Wednesday, May 3, 2023

Halaman 43 : Al-Baqarah, 2:257-259


PERKATAAN HARI INI 


وَلِيٌّ /   وَلِيَ  Rakan, teman

Disebut 232 kali di dalam Al-Quran


SINOPSIS   

  1. Allah SWT adalah zat yang memberi petunjuk kepada keimanan [2:257]
  2. Kisah Raja Namrud dan kandungan kisah yang menunjukkan kewujudan Allah SWT [2:258]
  3. Kisah 'Uzair dan keldainya serta kisah yang menunjukkan adanya hari kebangkitan [2:259]

Mukadimah


Ada berita sedih yang melanda dunia yang perlu kita faham dalam ayat ini. Kita menerima satu berita tentang  letupan kuat telah berlaku di Beirut, Lubnan yang memberi berita sedih kepada kita sebagai seorang insan. Kita ingin keimanan tersebar di seluruh dunia dan  terpelihara  dari kerosakan. 
Kita teruskan bersahabat dengan al-Quran agar Allah melindungi diri, keluarga, negeri, negara kita dan dunia dengan cahaya daripada Allah SWT.

Halaman 43 adalah satu ubat pada jiwa yang sedih dan memberi pencerahan tentang siapa Allah SWT. 

Kita disunatkan untuk membaca ta’awuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) sebelum membaca al-Quran. Bagi basmalah (بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) pula, dibaca di setiap permulaan surah kecuali surah at-Taubah. Ketika di pertengahan surah, kita boleh memilih samada mahu membaca basmalah atau tidak. Cara yang ‘aula’(adab yang baik) ialah dengan melihat kalimah apa yang di permulaan surah. Contohnya, ayat yang bermula dengan الله  elok dimulakan dengan basmalah. Manakala ayat yang bermula dengan perkataan شيطان , dimulakan dengan ta’awuz.


Ayat [2:257]


ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَوْلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ٢٥٧

"Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."

Pengajaran

  1. Dalam Islam, tiada paksaan untuk memasuki agama. Orang Islam tidak memaksa orang lain masuk Islam. Orang Islam tidak melakukan perkara-perkara yang bersifat 'terrorist' (pengganas). Jika ada begitu, ia bukan idea dari agama ini dan bukan panduan dari al-Quran. 
  2. Allah adalah wali pelindung (وَلِىّ). Ayah, wali kepada anak, juga melindungi dan ada rasa mahu melindungi tetapi bukan setiap masa boleh melindunginya. Allah sebagai maulana (مولانا) pula bermakna setiap masa melindungi dan ada tindakan melindungi.  Walau di mana orang beriman berada, di Palestine  atau di Beirut, Allah akan melindungi orang beriman yang berserah padaNya. Kalaupun meninggal, orang yang beriman, insha-Allah, ke syurga. Jika hidup dan sakit, Allah akan menyembuhkan dan mereka mesti terus menyebarkan kebaikan dan bukan membalas dendam.
  3. Wali ialah kawan rapat yang akrab. Kawan yang membantu kita dalam susah senang. Wali yang paling pasti ialah Allah.
  4. Dalam senang susah, jadikan al-Quran best friend forever (BFF) kita. Bila al-Quran sampai atau diturunkan,  ia  mentransformasi para pemimpin. Seperti Abu Suffiyan setelah masuk Islam, beliau terus memperjuangkan agama.
  5. Cahaya al-Quran (نور) satu sahaja (singular) tetapi kegelapan (ظُّلُمَٰتِ) ada banyak lapis (plural). Bila kita telah Islam pun, ada lagi kegelapan. Hasad kepada orang lain, malas untuk berbuat sesuatu, tamak dalam kehidupan. Mata dan telinga kita yang digunakan kepada perkara yang sia-sia juga adalah kegelapan demi kegelapan. Allah akan lindungi kita daripada kegelapan kepada Nur.
  6. Orang kufur, wali mereka adalah taghut. Perkataan taghut diletakkan di hujung ayat kerana taghut adalah hina. Berbeza dengan kalimah Allah yang berada di permulaan ayat. Taghut pelindung orang kafir. Sesiapa yang suka menakutkan orang, berbuat kerosakan dan menghalang orang dari membuat kebaikan, samalah seperti mereka.
  7. Ayat ini sebagai terapi untuk membersihkan hati. Kita tahu kita ada pelbagai kegelapan dalam hidup, maka sentiasa mohon dari Allah bukan dari taghut.


Ayat [2:258]


أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِى حَآجَّ إِبْرَٰهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦٓ أَنْ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّىَ ٱلَّذِى يُحْىِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحْىِۦ وَأُمِيتُ ۖ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأْتِى بِٱلشَّمْسِ مِنَ ٱلْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ ٱلْمَغْرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِى كَفَرَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٥٨

"Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.”

Pengajaran

  1. Tidak ada nama yang disebut dalam ayat ini. Kaedah dalam al-Quran, jika nama tidak disebutkan, karakter itu mungkin akan berulang lagi. Ulama menyatakan ia adalah Namrud.  Tidak layak disebut namanya di dalam al-Quran. Orang ini mahu menghancurkan Nabi Ibrahim dengan kuasanya yang Allah beri.
  2. Berkuasa tidak semestinya pemimpin paling tinggi negara. Boleh saja sesiapa yang berasa berkuasa menjadi ego.  Jika kuasa tidak dipimpin dengan iman, berkemungkinan untuk berbuat kerosakan. 
  3. Nabi Ibrahim memberitahu Namrud yang tuhannya boleh menghidupkan dan mematikan. Namrud memberitahu Nabi Ibrahim yang dia juga boleh mematikan dan menghidupkan. Namrud memanggil dua orang yang mana seorang darinya dibunuh dan yang seorang lagi dibiarkan hidup. Kemudian, Nabi Ibrahim menyuruh Namrud untuk menaikkan matahari dari barat. Namrud tercengang dan terdiam. Allah tidak akan memberi petunjuk  kepada orang zalim seperti Namrud.
  4. Bila seseorang itu selalu beriman kepada taghut, kesannya kezaliman demi kezaliman akan berlaku sehingga hidayah habis. Bagi orang yang tidak mendapat hidayah, mungkin saja mereka boleh makan kepala monyet. Malah dia boleh memonyetkan orang dan membuat kerosakan. Orang yang tidak ada hidayah akan bertindak ganas.
  5. Umat Islam adalah orang yang berdiri di atas hujah bukannya atas perasaan atau kebencian.
  6. Ayat [2:258] bermula dengan أَلَم, satu bentuk pertanyaan yang hairan kepada orang-orang yang berdebat tanpa ada ilmu. Ini adalah satu pertanyaan bukan untuk kita jawab kerana Allah Maha Mengetahui.
  7. Selepas peristiwa debat dengan Namrud itu, Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api. Orang zalim suka menjatuhkan orang yang berbuat kebaikan.
  8. Pastikan memilih pemimpin atas dasar hidayah yang akan memperjuangkan orang-orang di sekitarnya.
  9. Tali Allah sangat kuat. Umat Islam prihatin kepada semua. Allah melindungi semua. Kita mohon Allah 'dafa’' (دفع) - keluarkan) orang yang zalim. 
  10. Memang Nabi Muhammad SAW tidak ada di zaman Nabi Ibrahim tetapi Allah 'menampakkan' kisahnya melalui mata hati Baginda SAW. Seperti kita hari ini, walaupun tidak berada di Beirut tetapi nampak kejadian melalui video. 
  11. Jangan buat kezaliman dan dosa. Bersegera taubat jika berbuat kezaliman. Orang yang berkuasa jangan pertahankan kuasa untuk meneruskan kezaliman.


Ayat [2:259]


أَوْ كَٱلَّذِى مَرَّ عَلَىٰ قَرْيَةٍۢ وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّىٰ يُحْىِۦ هَـٰذِهِ ٱللَّهُ بَعْدَ مَوْتِهَا ۖ فَأَمَاتَهُ ٱللَّهُ مِا۟ئَةَ عَامٍۢ ثُمَّ بَعَثَهُۥ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۢ ۖ قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِا۟ئَةَ عَامٍۢ فَٱنظُرْ إِلَىٰ طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ ۖ وَٱنظُرْ إِلَىٰ حِمَارِكَ وَلِنَجْعَلَكَ ءَايَةًۭ لِّلنَّاسِ ۖ وَٱنظُرْ إِلَى ٱلْعِظَامِ كَيْفَ نُنشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًۭا ۚ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُۥ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ٢٥٩

"Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Pengajaran

  1. Malaikat bertanya Allah kenapa manusia dijadikan khalifah, kerana manusia mungkin sahaja akan menumpahkan darah dan membuat kerosakan. Menumpahkan darah adalah jauh daripada hidayah. Kalau perlu berperang adalah untuk melindungi diri. Orang Islam tidak boleh merosakkan bangunan, pokok, wanita atau orang yang berada dalam rumah ibadah. Merosakkan itu bukan ajaran agama. 
  2. Ayat ini menceritakan tentang seorang insan (Uzair) yang melalui tempat/bandar yang sudah hancur. Uzair bertanya, apakah boleh tempat/bandar itu 'dihidupkan' semula? Bermakna berfungsi semula sebagai asalnya. Uzair dimatikan 100 tahun. Dibangkitkan semula, dan dia ditanya, berapa lama dia ditidurkan? Katanya mungkin satu hari atau satu hari setengah. Bekalan makanannya tidak berubah. Tetapi, keldainya hancur. Terdapat tulang-tulang keldainya. Kemudian, Allah cantumkan kulit dan daging keldainya dan ia hidup semula, dengan izin Allah. Allah Maha Berkuasa atas sesuatu.
  3. Orang beriman pasti bersedia dan rindu untuk bangkit semula di akhirat untuk bertemu Allah. Bagi orang beriman, berpegang kepada ajaran al-Quran . Pastikan para pemimpin dan yang berkuasa samada di dalam rumah atau di luar rumah tidak menjadi seperti Namrud yang berhujah, bila kalah terus menyerang orang yang berhujah dengannya. Orang beriman seperti Nabi Ibrahim, terus berhujah dengan pergantungan kepada Allah.
  4. Nur Allah tidak sama dengan segala cahaya yang lain. Contohnya cahaya inframerah dari alat penunjuk (pointer) nampak di atas kertas putih tetapi tidak kelihatan bila dihalakan ke atas skrin tv kerana cahaya skrin tv lebih terang. Jika dalam hidup kita belajar dan dapat ijazah, kita rasa kita sudah ada cahaya. Tidak semestinya. Jika kita baca al-Quran, cahaya dari al-Quran akan mengalahkan segala ‘cahaya’ dari idea-idea kita yang tidak semestinya benar. Kita memerlukan  cahaya dari al-Quran untuk menghadapi kehidupan sebagai orang yang diberi hidayah. 
  5. Dalam kisah Nabi Ibrahim, Allah Maha Menghidupkan, Maha Meneguhkan dan Maha Menjaga. Pada peristiwa Uzair, Allah boleh membina kita di dunia dan bina kita semula di akhirat nanti. Allah boleh saja membina semula Lubnan, insha-Allah. Dengan keyakinan ini, kita lebih bersemangat untuk memperjuangkan keadilan tanpa bimbang. Kerana yang benar-benar menghidupkan adalah Allah. 
  6. Berfikir tentang al-Quran, kehebatan Allah, tentang hidup dan mati akan meningkatkan semangat kita untuk berjuang.
  7. Allah adalah pelindung bagi orang beriman dengan mengeluarkannya dari kegelapan kepada cahaya. 
  8. Allah Maha Berkuasa menghidup dan mematikan serta memberi balasan setimpal dengan apa yang kita lakukan.


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Jadikan Allah sebagai perisai/pelindung agar bebas daripada tipu daya syaitan [2:257]
2. Jauhi kezaliman kerana ia akan menghalang hidayah [2:258]
3. Banyakkan berfikir untuk menghargai kehebatan Allah SWT [2:259]

Lega kerana Allah SWT memberitahu saya bahawa Dia adalah best friend forever (BFF) saya.

Saya jelas untuk sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT, menjauhi kezaliman dan banyakkan berfikir tentang al-Quran dan kehebatan Allah.

Ya Allah, lindungi kami dari tipu daya syaitan, jauhi kami dari menjadi orang yang zalim. Bantu kami untuk berpegang teguh kepada agama Mu supaya kami selamat di dunia dan selamat di akhirat. Ya Alah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala nikmat yang Engkau berikan bagi melakukan amal kebaikan. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami.  Jauhi kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...