Wednesday, May 3, 2023

Halaman 46 : Al-Baqarah, 2:270-274


PERKATAAN HARI INI 


ظَلَمَ  = Menzalimi, tidak adil

Disebut 315 kali di dalam Al Quran

SINOPSIS 

  
  1. Sedekah cara sembunyi dan sedekah terang-terangan [2:270-271]
  2. Orang yang berhak menerima sedekah [2:272-274]


Mukadimah


Kita memanjatkan puji dan kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberi peluang untuk meneruskan pembelajaran pada halaman 46 surah al-Baqarah. Terus istiqomah sama ada di rumah atau di pejabat untuk mendapatkan nur hidayah daripada al-Quran. Jika kita bergantung dengan Allah, Dia akan menguatkan hati kita dalam menghadapi segala cabaran yang ada. Jika kita bergantung kepada manusia dia sendiri lemah dan dia akan melemahkan kita. 

Teruskan berbuat kebaikan dan berkongsi ilmu kerana kita hanya ada satu peluang sahaja dalam hidup ini untuk berbuat yang terbaik bergantung kepada Allah atau kita mahu buat sambil lewa dan kita lemah yang akhirnya tersungkur sebelum sampai  di akhirat nanti dalam rahmat Allah.

Kita mengulang dan mengulang membaca Surah al-Fatihah untuk memohon hidayah daripada Allah SWT. Kita sebenarnya memohon hidayah kerana di awal surah al-Fatihah kita berbincang tentang segala pujian dan kesyukuran bagi Allah SWT. Hari ini kita kena kuatkan perkataan Alhamdulillah. Ia akan menguatkan semangat kita dalam melalui segala kepayahan dalam  kehidupan ini. Salah satu daripada perkara penting yang menguatkan hati kita ialah apabila kita banyak melakukan infak.

Pada halaman lepas,  ayat 268 kita telah bincangkan bahawa syaitan menjanjikan kemiskinan dan menyuruh berbuat keji sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurniaannya. Antara kefakiran dan perkara keji adalah enggan membantu orang lain kerana mementingkan diri sendiri. Itu adalah perkara keji yang perlu kita elakkan selain daripada perkara-perkara keji yang lain. 


Ayat [ 2:270]


وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُم مِّن نَّذْرٍۢ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُهُۥ ۗ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ ٢٧٠

"Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya."

Soalan dari halaman lepas. Apa beza infak dan sedekah? Sedekah adalah salah satu cabang infak. Apa saja rezeki (duit, tenaga, ilmu, semangat) yang kita berikan adalah infak. Sedekah yang wajib namanya zakat. Yang tak wajib namanya sedekah. Yang lain seperti qardun hasan dan wakaf adalah infak. 

Pengajaran

  1. Nazar adalah perkara yang wajib ditunaikan. Nazarlah perkara yang baik-baik. Bukan bernazar untuk membalas dendam, contohnya akibat fitnah yang pernah orang lakukan. Seperti Saidina Abu Bakar pernah tidak mahu membantu orang yang memfitnah anaknya Saidatina Aisyah r.a.
  2. Apa saja yang kita infak, sama ada orang lain tahu atau tidak, Allah tetap tahu. 
  3. Mengungkit pemberian dan menyakiti hati orang yang diberi adalah dilarang. 
  4. Orang yang tidak membuat infak wajib atau sunat, adalah orang yang zalim. Orang zalim tidak akan mendapat bantuan Allah. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.
  5. Allah akan membantu orang yang infak. Bantuan Allah datang dalam berbagai cara. Contoh: Seorang bergaji RM1000, seorang lagi RM 500. Orang yang gaji RM1000 yang tidak dibantu Allah,  tayar kereta kena ganti dan terpaksa keluar duit . Jadi, akhirnya berkuranglah gaji itu. Orang yang bergaji RM500 aman sahaja dan cukup dengan apa yang didapatinya. Orang yang Allah bantu akan merasa cukup, sedangkan ramai yang banyak harta tetap tidak merasa cukup dan tenang.


Ayat [2:271]


إِن تُبْدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا ٱلْفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّـَٔاتِكُمْ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ ٢٧١

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Pengajaran

  1. Sedekah secara terang-terangan adalah perbuatan baik jika bertujuan untuk menggalakkan orang lain berbuat baik. 
  2. Sedekah terang-terangan untuk tujuan menunjuk-nunjuk atau riak adalah dilarang. Tanda riak ialah kalau orang tak puji atau tak like selepas kita tunjukkan sedekah itu kita sakit hati.
  3. Sedekah dengan riak adalah perbuatan yang merugikan kerana pahalanya hilang begitu sahaja.
  4. Sedekah secara sembunyi lebih baik jika kita tidak dapat mengawal perasaan riak. 
  5. Allah akan menghapuskan kesalahan orang yang sedekah dengan ikhlas. 
  6. Allah Maha Mengetahui secara mendalam apa yang kita lakukan.


Ayat [2:272]


۞ لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَىٰهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۗ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ فَلِأَنفُسِكُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ ٱللَّهِ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ٢٧٢

"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan."

Pengajaran

  1. Ayat ini menyebut tentang hidayah tetapi ada kaitan dengan infak. Bila kita bersedekah jangan harapkan orang itu mendapat hidayah kerana hanya Allah yang boleh memberi hidayah. Tugas kita hanyalah menyampaikan. 
  2. Apa saja yang kita infakkan, kesannya adalah untuk kita sendiri bukan untuk orang lain. Ganjaran sedekah Allah berikan kepada kita walaupun orang yang diberi sedekah tidak berubah kepada kebaikan.
  3. Infaklah untuk mencari keredaan Allah SWT kerana ini akan menguatkan stamina kita untuk terus berbuat kebaikan. Jika kita infak kerana mahu orang mendapat hidayah atau mahu orang suka apa yang kita buat, kita akan kecewa. 
  4. Allah tidak akan kurangkan apa-apa pun bila kita berinfak.  Malah Allah akan 'refund' ke akaun kita 700 kali ganda atau dua kali ganda. 
  5. Allah akan menghapuskan kesilapan orang yang rajin berinfak. 
  6. Kita berinfak bukan untuk memberi hidayah. Kita pasti akan mendapat pahala bergantung kepada niat kita. Niat itu penting. Maka betulkan niat kita.
  7. Jangan menghukum orang lain yang berinfak. Kalau mereka tunjukkan di facebook gambar atau replika cek, itu bukan semestinya kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk. Mereka mungkin mahu mengajak orang berbuat kebaikan yang sama. Lebih baik orang tahu ke mana duit itu digunakan dari senyap-senyap sahaja.


Ayat [2:273]


لِلْفُقَرَآءِ ٱلَّذِينَ أُحْصِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًۭا فِى ٱلْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ ٱلْجَاهِلُ أَغْنِيَآءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَـٰهُمْ لَا يَسْـَٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلْحَافًۭا ۗ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ ٢٧٣

"(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya."

Pengajaran

  1. Ayat ini menceritakan kepada siapa kita hendak bersedekah iaitu orang fakir yang terhalang usahanya mencari nafkah kerana fi sabilillah. Contohnya para pelajar yang tidak cukup duit. Mereka segan untuk meminta-minta maka ada orang menyangka mereka itu kaya. 
  2. Infak adalah perbuatan hati. Allah mengulang banyak kali yang Dia tahu niat di dalam hati  orang yang bersedekah. 
  3. Infaklah dengan harta yang baik tanpa syarat. Lakukannya semata-mata untuk mendapat redha Allah.
  4. Janganlah kita jadi orang yang meminta-minta secara paksa kepada orang lain.
  5. Orang yang berjihad fi sabilillah dan menjaga kehormatan diri tanpa meminta-minta akan dibantu oleh Allah SWT. 



Ayat [2:274]


ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ سِرًّۭا وَعَلَانِيَةًۭ فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٢٧٤

"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita."

Pengajaran

  1. Orang yang sentiasa berinfak akan mendapat ganjaran dan Allah tidak memberi kebimbangan dan bersedih hati. Mereka faham akaun sedekah mereka penuh. Mereka tidak menyesal dengan infak mereka. Yahzanun ( يَحْزَنُونَ) disebut banyak kali di dalam al-Quran dalam surah-surah yang berbeza. Bukan bermakna tidak ada sedih langsung tetapi kesedihan yang mampu diurus dengan bantuanNya Allah . 
  2. Orang yang mendapat hidayah akan sentiasa memberi infak. Siang malam, secara terang atau sembunyi dan mereka inilah yang sedang menempah rahmat Allah untuk ke syurga.
  3. Orang yang bijak akan banyakkan infak.
  4. Allah memberi keampunan (maghfirah) kepada orang yang berinfak. Dengan keampunan ini kita tidak perl lagi memakai 'topeng' untuk menutup kesilapan-kesilapan (dosa-dosa) kita di akhirat nanti.
  5. Banyakkan infak kerana kita mahu bantuan yang banyak daripada Allah agar keluarga kita terhindar dari cabaran-cabaran dalam kehidupan. 
  6. Sedekah adalah sebagai 'burhan', cahaya. Iman kita turun naik. Mantapkan ia dengan amalan infak.

RESOLUSI


Ingat !!
  1. Ketika infak, jangan riak dan memberi barang yang buruk/tidak elok [2:270]
  2. Banyakkan infak untuk menghapuskan dosa seseorang dan menolak musibah dan kejahatan [2:271] 
  3. Ikhlas ketika bersedekah demi mengharapkan keredhaan Allah [2:272]

Lega kerana Allah SWT akan memberi keampunan dan menolak musibah dan kejahatan sekiranya saya berinfak fi sabilillah.

Saya jelas untuk segera infak harta yang ada kerana amalan ini amat menguntungkan saya dan anak-cucu di dunia sampai akhirat.

Ya Allah kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa bersedekah dan berinfak ke jalan Mu. Janganlah Engkau jadikan dunia ini berada dalam hati-hati kami, jadikan dunia itu berada pada tangan-tangan kami. Terimalah akan amal sedekah kami, jauhilah daripada sifat riak daripada diri kami, jauhkan syaitan yang sentiasa berbisik untuk melambat-lambat dan menangguhkan kami daripada melakukan ibadah dan amalan-amalan sedekah kepada Mu ya Allah. 

Ya Allah, lindungi kami dari tipu daya syaitan. Bantu kami agar kami menjadi orang yang ikhlas berinfak dengan harta kami yang baik-baik. Jauhi kami dari sifat kedekut. Ya Allah luaskan rezeki kami agar kami dapat manfaatkannya sebagai pelaburan ke akhirat. 

Ya Allah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala rezeki yang Engkau berikan bagi melakukan amal kebaikan. Jauhi kami dari azab neraka. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Penyayang, Maha Pemberi Rezeki, Maha Kaya, Maha Melindungi, Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...