Wednesday, May 3, 2023

Halaman 50 : Ali-’Imran, 3:1-9


PERKATAAN HARI INI 


فَرَقَ  = Menolak, membezakan, menjauhkan

72 kali disebut dalam Al Quran


SINOPSIS   


1. Pengukuhan tauhid dan penurunan al-Kitab  (al-Quran) [3:1-6]
2. Ayat al-Muhkam dan ayat al-Mutasyaabih dalan al-Quran [3:7-9]

Mukadimah


Alhamdulillah, kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dapat terus tilawah al-Quran. Hari ini kita sudah masuk surah ketiga iaitu surah Ali-’Imran selepas mempelajari 48 halaman daripada surah al-Baqarah, surah yang digelar Sanam al-Quran dan 1 halaman dari surah al-Fatihah. Surah Ali-’Imran dan surah al-Baqarah kedua-duanya digelar   الزهروين (al Zahrawain - dua bunga) yang mempunyai banyak hiasan dan banyak perkara cantik yang perlu kita hiaskan diri kita dalam perjalanan menuju Allah SWT.

Syukur kepada Allah SWT yang telah menyusun program ini hingga kita mampu menelusuri setiap ayat satu persatu. Ini adalah surah ketiga, surah Madaniyah, mengandungi 200 ayat, mempunyai banyak kelebihan, memberi motivasi kepada nabi SAW dan para sahabat dan juga kita semua.

Dimulakan dengan al-Fatihah, memohon kita dibantu oleh Allah SWT. Bantuan paling penting ialah hidayah yang kita baca dalam ayat ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيم. Hidayah Allah akan mencerahkan segala nikmat yang kita perolehi. 

Dalam sejarah ada 3 kumpulan manusia yang mendapat hidayah:
  1. Ada yang dapat hidayah yang menyebabkan mereka mendapat lebih nikmat.
  2. Ada yang mendapat hidayah tetapi mereka dimurkai: Bani Israel yang banyak diceritakan dalam surah al-Baqarah.
  3. Ada yang mendapat hidayah tetapi mereka menukar-nukar dengan ilmu yang tidak betul diterangkan dalam surah Ali-’Imran.
Persamaan antara surah al-Baqarah dan ali-'Imran:
  1. Bermula dengan  huruf-huruf mukhato'ah (huruf potong)  الٓمٓ
  2. Perbahasan tentang kitab

Perbandingan antara surah al-Baqarah dan ali-'Imran:

Al Baqarah 
  1. Cerita tentang sebelum perang Badar. Apa syarat untuk menang?
  2. Menyebut tentang golongan Ulul albab
  3. Doa minta Allah bantu daripada orang yang memusuhi hidayah (kufur)
  4. Menyebut tentang hati dan iman

Ali Imran 
  1. Cerita tentang selepas perang Uhud. Apakah yang menyebabkan tentera Islam kalah sehingga 70 orang syahid?
  2. Penerangan tentang cara menjadi Ulul Albab
  3. Allah berikan formula bagaimana hendak kuat, bagaimana mendapat bantuan Allah dan bagaimana boleh mendapat kemenangan yang berterusan.
  4. Menyebut tentang muslimun, Islam.


Ayat [3:1]


الٓمٓ ١
"Alif, Laam, Miim."

Pengajaran

  1. Hanya Allah mengetahui maksud huruf muqhato'ah. 
  2. Allah mulakan dengan huruf ini untuk membina sikap "saya tak tahu Ya Allah". Walau apapun kepandaian kita, bila berinteraksi dengan al-Quran, kita tidak tahu, Allah yang tahu segalanya. Inilah sikap yang memberi ruang untuk kita mendapat hidayah demi hidayah.


Ayat [3:2]


ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ٢

"Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya."

Pengajaran

  1. Allah memperkenalkan dirinya bahawa Dia Allah yang Tiada Tuhan kecuali Dia, Yang Maha Hidup Maha Berdiri Sendiri maknanya tidak awal tidak ada akhir.
  2. Semua di sekitar kita sumbernya daripada Allah dan Dialah yang menjaga kita dan alam ini sampai bila-bila.


Ayat [3:3]


نَزَّلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ مُصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ ٣

"Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil."

Pengajaran

  1. Allah mendidik kita dengan memberikan hadiah al-Quran yang diturunkan secara bertahap-tahap ( نَزَّلَ ). Al-Quran diturunkan ke langit dunia sekali gus tetapi diturunkan kepada Nabi SAW berperingkat-peringkat selama 23 tahun. 
  2. Kitab  adalah sumber peraturan. Bukan mudah untuk memahami semua peraturan Allah sekali gus, maka Allah turunkan sedikit demi sedikit. Ini adalah proses pembelajaran bagi kita, sedikit demi sedikit supaya kita betul-betul faham dan amal kebenaran yang diturunkan oleh Allah SWT.
  3. Al-Quran  membenarkan kitab-kitab yang terdahulu dan tidak boleh dipersoalkan.
  4. Allah menurunkan Taurat dan Injil sekali gus  (أَنزَلَ).   


Ayat [3:4]


مِن قَبْلُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ ٱلْفُرْقَانَ ۗ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌۭ ذُو ٱنتِقَامٍ ٤

"Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)."

Pengajaran
  1. Taurat dan Injil yang diturunkan sebelum al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia di zaman Nabi Musa dan Nabi Isa.
  2. Walaupun al-Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit, tetapi kebenaran (al-Furqan) daripada Allah itu bukan sedikit demi sedikit. Kita tidak perlu tunggu khatam 30 juzuk untuk mendapat kebenaran.
  3. Al-Furqan membezakan yang benar dan yang salah daripada amalan umat yang mendapat Taurat dan Injil. 
  4. Umat Nabi Muhammad SAW bukan terputus daripada umat Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Ibrahim sehingga Nabi Adam.
  5. Sebagai orang yang beriman, kita wajib berdakwah menyampaikan hidayah Allah SWT kepada semua orang. Kalau orang yang sudah didakwahkan masih tidak mahu menerima kebenaran, barulah ia termasuk dalam kategori orang kafir seperti yang disebut dalam ayat ini ( ٱلَّذِينَكَفَرُوا۟ ). Contoh: Kalau Ah Chong  yang kita tidak pernah dakwahkan, tidak boleh kita kata dia kafir masuk neraka. Dapat azab itu hanya setelah didakwahkan berkali-kali dan masih ingkar. 
  6. Jika orang yang belum didakwahkan tidak menerima kebenaran, kita tak boleh katakan mereka itu orang kafir. Nabi SAW sendiri tidak panggil kaum Musyrik Mekah sebagai kafir sehingga Allah suruh Baginda katakan demikian dalam surah al-Kafirun. Nabi SAW tidak sanggup memanggil Abu Talib kafir. Istilah kafir itu untuk kita faham sifat-sifat mereka supaya kita dapat elakkan dan bukan untuk melabel orang dengan mudah. 


Ayat [3:5]


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَخْفَىٰ عَلَيْهِ شَىْءٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ ٥

"Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.'

Pengajaran

  1. Allah memberitahu kita Dia mengetahui segala-galanya yang ada di bumi dan di langit. 
  2. Kita  berkenalan lagi dengan Allah yang menurunkan panduan dan segala-galanya. Allah tahu keperitan kita jika tidak mendapat hidayah. Allah tahu kalau kita tidak dipimpin. Allah tahu juga hati seseorang itu samada dia respon kepada hidayah atau betul-betul kafir.
  3. Surah Ali-’Imran ini membina prinsip dan membina kebenaran. Jangan kita mudah hilang prinsip. Al-Quran ini sifatnya sempurna.


Ayat [3:6]


هُوَ ٱلَّذِى يُصَوِّرُكُمْ فِى ٱلْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَآءُ ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ٦

"Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Pengajaran

  1. Kita mesti bersyukur bahawa Allah menjadikan kita seperti kita sekarang. Janganlah kita kufur nikmat. Contoh: Ada orang bila rambutnya hitam, dia mahu jadi seperti orang yang berambut 'blonde' (perang). 
  2. Bila kita rasa 'tidak best' dengan apa yang kita ada, kita lupa bahawa sebenarnya, Allah menjadikan yang terbaik bagi kita. Apa saja yang kita ada pada hari ini, itu lah yang terbaik. 
  3. Manfaatkan dan bersyukur dengan apa yang kita ada sebagai tanda kita dapat membezakan yang hak dan yang batil.
  4. Allah ingatkan kita bahawa Dia Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.


Ayat [3:7]


هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ مِنْهُ ءَايَـٰتٌۭ مُّحْكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلْكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌۭ ۖ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِمْ زَيْغٌۭ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَـٰبَهَ مِنْهُ ٱبْتِغَآءَ ٱلْفِتْنَةِ وَٱبْتِغَآءَ تَأْوِيلِهِۦ ۗ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلٌّۭ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ٧

"Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran."

Pengajaran

  1. Ayat Muhkamat (مُّحْكَمَٰتٌ) ialah sesuatu yang jelas. Ayat Mutashabihat مُتَشَٰبِهَٰتٌ adalah yang lebih kurang sama atau kurang jelas atau samar-samar. 
  2. Orang yang hatinya cenderung kepada kesesatan ( زَيْغٌ ), Allah akan menyimpangkan hatinya. Mereka yang begini, cenderung kepada ayat Mutasyabihat. Mereka suka membuat fitnah dan kekacauan. Perkara yang sudah jelas, mereka sengaja mencari kesamaran tentangnya. Mereka mengacau bilaukan pemikiran manusia dan suka membuat tafsiran/takwil yang pelik-pelik. Sekiranya tafsiran tidak diasaskan pada imu, ini adalah penyakit. 
Orang mendalam ilmunya ( ٱلرَّٰسِخُونَ ) terus belajar, mereka beriman kepada Allah tanpa soal. Tidak semua perkara dalam dunia ini kita perlu tahu. Contoh: Janganlah kita sibuk mencari apa makna Aliff Lam Min. Yang penting katakan  ءَامَنَّا بِهِۦ (kami beriman kepadanya). 
  1. Ulul Albab adalah orang yang betul-betul mempunyai akal yang bersih dan yang membersihkan diri akan menyatakan mereka percaya kepada Allah (beriman) dan tinggalkan segala yang tidak jelas. 
  2. Kita yang sudah tilawah al-Quran janganlah mencari perkara yang pelik-pelik lagi.


Ayat [3:8]


رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ ٨

"(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."

Pengajaran

  1. Kita mestilah mengamalkan doa ini agar Allah tidak pesongkan hati kita setelah mendapat hidayah.
  2. Orang berilmu juga boleh terpesong seperti orang Bani Israel yang sudah mendapat hidayah tetapi masih terpesong.
  3. Orang berilmu selain menjaga akal, mesti menjaga hati agar tidak terpesong dengan memohon perlindungan daripada Allah.
  4. Kita juga perlukan kasih sayang dan rahmat Allah agar sentiasa diberi panduan oleh Nya. 
  5. Rahmat Allah yang besar ialah al-Quran. Untuk elakkan diri dari memikirkan yang pelik-pelik, bacalah al-Quran berulang kali agar kita mendapat ilmu dan pencerahan yang baru.  
  6. Kurniaan yang Allah beri di dunia adalah sebagai ujian. Di akhirat, kurniaan adalah sebagai balasan. Oleh itu kita mestilah gunakan kurniaan yang Allah beri di dunia untuk dapat ganjaran di akhirat. 
  7. Jangan rasa benci dengan apa saja kurniaan dari Allah kerana semuanya adalah hadiah daripada Allah. Teruskan meminta daripada Allah al-Wahhab ( ٱلْوَهَّابُ ).


Ayat [3:9]


رَبَّنَآ إِنَّكَ جَامِعُ ٱلنَّاسِ لِيَوْمٍۢ لَّا رَيْبَ فِيهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ ٩

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

Pengajaran

  1. Orang berilmu yang mahu menjaga hati, mesti banyak berdoa. Dalam surah ini ada cerita isteri Imran yang banyak berdoa kerana dia ada kebenaran (al-Haq). Keluarga Imran ada al-Haq. 
  2. Prinsip al-Haq itu akan terus masuk apabila kita banyak berdoa. 
  3. Orang yang ada kebenaran (al-Haq) tidak ragu-ragu tentang hari akhirat. Perkataan  لَّا رَيْبَ (tidak ada keraguan) juga telah disebut dalam Ayat 2, Surah Al Baqarah.
  4. Orang yang ada prinsip susah hendak berubah kerana dia yakin akan dikumpulkan di akhirat untuk mendapat pembalasan terhadap apa yang dilakukan semasa di dunia.
  5. Allah tidak memungkiri janjiNya.
  6. Terus berdoa supaya Allah pimpin kita sehingga hari bertemuNya.

RESOLUSI


Ingat !!
  1. Tingkatkan keimanan dan kebergantungan kepada Allah [3:1-2]
  2. Berinteraksi dengan al-Quran secara bertahap-tahap [3-4]
  3. Selalu memohon pertolongan daripada Allah SWT yang Maha Berkuasa dan                         Maha Bijaksana [5-6]

Lega kerana Allah SWT ajar saya untuk belajar al-Quran secara bertahap-tahap tanpa membebankan saya.

Saya jelas untuk tingkatkan keimanan dan kebergantungan kepada Allah dengan memohon doa daripada Nya dalam segala urusan.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...