PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Hukum-hukum haji dan umrah [2:197]
- Lanjutan hukum-hukum haji [2:198-202]
Mukadimah
Pembelajaran hari ini menyambung perbincangan tentang haji. Amalan haji ini bermula semenjak zaman Nabi Ibrahim a.s. Semoga semangat haji dapat dihidupkan dalam kehidupan kita seharian walaupun kita sudah mengerjakan haji dan umrah ataupun belum pernah.
Juz kedua banyak bercerita tentang peraturan-peraturan. Juz pertama menerangkan tentang sikap bagaimana kita perlu respond kepada wahyu daripada Allah SWT dengan mengambil ibrah daripada kisah paling panjang mengenai sikap Bani Israel yang membaling ke belakang hadiah dari Allah SWT. Mereka hanya mahu ikut cara sendiri tidak mahu ikut perintah Allah SWT.
Ayat [2:197]
ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٩٧
"(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
Pengajaran
- Semua orang Islam, kaya atau miskin mesti ada niat untuk menunaikan haji bagi menyempurnakan rukun Islam.
- Musim haji ialah pada bulan tertentu iaitu Zulkaedah dan Zulhijjah.
- Sesiapa yang telah berniat mengerjakan haji mestilah menjaga 3 perkara:
- فَلَا رَفَثَ - Tidak mengeluarkan perkataan sia-sia, iaitu perkataan yang ada kaitan tentang lelaki perempuan dan perkataan yang tidak sesuai.
- وَلَا فُسُوقَ - Jangan berbuat fasik/maksiat di tanah suci. Ini training (latihan) yang Allah SWT bekalkan 'module' nya kepada kita. Ini adalah latihan peringkat antarabangsa untuk umat Islam kerana Allah hendakkan kita diberikan kebaikan.
- وَلَا جِدَال - Jangan bergaduh banyak atau berselisih faham antara satu sama lain. Banyak cabaran yang dihadapi ketika menunaikan haji tetapi janganlah sampai bergaduh. Contoh: Hal 'aircond' tidak berfungsi pun nak marah-marah.
- Allah SWT mahu memberikan kita kebaikan dengan ujian-ujian tersebut untuk melatih kesabaran. Contoh: Hilang selipar, anggaplah ia bermakna Allah SWT mahu menggantikannya dengan yang lebih baik.
- Persediaan untuk menghadapi ujian ini adalah takwa. Dengan takwa kita bukan hanya bersedia dari segi fizikal tetapi juga rohani. Jika kurang takwa, kita mungkin tawaf lebih di pusat membeli-belah. Tidak salah untuk membeli tetapi jangan berlebihan sehingga melalaikan kita dari fokus sebenar.
- Ayat ini juga menegur perbuatan tidak membawa persiapan yang cukup dan mengemis semasa haji.
Ayat [2:198]
لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا۟ فَضْلًۭا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ فَإِذَآ أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَـٰتٍۢ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ عِندَ ٱلْمَشْعَرِ ٱلْحَرَامِ ۖ وَٱذْكُرُوهُ كَمَا هَدَىٰكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلضَّآلِّينَ ١٩٨
"Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya."
Pengajaran
- Boleh berniaga semasa haji, tetapi fokus mesti kepada kerja haji.
- Ketidakselesaan di Arafah adalah latihan berhimpun di Mahsyar (kiamat kecil).
- Fokus perjalanan Arafah ke Muzdalifah adalah zikir banyak-banyak sebagai latihan untuk terus mengingati Allah dalam kehidupan seharian selepas selesai mengerjakan haji.
- Belajar Al-Quran untuk mendapatkan kemahiran berzikir yang lebih mantap.
- Kita kena berusaha untuk mampu menunaikan haji (مَنِ اسْتَطَاعَ ) (Ali Imran, 3:97).
- Haji ialah lambang hidayah yang banyak manfaat.
Ayat [2:199]
ثُمَّ أَفِيضُوا۟ مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ ٱلنَّاسُ وَٱسْتَغْفِرُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٩٩
"Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pengajaran
- Orang-orang Mekah zaman Nabi SAW, mahu terus ke Muzdalifah dan tidak mahu ke Arafah kerana keadaan yang tidak selesa.
- Ikutlah perintah Allah SWT walaupun kita tidak suka/tidak selesa.
- Banyakkan beristighfar semasa haji dan selepas habis haji.
- Allah SWT akan memberikan keampunan sekiranya haji dilakukan mengikut adab dan perintah-Nya.
- Bersegera untuk menunaikan haji kerana Allah SWT hendak beri keampunan.
- Allah SWT akan lebih menyayangi kita setelah mendapat keampunan.
Ayat [2:200]
فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًۭا ۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍۢ ٢٠٠
"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat."
Ayat [2:201]
وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١
"Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka."
Ayat [2:202]
أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌۭ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ ٢٠٢
"Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya."
Pengjaran ayat 200-202
- Allah menyuruh kita untuk bersungguh-sungguh ingat kepada-Nya sepertimana kita bersemangat ketika mengingat nenek moyang atau kisah duniawi yang kita suka.
- Jika mengingat Allah SWT dipasakkan semasa haji, amalan ini akan dapat diteruskan selepas selesai haji.
- Allah SWT mengajar kita untuk berdoa memohon kebaikan di dunia dan di akhirat, dan minta dijauhkan dari azab neraka.
- Selepas balik dari menunaikan haji kita hendaklah lebih berintegriti, bersegera dan bekerja keras untuk berbuat yang terbaik dalam segala sisi kehidupan. Contohnya: Jadilah bos/ibu-bapa yang terbaik.
- Buatlah ibadah betul-betul untuk mendapat manfaat di dunia dan juga di akhirat.
- Bina minset terbaik iaitu dunia untuk akhirat kerana akhirat adalah lebih berharga.
- Semangat haji bukan sekadar pergi dan balik, tetapi buat yang terbaik agar roh haji terus hidup untuk kita kekal buat kebaikan yang akan menjadi bekalan di akhirat.
RESOLUSI
Ingat !!
- Buat persediaan terbaik - Takwa- setiap hari [2:197]
- Bangkitkan semangat haji dengan selalu istighfar [2:199]
- Amalkan doa memohon kebaikan dunia akhirat [2:201]
Lega kerana Allah SWT ajar doa yang terbaik iaitu memohon kebaikan di dunia dan di akhirat, dan minta dijauhkan dari azab neraka.
Saya jelas untuk buat yang terbaik untuk bina taqwa dengan banyakkan istighfar dan berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat.
Ya Allah, jadikan kami orang yang beriman dan bertakwa. Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.