Tuesday, May 2, 2023

Halaman 24 : Al-Baqarah, 2:154-163

PERKATAAN HARI INI


   نَزَلَ  Turun, anugerah
  293  kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Sabar atas cubaan (2:154-157)
  2. Saie antara Safa dan Marwah dan hukum penyembunyian ayat-ayat Allah (2:158-162)
  3. Keesaan Tuhan, kasih sayang-Nya dan tanda-tanda kekuasaan-Nya (2:163)


Mukadimah

Semoga kita penuh ceria gembira menghadapi berbagai ujian dalam kehidupan. Hari ini kita akan melihat perjuangan orang-orang terdahulu untuk mencontohi mereka agar kita juga dapat bersama dalam cahaya hidayah. Bila kita ingin berada di dalam hidayah, pasti ada ujian. Kita ingin melihat apa yang ada di sebalik ujian. 

Al-Fatihah mesti dibaca dengan semangat yang  luar biasa untuk mempasak akidah, ibadah dan gaya hidup yang tepat agar kita berjaya menjadi muslim sejati. Surah ini memberi pencerahan dan semangat yang luar biasa untuk kita mendapat hidayah. Ia akan menyembuhkan hati yang duka lara sesuai dengan nama lainnya iaitu Asy-Syifa'.

Ayat-ayat di halaman 24 ini amat padu sebagai ubat yang akan merawat hati-hati yang rasa penat. Tetapi bila dibaca dan diamal satu doa penting di sini, kita tahu sebenarnya Allah amat sayang kepada kita. Al-Quran adalah mukjizat. Membacanya, seolah-olah kita sedang mengadu segala permasaalahan kepada Allah SWT. Tidak seperti manusia, Dia tidak menceritakan kepada sesiapa pun. Allah SWT akan memberi ketenangan dan jalan keluar kepada masalah kita.


Ayat [2:154]

وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَن يُقْتَلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتٌۢ ۚ بَلْ أَحْيَآءٌۭ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ ١٥٤

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.


Ayat 154-158 ini memulakan ubat daripada Allah SWT. Pada ayat 153, Allah SWT menyatakan إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ ( Allah beserta orang-orang yang sabar). Maka pada ayat 154 Allah jelaskan kesabaran yang paling tinggi diperlukan ialah tentang "kematian".


Pengajaran

  1. Kematian adalah ujian yang besar bagi manusia. Orang yang terbunuh syahid itu mati pada pandangan kita tetapi hakikatnya, mereka tetap hidup. Di alam kuburnya berbeza, dengan Allah menguruskannya. 
  2. Orang yang mati syahid akan menjadi inspirasi kepada orang yang hidup. Semangat mereka akan menaikkan lagi semangat orang yang berjuang. 
  3. Fi sabilillah ini bukan sahaja berjuang dalam peperangan; ia termasuk juga orang yang sedang belajar, orang yang buat kebaikan bersungguh-sungguh sampai meninggal. Semua ini memerlukan kesabaran. 
  4. Sebagai orang Islam, kita juga mesti ada niat untuk mati syahid sebab kita hendak mempertahankan kebenaran. Kebenaran ini bukan untuk orang Islam sahaja tetapi juga untuk orang yang dizalimi. 
  5. Walaupun tidak berjuang di medan perang tetapi Allah SWT tetap akan menguji kita.


Ayat [2:155]

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٥٥

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:


Pengajaran

  1. Selagi kita hidup Allah SWT akan terus menguji dalam 5 perkara dari sekecil-kecil perkara dan dari berbagai arah:
    • ketakutan (Contoh: ekonomi, COVID19)
    • kelaparan 
    • kekurangan harta
    • jiwa (semakin tua, sakit dll)
    • buah-buahan (hasil pertanian dll)
  2. Setiap orang menghadapi ujian yang berbeza. 


Ayat [2:156]

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.


Pengajaran

  1. Allah mengajar, jika kita menerima ujian dalam 5 kategori di atas, cara untuk menghadapinya ialah dengan berkata  إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ 
  2. Segala yang kita ada adalah milik Allah SWT. Allah boleh ambil kembali bila-bila masa. 
  3. Kita mesti cuba buat yang terbaik dalam menghadapi ujian tersebut. Contoh: Kalau sakit, berdoa, tawakkal kepada Allah dan berusaha cari penawar, jangan putus asa.  


Ayat [2:157]

أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۭ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ ١٥٧

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.


Pengajaran

  1. Kalau ada mindset yang betul tentang ujian ini, Allah akan beri 3 hadiah:
    • Keampunan (selawat)
    • Rahmat (kasih sayang)
    • Petunjuk (hidayah)
  2. Bila kena ujian jangan merasakan Allah SWT tidak suka kita. 
  3. Allah bagi ibtilak kepada Nabi-nabi kerana Allah hendak bagi hidayah, istiqamah sampai ke syurga. Hidayah ini diturunkan sebagai satu anugerah. 
  4. Ujian amat berharga bila kita berada dalam keadaan sedih dan memerlukan sangat bantuan daripada Allah. 
  5. Ujian boleh jadi dalam diri kita, atau rumah kita. Tetapi bagi Nabi SAW, baginda mencari masalah di luar seperti orang miskin dan anak yatim. Baginda mencari cabaran-cabaran itu kerana itu adalah perjuangan.


Ayat [2:158]  Salah satu daripada perjuangan itu diabadikan dalam kisah Nabi Ibrahim seperti yang diterangkan dalam ayat ini.

 إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلْمَرْوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ ٱلْبَيْتَ أَوِ ٱعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًۭا فَإِنَّ ٱللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ١٥٨

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.


Pengajaran

  1. Safa dan Marwah adalah syiar yang mengingatkan kita kepada Hajar dan anaknya Nabi Ismail. Ia mengajar tentang kesabaran. 
  2. Bila kita berada di Safa dan Marwah, kita sepatutnya menghayati kisah Hajar yang mempamerkan kesabarannya.
  3. Sesiapa yang bersabar, Allah SWT Amat Mensyukuri dan Amat Mengetahui. 
  4. Tanda syukur itu bukan sekadar Hajar dapat air untuk dia dan anaknya, tetapi air itu untuk kita sampai sekarang. Itulah lambang kesabaran. 
  5. Kalau kita bersabar, Allah sedang menyiapkan hadiah yang lebih besar (zam-zam masing-masing).


Ayat 159-163 penuh dengan berbagai ubat-ubat untuk rawatan berbagai cabaran yang kita hadapi setiap hari. Kaum Yahudi menyembunyikan keterangan (bukti) daripada Allah SWT. Salah satu daripada bukti yang masih ada sampai sekarang ialah Zam-Zam, Safa dan Marwah yang ada kaitan dengan Hajar dan Nabi Ismail. Orang Yahudi tidak suka hal ini kerana ia ada kaitan dengan Nabi Muhammad SAW yang merupakan keturunan Nabi Ismail. 

Ayat [2:159]

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَآ أَنزَلْنَا مِنَ ٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلْهُدَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِى ٱلْكِتَـٰبِ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَلْعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.


Ayat [2:160]

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ وَأَصْلَحُوا۟ وَبَيَّنُوا۟ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠

Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.


Ayat [2:161]

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَمَاتُوا۟ وَهُمْ كُفَّارٌ أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ لَعْنَةُ ٱللَّهِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ ١٦١

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.


Ayat [2:162]

خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۖ لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ ١٦٢

Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.


Ayat [2:163]

وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ ۖ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٣

Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.


Pengajaran Ayat 159-163

  1. Allah SWT sangat melaknat orang yang tahu kebenaran tetapi menyembunyikannya seperti kaum Yahudi. 
  2. Malaikat juga melaknat orang yang suka menyembunyikan kebenaran.
  3. Jika kita ada cabaran (formula menghadapi ujian):
    • Bertaubat - Sampaikan perkara yang baik. 
    • Baiki diri dan keadaan masyarakat.
    • Jelaskan apa yang kita tahu kepada keluarga dan masyarakat.
  4. Untuk orang yang 'sakit' seperti ini, ubatnya ialah al-Quran. 
  5. Buatlah dalam kapasiti masing-masing agar kita menjadi orang yang berjuang.
  6. Janganlah jadi seperti kaum Yahudi yang sembunyikan kebenaran kerana sifat dengki. 
  7. Betulkan akidah dengan meyakini tiada lain yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa. Buat segalanya kerana Allah SWT.
  8. Sampaikan mesej daripada al-Quran. Kalau letih, ingat Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Ada ujian? Sabar dengan mengucapkan istirja' (2:155-156)
  2. Buat kebaikan sebaik mungkin walaupun kecil kerana ganjarannya besar di sisi Allah (2:158)
  3. Jangan sembunyikan kebenaran untuk elak dilaknat (2:159-163)

Lega kerana Allah ajar  istirja' bila ada ujian.

Saya jelas untuk sabar bila ada ujian dengan mengucapkan istirja'. Saya jelas untuk buat kebaikan sebaik mungkin walaupun kecil kerana ganjarannya besar di sisi Allah. Saya jelas untuk tidak sembunyikan kebenaran untuk elak dilaknat.

Ya Allah, kurniakan kami kesabaran bila ada ujian. Ya Allah, bimbing kami untuk buat kebaikan sebaik mungkin dan tidak sembunyikan kebenaran.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...