Tuesday, May 2, 2023

Halaman 33 : Al-Baqarah, 2:211-215

PERKATAAN HARI INI 


نَفَقَ   Menderma, membelanja, melabur
Disebut 111 kali di dalam Al-Quran


SINOPSIS   

  1. Seruan menerima Islam dan ikut hukum-hukumnya serta hukuman bagi yang ingkar [2:211-212]
  2. Keperluan kepada rasul dan apa yang mereka alami bersama mukmin dalam dakwah [2:213-214]
  3. Ukuran nafkah sukarela dan salurannya [2:215]


Mukadimah

Semoga Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai bunga-bunga di taman hati kita. Alhamdulillah, pengalaman bersama al-Quran adalah satu pengalaman menarik. Walaupun kita tidak dapat melancong ke luar negara tetapi dengan tadabbur al-Quran kita dapat melihat berbagai scenario orang terdahulu yang penuh dengan ibrah untuk panduan bagi memperbaiki amalan kita seharian.  “Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)" - Al-Kahf, 18:109.

Alhamdulillah, sudah banyak kita belajar. Semoga Allah tetapkan hati kita untuk terus menimba ilmu dari Al-Quran ini. 

Di antara hidayah yang telah kita dapat ialah haji, solat dan bersama al-Quran.


Ayat [2:211]

 سَلْ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ كَمْ ءَاتَيْنَـٰهُم مِّنْ ءَايَةٍۭ بَيِّنَةٍۢ ۗ وَمَن يُبَدِّلْ نِعْمَةَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُ فَإِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٢١١

"Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya."

Ini menyambung cerita Ayat [2:210]. Orang Bani Israel suka bertangguh-tangguh dalam berbuat apa-apa pun. Mereka telah diberikan mukjizat demi mukjizat dari zaman Nabi Musa lagi. Mereka menukar nikmat-nikmat yang Allah beri, dengan keinginan mereka sendiri.


Pengajaran

  1. Jangan bertangguh untuk buat amal kebaikan. Contoh: Jangan tunggu pencen baru nak membaca al-Quran atas alasan kesibukan bekerja dan lain-lain. Sekarang ada pelbagai cara untuk kita membaca al-Quran. 
  2. Bila kita mendapat nikmat dan hidayah, pegang elok-elok. 
  3. Buat sesuatu  kerana Allah, bukan kerana manusia. 


Ayat [2:212]

زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۘ وَٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ فَوْقَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَٱللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍۢ ٢١٢

"Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya)."


Dunia dan alam adalah berbeza. Setiap orang mempunyai dunia masing-masing. Ada orang dunianya tenang, ada yang penuh dengan keserabutan. Alam pula adalah sama bagi semua manusia. 


Pengajaran

  1. Jangan biar diri kita merasa dunia ini lebih indah dan lebih penting kerana itu adalah sifat orang-orang kafir. 
  2. Mereka yang mementingkan dunia tidak mengambil berat sumber rezeki yang halal/haram. 
  3. Orang kafir sombong dan memandang rendah kepada orang beriman.
  4. Allah SWT janjikan bahawa orang  beriman dan bertaqwa berada di tempat yang tinggi pada hari kiamat.
  5. Jangan bimbang tentang rezeki, kerana Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
  6. Antara isu kenapa orang tidak mahu kembali kepada agama ialah kerana mereka bimbang kehilangan dunia dan hilang kesenangan. 
  7. Allah SWT akan memberi lebih dan lebih kepada orang-orang yang menjaga hukum-hukum Nya


Ayat [2:213]

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ ۚ وَمَا ٱخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلْحَقِّ بِإِذْنِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍ ٢١٣

"Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)."


Pengajaran

  1. Semua manusia berasal daripada satu sumber iaitu Nabi Adam a.s. 
  2. Allah SWT utuskan rasul-rasul untuk memberi peringatan dan mengajar peraturan-peraturan/SOP agar kita tidak tersasar. 
  3. Allah SWT turunkan al-Quran untuk menyelesaikan pertelingkahan manusia. 
  4. Kita mestilah komited dengan al-Quran supaya Allah SWT terus berikan hidayah dan tidak tinggalkan kita.
  5. Perselisihan antara manusia dapat diselesaikan sekiranya kita berpegang dengan al-Quran sebagai sumber peraturan dan rujukan dalam menghakimi sesama insan. 
  6. Kalau tidak komited dengan al-Quran kita akan suka bergaduh.


Ayat [2:214]

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ ٢١٤

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."


Asbabun nuzul ayat ini berkaitan Peperangan Ahzab. Orang musyrik bergabung untuk menghancurkan Islam. Nabi berjuang untuk mempertahankan tauhid. Hasil perjuangan mereka memberi manfaat untuk kita.  


Pengajaran

  1. Dunia adalah tempat ujian. 
  2. Kebimbangan dan kesedihan pasti berlaku di dalam kehidupan ini. Contoh: Ahli keluarga sakit.
  3. Allah SWT ingatkan kita supaya tidak bimbang dan bersedih dengan ujian. 
  4. Tenang hadir selepas kita berjaya hadapi ujian. 
  5. Kita juga kena berjuang, berperang dengan diri kita untuk belajar al-Quran dan infaq kepada jalan Allah SWT.
  6. Hidayah ada kaitan dengan berjuang. Berjuanglah untuk baiki amalan diri dan keluarga.
  7. Bila berjuang baru kita dapat merasakan pertolongan Allah SWT itu dekat.


Ayat [2:215]

يَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَآ أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍۢ فَلِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌۭ ٢١٥

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)."


Pengajaran

  1. Para sahabat diuji dengan berbagai perkara, sehingga mereka tertanya-tanya bila pertolongan Allah akan datang. 
  2. Berdoalah dengan penuh kehambaan untuk mendapat pertolongan Allah SWT. 
  3. Umat Islam adalah umat dakwah, untuk mengajak orang seramai mungkin kembali kepada hidayah, kembali kepada tempat asal iaitu syurga dan tidak mahu sesiapapun di sambar neraka.
  4. Jika kita mahu pertolongan Allah dekat kepada kita, antara caranya ialah infaq. 
  5. Kalau sesiapa yang tidak mahu berjuang, mereka inilah yang mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan.
  6. Infaqlah daripada sesuatu yang baik ikut keutamaan:
    • ibu ayah
    • sanak saudara yang dekat
    • anak yatim
    • golongan miskin
    • orang-orang yang terlantar dalam perjalanan (ٱلسَّبِيلِ)
  7. Bantu orang yang terdekat dengan kita dahulu supaya orang beriman tidak menjadi fitnah. 
  8. Infaq bukan sekadar harta, boleh bagi masa, kasih-sayang, semangat, perkongsian kebaikan, kongsi ilmu dari My#QuranTime dll.
  9. Siapa yang berbuat baik, Allah SWT tahu, tidak kira sedikit atau banyak. Jangan tunggu senang baru hendak infaq. 
  10. Lagi  banyak kita infaq, kita menjemput lebih banyak bantuan Allah SWT. 
  11. Kita perlukan pertolongan Allah SWT kerana umat Islam ditekan (seperti orang Islam Uighur) dan dikejutkan dengan COVID19, maka kembalilah kepada al-Quran. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Jaga diri supaya tidak terjatuh ke dalam kufur nikmat yang mengundang  seksa yang pedih [2:211]
  2. Selalu nilai diri dengan kacamata akhirat bukan dunia [2:212]
  3. Jaga fitrah tauhid kita dengan mencari dan mengikut hadiah Allah [2:213]

Lega kerana Allah SWT beritahu cara menjaga diri daripada terkena seksa.

Saya jelas untuk jaga diri agar tidak kufur nikmat. Saya mesti nilai diri dengan kacamata akhirat, jaga tauhid dan berusaha mengikut hidayah.

Ya Allah, bantu kami agar tidak menjadi orang yang kufur nikmat. Ya Allah, jadikan kami orang yang istiqamah berjuang di jalan-Mu dengan penuh kesabaran. 

Ya Allah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala nikmat yang Engkau berikan bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Sesungguhnya Engkau sangat dekat dan Maha Mendengar rintihan kami, perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...