PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Hukum-hukum puasa [2:187]
- Memakan harta orang lain dengan cara yang batil [2:188]
- Tahun hijriyah dan hakikat kebajikan [2:189]
- Prinsip-prinsip berjihad di jalan Allah [2:190]
Mukadimah
Mesej al-Fatihah yang dibaca berulang kali mestilah dihidupkan dalam kehidupan kita seharian. Ia juga dinamakan sebagai as-Solah (solat) dan asy-Syifa' (penyembuh). Dengan membaca dan menghayati al-Fatihah boleh mengubat penyakit fizikal, lebih-lebih lagi penyakit spiritual dan emosi kita. Al-Fatihah kalau dibaca, kita mohon daripada Allah SWT hidayah untuk mengubat hati yang tidak tenteram, sedih dan lain-lain. Hidayah iaitu pencerahan demi pencerahan, sesuatu yang kita tidak pernah terfikir dalam kehidupan kita seharian.
Ayat [2:187]
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌۭ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌۭ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَٱلْـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَٱبْتَغُوا۟ مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا۟ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَـٰكِفُونَ فِى ٱلْمَسَـٰجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ ١٨٧
"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa."
Pengajaran
- Ayat ini bercerita tentang peraturan puasa. Tradisi puasa Nabi Musa panjang, dari malam hingga ke malam esoknya. Malam, suami dan isteri tak boleh bersama. Puasa di zaman Nabi Muhammad SAW sampai kita sekarang dibenarkan bersama isteri di malam hari.
- Ada di kalangan sahabat yang bila berpuasa, langsung tidak mahu bersama isteri kerana masih terpengaruh dengan peraturan kitab Taurat yang tidak boleh bersama isteri di malam hari semasa berpuasa. Ada sahabat yang berpuasa sampai langsung tidak mahu makan atau hanya minum air sahaja. Ayat ini diturunkan untuk membetulkan mindset mereka.
- Bila beriktifaf di masjid, tidak boleh bersama isteri dan ini adalah hududullah.
- Hudud ialah peraturan/batasan daripada Allah SWT.
- Allah juga menceritakan hakikat suami isteri. Isteri adalah pakaian bagi suami dan suami pula pakaian bagi isteri. Ini adalah perumpamaan yang amat hebat. Pakaian sudah semestinya cantik, menutupi dan kena pada 'saiz'/bentuk tubuh. Begitulah suami isteri, umpama pakaian; cantik mencantikkan, menutup kelemahan-kelemahan masing-masing dan saling lengkap melengkapi dari segi fizikal, intelektual serta cara berfikir.
Ayat [2:188]
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."
Pengajaran
- Kesan berpuasa ialah takwa dan orang bertakwa tidak akan melakukan apa yang Allah larang, seperti mengambil harta orang lain, termasuk anak yatim, memberi rasuah kepada hakim-hakim untuk mendapatkan sesuatu.
- Amanahlah dalam bekerja.
- Pemimpin yang terkesan dengan ibadah puasanya, tidak akan melakukan apa-apa untuk menzalimi rakyat.
- Jangan lakukan jenayah dalam kehidupan. Contohnya:
- waktu bekerja, jangan curi masa pejabat dengan bermain Facebook, ber 'WhatsApp' sedangkan gaji yang diambil, penuh setiap bulan.
- memakan harta orang secara batil.
- mekanik, jangan menipu bila membaiki kereta. Aircond (penghawa dingin) yang rosak tetapi banyak benda lain yang disuruh tukar. Pemilik tidak ada ilmu tentang semua itu, maka mekanik tadi telah mengambil kesempatan untuk menzalimi pemilik kereta itu.
- bil yang diterima melambung selepas PKP tanpa penerangan yang jelas. Ini dikira menzalimi pengguna.
- mengumpan kepada hakim dan orang yang memegang peraturan seperti memberi duit bawah meja.
- mengambil peluang atas sumbangan wakaf.
- Taqwa hilang kerana puasa tidak betul-betul dijiwai peraturan-peraturannya (hudud).
- Kalau bulan puasa kita meninggalkan yang halal seperti makan minum dan bersama pasangan maka kita mesti juga akur dengan hudud Allah SWT untuk tidak melakukan jenayah dalam kehidupan seperti contoh-contoh di atas.
Ayat [2:189]
۞ يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِىَ مَوَٰقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلْحَجِّ ۗ وَلَيْسَ ٱلْبِرُّ بِأَن تَأْتُوا۟ ٱلْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰ ۗ وَأْتُوا۟ ٱلْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَٰبِهَا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ١٨٩
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."
Pengajaran
- Ayat ini ada kaitan dengan ayat sebelumnya; jangan memakan harta secara batil dan rasuah.
- Haji ada kaitan dengan bulan.
- Puasa melahirkan takwa. Orang menjadi baik selepas puasa. Jaga hubungan selepas puasa.
- Allah memberi 'clue' bahawa Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat akan kembali ke Mekah dan akan membersihkan Kaabah dari berhala-berhala.
- Jangan percaya khurafat.
- Ikutlah peraturan dalam Islam.
- Bertaqwalah kepada Allah SWT agar menjadi orang yang berjaya.
Ayat [2:190]
وَقَـٰتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ ١٩٠
"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh."
Pengajaran
- Perintah mengerjakan haji memerlukan sahabat-sahabat dan Nabi SAW yang berada di Madinah kembali ke Mekah yang masih dipenuhi berhala. Mereka perlu bersihkan berhala dan ini boleh dibuat dengan dua cara; secara elok jika tiada halangan atau mempertahan diri jika diserang.
- Prinsip perang dalam Islam ialah kita tidak melampau, dan tidak menyerang kecuali kita menawarkan sesuatu yang baik.
- Allah SWT tidak suka kepada orang yang melampaui batas.
- Haji adalah sumber ekonomi yang amat besar. Ia adalah lambang kepada amalan agama seperti wakaf, sedekah, solat dll. Semua amalan ini mesti dijaga dan dibersih elok-elok sebab ia boleh menjadi sumber ekonomi. Ramai orang akan berhimpun untuk melakukan amalan tetapi jangan cemarkan ibadah itu dengan mengambil kesempatan untuk melibatkan apa saja yang haram.
RESOLUSI
- Perjuangkan harta anak yatim dan jangan khianat [2: 188]
- Bina takwa dengan asas ilmu al-Quran [2:189]
- Pertahankan agama sebaik mungkin [2:190]