PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Kewajipan berperang dan kebolehannya dalam bulan-bulan haram [2:216-218]
- Fasa kedua dalam pengharaman khamar dan pengharaman judi [2:219]
Mukadimah
Kita bersyukur hari ini dapat mendalami, baca, faham dan amal isi kandungan Al-Quran. Beberapa muka surat lagi, kita akan selesai juzuk kedua. Teruskanlah komitmen bersama Al-Quran kerana ini adalah nikmat yang besar. Ini adalah perjuangan Nabi Ibrahim a.s. dan diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW. Kita mendapat manfaat dengan lebih mudah. Tidak seperti orang dahulu yang terpaksa berpeluh, berdarah, dengan tangisan untuk mengamalkan wahyu ilahi ini.
Mudah-mudahan dengan tadabbur ini kita dapat 'flashback', kenang kembali untuk merasai perjuangan mereka dan kita juga akan terus berjuang bersama.
Al-Fatihah merupakan permohonan serius kita kepada Allah SWT setiap hari. Kita memohon jalan yang lurus. Bila sudah dapat apa yang kita pohon, iaitu hidayah dan berada di jalan yang lurus, jangan pula kita buang.
Ayat [2:216]
كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ٢١٦
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Ayat 216-217 ingin memberi semangat kepada umat Islam berkaitan hidayah yang sudah dibincang pada ayat 214. Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda diuji dengan begitu dahsyat sehingga mereka bertanya "bila pertolongan Allah akan tiba?" Itu adalah ayat yang menyiapkan umat Islam pada zaman Nabi dan juga untuk kita.
Pengajaran
- Kalau kita sudah memilih jalan hidayah, ingatlah bahawa ia bukan bentangan karpet merah. Banyak cabaran perlu ditempuh.
- Infaq yang paling tinggi ialah infaq pada jalan Allah SWT.
- Apa yang kita suka, mungkin buruk dan tidak baik bagi kita. Allah SWT menurunkan bab qital (peperangan) yang asasnya memang tidak disukai oleh manusia. Umpama ibu yang penyayang memberi ubat kepada anak yang sakit. Walau ubat tersebut disembur keluar oleh anak, ibu tetap berusaha memberi ubat untuk manfaat anaknya. Anak itu tidak tahu akan manfaatnya. Yang dia tahu hanya terfikir ibu tidak sayang padanya kerana memberi ubat yang pahit.
- Paling tinggi yang dibenci oleh manusia adalah qital. Contoh anak yang diajak baca Quran mungkin dia tak berapa suka. Tetapi sebenarnya itu adalah baik baginya. Ada orang suka makan manis walaupun itu tidak baik baginya.
- Sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT, bukan semua kita tahu, tapi Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
- Syirik adalah umpama kanser dalam kehidupan manusia.
Ayat [2:217]
يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ قِتَالٍۢ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌۭ فِيهِ كَبِيرٌۭ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَكُفْرٌۢ بِهِۦ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِۦ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَٱلْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَـٰتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ ٱسْتَطَـٰعُوا۟ ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌۭ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ٢١٧
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”
Satu ketika, Nabi s.a.w menghantar sariyyah ( سرِيَّة - peperangan yang Baginda SAW tidak sertai) diketuai oleh Abdullah Ibnu Jahsh pada bulan Rejab, tahun kedua Hijrah. Kumpulan ini pada awalnya hanya ingin meninjau keadaan, tetapi bertembung dengan musuh lalu berperang dan mereka menang. Kumpulan itu membawa balik tawanan dan harta rampasan perang. Baginda SAW tidak gembira. Ayat 217 ini turun mengizinkan perang.
Pengajaran
- Diharamkan berperang dalam 4 bulan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
- Perang dalam bulan haram dizinkan kerana perbuatan fitnah orang kafir lebih besar dosanya di sisi Allah SWT.
- Fitnah dalam ayat ini bermaksud perbuatan menghalang orang Islam dari jalan Allah, perbuatan kufur mereka dan perbuatan menyekat orang Islam ke Masjidil Haram, serta mengusir penduduk dari tempat asal mereka. Dalam konteks kita hari ini, fitnah termasuklah menghalang orang bersolat.
- Sebagaimana kita tidak suka perang, kita sepatutnya lebih tidak suka pada syirik yang membunuh dalam diam.
- Tempat orang yang murtad/syirik adalah di dalam neraka jahanam.
- Orang kafir tidak mahu orang Islam kekal di dalam keimanan.
- Barangsiapa menghalang orang beriman melakukan ketaatan, segala amalannya tidak berguna dunia akhirat.
- Perang dalam Islam bukan sekadar suka-suka. Ia adalah untuk mendapatkan yang lebih baik.
- Mungkin kita suka sesuatu, tetapi ia tidak baik bagi kita.
- Dalam kehidupan, untuk menghargai nilai sebenar sesuatu, kita perlukan hidayah daripada Allah SWT.
Ayat [2:218]
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٢١٨
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Pengajaran
- Allah memberikan penekanan kepada 3 ciri penting:
- Iman - Kita kena ada senarai semak harian untuk memeriksa iman kita. Apakah kita bekerja atau apa saja yang kita buat, benar-benar kerana Allah? Kita akan bersemangat kerana sedar Allah memerhati, malaikat mencatat, beriman kepada rasul, berteraskan kepada al-Quran, buat yang terbaik dan ingin membawa amal tersebut ke akhirat. Ada cabaran tetapi kita tetap bersabar dan moga kita dapat masuk syurga sekeluarga.
- Hijrah - Rasulullah SAW dahulu terpaksa berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana agama. Hijrah untuk meninggalkan segala perkara yang tidak baik untuk agama. Semangat hijrah ialah meninggalkan kebiasaan yang mengganggu keimanan.
- Jihad pada jalan Allah - Pengorbanan demi agama. Contohnya meninggalkan kerja yang berkaitan arak. Mampu meninggalkannya adalah jihad kita ke jalan Allah. Berhijrah bukan mudah. Tetapi buatlah kerana Allah
- Beza antara رَحْمَت dan رَحْمَة :
- رَحْمَت – Rahmat Allah yang berpanjangan dari dunia sampai ke akhirat.
- رَحْمَة – Rahmat hanya di dunia.
- Orang-orang dahulu, sebahagiannya ada yang berjuang dan berpeluang nampak pembangunan Madinah dan agama berkembang. Namun, ada juga yang tidak sempat melihatnya kerana terkorban dalam Uhud. Kita di hari ini mesti berjihad dan berjuang untuk melihat agama tidak diancam.
- Allah Maha Pengampun Maha Penyayang. Allah tawarkan pengampunan dan kasih sayang kerana kita ada banyak kekurangan dan kesilapan. Sebagaimana mereka dahulu berjuang sungguh-sungguh, maka kita juga kena berjuang dengan bersungguh-sungguh. Baca Al-Quran: dulu susah nak membaca. Sekarang, cari jalan untuk mampu membacanya. Kuatkan iman, hijrah ubah cara hidup, bersungguh-sungguh dan sebarkan kebaikan. Semoga Allah tawarkan keampunan dan kasih sayang kepada kita.
Ayat [2:219]
۞ يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌۭ كَبِيرٌۭ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ ٱلْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ٢١٩
"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir"
Pembesar-pembesar kaum Yahudi dulu buat bisnes arak. Samalah dengan di negara kita di mana bisnes judi dan arak ini diterajui para taikun. Taikun tersebut pasti tidak suka bisnes (perniagaan) mereka terjejas sekiranya arak diharamkan.
Pengajaran
- Bapa kepada maksiat ialah khamar (arak atau apa saja yang memabukkan).
- Arak boleh merosakkan cara berfikir seseorang.
- Judi (مَيْسِر, dari perkataan يسر - mudah) dikaitkan dengan mudah kerana boleh dapat duit dengan mudah dan menyebabkan ketagihan.
- Pastikan kita dan anak-anak kita tidak terlibat dalam dua perkara ini. Contoh permainan judi ialah tikam nombor dan mesin slot hadiah. Kepada yang buat perniagaan judi dan arak, memanglah untung dari segi kewangan tetapi mudharatnya adalah lebih besar. Ramai yang dilanggar oleh pemandu mabuk, diragut, dan dipukul oleh pemabuk.
- Arak dan judi itu merosakkan masyarakat. Jangan biarkan arak dan judi berleluasa kerana ia menyebabkan permusuhan dan kerosakan.
- Melindungi orang yang terlibat dengan arak dan judi adalah berdosa.
- Orang kafir sanggup menaja peperangan untuk pastikan bisnes mereka survive.
- Ubat khamar dan judi ialah infaq. Orang yang sibuk berinfaq dan membantu orang lain tidak akan ada masa untuk berfikir tentang judi dan berhibur dengan arak. Infaq memberi kepastian duit yang diberi akan diberi ganjaran oleh Allah. Berbeza dengan judi yang penuh dengan ketidak pastian. Infaqkan apa sahaja yang lebih.
- Kalau kita nak bina negara ini penuh dengan kemaafan (ٱلْعَفْو) sesama kaum, kita kena besarkan infaq di dalam negara.
- Ayat ini adalah ayat kebesaran Allah SWT. Allah Maha Tahu segalanya dan Dia mahu kita memikirkan tentang kemudharatan arak dan judi.
- Allah mahu kita berfikir secara mendalam agar dapat mengelakkan fitnah dan tidak perlu kita gadaikan keluarga, komuniti dan negara kerana tidak kembali kepada panduan dalam halaman ini.
- Jika kita tidak manfaatkan hidayah Allah tentang arak dan judi ini, ramai yang akan terus menjadi mangsa akibat judi dan arak.
- Fikirlah macam mana kita mahu mengembalikan keamanan tanpa arak dan judi yang mengundang dosa besar.
- Manfaat arak itu hanya pada para taikun yang menjualnya.
- Kita perlu fikirkan strategi untuk mengharamkan arak dan judi untuk kebaikan manusia sejagat.
- Fasa pengharaman arak:
- Fasa pertama: Surah an-Nahl:67
- Fasa kedua: Surah al-Baqarah:219
- Fasa ketiga: Surah an-Nisa’:43
- Fasa keempat: Surah al-Maidah: 90-91
RESOLUSI
Ingat !!
- Laksanakan suruhan Allah walaupun nampak ia kurang disenangi pada awalnya [2:216]
- Jaga iman, hijrah dan jihad untuk mendapat kasih sayang Allah [2:218]
- Elakkan arak dan judi dalam pelbagai bentuk [2:219]
Lega kerana Allah SWT beritahu cara untuk dapatkan kasih sayang-Nya.
Saya jelas untuk laksanakan suruhan Allah walaupun nampak ia kurang senang. Saya mesti jaga iman, hijrah dan jihad untuk dapatkan kasih sayang Allah. Saya juga mesti elakkan arak dan judi.
Ya Allah, bantu kami untuk laksanakan segala suruhan Mu walaupun kami tidak nampak kebaikannya. Kami amat memerlukan kasih sayang Mu Ya Allah. Jauhi kami dan keturunan kami dari terlibat dengan khamar dan judi. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.