Tuesday, May 2, 2023

Halaman 28 : Al-Baqarah, 2:182-186

PERKATAAN HARI INI 


صَام /   صَوَم   Menahan diri, puasa
 14 disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Wasiat yang wajib [2:182]
  2. Kewajiban puasa [2:183-185]
  3. Hubungkait puasa dan doa [2:186]


Mukadimah

Pada hari ini kita akan menyambung perbincangan hidayah daripada Allah SWT untuk mengetahui rahsia perkaitan antara wasiat, puasa dan doa. Rahsia ini menunjukkan betapa Allah SWT amat sayang kepada kita.

Pesanan tentang makhraj huruf: Di dalam Surah al-Fatihah ayat 4, perkataan نَعْبُدُ  di mana ada huruf  'ain' yang makhrajnya keluar dari tengah halkum. Jangan tukarkan sebutannya dengan huruf hamzah.

Dalam surah al-Fatihah kita memohon hidayah daripada Allah SWT. Pada hujung halaman 27 Allah SWT berikan hidayah tentang wasiat yang akan disambung pada hari ini. Allah SWT membimbing kita tentang keluarga dengan panduan al-Quran. Semoga kita sentiasa terbimbing di jalan yang lurus.


Ayat [2:182]

فَمَنْ خَافَ مِن مُّوصٍۢ جَنَفًا أَوْ إِثْمًۭا فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٨٢

"Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi."


Pada ayat 180-181, Allah SWT mengingatkan tentang kewajiban berwasiat dengan cara yang baik. Ayat ini telah dinasakh (diganti hukumnya) dengan ayat tentang waris  dalam  surah an-Nisa' ayat 11 (4:11).  Wasiat adalah untuk mereka yang tidak ada dalam faraid.  Wasiat itu tidak boleh melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta orang yang berwasiat. Contohnya: Wasiat untuk anak yatim, orang miskin di luar keluarga yang tersebut dalam surah an-Nisa' (4:11). 


Tentang hukum hakam berkenaan pembahagiaan harta ini,  rujuk dan bertanyalah kepada yang pakar. Hak keluarga terdekat untuk harta itu adalah terjamin dalam hukum faraid. Jika terdapat perbalahan, seperti memberi kepada orang yang tidak sepatutnya seperti anak tiri, perlu mencari pendamai untuk menyelesaikan dengan merujuk kepada Pejabat Syariah.


Ayat [2:183]

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.


Dalam ayat ini, Allah SWT memanggil orang-orang yang beriman untuk diberi hadiah. Hadiah itu ialah puasa. Puasa membina takwa melalui latihan menahan diri (imsak) dari perkara yang halal (makan, minum).  Dalam bulan Ramadan kita boleh tahan diri untuk mengikut perintah Allah SWT iaitu tidak makan minum. 


Ayat-ayat sebelum ini menyebut tentang kebajikan, qisas dan wasiat yang juga merupakan amalan orang-orang bertaqwa.  Apa kaitan puasa dengan kebajikan, qisas dan wasiat?


Ayat [2:184]

أَيَّامًۭا مَّعْدُودَٰتٍۢ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌۭ طَعَامُ مِسْكِينٍۢ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًۭا فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّهُۥ ۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٤

"Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui."


Ayat ini tidak sebut tentang bulan Ramadhan. Ramadhan hanya disebut sekali sahaja dalam al-Quran iaitu pada ayat 185. Ia adalah tempat di mana Allah ingin memberi hadiah kepada orang yang membuat persediaan, iaitu dengan berpuasa.

Orang yang sakit dan orang bermusafir dan tidak mampu berpuasa, boleh ganti di hari lain. Ada ruqsah. Orang tua yang tidak larat berpuasa, boleh membayar fidyah sebagai ganti. Tetapi jika mampu, berpuasa itu adalah lebih baik dan besar ganjarannya.


Pengajaran ayat 183-184

  1. Puasa melatih kita untuk membina taqwa. 
  2. Puasa merupakan latihan supaya kita tidak ambil harta yang tidak hak dalam pewarisan. Perkara yang halal pun kita tahan, apatah lagi perkara yang haram. Contohnya: Kalau dalam qisas sudah ada ketetapannya, kita jangan jadi tamak untuk minta balasan yang keterlaluan seperti bayaran wang yang tidak sewajarnya.  
  3. Untuk membina taqwa, puasa adalah latihan yang sangat penting. Latihan ini ada kaitan dengan melatih kuda perang di padang pasir. Kuda di padang pasir, dilatih ketahanan dan kekuatannya tanpa makan minum supaya bersedia untuk berjuang. 
  4. Begitulah puasa melatih ketahanan diri kita. Kaitan kuda itu dengan kita, ia sebagai contoh bahawa jika kita boleh menjaga diri, menahan kepayahan seperti kuda di padang pasir itu. Dengan latihan berpuasa, kita juga mampu menjadi orang yang bertaqwa untuk menjaga diri daripada melakukan sifat-sifat buruk yang dibincangkan sebelum ini dan mampu melaksanakan perintah-perintah dalam al-Quran dengan  bantuan Allah SWT. Kita akan mampu menjadi pejuang dalam 11 bulan seterusnya dengan sijil taqwa.
  5. Ada 3 komponen penting yang perlu diberi perhatian tentang ayat 183
    • Input - Wahai orang-orang beriman
    • Proses - Diwajibkan berpuasa seperti orang terdahulu
    • Output - Agar menjadi orang yang bertaqwa
  6. Tidak semua orang berjaya mendapat taqwa kerana inputnya ialah iman. Semak dulu rukun iman: beriman kepada Allah, Rasul, Hari Akhirat, Kitab, Malaikat, Qada' Qadar. Rukun iman perlu dimantapkan kerana ia adalah asas taqwa.
  7. Semua perkara dalam rukun iman perlu diproses dengan betul melalui puasa, baru dapat menghasilkan orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang berakhlak mulia dan amat prihatin kepada Allah SWT. 
  8. Ringkasnya: ibadah adalah proses, iman adalah input dan outputnya ialah taqwa (akhlak dalam kehidupan seharian).


Ayat [2:185]

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ١٨٥

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur."


Pengajaran

  1. Al-Quran adalah hadiah yang diturunkan sebagai petunjuk. 
  2. Kita hendaklah menghargai hadiah tersebut dengan tilawahnya bersungguh-sungguh. 
  3. Ada 3 fungsi al-Quran:
    • Hadiah dan sumber hidayah : Setiap kali membaca al-Quran kita akan gembira kerana kita dapat hadiah yang mencerahkan hati.
    • Ia menjelaskan tentang hadiah/hidayah dari Allah itu : Menghargai setiap huruf yang ada dalam al-Quran
    • Ia membezakan yang hak dan yang batil (al-Furqan) : Hadiah yang paling hebat, dan rahmat yang besar daripada ar-Rahman
  4. Orang bertakwa akan dapat menghargai puasa kerana adalah hadiah daripada Allah SWT. 
  5. Allah SWT hendakkan kemudahan, bukan menyusahkan kita iaitu:
    • Puasa hanya sebulan sahaja dalam setahun.
    • Selepas berpuasa, kesannya kita akan sihat dan dapat hidayah.
    • Ia membuka ruang hidayah yang amat besar (Ajak kawan-kawan belum muslim, berbuka puasa sekali semoga mereka mendapat hidayah).
  6. Jika banyak tilawah al-Quran semasa Ramadhan, kita akan dapat hidayah.  Kesannya kita akan lebih bahagia. Orang-orang soleh inginkan, kalau boleh, Ramadhan berterusan kerana banyaknya kebaikan di dalamnya. 
  7. Al-Quran dan puasa akan melahirkan orang yang lebih bersyukur.


Ayat [2:186]

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ١٨٦

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."


Pengajaran ayat 185-186

  1. Bila tiba  bulan Ramadhan hendaklah kita berpuasa dan banyak tilawah al-Quran. 
  2. Bila kita sering berinteraksi dengan al-Quran kita akan jadi orang yang amat bersyukur kerana dapat banyak hadiah daripada Allah SWT. 
  3. Hasilnya, diluar Ramadhan juga akan menjadi rajin lagi berinteraksi dengan al-Quran kerana mengharapkan Allah SWT bagi lebih banyak hadiah.
  4. عِبَادِى  maknanya hamba ku yang disayangi. Bila kita berdoa, Allah terus menjawab (tidak ada perkataan qul/qala) bahawa "Dia amat dekat" dengan hamba yang disayangi. 
  5. Apabila seorang hamba  menghadapi masalah dan mengaitkan rintihannya dengan Allah, ia akan menjadi doa dan Allah SWT akan membantunya.
  6. Ad-da' (ٱلدَّاعِ) bermakna orang yang berdoa. Tidak semestinya orang Islam sahaja. 
  7. Bila kita memohon, Allah terus menjawab, dengan syarat, kita juga menunaikan perintah-Nya. 
  8. Orang yang sudah matang dengan hidayah (yarsyudun), akan sentiasa yakin yang Allah ada bersamanya. Mereka dipimpin kepada hidayah kerana selalu berdoa kepada Allah SWT walau dalam sekecil-kecil masaalah.
  9. 'yahtadun'- dapat hidayah, tetapi masih belum berpengalaman. Ibarat pertama kali menggunakan GPS, kita akan gelabah sedikit.
  10. Puasa sepatutnya membawa kita membersihkan sumber makanan (contoh: tak ambil rasuah). 
  11. Isu makanan sangat penting dijaga untuk doa diterima.
  12. Al-Quran dan puasa akan mentranformasikan kita menjadi seorang yang bertaqwa dan orang yang bersyukur, terpimpin pada jalan yang lurus. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Laksana puasa untuk meningkatkan takwa  [2:183]
  2. Hargai Al-Quran sebagai sumber hidayah, penerangan dan pembeza antara hak dan  batil [2:185]
  3. Banyakkan mengadu kepada Allah SWT untuk terus dipimpin di jalan yang lurus [2:186]

Lega kerana Allah beritahu lagi panduan untuk menjadi orang yang bertaqwa iaitu melalui amalan puasa dan berinteraksi dengan al-Quran.

Saya jelas untuk memperbaiki amalan di bulan Ramadhan dengan penghayatan ia sebagai proses penyucian jiwa melalui interaksi dengan al-Quran, mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya agar saya menjadi orang yang sentiasa mendapat petunjuk (yarsyudun).

Ya Allah, bimbing kami laksana puasa untuk meningkatkan takwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang hargai al-Quran sebagai sumber hidayah, penerangan dan pembeza antara hak dan  batil. Ya Allah, pimpin kami di jalan yang lurus sehingga kami berjaya sampai ke syurga dengan rahmat-Mu


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...