Wednesday, May 3, 2023

Halaman 49 : Al-Baqarah, 2:283-286


PERKATAAN HARI INI 


كَتَمَ  =  Menyembunyikan

21 kali disebut di dalam Al Quran


SINOPSIS   

  1. Pentingnya penulis hutang dan kesaksian [2:283]
  2. Segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi adalah milik Allah SWT [2:284]
  3. Iman kepada risalah para rasul dan segala perintah/arahan adalah sesuai dengan kemampuan [2:285-287]

Mukadimah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada hari ini kita sudah sampai ke halaman terakhir surah yang terpanjang dalam al-Quran. Ini sebagai satu lambang kesyukuran kita kepada Allah SWT. Dengan izin Allah SWT kita berjaya mendaki puncak al-Quran (Sanam al-Quran). Semoga pembelajaran kita ini diberkati Allah SWT dan kita mendapat hidayah daripada dunia sampai ke akhirat.  Al-Quran ialah satu sumber hidayah yang kita dambakan pada setiap hari. 

Halaman terakhir ini masih bercakap tentang hutang kerana ada sesuatu yang besar dalam ayat-ayatnya. Allah sayang kepada kita kerana Dia izinkan kita tengok satu persatu halaman tanpa ada rasa jemu atau rasa nak habis cepat seperti dulu-dulu.

Setakat ini kita telah membaca surah al-Fatihah sebanyak 49 kali dalam program ini. Surah ini mengingatkan kepada kita yang kita memohon kepada Allah SWT supaya ditunjukkan jalan lurus yang membawa kita dekat kepada para nabi, orang-orang siddiq, syuhadak dan orang-orang soleh. Kita doakan bila kita ke halaman terakhir ini kita dapat merasakan ini sebagai satu nikmat yang besar sebagai satu fadhal atau kurniaan daripada Allah SWT.

Yang terbelenggu dengan cabaran, ayat terakhir akan mencerahkan bagaimana hakikatnya dan cara kita mahu mengurusnya. 


Ayat [2:283]


۞ وَإِن كُنتُمْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ وَلَمْ تَجِدُوا۟ كَاتِبًۭا فَرِهَـٰنٌۭ مَّقْبُوضَةٌۭ ۖ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُم بَعْضًۭا فَلْيُؤَدِّ ٱلَّذِى ٱؤْتُمِنَ أَمَـٰنَتَهُۥ وَلْيَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥ ۗ وَلَا تَكْتُمُوا۟ ٱلشَّهَـٰدَةَ ۚ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُۥٓ ءَاثِمٌۭ قَلْبُهُۥ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌۭ ٢٨٣

"Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

Pengajaran

  • Pada halaman terakhir ini Allah memberi perhatian tentang hutang. Ini menunjukkan perkara hutang amat penting untuk diuruskan dengan hidayah Allah agar kita menjadi orang yang beriman, beramal dan bertaqwa supaya berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.
  • Jika kita perlu berhutang ketika bermusafir, sedangkan kita tidak dapat mencari penulis untuk menulis hutang kita, berilah sesuatu barang sebagai jaminan ( رِهَٰنٌ ) yang dapat dipegang (مَّقْبُوضَةٌ) kepada yang memberi pinjaman. 
  • Hutang adalah amanah kepada orang yang berhutang. Kalau dia tidak bayar hutang maknanya dia telah pecah amanah kepada Allah dan kepada manusia. Jika ini berlaku, bermakna orang itu ada masalah pada ketakwaannya. 
  • Orang yang mengelak daripada membayar hutang adalah orang yang tidak amanah, tidak bertakwa, dan tidak takut kepada Allah SWT.
  • Orang yang menjadi saksi urusan hutang ini juga mesti amanah, tidak menyembunyikan kesaksiannya.
  • Orang yang melarikan diri dari membayar hutang ialah orang yang hatinya hitam dan derhaka kepada Allah.
  • Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan:
    • Orang yang memberi hutang sudahkah mengikut panduan ayat 282?
    • Orang yang berhutang, yang diberikan amanah, adakah hendak bayar balik? 
  • Kalau bertemu Allah dalam keadaan banyak hutang, itu adalah keadaan yang amat sengsara, khuatir kita tidak beri rahmat oleh Allah kerana kita mengambil enteng amanah Allah dan amanah orang yang memberi hutang. 


Ayat [2:284]


لِّلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَإِن تُبْدُوا۟ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ ٱللَّهُ ۖ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ ٢٨٤

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Pengajaran

  1. Walaupun kita berhutang dengan manusia, kita kena ingat bahawa semua itu milik Allah SWT. 
  2. Segala hutang kita dengan Allah dan hutang dengan manusia akan dikira di akhirat ( مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ). Kalau banyak hutang semasa perhitungan di akhirat, bimbangnya kita akan terhalang daripada masuk ke syurga walaupun banyak amal kebaikan yang lain. Bila hutang tidak dibayar, Allah akan 'blacklist' seseorang itu. 
  3. Minta ampun daripada Allah, semoga Allah permudahkan kita melangsaikan hutang-hutang sebelum mati. 
  4. Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Ayat [2:285]


ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّن رُّسُلِهِۦ ۚ وَقَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ ٢٨٥

"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali".

Pengajaran

  1. Ini adalah penekanan daripada Allah SWT tentang keimanan dan perjuangan rasul-rasul. Dengan perjuangan inilah hidayah sampai kepada kita. Perjuangan rasul-rasul penuh dengan peluh dan darah kerana mereka beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT (Unzila).
  2. Mereka beriman dengan Allah, malaikat, kitab dan rasul-rasul. Wahyu datangnya dari Allah dan disampaikan kepada rasul oleh malaikat. Rasul pula menyampaikannya kepada kita. 
  3. Allah memberitahu kita tentang harga hidayah yang amat besar. Maka kita mesti dengar dan patuh hidayah yang Allah turunkan dalam al-Quran.
  4. Kita mohon agar Allah mengampunkan kita kerana kurang membaca, kurang faham, kurang beramal  dengan kitab yang diturunkanNnya.


Ayat [2:286]


وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًۭا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ أَنتَ مَوْلَىٰنَا فَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٢٨٦

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Pengajaran

  • Setiap orang terlibat dengan perjuangan. Nabi, kita, ibu, ayah, anak-anak, semuanya pejuang. Allah memberitahu yang Dia tidak akan membebankan hambaNya. 
  • Kita ada potensi masing-masing. Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain. Kita sebenarnya berentap dengan diri kita sendiri. Apa yang kita hadapi berbeza dengan apa yang orang lain hadapi. Allah tahu apa yang kita mampu buat. 
  • Allah akan mudahkan urusan kebaikan kita. Allah akan susahkan untuk kita buat jahat.
  • Orang beriman yang berusaha bersungguh-sungguh membuat kebaikan memang akan rasa letih tetapi kita minta jangan sampai kita letih yang tidak dibantu oleh Allah atau letih untuk terus buat kebaikan.
  • Berdoalah agar Allah:
    • jangan menghukum kita dan keluarga kerana kita lupa atau kerana silap,
    • jangan membebankan kita seperti mana orang terdahulu dibebankan,
    • jangan pikulkan kita dengan apa yang tidak mampu kita pikul.
    • maaf (padamkan semua kesalahan), ampun (lindungkan kesilapan lalu) dan rahmat      (kasih  sayang)
  • Yakin Allah Pelindung/Penjaga kita daripada orang-orang kafir atau menjadi orang kafir.
  • Sekiranya berasa 'down', bacalah al Quran dan bersama orang-orang yang positif yang dapat memberi kekuatan kepada kita. 
  • Dua ayat terakhir ini merumuskan semua mesej yang terdapat dalam surah al-Baqarah iaitu kita sebagai hamba dan pemimpin (Khalifah) yang Allah utuskan ke dunia mestilah berusaha bersungguh-sungguh membuat kebaikan seperti yang dilakukan oleh rasul-rasul, siddiqin, syuhadak dan orang-orang soleh. Segala perbuatan mestilah berpandukan al-Quran sebagai hidayah (Quran, solat, infak) agar dapat menjaga diri daripada mara bahaya sepanjang perjalanan kembali ke syurga dengan bantuan Allah SWT.


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Tunaikan hutang kerana ia adalah amanah dan takwa [2:284]
2. Berlaku jujur bila bermuamalah dengan Alllah dan  manusia [2:285]
3. Doa selalu agar Allah tidak menghitung amal kita yang silap dan jahil [2:286]

Lega kerana Allah SWT mengajar doa supaya saya tenang menghadapi ujian dalam kehidupan.

Saya jelas untuk menjaga amanah dan berlaku jujur dalam bermuamalah dengan Allah dan manusia. Saya juga jelas untuk beriman seperti rasul-rasul dan berdoa seperti yang diajar dalam ayat 285-286.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...