PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Menjaga harta anak yatim [2:220]
- Hukum pernikahan lelaki muslim dan perempuan musyrik [2:221]
- Haid dan hukum-hukumnya [2:222-223]
- Sumpah dengan nama Allah dan sumpah laghwi [2:224]
Mukadimah
Semoga kita terus istiqamah mendalami intipati daripada al-Quran sebagai sumber hidayah. Di dalam al-Quran, Allah SWT memberikan kita hidayah demi hidayah daripada sebesar-besar perkara hingga ke sekecil-kecil perkara. Al-Quran tidak meninggalkan walaupun satu perkara dalam kehidupan kita sebagai panduan. Kalau tidak disebut di dalam al-Quran, bermakna kita ada keharusan untuk memilih apa yang hendak dilaksanakan dalam kehidupan kita seharian.
Allah menurunkan ayat-ayatNya untuk membolehkan kita berfikir. Topik pada hari ini amat penting untuk dimaklumi bagi sebuah keluarga supaya kita faham dalam kerangka al-Quran bukan dalam kerangka manusiawi yang kadang-kadang agak negatif.
Ayat [2:220]
فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ۖ قُلْ إِصْلَاحٌۭ لَّهُمْ خَيْرٌۭ ۖ وَإِن تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَٰنُكُمْ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ ٱلْمُفْسِدَ مِنَ ٱلْمُصْلِحِ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَعْنَتَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ ٢٢٠
"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Ini perlu kita beri perhatian kerana ia adalah satu topik besar yang saling berkait di antara ayat 220 dan ayat 219.
Pengajaran
- Allah menyuruh kita berfikir secara mendalam tentang mudharat arak dan judi. Ubat atau solusi bagi orang yang terlibat dengan arak dan judi, ialah infaq.
- Infaq adalah menguruskan harta yang lebih untuk diberi kepada saudara kita, kawan dan sebagainya. Infaq adalah pengurusan harta di dunia yang mesti dirancang. Contohnya ada orang mencarum di KWSP untuk menguruskan dunia mereka selepas mereka pencen.
- Lebih daripada itu Allah menyuruh kita untuk memikirkan dan membuka akaun akhirat juga. Berinfaq, berwakaf ialah simpanan kita untuk hari akhirat. Jika tidak mendapat hidayah, kita tidak akan merasa mudah untuk menyimpan untuk akhirat.
- Akaun akhirat pastinya lebih berharga untuk kehidupan kita yang akan datang, yang lebih kekal abadi.
- Bila kita sudah menjaga keluarga kita dunia akhirat, kita hendaklah bantu pula anak yatim. Di zaman sahabat, mereka sangat takut untuk memakan harta anak yatim walaupun sedikit.
- Allah memberitahu kita yang Dia tahu siapa yang menjaga harta anak yatim dengan baik atau tidak.
- Allah tidak membebankan hamba-Nya dalam urusan penjagaan anak yatim.
- Allah ingatkan Dia Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.
Ayat [2:221]
وَلَا تَنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكَـٰتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌۭ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌۭ مِّن مُّشْرِكَةٍۢ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ وَلَا تُنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا۟ ۚ وَلَعَبْدٌۭ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌۭ مِّن مُّشْرِكٍۢ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْعُونَ إِلَى ٱلنَّارِ ۖ وَٱللَّهُ يَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱلْجَنَّةِ وَٱلْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِۦ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ ٢٢١
"Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)."
Ayat ini adalah panduan pernikahan. Sebelum ayat ini keluar, para sahabat juga ada yang pasangan mereka orang musyrik.
Pengajaran
- Urusan perkahwinan mestilah dimulakan dengan perbincangan antara ayah perempuan (wali) dan lelaki yang hendak kahwin.
- Allah SWT ingatkan berkali-kali kepada ayah perempuan mukmin (wali) dan lelaki yang hendak kahwin bahawa urusan kahwin jangan dicampur adukkan dengan emosi/fikiran sendiri yang mengakibatkan perkahwinan itu tidak menjemput kepada syurga dan keampunan daripada Allah.
- Amat penting juga untuk ayah dan anak perempuan berbincang bila mahu berkahwin.
- Kritirea utama memilih pasangan ialah keimanan. Pilihlah wanita/lelaki yang beriman untuk dikahwini.
- Hamba yang beriman itu lebih baik dari yang musyrik kerana orang musyrik mengajak ke neraka sedangkan Allah mahu kita ke syurga.
- Akhlak dan agama adalah penting dalam perkahwinan.
- Jangan biarkan perasaan atau fikiran sendiri menguasai urusan pernikahan.
- Jangan berdating atau berhubungan sewenang-wenangnya sebelum kahwin kerana ini boleh mengundang konflik selepas kahwin.
- Bila ada soleh (islah) dalam pernikahan, konflik dalam perkahwinan akan dapat diurus dengan baik antara lelaki dan bapa mertuanya (wali).
Ayat [2:222]
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًۭى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ ٢٢٢
"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri."
Pengajaran
- أَذًى diterjemahkan sebagai kotor atau menjijikkan. Sebenarnya ia lebih daripada itu. Kalau dilihat dalam surah Saff, (ayat 61:5) makna أَذًى juga membawa makna sukar ataupun sakit.
- Allah boleh terangkan sesuatu perkataan dalam berbagai makna/bentuk, tetapi Allah hendak maklumkan kepada suami bahawa fizikal, psikologi dan mental seorang wanita sakit ketika menghadapi haid. Ini adalah cara Allah mendidik para suami agar memahami keadaan seorang wanita semasa haid.
- Allah tidak mengatakan wanita dalam haid itu najis. Kefahaman yang salah tentang wanita dalam haid seperti tak boleh masak dan diasingkan adalah merupakan fahaman yang dibawa daripada tradisi Yahudi. Bagi mereka wanita dalam haid adalah najis. Saidatina Aisyah ada menyebut tentang Baginda SAW makan daging yang dimakannya dan minum air yang diminumnya semasa dia haid.
- Allah gunakan perkataan أَذًى yang melambangkan Allah memahami dan menyayangi wanita. Jadi para suami juga mestilah faham keadaan ini.
- Allah memberi ruqsah apabila wanita dalam haid disebabkan sakitnya. Tidak perlu solat dan puasa.
- Ibu ayah kena faham dan mendidik anak agar jangan main-main dalam bab haid kerana ia penting.
- Allah beritahu formula kebahagian rumah tangga iaitu:
- lelaki sebagai pemimpin mesti memahami fizikal, psikologi dan mental wanita.
- hubungan suami isteri penting mengikut peraturan yang Allah tetapkan.
- suami isteri mesti selalu bertaubat.
- jaga kebersihan luaran kerana tempat yang kotor disukai oleh syaitan yang akhirnya mengganggu ibadat, taubat dan hubungan suami isteri.
- Lelaki mesti memahami keadaan ini agar dapat memberi sokongan yang sepatutnya ketika wanita datang haid.
- Ayah ibu juga perlu memahami ayat ini agar dapat mengurus perasaan anak perempuan dengan baik.
- Lelaki dan perempuan tetap berbeza, jangan mahu semuanya disama ratakan.
Ayat [2:223]
نِسَآؤُكُمْ حَرْثٌۭ لَّكُمْ فَأْتُوا۟ حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ وَقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُم مُّلَـٰقُوهُ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٢٢٣
"Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman."
Pengajaran
- Wanita (isteri) adalah sebagai ladang bukan sekadar konotasi sexual sahaja. Allah mengingatkan suami supaya bertanggung jawap menjaga isteri dengan baik agar menghasilkan keluarga yang baik. Perumpamaannya seperti petani yang menanam benih mestilah dijaga elok-elok, menyiram, meletak baja, supaya hasilnya tanamannya baik.
- Suami yang menjaga isteri dengan baik dengan cara yang sesuai adalah proses untuk mempersiapkan bekalan diri ke syurga.
- Orang yang bertaqwa dapat menjaga isteri dan rumah tangga dengan penuh tanggung jawab.
- Allah berikan khabar gembira kepada suami yang beriman dan bertanggung jawab, bahawa mereka akan dapat bertemu-Nya di syurga.
- Isteri dan rumah tangga mesti diuruskan dengan iman supaya berjaya ke syurga.
Ayat [2:224]
وَلَا تَجْعَلُوا۟ ٱللَّهَ عُرْضَةًۭ لِّأَيْمَـٰنِكُمْ أَن تَبَرُّوا۟ وَتَتَّقُوا۟ وَتُصْلِحُوا۟ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ ٢٢٤
"(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui."
Pengajaran
- Kalau ada konflik dalam rumah tangga, jangan mudah bersumpah sehingga suami tidak mahu membuat kebaikan kepada isteri dan kepada orang lain di luar rumah.
- Suami isteri mesti kawal emosi dalam rumah tangga.
- Allah mengingatkan supaya wujud kelembutan dalam hubungan suami isteri.
- Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui.
RESOLUSI
Ingat !!
- Mengutamakan iman dalam membina keluarga [2:221]
- Utamakan taubat dan kebersihan dalam kehidupan seharian [2:223]
- Elakkan bersumpah yang menghalang kebaikan yang dibuat [2:224]
Lega kerana Allah SWT beritahu cara untuk membina keluarga bahagia dan diredhai-Nya.
Saya jelas untuk mengutamakan iman dalam membina keluarga, sentiasa bertaubat, jaga kebersihan dan elakkan bersumpah yang menghalang kebaikan.
Ya Allah, jadikan kami orang yang suka bertaubat dan menjaga kebersihan dalaman dan luaran. Kurniakan kepada kami kekuatan untuk berjuang di jalan-Mu dengan penuh kesabaran. Jadikan kami orang yang suka berinfaq dan suka melakukan kebaikan.
Ya Allah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala nikmat yang Engkau berikan bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.