Tuesday, May 2, 2023

Halaman 36 : Al-Baqarah, 2:225-230

PERKATAAN HARI INI


أَخَذَ    Ambil, rampas, terima, dapat
Diulang 273 kali di dalam al-Quran


SINOPSIS 

  1. Sumpah dengan nama Allah, sumpah al-laqhwu / al-lagho' [2:225]
  2. Hukum al-iila'  [2:226-227]
  3. Iddah isteri yang ditalak dan hak-hak perempuan [2:228]
  4. Jumlah talak dan hal-hal yang timbul akibat talak [2:229-230]


Mukadimah

Apa yang kita akan bincangkan pada hari ini adalah perkara sensitif yang dibawakan oleh Allah sebagai hidayah untuk kita, keluarga dan negara. Ini akan menjawab sebahagian daripada persoalan berkaitan konflik dalam keluarga. Kita doakan agar kita dipimpin oleh hidayah daripada Allah SWT. Kita mentadabbur untuk memahami dan mendapat hidayah demi hidayah yang kita mulakan dari diri kita. 

Halaman ini  berkaitan sumpah dan perceraian dalam hubungan suami isteri. Kita telah belajar tentang perang di ayat-ayat terdahulu. Kali ini pula, berkenaan perang di dalam rumah. Sedangkan lidah lagi tergigit tetapi Allah tidak mahu kita tergigit sampai ke akhirat. Yang penting, kita ikut panduan dan hidayah Allah. 


Ayat [2:225]

لَّا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَـٰنِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ ٢٢٥

"Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar."


Pengajaran

  1. Allah melarang para suami bersumpah dengan tujuan untuk menyiksa isteri kerana hal ini akan menghalang suami daripada mendapat kebaikan, ketaqwaan dan kedamaian.
  2. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui Allah isi hati kita semasa melakukan sesuatu perkara, dalam hal ini semasa bersumpah.
  3. Kalau bersumpah secara tidak sengaja atau tersilap, maka segeralah minta ampun daripada Allah.
  4. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyabar bagi orang yang tersilap.
  5. Sifat حَلِيمٌ Allah bermakna, amat penyabar kerana Allah memahami kelemahan manusia.


Ayat [2:226]

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَآئِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍۢ ۖ فَإِن فَآءُو فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٢٢٦

"Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Iila’ (الإيلاء) adalah termasuk dalam perkara-perkara yang menyerupai talak dalam perhubungan suami isteri. Dari segi bahasa, iila’ dimaksudkan sebagai sumpah. Manakala dari segi istilah pula bermaksud suami yang mempunyai hak bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya tanpa menyebut tempoh tertentu atau dalam tempoh yang melebihi empat bulan.

Sumpah untuk mengila’ para isteri adalah termasuk dalam dosa-dosa besar yang perlu dijauhi oleh semua suami. Sekiranya si suami telah bersumpah iila’ terhadap isterinya, suami itu perlu membayar kafarah bagi menebus semula sumpah yang telah dilafazkannya.


Pengajaran

  1. Tempuh yang dibenarkan bersumpah tidak mencampuri isteri ialah empat bulan. 
  2. Jangan menggunakan nama Alah untuk manfaat peribadi. 
  3. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Allah tetap menyayangi jika kita bersalah dan cepat-cepat minta ampun.
  4. Komunikasi dalam keluarga sangat penting bagi menghindar perselisihan. 
  5. Konflik antara suami isteri adalah perkara biasa tetapi ia mesti diurus dengan hidayah Allah SWT.  


Ayat [2:227]

وَإِنْ عَزَمُوا۟ ٱلطَّلَـٰقَ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ ٢٢٧

"Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."


Pengajaran 

Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui perasaan/niat sesiapa yang hendak menjatuhkan talak, samada untuk kepentingan diri atau mencari redha Allah. 


Ayat [2:228]

وَٱلْمُطَلَّقَـٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَـٰثَةَ قُرُوٓءٍۢ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِىٓ أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَـٰحًۭا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌۭ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٢٨

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Pengajaran

  1. Bila bercerai, isteri mesti menunggu sehingga tiga kali suci sebelum berkahwin lain. Ini untuk memastikan tiada benih suaminya di dalam rahimnya. 
  2. Suami mempunyai hak untuk rujuk semula dalam tempoh itu. 
  3. Kalau suami hendak rujuk, mestilah untuk kebaikan bersama bukan untuk mengambil kesempatan terhadap isteri. 
  4. Wanita juga ada hak iaitu suami mesti memberi nafkah yang sewajarnya semasa tempoh menunggu.
  5. Suami ada darjat yang lebih dari perempuan dalam urusan pertelingkahan/perceraian ini kerana dia boleh kembali kepada isterinya.
  6. Allah memberitahu para suami bahawa Allah Maha Perkasa. Allah al-Aziz bermakna Dia Maha Berkuasa, ditakuti dan disegani. Allah lah yang izinkan si suami untuk rujuk kembali kepada si isteri atau terus bercerai.
  7. Jangan mempermainkan hukum Allah kerana segala hukum tentang pernikahan ditentukan oleh Allah al-Hakim.
  8. Kalaupun ada pertelingkahan dalam rumah tangga, itu adalah ujian. Allah tetap mahu kita bahagia di akhirat.


Ayat [2:229]

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍۢ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا۟ مِمَّآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ شَيْـًٔا إِلَّآ أَن يَخَافَآ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا ٱفْتَدَتْ بِهِۦ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٢٢٩

"Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."


Pengajaran

  1. Pernikahan adalah ikatan yang kuat dan perjanjian yang berat. Yang menemukan kita adalah Allah SWT. Manusia tidak boleh susun urusan pernikahan.
  2. Ketika ada cabaran dalam rumahtangga, mesti kembali kepada Allah SWT.
  3. Perpisahan antara suami isteri tidak semestinya dipandang negatif. Yang pentingnya mesti ikut hidayah daripada Allah SWT.
  4. Talak adalah perpisahan yang getir, mesti diurus dengan hidayah Allah SWT.
  5. Menjatuhkan talak adalah hak lelaki. Allah beri amaran kepada lelaki yang diberikan pilihan untuk menyatakan talak perpisahan:
    • Kalau hendak tinggal bersama lagi mestilah dengan makruf (start fresh) dari segi komunikasi, perbelanjaan dan memahami psikologi isteri.
    • Kalau hendak berpisah, maka mesti ceraikan dengan ihsan, iaitu lebih baik daripada makruf. Mesti berpisah dengan cara terbaik. Mesti beri nafkah, jangan mengumpat, keji dan ambil apa yang telah diberi kepada isteri. Tidak halal mengambil pemberian secara senyap-senyap  tanpa berbincang.
  6. Perpisahan suami isteri ada talak satu, dua dan tiga.
  7. Jangan sekali-kali melanggar hudud/aturan Allah dalam urusan rumahtangga, nikah dan cerai. 
  8. Orang yang melanggar hudud/perintah Allah dalam urusan rumahtangga, nikah dan cerai adalah orang yang menzalimi diri sendiri. Mereka akan dihukum oleh Allah SWT.


Ayat [2:230]

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُۥ مِنۢ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُۥ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يَتَرَاجَعَآ إِن ظَنَّآ أَن يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍۢ يَعْلَمُونَ ٢٣٠

"Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya."


Pengajaran

  1. Suami yang keluarkan talak tiga, tidak boleh lagi rujuk kembali kepada isteri. Kalau nak rujuk juga, isteri kena kahwin dengan orang lain terlebih dahulu. Lepas diceraikan oleh suami baru, baru boleh dikahwini semula.
  2. Perbuatan 'cina buta' adalah salah.
  3. Allah berikan tugas memimpin kepada lelaki, maka jangan ego, jaga isteri dengan baik, ikut uswatun hasanah daripada Nabi SAW. 
  4. Suami boleh rujuk kembali sekiranya mereka dapat menegakkan hudud/hukum Allah dalam rumahtangga.
  5. Suami yang mempunyai ilmu al-Quran akan jaga hudud/hukum dalam berumahtangga. 
  6. Jangan main-main dengan perjanjian berat dengan Allah apabila menerima nikah seorang wanita.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Jangan main-main dengan bersumpah [2:225]
  2. Fahami tanggungjawab suami yang sebenarnya [2:228]
  3. Fahami istilah talak dan khulu' agar institusi keluarga terjaga [2:229-230]

Lega kerana Allah SWT ajar cara mengurus konflik rumahtangga.

Saya jelas untuk tidak mempermainkan sumpah. Saya faham tugas suami yang boleh saya ajarkan kepada anak-anak lelaki saya.

Ya Allah, bantu kami untuk membina keluarga yang bahagia. Jadikan kami dan pasangan kami orang yang berpegang teguh kepada perjanjian pernikahan kami. Kurniakan kami sifat sabar dan bertolak ansur dalam urusan rumahtangga. Jauhi kami dari konflik dalam keluarga. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...