Tuesday, May 2, 2023

Halaman 32 : Al-Baqarah, 2:203-210

PERKATAAN HARI INI 


و ق ى   Bertakwa, buat baik, lindungi diri dari bahaya
Disebut 258 kali di dalam Al Quran


SINOPSIS   

  1. Lanjutan hukum-hukum haji [2:203]
  2. Manusia terbahagi kepada dua jenis: Munafik dan ikhlas [2:204-207]
  3. Seruan menerima Islam dan ikut hukum-hukumnya serta hukuman bagi yang engkar [2:208-210]


Mukadimah

Kita berada di pertengahan juzuk kedua surah al-Baqarah. Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan semangat untuk terus tilawah ayat-ayat Nya. Kebanyakkan ayat-ayat al-Quran diturunkan oleh Allah SWT ketika Nabi SAW bersedih dan diasak dengan pelbagai cabaran. Baginda SAW dan sahabat-sahabat menempuh cabaran dengan keringat dan darah sehingga al-Quran berjaya sampai kepada kita. Pada hari ini kita dapat tilawah al-Quran dengan selesa dan mudah. Oleh itu kita mesti bersyukur atas nikmat yang amat bernilai ini dengan tilawah ilmu al-Quran ini sepenuh hati  dan kongsikan (share) fb, youtube program ini supaya dapat dihayati oleh orang lain. Inilah perjuangan kita! Sebarkan al-Quran.

Surah al-Fatihah yang menjadi nadi kehidupan, terus diulang-ulang untuk kita memohon hidayah daripada Allah SWT.  

Di antara hidayah yang sudah dipelajari ialah kiblat. Zaman Rasulullah SAW menghadap ke kiblat adalah satu cabaran yang besar selepas perintah Allah SWT untuk beralih daripada Masjid Aqsa ke Masjidil Haram. Hidayah lain yang kita sedang pelajari ialah haji.

Kita mesti tadabbur betul-betul halaman 30-32 agar kita dapat menghayati semangat haji dalam kehidupan seharian, walaupun kita sudah mengerjakan haji atau belum. Walaupun haji tidak ada tahun ini, rohnya mesti tetap ada dan dirasa. Tahun ini Allah SWT memberi peluang untuk kita belajar dahulu supaya haji kita nanti betul-betul mabrur.  Ayat 203-206 merupakan bahagian akhir tentang haji.


Ayat [2:203]

۞ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ فِىٓ أَيَّامٍۢ مَّعْدُودَٰتٍۢ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ فِى يَوْمَيْنِ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ لِمَنِ ٱتَّقَىٰ ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ٢٠٣

"Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya."


Dalam sejarah, kerja haji juga dilakukan oleh orang musyrik. Mereka terkesan dengan amalan haji yang biasa dibuat sebelum Nabi SAW. Di antara amalan mereka ialah: sesiapa yang meninggalkan Mina awal adalah berdosa dan kalau duduk lama juga berdosa. Dalam ayat ini Allah SWT memberitahu bahawa tidak salah balik awal atau duduk lama di Mina.


Pengajaran

  1. Allah mulakan dengan وَٱذْكُرُوا۟ menyuruh berzikir kerana haji ialah latihan bagi umat Islam untuk membina taqwa dengan mengingati Allah SWT. 
  2. Kemuncak latihan haji ialah sekitar separuh pertama bulan Zulhijjah termasuk hari-hari tashrik yang sepatutnya diguna sepenuhnya untuk mengingati Allah SWT. 
  3. Janganlah kita terbawa-bawa amalan lama yang tidak menurut panduan daripada Allah SWT. 
  4. Orang-orang yang bertaqwa akan ikuti latihan dengan sabar, tidak cepat marah atau bergaduh.  
  5. Haji juga melatih kita menghayati sifat hamba yang boleh dihalau kesana-kemari sebagai persediaan menghadapi hari dihalau di Mahsyar ( إِلَيْهِ تُحْشَرُون  ). Semasa mengerjakan haji kita berpengalaman dihalau oleh polis Masjidil Haram.
  6. Semasa mengerjakan haji, status semua orang adalah sama. 
  7. Latihan inilah yang akan dibawa balik selepas haji, mengingatkan kita tentang kehambaan dan ingat kepada Allah SWT dalam segala aspek kehidupan. 
  8. Semangat kepimpinan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Muhammad SAW dibawa balik selepas haji untuk diamalkan.
  9. Output haji ialah membawa balik sifat taqwa untuk menjadi pemimpin masyarakat.


Ayat [2:204]

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُۥ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَيُشْهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِى قَلْبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلْخِصَامِ ٢٠٤

"Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu)."


Pengajaran

  1. Ayat ini cerita tentang golongan Munafik yang bijak bercakap tetapi dalam hati mereka penuh penentangan kepada Nabi SAW. 
  2. Allah SWT ingatkan kita bahawa bercakap dan taqwa adalah dua perkara berbeza seperti yang ditunjukkan  orang Munafik ini. 
  3. Ini cabaran kepada penceramah, pentadabbur dan ustaz-ustaz supaya mengingatkan pengikut mereka jangan terlampau sanjung mereka, bimbang jadi seperti munafik yang pandai bercakap tapi hati berulat. 
  4. Doakan agar penceramah, pentadabbur dan ustaz-ustaz menyampaikan ilmu dengan ikhlas.


Ayat [2:205]

وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِى ٱلْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ ٱلْحَرْثَ وَٱلنَّسْلَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلْفَسَادَ ٢٠٥

"Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan."


Pengajaran

  1. Ayat ini ditujukan kepada seorang lelaki munafik (Al-Akhnas bin Shuraiq) yang cakap nampak baik tetapi tersimpan rasa dendam dan permusuhan terhadap Nabi SAW.
  2. Kita hendaklah jaga perkataan dan jaga hati agar tidak mengikut sifat Munafik yang hanya menunjuk pandai untuk kemegahan diri.
  3. Mereka yang bersifat Munafik ini apabila diberi kuasa menjadi pemimpin akan menipu rakyat, tidak menunaikan janji, dan hanya mementingkan diri sendiri (tidak membantu memakmurkan rakyat dalam usaha pertanian, ternakan dan sumber rezeki lain).
  4. Allah SWT tidak suka orang yang sombong dengan kepandaian dan kekuasaan tetapi merosakkan hak orang lain.
  5. Orang bertaqwa tidak akan merosakkan dirinya dan merosakkan orang lain.


Ayat [2:206]

وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتْهُ ٱلْعِزَّةُ بِٱلْإِثْمِ ۚ فَحَسْبُهُۥ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ ٢٠٦

"Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal."


Pengajaran

  1. Orang Munafik tidak suka ditegur.
  2. Bila orang ingatkan kita untuk bertaqwa, ambil ini sebagai peluang untuk membaiki diri.
  3. Neraka Jahannam adalah balasan kepada orang yang mempunyai sifat Munafik. 


Ayat [2:207]

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشْرِى نَفْسَهُ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ رَءُوفٌۢ بِٱلْعِبَادِ ٢٠٧

"Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya."


Asbabun Nuzul ayat ini menceritakan tentang Suhaib al-Rumi yang masuk Islam ketika di Mekah. Ketika hendak berhijrah dia dikejar oleh orang Quraish. Suhaib sanggup tinggalkan harta bendanya kepada orang Quraish asalkan dia boleh hijrah. Yang dicarinya hanyalah keredhaan Allah.  Bila sampai di Madinah dan bertemu Rasulullah, Baginda SAW bersabda, “Beruntunglah Suhaib.”


Pengajaran

  1. Haji membawa kita untuk menjejaki tokoh-tokoh yang bersifat ikhlas. 
  2. Orang yang membuat amalan dengan ikhlas untuk mendapat redha Allah SWT adalah orang beruntung.
  3. Orang yang beriman sanggup tinggalkan harta dan apa saja untuk mencari keredaan Allah SWT.
  4. Allah SWT sayang dan menjaga orang-orang yang membuang ego kerana Allah.


Ayat [2: 208]

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةًۭ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ٢٠٨

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."


Pengajaran

  1. Allah memanggil semua orang beriman supaya masuk ke dalam agama Islam dengan sempurna, iaitu secara menyeluruh. 
  2. Jangan jadi seperti orang Yahudi yang suka mempersoalkan perintah Allah SWT dan suka memilih-milih amalan yang dirasakan bermanfaat bagi mereka. 
  3. Memilih-milih untuk beramal adalah strategi syaitan.


Ayat [2:209]

فَإِن زَلَلْتُم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْكُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٠٩

"Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


Nabi Adam dan Hawa dulu digoda oleh syaitan tetapi kemudiannya bertaubat kepada Allah. 


Pengajaran

  1. Jika kita tergelincir, cepat-cepat minta ampun daripada Allah SWT kerana Allah Maha Perkasa dan Bijaksana. 
  2. Allah al-Aziz Yang Maha Perkasa boleh saja membalas dosa kita dengan kuasanya tetapi sifat al-Hakim Nya yang penuh dengan hikmah akan mengampunkan hamba-Nya agar kembali semula ke dalam Islam secara menyeluruh.


Ayat [2:210]

 هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأْتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِى ظُلَلٍۢ مِّنَ ٱلْغَمَامِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَقُضِىَ ٱلْأَمْرُ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ ٢١٠

(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.


Pengajaran

  1. Jangan bertangguh! Kalau tergelincir cepat-cepat minta ampun, kalau tak baca Quran, cepat-cepat kembali baca Quran.
  2. Jangan tunggu sampai datang azab baru hendak kembali kepada Allah SWT.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Tingkatkan ketakwaan kepada Allah dan perbanyakkan zikir dan istighfar [2:203]
  2. Jangan mudah tertipu dengan kefasihan dan ucapan yang memukau dan penampilan [2:204]
  3. Ucapkanlah "Ya Allah, jadikanlah kami di antara orang-orang yang bertakwa" serta memohon keampunan [2:206-207]

Lega kerana Allah SWT ajar sifat orang ikhlas untuk dicontohi dan beritahu sifat Munafik untuk dielakkan.

Saya jelas untuk tingkatkan taqwa, perbanyakkan zikir, tidak mudah tertipu dengan manusia bersifat Munafik. saya mesti berdoa supaya Allah SWT ampunkan dosa dan memohon menjadi  orang bertaqwa.

Ya Allah, jadikanlah kami di antara orang-orang yang bertakwa.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...