PERKATAAN HARI INI
فَضَلَ Kurnia, anugerah
Diulang 104 kali di dalam Al-Quran
SINOPSIS
1. Darjat para rasul dan kepelbagaian respons pada dakwah [2:253]
2. Perintah berinfak di jalan Allah SWT [2:254]
3. Keesaan dan kehebatan Allah SWT [2:255]
4. Larangan memaksa untuk memeluk Islam [2:256]
Mukadimah
Alhamdulillah, hari ini kita sudah masuk Juzuk Ketiga. Syukur kepada Allah SWT kita masih diberi peluang untuk menghargai hidayah Allah. Semoga dengan membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran, kita semakin dekat dengan Allah.
Kisah Bani Israel, Thalut dan Jalut adalah wahyu Allah dan ia adalah kebenaran. Bukan hanya cerita rekaan. Allah memberi motivasi kepada Nabi SAW bahawa baginda adalah dalam kalangan para rasul, bukan hanya bersendirian menghadapi cabaran. Para rasul menghadapi banyak cabaran tetapi tidak pernah berputus asa.
Ayat [2:253]
۞ تِلْكَ ٱلرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ ۘ مِّنْهُم مَّن كَلَّمَ ٱللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَءَاتَيْنَا عِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ٱلْبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدْنَـٰهُ بِرُوحِ ٱلْقُدُسِ ۗ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا ٱقْتَتَلَ ٱلَّذِينَ مِنۢ بَعْدِهِم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ وَلَـٰكِنِ ٱخْتَلَفُوا۟ فَمِنْهُم مَّنْ ءَامَنَ وَمِنْهُم مَّن كَفَرَ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا ٱقْتَتَلُوا۟ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ ٢٥٣
"Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya."
Al-Baqarah banyak bercerita tentang iman dan beriman kepada rasul. Bani Israel bersifat perkauman. Selain golongan mereka, mereka tidak terima. Mereka merasa mereka sahaja yang hebat. Asas perkauman ialah daripada iblis seperti yang telah dipelajari di awal surah al-Baqarah. Semasa Allah perintah iblis sujud kepada Nabi Adam, dia enggan kerana merasa dirinya lebih bagus.
Mengikut ulamak, sikap Bani Isreal tidak stabil kerana mereka pernah ditekan oleh Firaun. Mereka menolak siapa saja yang bukan dari kalangan mereka dan membunuh sesama sendiri. Walaupun Nabi Isa adalah keturunan Bani Israel, tetapi baginda tidak disukai oleh kaumnya.
Pengajaran
- Orang yang beriman mesti menerima semua rasul yang telah diutuskan oleh Allah termasuk Nabi Isa a.s. Kita tidak boleh memilih/menolak mengikut kepentingan kaum. Tafriq (تفريق), maknanya, menolak salah satu. Tolak satu sama seperti menolak semua sekali.
- Setiap rasul dikurniakan kelebihan yang berbeza-beza (تفضيل). Mukjizat para nabi tidak sama. Darjat mereka juga berbeza. Contohnya mukjizat Nabi Musa adalah laut terbelah manakala Nabi Muhammad ada mukjizat Al-Quran dan bulan terbelah.
- Janganlah kita menjadi seperti Bani Israel yang bersifat perkauman kerana itu adalah perangai iblis yang dilaknat Allah. Contoh: Di pejabat, bila ada bos dari tempat lain pindah ke ofis kita, ada yang akan merasa mereka lebih 'senior' dan tidak mahu mengikut arahan.
- Jika kita dapat menerima semua rasul, bermakna kita beriman seperti yang dikehendaki oleh Allah.
- Orang yang ego dilaknat Allah. Lambang keegoan terdapat pada Bani Israel yang mengikut keegoan iblis apabila merasa dirinya lebih baik dari Nabi Adam a.s.
- Jangan dengki dengan kurniaan Allah kepada orang lain.
- Hendaklah kita taat kepada pemimpin yang mengikut hidayah Allah dan Rasul.
- Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. Allah biarkan sesuatu kaum berbalah dan bertelingkah untuk membezakan orang beriman dan orang yang kafir.
Ayat [2:254]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌۭ لَّا بَيْعٌۭ فِيهِ وَلَا خُلَّةٌۭ وَلَا شَفَـٰعَةٌۭ ۗ وَٱلْكَـٰفِرُونَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٢٥٤
"Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim."
Pengajaran
- Tanda kita beriman kepada rasul ialah bersedekah sebahagian daripada rezeki yang Allah berikan.
- Rezeki (masa, duit, ilmu dan anak) adalah milik Allah.
- Orang yang tidak suka bersedekah/berjuang adalah seperti Munafik di zaman Nabi SAW.
- Hendaklah kita jual diri (bersedekah/berjuang) kepada Allah untuk mendapat keuntungan di akhirat.
- Hendaklah kita berkawan dengan orang-orang yang berbuat kebaikan (خُلَّةٌ) hingga akhirnya kita bertemu Allah.
- Hendaklah kita berjuang/bersedekah supaya mendapat syafaat di akhirat nanti.
- Keimanan kita kepada rasul dimanifestasikan dengan berinfak.
- Orang yang kufur itu zalim, iaitu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Ayat [2:255]
ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌۭ وَلَا نَوْمٌۭ ۚ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍۢ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ ٢٥٥
"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)."
Pengajaran
- Seperti rasul yang berbeza kehebatan mereka, surah/ayat juga ada yang lebih hebat fadhilatnya daripada yang lain. Salah satunya ialah ayat Kursi. Ayat Kursi menjadi hebat kerana isinya ialah tentang Yang Maha Hebat (ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ).
- Ilah (اله) bukan sekadar mengakui satu Tuhan, tetapi perlu disertai cinta dan taat perintah Allah.
- Yang dicintai (المحبوب). Tidak ada kecintaan yang lebih daripada kecintaan pada Allah SWT. Orang yang cinta sangat kepada Allah, hilang rindunya bila melihat kebesaran-kebesaran Allah.
- Yang diikuti (al-matbuq). Ikut apa yang Allah perintahkan kepada kita.
- Allah memperkenalkan nama-namaNya.
- Maha Hidup (ٱلْحَىُّ), sumber kepada semua makhluk.
- Maha Kekal mengurus makhlukNya (ٱلْقَيُّومُ). Allah selalu menguruskan hambaNya terus-menerus tidak pernah terputus.
- Allah tidak mengantuk dan tidak tidur (لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ). Bagi suami yang sayang kepada isteri, sebagai manusia, sayang kita tidaklah seperti sayang Allah. Ada masa kita penat. Kita tidur dan itu bukan tanda kita tidak sayang isteri dan keluarga.
- BagiNya semua yang ada di langit dan dibumi ( لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ). Kita tidak punya apa-apa. Allah menjaga langit dan bumi, maka menjaga kita adalah lebih mudah.
- Di akhirat nanti tidak ada syafaat kecuali daripada Allah dan apa yang Allah izinkan.
- Allah yang mengetahui apa yang ada di hadapan dan apa yang ada di belakang.
- Allah yang Maha Hebat ( ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ ) menjaga kita yang tidak hebat. Kita memerlukan Allah, penjaga yang Maha Hebat. Salah satu tanda sayang kita padaNya, ialah dengan kita dekat dengan sejadah sebagai lambang kita mengingatiNya dan tempat kita sujud. Bersujud adalah peluang mendekati Allah SWT dan mendapat perlindungan Allah ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ .
- Ayat ini mengajar kita untuk reset minda supaya tidak zalim, jangan paksa orang masuk Islam, beritahulah tentang kehebatan Allah.
Ayat [2:256]
لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشْدُ مِنَ ٱلْغَىِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦
"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Pengajaran
- Prinsip agama yang betul ialah tiada paksaan untuk masuk Islam.
- Thagut (طَّٰغُوتِ ) ialah autoriti (pihak berkuasa) yang tidak mengikut perintah Allah. Nabi SAW adalah autoriti yang mengikut Allah.
- Kalau kuat keimanan kita kepada rasul, kita akan berinfak, maka semakin kuat keimanan kita kepada Allah, lalu Allah memberi kita syafaat hingga kita selamat di dunia dan akhirat.
- Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang benar-benar beriman.
RESOLUSI
Ingat !!
- Banyakkan infak sebelum terlambat [2:254]
- Yakin penjagaan Allah paling berkesan berbanding dengan penjagaan manusia [2:255]
- Berpegang teguh kepada tali Allah agar selamat dalam hidup [2:256]
Lega kerana Allah SWT memberi keyakinan bahawa Dia adalah penjaga yang paling berkesan.
Saya jelas untuk banyakkan infak sebelum terlambat dan berpegang teguh kepada agama Allah agar selamat dalam hidup.
Ya Allah, jadikan kami orang dapat memperbanyakkan infaq. Kurniakan kami hati yang yakin dengan kebesaran dan kehebatan Mu agar kami tidak membuat pergantungan kepada makhluk yang lain. Ya Allah, bantu kami untuk berpegang teguh kepada agama Mu supaya kami selamat di dunia dan selamat di akhirat. Ya Alah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala nikmat yang Engkau berikan bagi melakukan amal kebaikan. Ya Allah, jauhi kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.