Wednesday, May 3, 2023

Halaman 44 : Al-Baqarah, 2:260-264


PERKATAAN HARI INI

 

حَيٌّ /   حَيِيَ =  Hidup


Disebut 189 kali di dalam Al Quran


 

SINOPSIS 

 

  1. Semangat ingin tahu Nabi Ibrahim a.s.  [2:260]
  2. Pahala berinfak di jalan Allah SWT dan etikanya  [2:261-264]

 

Mukadimah

 

Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Banyakkanlah mengucap Alhamdulillah , puji dan kesyukuran kerana kita adalah umat Alhamdulillah, umat yang bersyukur. Kita bersyukur kerana al-Quran yang merupakan mukjizat terhebat Nabi Muhammad s.a.w masih kekal bersama kita untuk menjadi hidayah.

 

Kisah tongkat Nabi Musa menjadi ular besar yang memakan ular-ular kecil firaun , suatu yang menakjubkan. Al-Quran adalah lebih menakjubkan kerana perkataan Allah seperti ular besar yang memakan semua idea-idea kecil yang lahir daripada fikiran manusia.  Mukjizat al-Quran akan kekal sampai akhir zaman, menelan kegelapan, menyinarkan cahaya ke dalam hidup manusia.

 

Setiap ayat al-Quran, ada 'tanasub' atau kaitannya dengan ayat-ayat yang sebelum dan selepasnya serta ayat-ayat lain.


 

Ayat [2:260]

 


وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِنِى كَيْفَ تُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ ۖ قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن ۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَـٰكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِى ۖ قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةًۭ مِّنَ ٱلطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ ٱجْعَلْ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍۢ مِّنْهُنَّ جُزْءًۭا ثُمَّ ٱدْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًۭا ۚ وَٱعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ ٢٦٠

 

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini adalah kesinambungan daripada ayat Kursi tentang konsep Allah Maha Hidup Maha Menjaga. Ayat sebelum ini tentang kisah Nabi Ibrahim dengan Namrud dan juga kisah Uzair dan keldainya yang menunjukkan Allah Maha Menjaga, Allah berkuasa mematikan dan menghidupkan semula. Ayat 260 ini tentang kisah Nabi Ibrahim yang bertanya kepada Allah bagaimana Allah menghidupkan orang mati.
  2. Allah bertanya apakah Nabi Ibrahim tidak yakin? Jawab baginda, percaya dan ingin lebih yakin agar tenteram hatinya. Allah mengarahkan Nabi Ibrahim untuk mengambil 4 jenis burung, di potong-potong dan diletak di tempat-tempat yang berbeza. Kemudian panggillah burung-burung itu yang menunjukkan bahawa Allah berkuasa menghidupkannya semula.
  3. Ini pengalaman Nabi Ibrahim. Kita juga pasti ada pengalaman-pengalaman kita sendiri. Allah memberi manusia pengalaman yang berbeza-beza untuk merasakan kehadiran Allah yang Maha Berkuasa Menjaga, Menghidup dan Mematikan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
  4. Allah boleh menghidupkan yang mati jika Dia kehendaki. Allah berkuasa untuk buat apa saja. Begitulah juga Allah berkuasa menghidupkan hati yang mati. Contohnya: Cerita Jaddullah al-Qurani anak Yahudi di Perancis yang Allah hidupkan hatinya, memeluk Islam dan berjaya mengislamkan berjuta-juta orang di Afrika. Allah boleh hadirkan orang yang hatinya hidup di tengah-tengah keluarga yang hatinya mati, seorang yang kembali kepada Islam di tengah-tengah keluarga yang bukan Islam. Sebelum memeluk Islam, hatinya juga mati.


 

Ayat [2:261]

 


مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١

 

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang berinfak pahalanya diumpamakan seperti sebiji benih yang tumbuh dan bercambah menjadi tujuh tangkai yang setiap tangkai mengandungi 700 biji. Biji benih itu begitu kecil, kita tak nampak pun. Begitulah bila kita berbelanja atau berinfak, modal kecil tapi keuntungannya besar dengan syarat fi sabilillah.
  2. Bila kita keluarkan harta untuk infak, sebenarnya Allah sedang menggandakannya. Allah menggandakan harta kita di dunia lagi. Berbagai nikmat telah kita dapati. Dari kecil semasa lahir sampai seperti kita sekarang adalah hasil gandaan yang Allah kurniakan. Gandaan itu akan beterusan sampai ke akhirat. Allah Maha Luas kurniaannya dan Maha Mengetahui.
  3. Syarat untuk mendapatkan gandaan ialah berinfak kerana Allah. Belanja kawan makan contohnya, hendaklah  kerana Allah dan bukan kerana sebab lain. Kita mahu pelaburan yang berjaya sampai ke akhirat. Kita taja orang belajar, contohnya, tentu kita mahu pahalanya berganda tanpa ada penyebab yang akan membatalkan pahala itu dan menjadi sia-sia sahaja. Allah berikan panduan etika berinfak dalam ayat seterusnya. 

 

 

Ayat [2:262]


 

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَآ أَنفَقُوا۟ مَنًّۭا وَلَآ أَذًۭى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٢٦٢

 

"Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

 

Pengajaran

  1. Ayat ini membincangkan 2 jenis pelaburan iaitu pelaburan yang halal dan yang haram (riba).
  2. Dengan infak fi sabilillah, kita memindahkan hasil pelaburan ke akaun akhirat.
  3. Pelihara syarat keuntungan/pahala infak supaya tidak terbatal.
  4.  Jangan iringi sedekah dengan 'manna' (مَنًّا - mengungkit-ungkit). Contoh: Majikan yang mengungkit tentang dia yang bayar gaji staf. Satu lagi, orang yang menderma kepada masjid dan mahu orang ramai mengingati dan menghormatinya.
  5. Jauhi 'Azaa' (أَذًى) bermakna menyakiti hati orang yang menerima sedekah kita. Orang yang mendapat hidayah tidak akan menyakiti dan mengungkit-ungkit pemberiannya kepada orang.
  6. Orang yang dapat hidayah akan sentiasa infak dan tidak menyakitkan hati orang yang menerima infak dan tidak mengungkit-ungkit.
  7. Allah ingin menenangkan Nabi Ibrahim dahulu dan menenangkan kita sekarang dengan ganjaran yang akan diberiNya di atas infak-infak kita.
  8. Jika Allah boleh hidupkan biji benih, Allah boleh sahaja dengan mudah melipat gandakan pahala infak hingga akhirat.
  9. Bila kita banyak membaca al-Quran, hati kita jadi lembut dan mudah bagi kita untuk berinfak.



Ayat [2:263]

 


۞ قَوْلٌۭ مَّعْرُوفٌۭ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌۭ مِّن صَدَقَةٍۢ يَتْبَعُهَآ أَذًۭى ۗ وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَلِيمٌۭ ٢٦٣

 

"(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar."

 

Pengajaran

  1. Tolak orang yang meminta dengan baik jika kita tidak mampu memberi.   Usahakan memberi walau sedikit. Beri tapi mengungkit-ungkit pemberian itu,   tidak baik dan tidak berakhlak.
  2.  Sedekah adalah pemberian yang umum seperti tolong buang duri di jalan dan   seumpamanya.
  3.  Allah tidak terkesan pun dengan sedekah kita. Allah kaya, tetap kaya. Allah tetap   halim (Maha Penyabar), tetap memberi kita makan dan macam-macam walau   apapun yang kita buat.
  4.  Kalau orang berkata yang tidak baik kepada kita, bersabar sahaja. Memaafkan itu   lebih baik. Allah tetap bersabar dengan karenah kita.



Ayat [2:264]

 


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبْطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلْمَنِّ وَٱلْأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌۭ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٌۭ فَتَرَكَهُۥ صَلْدًۭا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَىْءٍۢ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٢٦٤

 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir."

 

Pengajaran

  1. Allah ulang berkali-kali peringatan untuk tidak mengungkit-ungkit dan menyakitkan hati orang yang menerima sedekah. Bila menyebut-nyebut pemberian, boleh membuat kita rasa riak (menampak-nampakkan) dan yang lebih teruk, syirik. Seolah-olah kita yang punya semuanya.
  2. Yang kurniakan rezeki itu ialah Allah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan bukan daripada kita. Semuanya milik Allah.
  3. Orang yang infak dan mengungkit-ungkit seperti tidak beriman kepada Allah dan pembalasan di hari akhirat.
  4. Mengungkit itu umpama batu besar dan di atasnya ada tanah, macam sesuai untuk bercucuk tanam. Bila datang hujan, tanaman yang menghijau akan habis musnah dibawa air. Perumpamaannya: Kita memberi duit kepada ibu ayah, jika kita ungkit-ungkit, maka akan hancur pahala kita. Tidak akan dapat apa-apa ,umpama orang yang berkerja gajinya kosong bila tiba cukup bulan.
  5. Rezekinya yang ada pada kita datangnya daripada Allah SWT.
  6. Bila banyak baca al-Quran, kita mudah infak . Namun infak itu ada disiplinnya.
  7. Maafkan sahaja orang yang kita bantu walaupun mereka tidak menghargai. Kita hanya mahu redha Allah.
  8. "Bercakap yang baik-baik atau diam," pesan Baginda SAW. Berdiam di zaman ini bukan mudah dan sekiranya dapat melakukannya ia adalah yang terbaik.
  9. Jangan berbangga apa yang ada pada kita. Sekiranya Allah tidak beri, kita tiada apa-apa.  Semuanya dari Allah dan Allah yang punya.

 


RESOLUSI

 

Ingat !!

  1. Gunakan akal untuk mententeramkan hati dengan ilmu yang sahih [2:260]
  2.  Banyakkan infak untuk ganjaran berlipat ganda [2:261]
  3. Elakkan mengungkit dan menyakiti orang yang diberi infak/sedekah agar pahala infak tidak terbatal [2:262]

 

Lega kerana Allah SWT beritahu ganjaran berlipat kali ganda sekiranya saya berinfak

 

Saya jelas untuk banyakkan infak dan tidak mengungkit atau menyakitkan hati orang saya berinfak/sedekah kerana ia membatalkan pahala amal tersebut.

 

Ya Allah, lindungi kami dari tipu daya syaitan, jauhi kami dari menjadi orang yang rugi. Bantu kami agar kami menjadi orang yang banyak berinfak dan bersedekah. Jauhi kami dari mengungkit dan menyakiti hati orang yang kami infak/sedekah.






Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...