PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Prinsip-prinsip perang di jalan Allah [2:191-195]
- Hukum-hukum haji dan umrah [2:196:]
Mukadimah
Alhamdulillah kita dapat meneruskan pembelajaran daripada halaman 30 surah al-Baqarah, surah yang dinamakan juga Sanamul Quran, juga Az Zahrawain( الزهراوين ) iaitu surah yang digandingkan dengan Surah Ali-Imran yang penuh dengan perhiasan dan pelajaran yang ingin kita dalami.
Cerita hari ini adalah berkenaan, 'qital', iaitu perang. Tajuk perang adalah sesuatu yang sensitif dan kita hendak melihat apakah prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang dibenarkan. Tidak boleh perang sewenang-wenangnya. Kenapa cerita perang terselit dalam cerita mengenai haji? Ini adalah disebabkan Allah SWT memberi mesej awal kepada umat Islam semasa awal hijrah Nabi SAW untuk membuat persediaan awal dalam usaha untuk kembali ke Mekah.
Membaca al-Fatihah berulangkali mengingatkan kita tentang petunjuk supaya kita mengikut segala arahan Allah SWT. Al-Quran sebagai sumber hidayah atau petunjuk kepada segala amalan dalam kehidupan kita. Bila kita membaca dan tadabbur ayat-ayat Quran, kita mesti rujuk kembali kepada al-Fatihah dan ayat-ayat sebelumnya kerana terdapat perkaitan antara ayat-ayat tersebut.
Ayat [2:191]
وَٱقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُم مِّنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ ۚ وَٱلْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۚ وَلَا تُقَـٰتِلُوهُمْ عِندَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ حَتَّىٰ يُقَـٰتِلُوكُمْ فِيهِ ۖ فَإِن قَـٰتَلُوكُمْ فَٱقْتُلُوهُمْ ۗ كَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْكَـٰفِرِينَ ١٩١
"Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.”
Orang barat (musuh) mengambil ayat ini sebagai dalil yang mengatakan agama/orang Islam ini ganas, "terrorist" (pengganas) dan suka berperang. Kita kena ingat yang ayat ini turun di tengah-tengah ayat tentang rukun Islam yang kelima iaitu Haji.
Ayat [2:192]
فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٩٢
"Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pengajaran ayat 191-192
- Ayat ini diturunkan pada awal hijrah Nabi SAW. Allah SWT memberi mesej awal kepada umat Islam bahawa mereka akan kembali ke Mekah untuk menunaikan haji, dan kiblat umat Islam itu akan dibersihkan dari berhala. Umat Islam diingatkan untuk bersedia dengan kemungkinan dihalang daripada masuk ke Mekah dan berperang.
- Jihad adalah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu. Ayat 191 memberi pencerahan kepada kita tentang salah fahaman mengenai perang/bunuh dalam Islam.
- Islam bukan ugama paksaan. Kalau orang bukan Islam mulakan perang dahulu, barulah orang Islam boleh berperang. Islam bukan pemula perang atau suka perang!
- Maksud fitnah dalam ayat ini:
- Kemusyrikan orang Mekah.
- Memudahkan perkara-perkara syirik dan menyusahkan bab-bab berkaitan keimanan.
- Syirik adalah lebih bahaya daripada perang. Orang musyrikin Mekah menyeksa membunuh/menzalimi orang Islam untuk menegakkan amalan syirik mereka seperti apa yang dilakukan kepada Bilal bin Rabah dan Amar bin Yasir.
- Syirik menyebabkan dunia akan stres. Mereka buat dalam diam, memberi tekanan kepada manusia dalam berbagai aspek kehidupan.
- Orang yang syirik suka berperang maka kita sebagai umat islam mesti melindungi diri sendiri.
- Disiplin perang dalam Islam, berperang di satu tempat dan kemudian "ceasefire"(meletak senjata) di tempat yang sama. Tidak berperang sehingga ke dalam Masjidil Haram.
- Masjid perlu dihormati oleh semua orang, termasuk mereka yang bukan Islam.
- Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani. Kita juga mesti mempunyai sifat pengampun dan belas-kasihan. Jangan siksa/bunuh/susahkan orang sesuka hati.
Ayat [2:193]
وَقَـٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌۭ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَلَا عُدْوَٰنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٩٣
"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim."
Ayat [2:194]
ٱلشَّهْرُ ٱلْحَرَامُ بِٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ وَٱلْحُرُمَـٰتُ قِصَاصٌۭ ۚ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَٱعْتَدُوا۟ عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا ٱعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ ١٩٤
"(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa."
Pengajaran ayat 193-194
- Hanya mereka yang memerangi orang Islam sahaja yang mesti diperangi. Jika hari ini kita bertemu dengan orang bukan Islam, fahamilah yang bukan semua mereka itu adalah musuh (عُدْوَٰنَ).
- Orang yang bukan Islam yang tetapi tidak memusuhi Islam harus dibiarkan beragama mereka kerana Rasulullah SAW tidak memaksa orang Nasrani dan Yahudi di Madinah untuk masuk Islam.
- Umat Islam dikehendaki mengelak perang pada bulan-bulan haram; Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.
- Hukum qisas berlaku dengan membalas serangan hanya jika diserang. Sesiapa yang memerangi, kita boleh mempertahankan diri.
- Nabi SAW dan sahabat-sahabat berperang atas dasar taqwa. Perang pertama di Madinah ialah Perang Badar.
- Indahnya Islam; berperang mempertahankan diri juga mestilah mengikut adab-adabnya. Tidak boleh membunuh orang tua, kanak-kanak dan orang yang di dalam tempat ibadat mereka.
- Menjaga nyawa, harta dan agama adalah satu objektif (maqasid) yang penting dalam agama Islam.
- Bertaqwalah kepada Allah kerana Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.
- Allah SWT beserta dengan orang-orang yang bertaqwa.
Ayat [2:195]
وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ ١٩٥
"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
Ayat [2:196]
وَأَتِمُّوا۟ ٱلْحَجَّ وَٱلْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا ٱسْتَيْسَرَ مِنَ ٱلْهَدْىِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا۟ رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ ٱلْهَدْىُ مَحِلَّهُۥ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِۦٓ أَذًۭى مِّن رَّأْسِهِۦ فَفِدْيَةٌۭ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍۢ ۚ فَإِذَآ أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِٱلْعُمْرَةِ إِلَى ٱلْحَجِّ فَمَا ٱسْتَيْسَرَ مِنَ ٱلْهَدْىِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍۢ فِى ٱلْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌۭ كَامِلَةٌۭ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُۥ حَاضِرِى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ١٩٦
"Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).”
Pengajaran ayat 195-196
- Salah satu sifat orang bertaqwa ialah dia berinfaq harta, jiwa raganya di jalan Allah SWT.
- Orang yang tidak mahu berinfaq, berjihad dan berjuang untuk Islam, itu bermakna mereka melemparkan diri ke dalam kebinasaan (ٱلتَّهْلُكَةِ).
- Jangan sengaja melemparkan diri ke dalam kebinasaan. Contohnya janganlah merosakkan diri dengan merokok.
- Berjihadlah untuk buat yang terbaik. Contoh: Bila hendak berinfaq, menolong orang, belajar al-Quran atau apa saja yang kita buat, hendaklah buat dengan bersungguh-sungguh dengan cara dan masa terbaik.
- Orang yang melakukan perkara di atas dengan terbaik, mereka inilah yang bersedia untuk menunaikan haji kerana haji adalah fardhu sukarela.
- Kalau sudah berniat untuk mengerjakan haji, mesti disempurnakan dengan adab dan peraturan yang telah ditetapkan Allah SWT.
- Allah bersama dengan orang yang muhsinin. Umpama orang yang berjihad di medan perang juga.
- Haji adalah hubungan kita dengan Allah SWT. Bila baginda SAW dan sahabat dikepung dan tidak dapat melakukan haji, maka wahyu turun untuk mereka menyembelih binatang korban di situ.
- Allah SWT memberikan panduan tentang haji secara terperinci, maka kita mestilah memberikan perhatian untuk melakukan yang terbaik.
- Hasil haji yang baik akan melahirkan orang berusaha memperbaiki kehidupan seharian (selepas haji) menurut peraturan yang Allah SWT tetapkan.
- Jika ada kesakitan dan tidak mampu melakukan sesuatu rukun, dibolehkan membayar fidyah.
- Ikut peraturan adalah tanda taqwa kepada Allah SWT.
- Seksa Allah SWT amat berat kepada orang yang tidak beradab dengan-Nya.
- Nilai-nilai tentang haji mestilah dipasakkan dengan kuat agar kita menjadi orang yang berprinsip.
- Haji ialah pengorbanan untuk kita membersihkan diri agar kita mampu mendapatkan takwa.
RESOLUSI
Ingat !!
- Mempertahankan akidah perlu dilaksanakan sekuat mungkin [2:191]
- Ingin elakkan kebinasaan? Banyakan infaq [2:195]
- Berkorban agar kita dapat elakkan dari mementingkan diri sendiri dan kufur [2:196]
Lega kerana Allah beritahu kaedah untuk menjadi orang muhsinin dan bertaqwa.
Saya jelas untuk mempertahankan akidah dengan bersungguh-sungguh, infaq yang terbaik dari diri saya dan berkorban kerana Allah SWT dengan mengikut adab dan peraturan yang Allah SWT tunjukkan dalam al-Quran.
Ya Allah, bimbing kami untuk mempertahankan akidah. Kurniakan kami rezeki yang luas dari segi harta, kesihatan, ilmu dan masa lapang agar kami dapat infaqkan yang terbaik daripada apa yang Engkau kurniakan kepada kami.