PERKATAAN HARI INI
خبط = dirasuk
1 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Riba dan berbagai kesan negatifnya bagi individu dan masyarakat [2:275-281]
Mukadimah
Kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah kita terus ceria dan mendapat hidayah dan hadiah daripada Allah SWT. Allah izinkan kita untuk bersama-sama al-Quran dan mendapat hidayah. Ini amat penting, lebih berharga daripada seluruh emas di dunia ini. Hidayah ini yang sangat kita perlukan untuk meneruskan kehidupan di dunia apatah lagi sampai di akhirat nanti
Semoga halaman ini dapat ditelaah dan difahami dengan baik kerana ia melibatkan ekonomi keluarga, negeri dan negara. Di zaman Nabi Muhammad SAW dulu juga baginda memikirkan tentang ekonomi orang Mekah dan Madinah. Orang kaya menekan orang miskin. Bukan sekadar itu, merampas dan merampas dalam diam.
Dengan mengulangi bacaan al-Fatihah harapnya kita dapat memperbaiki kualiti bacaan dan membaiki kefahaman tentang asas hidayah daripada Allah SWT. Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang memberi kita macam-macam. Ar-Rahman maknanya Allah itu memberi rahmat kepada semua makhluk sama ada orang beriman atau tidak. Allah memberikan udara supaya kita boleh bernafas, berikan kesihatan dan lain-lain lagi. Maka kita mestilah jadi umat yang bersyukur, tidak dengki atau hasad kepada orang lain kerana semuanya datang daripada Tuhan yang Esa.
Cabarannya kalau semuanya hendak kita kaut seperti yang berlaku kepada Bani Israel dan perangai ini juga ditiru oleh orang-orang lain zaman sekarang. Inilah yang hendak kita hindari dengan mempelajari apa yang Allah tunjukkan dalam pelajaran pada hari ini. Ayat-ayat sebelum ini, sebanyak 3 muka surat, adalah mengenai infak. Bab riba hanya satu muka surat sahaja. Dalam dunia sekarang, isu riba amat berleluasa, namun untuk menyelesaikan riba, Allah bagi petunjuk bahawa kita hanya perlu fokus kepada infak dalam kehidupan seharian.
Pada ayat 274, Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang-orang yang berinfak. Orang yang infak adalah orang yang bijak kerana membuat pelaburan yang paling lumayan.
Ayat [2:275]
ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ مِنَ ٱلْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْبَيْعُ مِثْلُ ٱلرِّبَوٰا۟ ۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلْبَيْعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ ۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ٢٧٥
"Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."
Pengajaran
- Orang yang mahu untung cepat, mereka melakukan riba. Riba daripada perkataan ربو (raba) maksudnya menambah secara yang tidak halal. Riba ada dua jenis: nasiah atau fadhal. Nasiah contohnya: bagi pinjam duit katakan RM100, lepas 3 bulan peminjam kena bayar RM120. Ini banyak berlaku dalam sistem perbankan dan ceti. Ia mungkin disebut dengan nama lain seperti bunga, faedah dan upah. Maksudnya ialah menambah daripada apa yang dipinjam. Contoh riba fadhal: menukar kurma yang elok dengan kurma yang tidak elok. Nilainya diambil dengan cara yang melampau-lampau.
- Rasul melaknat orang yang memakan riba, memberi riba, menjadi saksi dan menulis urusan riba.
- Di akhirat, orang yang terlibat dengan riba akan bersikap seperti dirasuk syaitan kerana diazab dalam neraka. Di dunia, orang yang terlibat dengan riba mudah dirasuk syaitan. Orang begini, mahu menambah lagi dan lagi kerana menganggap riba dan jual beli adalah sama sahaja.
- Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Perkara ini amat bahaya kerana riba adalah lawan infak. Infak, kita beri dan akan dapat banyak pada masa akan datang. Riba kita bagi pinjam dan kita dapat banyak pada masa akan datang . Namun ia adalah menzalimi orang yang diberi pinjam. Contoh: Kad kredit, juga ada unsur riba. Jika kita tidak berdisiplin dalam membayar, akan dikenakan bayaran lebih yang akan memudharatkan kerana adanya unsur riba. Maka berdisiplin dalam membayarn pinjaman kad kredit supaya tidak terlibat dengan riba.
- Sesiapa yang terlibat dengan riba seolah-olah menempah tempat di neraka kerana ini adalah dosa besar.
Ayat [2:276]
يَمْحَقُ ٱللَّهُ ٱلرِّبَوٰا۟ وَيُرْبِى ٱلصَّدَقَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ ٢٧٦
"Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa."
Pengajaran
- Allah akan menghilangkan keberkatan kepada orang yang terlibat dengan riba. Sebaliknya Allah menyuburkan sedekah. Menurut Imam Al-Sha'rawi keberkatan itu boleh datang dalam berbagai-bagai cara. Dengan kesihatan yang baik, contohnya. Duit yang sedikit tapi cukup. Keuntungan sedekah hanya boleh dilihat dengan mata-hati.
- Kita perlu usahakan agar tidak terlibat dengan riba kerana orang terlibat dengan riba sentiasa dalam dosa. Sambil tidur pun buat dosa. Mereka terlibat dengan dosa yang melampau-lampau (أَثِيمٍ).
Ayat [2:277]
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٢٧٧
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
Pengajaran
- Kalau kita terlibat dengan riba segeralah bertaubat dengan melakukan 4 perkara berikut: a. beriman b. beramal soleh c. solat d. keluarkan zakat
- Allah menjanjikan kepada orang berinfak bahawa mereka tidak akan takut dan bersedih hati.
- Institusi wakaf dan zakat di negara mesti dikuatkan kerana ia dapat membantu orang-orang yang memerlukan agar tidak terlibat dengan riba seperti meminjam daripada ceti , “Along” dll.
Ayat [2:278]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ٢٧٨
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman."
Pengajaran
- Allah memberi penekanan menyuruh kita bertakwa iaitu tinggalkan sisa dan saki baki riba yang belum dikutip.
- Berdoalah agar Allah memberi kemudahan untuk kita menjauhi perkara berkaitan riba.
Ayat [2:279]
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ ٢٧٩
"Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa."
Pengajaran
- Orang yang terlibat dengan riba tidak akan selamat kerana seolah-olah mereka berperang dengan Allah dan RasulNya.
- Jangan bagi muka kepada orang yang menggalakkan riba kerana ia adalah kezaliman yang besar.
- Orang bertaubat daripada riba boleh mengambil hak mereka kembali.
- Allah tidak mahu sesiapapun terlibat dengan kezaliman, samada dizalimi atau menzalimi.
Ayat [2:280]
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍۢ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍۢ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا۟ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ٢٨٠
"Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)."
Pengajaran
- Asas kepada riba ialah apabila ada orang yang perlu meminjam (berhutang).
- Jangan menzalimi pihak yang meminjam dengan menyuruh mereka bayar lebih kerana mereka berada dalam kesempitan hidup.
- Bila orang meminjam, berilah tempoh untuk membayar balik sehingga lapang hidupnya.
- Kalau peminjam mampu, lebih baik sedekahkan saja kerana pahala bersedekah sangat besar.
- Jangan pula meminta lebih daripada peminjam kerana itu adalah riba.
Ayat [2: 281]
وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى ٱللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ ٢٨١
"Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun."
Ayat [2:281] sebahagian ahli mufasir menyatakan adalah ayat terakhir turunnya al-Quran. Maka ia memberi isyarat Nabi Muhammad s.a.w akan wafat.
Pengajaran
- Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan diri daripada riba agar terpelihara daripada huru-hara hari kiamat. (Kaji 4 fasa riba seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran agar kita dapat berusaha sebaik mungkin untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan riba. Fasa pertama Surah Ar-Rum Ayat 39, fasa kedua Surah An-Nisaa' Ayat 161 dan fasa ketiga Ali-’Imran Ayat 130. Ayat ini adalah fasa keempat).
- Masing-masing kita ada fasa tersendiri tentang isu riba. Yang pentingnya kita tidak mahu lagi terlibat dengan riba.
- Allah akan memberi balasan dengan adil kepada setiap yang kita usahakan
- Kita mesti berusaha menguatkan ekonomi berasaskan Islam secara terancang dengan memantapkan sistem infak dan wakaf.
- Sistem riba akan runtuh sekiranya sistem infak dan wakaf mantap.
- Bila iman kita dibina, barulah kita dapat berazam tidak melakukan riba lagi.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Elakkan menyokong sistem riba kerana ia sistem yang dirasuk syaitan [2:275]
2. Bertaubat jika terlibat dengan riba [2:279]
3. Mudahkan urusan orang yang berhutang agar Allah mudahkan urusan kita [2:280]
Lega kerana Allah SWT mengajarkan cara terbaik untuk memelihara ekonomi yang akan membawa keuntungan di dunia dan akhirat.
Saya jelas untuk berusaha bersungguh-sungguh mengelakkan daripada terlibat dengan riba.
Ya Allah, jauhi kami daripada terlibat dengan riba. Ya Allah, mudahkan urusan dalam kehidupan kami agar kami terhindar daripada berhutang. Ya Allah, kurniakanlah keberkatan kepada harta dan zuriat kami. Kurniakan kami iman yang sempurna, kekalkan kami dalam hidayah-Mu, terimalah amalan-amalan kami, beratkanlah timbangan mizan kebaikan kami di hari akhirat.
Ya Allah, ilhamkan kami untuk menggunakan segala rezeki yang Engkau berikan bagi melakukan amal kebaikan. Ya Allah, ampun dan maafkan segala dosa kami. Jauhi kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.