidak tenggelam adalah juga tanda kebesaran Allah SWT.
  3. Allah menurunkan air dari langit yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan setelah matinya, angin, awan semuanya adalah bukti kebesaran-Nya
  4. Semua yang Allah jadikan adalah untuk manfaat manusia.
  5. Penting menggunakan akal untuk melihat kejadian alam dan mengaitkannya dengan Pencipta. 
  6. Allah telah mengenalkan diri-Nya melalui maya pada, maka  kita mestilah berusaha untuk mengenal-Nya. Bila telah kenal, kita akan sangat yakin akan kebesaran-Nya.
  7. Akal yang berfikir akan memberi kesan kepada hati. Jika akal kita baik, hati juga akan turut baik. Begitulah sebaliknya.
  8. Seperti air yang turun dari langit boleh menghidupkan alam, begitulah ayat-ayat al-Quran (wahyu) yang turun dari langit juga dapat menghidupkan hati manusia untuk membina kesabaran bagi menghadapi ujian dalam kehidupan.
  9. Kalau ada yang kata, "saya ni tak pandai baca Quran, tadabbur pun baru nak mula. Macam mana saya nak membina kekuatan sabar dalam hidup saya?" Jawapannya: Kalau tak boleh baca ayat dalam Quran, baca dan fikirkan ayat-ayat Allah di maya pada.


Ayat [2:165]  Ayat Cinta

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَندَادًۭا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ ٱللَّهِ ۖ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَشَدُّ حُبًّۭا لِّلَّهِ ۗ وَلَوْ يَرَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ إِذْ يَرَوْنَ ٱلْعَذَابَ أَنَّ ٱلْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًۭا وَأَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعَذَابِ ١٦٥

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).


Pengajaran

  1. Orang yang tidak berakal hanya melihat maya pada sebagai hukum alam. Tetapi orang yang berakal dapat fikirkan bahawa semua kejadian itu adalah untuk dengan kekuasaan Allah SWT maka jangan sekali-kali kita menyekutukan Allah (  أَندَادًا  ) dengan perkara lain.
  2. Orang yang menyekutukan Allah SWT adalah orang yang zalim. 
  3. Orang yang menyamakan kepentingan/kecintaan (menyekutu) kepada  sesuatu yang lain daripada Allah juga bukan ciri orang beriman.  Orang begini Allah SWT mengatakan zalim. Mereka ini mudah merosakkan orang-orang di sekelilingnya.  Contohnya:  melayan telefon, makan atau bekerja sehingga lewat solat. 
  4. Orang beriman, kecintaannya kepada Allah mesti melebihi segalanya. Masuk waktu solat, cepat-cepat tinggalkan apa jua yang dibuat, pergi solat. 
  5. Allah SWT memberi peringatan bahawa orang yang zalim akan mendapat azab yang berat.
  6. Jangan sekali-kali menyamakan (menyekutukan) Allah SWT dengan apa-apa pun kerana balasannya adalah azab yang berat.
  7. Kalau kita ingin kuat dan sabar menghadapi sesuatu cabaran, kita kena bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.
  8. Uruskan kefahaman hidayah dengan betul untuk mendapat peluang pahala. Pergi kerja, duduk di rumah bersama keluarga juga semuanya dapat pahala asalkan jangan disekutukan dengan Allah SWT.


Ayat [2:166]

إِذْ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ ٱلْأَسْبَابُ ١٦٦

(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.


Pengajaran

  1. Orang yang ada follower (ketua) berlepas diri bila melihat azab kerana mereka memimpin bukan dengan niat kerana Allah SWT. Mereka memimpin dengan meletakkan  أَندَادًا , atau mereka angkat diri sendiri menjadi  أَندَادًا
  2. Ingat, jangan jadi social media influencer yang mementingkan diri sendiri. Pastikan letak Allah SWT paling tinggi. 
  3. Sebagai ketua/influencer (yang ramai follower di media sosial), jangan bawa  idea sendiri. Bawa idea daripada al-Quran. Kalau tidak, azab yang berat sedang menunggu!


Ayat [2:167]

وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةًۭ فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا۟ مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعْمَـٰلَهُمْ حَسَرَٰتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُم بِخَـٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ ١٦٧

Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.


Pengajaran

  1. Jangan jadi pengikut yang kepada orang yang zalim. 
  2. Pengikut juga boleh menyebabkan pemimpin lupa diri sebab hati mereka hendak dicintai (banyak mengipas pemimpin untuk kepentingan diri sendiri).
  3. Jaga hati agar jangan sampai followers menjadi seteru kepada kita (followers di socmed, anak-anak, pekerja).


Ayat [2:168]

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌ ١٦٨

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.


Ayat [2:169]

إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِٱلسُّوٓءِ وَٱلْفَحْشَآءِ وَأَن تَقُولُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ ١٦٩

Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).


Pengajaran ayat 168-169

  1. Allah SWT menyeru semua manusia untuk makan makanan yang baik dan halal. 
  2. Makanan yang baik dan halal amat penting kerana syaitan yang berada di saluran darah kita akan mudah mempengaruhi kita bila makan yang tidak baik dan halal.
  3. Jangan main-main dengan syaitan kerana ia adalah musuh yang nyata bagi manusia.
  4. Manusia mudah menjadi zalim juga kerana makanan.
  5. Jika pemimpin zalim dan orang bawah zalim, cuba "check" pemakanan. Pekerjaan yang baik, belum tentu berkat jika kita melakukan perkara-perkara yang tidak halal.
  6. Ibu-ayah mesti banyak bertaubat, kerana kita mungkin secara tidak sedar melakukan  kezaliman terhadap anak-anak yang berpunca dari sumber pendapatan yang tidak bersih dan halal. Jika makanan tidak baik, anak-anak mungkin akan menjadi degil dan tidak mendengar kata-kata ibu ayah.
  7. Isu makanan adalah isu yang besar kerana ia ada kaitan dengan darah yang mengalir dalam tubuh badan kita. Jangan bagi peluang untuk syaitan masuk melalui pemakanan.
  8. Jaga disiplin di tempat kerja dan di rumah agar punca makanan baik supaya keluarga terpelihara daripada bisikan syaitan.
  9. Perbuatan dosa kecil boleh membawa kepada dosa besar kerana syaitan sentiasa menggoda kita untuk membuat dosa sehingga kita mesyirikkan (menyekutukan) Allah SWT.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Perhatikan alam untuk meningkatkan rasa kebesaran pada Allah (2:164)
  2. Semak apakah kecintaan kita kepada Allah lebih dari segalanya (2:165)
  3. Jadilah pengikut yang sedar kebenaran (2:167)
  4. Pastikan makanan setiap hari, halal dan baik (2:168)

Lega kerana Allah ingatkan saya supaya perhatikan alam untuk rasa kebesarannya.

Saya jelas untuk mengambil masa memerhati dan memikir alam untuk melihat kebesaran Allah SWT supaya timbul kecintaan yang hakiki kepada Allah SWT. Saya jelas untuk jadi pengikut yang sedar kebenaran. Saya mesti pastikan makanan setiap hari, halal dan baik.

Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa menghargai nikmat-Mu dengan rajin mengkaji al-Quran dan memikirkan tentang alam ciptaan-Mu.  Ya Allah, jadikan kami pengikut yang melakukan apa saja hanya kerana-Mu. Jauhi kami dari menjadi pemimpin dan pengikut yang zalim. Ya Allah, kurniakan kami rezeki yang bersih dan halal agar kami dapat menjauhkan diri daripada bisikan syaitan yang terkutuk.



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...