PERKATAAN HARI INI
209 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Penghalalan benda-benda yang baik dan sumber pengharaman benda-benda yang haram (2:170-171)
- Makanan yang halal dan yang haram (2:172-173)
- Kaum ahli kitab menyembunyikan apa yang diturunkan oleh Allah (2:174-176)
Mukadimah
Dimulakan dengan bacaan al-Fatihah sebagai doa pembuka majlis yang mengingatkan kita bahawa kita memohon hidayah daripada Allah SWT. Salah satu hidayah yang penting dalam kehidupan kita ialah kita dapat makan makanan yang halal dan baik. Dalam pelajaran hari ini kita akan bincangkan dua topik penting iaitu tentang makanan dan interaksi bersama kitab.
Ayat [2:170]
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلْ نَتَّبِعُ مَآ أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ ۗ أَوَلَوْ كَانَ ءَابَآؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْـًۭٔا وَلَا يَهْتَدُونَ ١٧٠
Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
Pada halaman lepas kita bincangkan tentang syaitan yang mengajak kepada kemaksiatan dan perkara keji. Ayat 170 ini Allah SWT memberitahu bila disuruh mengikuti rasul dan kitab, orang-orang kafir menyatakan yang mereka mengikuti nenek moyang mereka iaitu buat apa yang sudah biasa dibuat oleh orang terdahulu.
Inilah fenomena sosial yang berlaku sekarang iaitu menyebut-nyebut amalan yang dibuat adalah berdasarkan pengalaman orang lama/senior yang lebih dulu makan garam dari orang yang lebih muda. Sedangkan amalan tersebut dibuat bukan berasaskan hidayah.
Pengajaran
- Kita hendaklah pastikan amalan yang dibuat adalah berasaskan akal yang sejahtera berpandukan hidayah, daripada al-Quran dan sunnah.
- Jangan jadi pak turut yang ikut membabi buta.
Ayat [2:171]
وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلَّا دُعَآءًۭ وَنِدَآءًۭ ۚ صُمٌّۢ بُكْمٌ عُمْىٌۭ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ ١٧١
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.
Allah membawa satu perumpamaan kepada orang yang tidak ikut hidayah daripada Allah SWT. Ini adalah cerita untuk kita ambil nilai (tamsil) iaitu umpama biri-biri yang dipanggil oleh pengembala dengan jeritan tetapi biri-biri itu tidak faham pun apa yang dikata oleh pengembala. Nabi dan orang-orang yang baik, menyeru kepada kebaikan. Mereka yang ingkar itu, umpama biri-biri tersebut. Mereka tidak menghargai Quran seolah-olah mereka itu pekak, bisu dan buta.
Pengajaran
- Jika kita tidak merasakan al-Quran itu satu teriakan untuk menyelamatkan kita, kita samalah seperti biri-biri.
- Jika kita tidak menghargai al-Quran betul-betul, kita akan menjadi orang yang tidak berakal yang tidak memahami al-Quran dengan cara yang sebenar.
- Jangan ambil enteng hidayah daripada al-Quran.
Ayat [2:172]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ١٧٢
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.
Ayat sebelum ini, bercakap tentang biri-biri yang buat apa saja kerana tidak faham. Ayat ini pula tentang pentingnya makanan dari rezeki yang baik-baik. Memilih untuk memakan yang baik ini memerlukan hidayah dan akal yang sejahtera.
Pengajaran
- Orang yang ambil berat tentang al-Quran akan jaga makan dan sumber makanannya.
- Gunakan akal untuk memilih makanan yang baik-baik.
- Kita perlukan hidayah untuk memilih yang baik-baik untuk dimakan.
- Bersyukur kepada Allah yang memberikan hidayah tentang makanan yang baik untuk kita.
- Ibadah bukan hanya dengan solat. Kita hendaklah menyerah diri ( تَعْبُدُونَ ) sepenuhnya kepada Allah SWT hatta dalam soal makanan. Memastikan makanan yang baik-baik juga adalah ibadah.
Ayat [2:173]
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ ١٧٣
"Sesungguhnya Dia hanya mengharamkan atasmu bangkai, darah, daging babi, dan (daging) hewan yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa terpaksa (memakannya), bukan karena menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
Pengajaran
- Tanda kehambaan ialah kita bersedia untuk dicatur oleh Allah SWT dalam bab makanan.
- Orang yang beriman tetap sahaja mengikut perintah dan peraturan Allah. Mereka tidak melampau apatah lagi membenci arahan daripada Allah.
- Kalau kita dapat menghindar makanan yang dilarang, Allah SWT mengampunkan kita.
- Allah SWT sayang kepada kita kalau kita jaga makanan dan sumber membeli makanan.
Ayat [2:174]
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَيَشْتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًۭا قَلِيلًا ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Pengajaran
- Toyyib (baik) tentang makanan mesti mencakupi yang halal.
- Al-Quran adalah sumber peraturan, oleh itu jangan sekali-kali kita menyembunyikan kebenaran/peraturan untuk keuntungan dunia sahaja.
- Rasuah paling tinggi yang berlaku dalam sejarah ialah rasuah dalam agama. Pernah berlaku di zaman dahulu dan masih berlaku sehingga sekarang. Contohnya: Penceramah/penguatkuasa yang dirasuah untuk mengikut cakap organisasi/kumpulan tertentu.
- Rasuah juga adalah contoh menjual peraturan al-Quran dengan harga murah yang akan mengakibatkan balasan api neraka.
- Kalau jijik untuk makan babi, biawak dan lain-lain, maka jijiklah juga untuk mengambil dan memberi rasuah.
- Jangan menyembunyikan peraturan yang ada di dalam al-Quran. Contohnya: Jangan benarkan arak hanya untuk menjaga hati orang lain dan kerana kepentingan diri (ada imbuhan). Allah tidak mahu bercakap dengan orang begini dan bagi mereka azab yang besar.
- Jangan bagi rasuah untuk kepentingan diri. Contoh: Potong "queue" untuk mendapati sesuatu perkara dengan membayar duit "under counter" atau bawah meja.
- Perbuatan rasuah menyebabkan umat Islam diperlekehkan.
Ayat [2:175]
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلْهُدَىٰ وَٱلْعَذَابَ بِٱلْمَغْفِرَةِ ۚ فَمَآ أَصْبَرَهُمْ عَلَى ٱلنَّارِ ١٧٥
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.
Pengajaran
- Rasuah adalah perbuatan menukarkan hidayah dengan kesesatan. Ini menjemput azab daripada Allah SWT.
- Kalau kita tetap mengikut hidayah dari al-Quran, Allah SWT akan berikan keampunan.
- Jangan mempermain-mainkan hidayah daripada Allah SWT.
- Makan yang haram dan sumber makanan daripada punca rasuah adalah seperti menelan api neraka.
- Allah SWT sindir orang yang meninggalkan hidayah (makan yang haram dan rasuah) seperti berlagak sabar berani menentang api neraka!
Ayat [2:176]
ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخْتَلَفُوا۟ فِى ٱلْكِتَـٰبِ لَفِى شِقَاقٍۭ بَعِيدٍۢ ١٧٦
"Yang demikian itu karena Allah telah menurunkan Kitab (Al-Qur'an) dengan (membawa) kebenaran, dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (kebenaran) Kitab itu, mereka dalam perpecahan yang jauh."
Pengajaran
- Al-Quran diturunkan dengan kebenaran bertujuan untuk mengelak pertelingkahan/perpecahan dalam kalangan manusia.
- Orang yang makan yang haram (dan sumber haram seperti rasuah) akan mengakibatkan sifat suka bergaduh yang membawa perpecahan dalam keluarga, organisasi dan masyarakat.
RESOLUSI
Ingat !!
- Ikut Al Quran & As Sunnah, bukan ikut orang terdahulu (2:170)
- Cari ilmu agar melaksanakan atau meninggalkan sesuatu atas dasar ilmu (2:171)
- Sampaikan kebenaran walaupun ia memberi kesan kepada dunia kita (2:174)
Lega kerana Allah beritahu kaedah untuk perpaduan iaitu ikut hidayah dengan memastikan makan yang baik dan sumber yang halal.
Saya jelas untuk cari ilmu al-Quran dan sunnah untuk pastikan amalan seharian mengikut hidayah daripada Allah SWT.
Ya Allah, kurniakan kami rezeki yang luas dan halal serta ilmu yang berkat. Berikan kami kesabaran untuk menyampaikan kebenaran yang berasaskan al-Quran. Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai pembimbing agar kami menjadi manusia yang berguna, yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam seperti di zaman Nabi Muhammad SAW.