PERKATAAN HARI INI
كَسَبَ Mengusahakan, berbuat
67 kali di sebut dalam Al-Quran
SINOPSIS
1. Berinfak kerana Allah [2:265-266]
2. Harta diinfakkan perlu baik [2:267]
3. Syaitan menakutkan manusia dengan kemiskinan [2:268-269]
Mukadimah
Alhamdulillah, kita berada pada juzuk ketiga halaman 45. Juz ketiga ini adalah berkaitan dengan bab infak dan perjuangan di jalan Allah SWT. Juzuk pertama bercakap tentang al-Quran dan hidayah. Juzuk kedua pula tentang solat, peraturan, bab haji, bab umrah dan pengurusan keluarga.
Kalau dulu, bila membaca ‘Alif Lam Mim’ sahaja, sudah mula tidak sabar bila surah ini akan habis. Sekarang bila dapat mendengar bacaan yang bagus, faham sedikit makna, itulah pengalaman yang amat bermakna. Inilah barakah daripada al-Quran. Alhamduillah.
Kita bersyukur dan bertuah kerana dipilih oleh Allah SWT bersama al-Quran. Jom kita baca, faham dan sebarkan kepada seluruh alam. Mudah-mudahan orang mendapat hidayah asbab dari kita berkongsi ilmu al-Quran. Semoga kita sentiasa istiqomah belajar dan sebarkan kebaikan. Amin.
Al-Fatihah (Ummul Quran) dibaca untuk meminta hidayah. Dalam al-Fatihah Allah mula dengan memperkenalkan diriNya ar-Rahman ar-Rahim. Allah ini Maha Pemurah Maha Penyayang. Dengan sifatNya yang pemurah penyayang itu Allah berikan banyak rezeki kepada kita seperti harta dan masa yang kalau kita infakkan akan berkembang. Juz ketiga ini banyak bercakap mengenai infak.
Cantiknya susunan al-Quran ini di mana juz pertama tentang Quran, juz kedua tentang solat dan juz ketiga tentang infak. Allah memperincikan perkara utama yang telah diperkenalkanNya dalam al-Baqarah, 2:1-5 (Halaman 2). Subhanallah, so amazing this al-Quran! Bagi yang mengamalkan al-Quran, solat dan infak (QSI) dalam hidup di dunia ini tidak akan rugi. Bila harta kita diinfakkan, ia akan berkembang dan berkembang lagi.
Ayat [2:265]
وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمُ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ وَتَثْبِيتًۭا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍۭ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌۭ فَـَٔاتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌۭ فَطَلٌّۭ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ٢٦٥
"Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan."
Pengajaran
- Dalam ayat [2:261], bagi orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah (fi sabilillah), akan diberikan ganjaran seperti tujuh tangkai yang ada 700 biji benih, umpama tujuh kali ganda. Fi sabillillah itu luas dan bukan hanya berperang.
- Dalam ayat ini [2:265], disebut tentang menginfakkan harta kerana Allah dan mengharap keredhaan Allah. Mereka yang berinfak juga mahu meneguhkan diri mereka. Ambil dari akaun dunia dan 'transfer' (pindahkan) ke akaun akhirat yang masih belum kita nampak. Perkara ini tidak mudah untuk dilakukan dan memerlukan kekuatan. Berlainan dengan jika kita ada duit dalam akaun dunia, kita nampak jelas. Boleh keluarkan beli itu ini.
- Perumpamaan yang Allah berikan mengenai infak ini ialah seperti mempunyai kebun di dataran tinggi yang disirami hujan lebat. Tanah tinggi ini memang subur, ditambah dengan siraman hujan, dua kali ganda ganjarannya. Kalau tiada hujan lebat, hujan gerimis pun sudah cukup untuk menyuburkan tanaman.
- Salah satu pendapat ulama tentang أَصَابَهَا وَابِلٌ (ditimpa hujan lebat), orang yang menggunakan hartanya untuk mendapat redha Allah SWT akan berdepan dengan ujian demi ujian, yang digambarkan dengan hujan lebat, tetapi Allah akan tetap memberi ganjaran yang banyak kepadanya.
- Antara 700 biji benih dan 2 kali ganda hasil kebun tadi, mana yang kita nak pilih? Contoh: untuk mendirikan masjid, kita semua dah derma RM1, RM5 hari-hari tetapi masjid tidak siap lagi. Kita terus sahaja menderma lagi sehinggalah siap terdiri masjid itu. Hasilnya nanti, dua kali ganda ganjaran akan sentiasa masuk ke dalam akaun akhirat kita. Bayangkan, segala amal dan aktiviti yang dibuat dalam masjid, kita juga mendapat ganjarannya.
- Allah sentiasa Melihat apa yang kita lakukan.
Ayat [2:266]
وَأَعْنَابٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ لَهُۥ فِيهَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ وَأَصَابَهُ ٱلْكِبَرُ وَلَهُۥ ذُرِّيَّةٌۭ ضُعَفَآءُ فَأَصَابَهَآ إِعْصَارٌۭ فِيهِ نَارٌۭ فَٱحْتَرَقَتْ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ٢٦٦
"Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar)."
Pengajaran
- Hendaklah kita pindahkan harta yang ada ke akaun akhirat dengan segera. Kalau tidak, harta itu akan terbakar begitu saja. Ini amat merugikan. Allah sampaikan mesej ini melalui perumpamaan: Kita ada kebun dan bila sudah tua kita mahu memberi kebun itu kepada anak. Tetapi, kebun itu terbakar, maka habis semuanya. Anak kita pun tidak sempat merasakan hasil kebun.
- Beri nafkah yang sewajarnya tapi jangan kita tompok-tompokkan kekayaan hanya untuk anak-cucu. Sedekah dengan segera kerana saham akhirat akan lebih menguntungkan anak-cucu.
- Orang yang berfikir secara mendalam akan tahu, harta dunia yang ditinggalkan tidak pasti manfaatnya. Pewaris kita belum pasti memanfaatkan kebun itu. Kalau segera bersedekah inilah peluang untuk kita dapat manfaatnya daripada Allah SWT kerana dipindahkan ke akaun akhirat yang kekal.
- Ingatlah harta dunia kita boleh hancur (فَٱحْتَرَقَتْ - terbakar) bila-bila sahaja. Uruslah harta kita dengan baik. Tidak salah untuk diberi kepada anak cucu .Pastikan aset/rumah kita di akhirat juga kita fikirkan dengan menginfakkan sebahagian dari harta itu ke jalan Allah.
- Pastikan kita tidak kedekut pada tempat yang sepatutnya kita jadi pemurah, dan sebaliknya.
Ayat [2:267]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧
"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji."
Ibnu Jarir menyebut ayat ini turun tentang orang yang mempunyai kebun kurma dan menderma kurma-kurma dengan menggantungkan kurma di pagar untuk diambil oleh orang. Malangnya, ada orang yang mencampurkan kurma-kurma tersebut dengan kurma yang tidak elok. Jadi, pengajarannya, bila kita memberi, berilah yang terbaik. Beri baju kepada orang contohnya, janganlah beri yang kita sudah memang mahu buang atau sudah tidak elok lagi. Bayangkan jika kita yang menerima benda begitu.
Pengajaran
- Allah memanggil kita semua dengan gelaran, " Wahai orang-orang yang beriman" ( يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟) walaupun iman kita mungkin setipis kulit bawang. ءَامَنُوٓا۟ adalah iman yang kuat. Satu panggilan penghormatan dari Allah .
- Allah menyeru (memberi arahan) kita kerana Allah tahu kita ada potensi untuk menginfakkan benda yang baik-baik dari sesuatu yang telah kita usahakan (كَسَبْتُمْ). Di dalam surah Ali Imran, Allah menyebut kita tidak berbuat kebajikan sehingga kita memberi sesuatu yang kita cintai. Susah nak melakukannya. Biasanya, kita beri barang-barang yang kita tidak mahu lagi, bukan yang kita sayang.
- Infaklah sesuatu yang bagus dan yang kita sayang, bukan yang sebaliknya. Abu Bakar menginfakkan segala hartanya, Uthman ibnu Affan beri bermacam-macam dan Abdul Rahman bin Auf beri separuh hartanya.
- Allah Maha Kaya, Maha Terpuji , tidak perlu sedekah dan pujian atau apa-apa pun dari kita. Sebaliknya kita yang memerlukan segalanya dari Allah. Malah jika kita berinfak, Allah akan memuji kita kepada kalangan malaikat-malaikat dan memberi keampunan (maghfirah).
Ayat [2:268]
ٱلشَّيْطَـٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِٱلْفَحْشَآءِ ۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةًۭ مِّنْهُ وَفَضْلًۭا ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ ٢٦٨
"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya."
Pengajaran
- Syaitan membisikkan agar kita tidak berinfak kerana kita akan menjadi fakir/miskin jika menderma. Orang begini akan mudah untuk terpengaruh membuat perkara keji.
- Infak itu adalah perisai daripada buat perkara keji.
- Allah menjanjikan keampunan (مَّغْفِرَةً) dan kurniaan (فَضْلًا) kepada mereka yang suka berinfak.
- Harta yang disimpan tidak akan dapat dinikmati hasilnya melainkan kita infakkan.
- Allah Maha Luas rahmatnya dan Maha Mengetahui.
Ayat [2:269]
يُؤْتِى ٱلْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ ٱلْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ٢٦٩
"Allah memberikan Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
Pengajaran
- Allah kurniakan hikmah yang besar iaitu nikmat pengampunan dan kurniaanNya kepada orang yang bersedekah. Perumpamaan: Gelas tidak mendapat manfaat pun dari air yang sedap di dalamnya. Yang merasa sedapnya air itu ialah kita yang meminum air itu.
- Hendaklah kita berusaha menjadi Ulul Albab iaitu golongan orang yang bijaksana (حِكْمَةَ) yang nampak manfaat kebaikan dari infaknya di dunia sehinggalah ke akhirat. Ulul Albab menggunakan ilmu dan akal yang diberi oleh Allah SWT untuk bersungguh-sungguh membuat kebaikan yang dapat menjadi pelaburan akhirat.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Selalu menyemak apakah projek "Fi Sabillillah" yang saya infakkan [2:265]
2. Berikan yang terbaik, bukan baki atau tidak berguna [2:267]
3. Jauhi syaitan yang menjanjikan kefakiran dan menyeru perkara keji [2:268]
Lega kerana Allah SWT beritahu nikmat yang besar kepada orang yang berinfak harta kepada fi sabilillah.
Saya jelas untuk segera infak harta yang ada kerana amalan ini amat menguntungkan saya dan anak-cucu di dunia sampai akhirat.
Ya Allah kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa bersedekah dan berinfak ke jalan Mu. Janganlah Engkau jadikan dunia ini berada dalam hati-hati kami, jadikan dunia itu berada pada tangan-tangan kami. Terimalah akan amal sedekah kami, jauhilah daripada sifat riak daripada diri kami, jauhkan syaitan yang sentiasa berbisik untuk melambat-lambat dan menangguhkan kami daripada melakukan ibadah dan amalan-amalan sedekah kepada Mu ya Allah.
Ya Allah, kurniakanlah keberkatan kepada harta-harta, anak-anak, cucu-cicit kami, kurniakanlah keberkatan dalam kehidupan kami. Ya Allah, lindungi kami dari tipu daya syaitan. Bantu kami agar kami menjadi orang yang banyak berinfak harta kami yang baik-baik. Jauhi kami dari sifat kedekut. Ya Allah luaskan rezeki kami agar kami dapat manfaatkannya sebagai pelaburan ke akhirat.
Ya Allah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala rezeki yang Engkau berikan bagi melakukan amal kebaikan. Jadikan kami Ulul Albab. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Jauhi kami dari azab neraka.