Mukadimah
Alhamdulillah pada hari
ini kita dizinkan menatap kepada al-Quran lagi. Kita berada pada ayat yang
istimewa, ayat paling panjang dalam al-Quran. Ayat ini bercakap tentang topik
paling penting iaitu hutang. Ini menunjukkan Allah SWT mengingatkan kita
bahawa urusan dunia dan harta ini penting. Semoga Allah memberi kita
kefahaman tentang hutang. Hutang adalah salah satu daripada tanda rahmat
daripada Allah SWT kepada kita tetapi ia perlu diurus mengikut panduan Ilahi.
Di dalam Surah
al-Fatihah, kita memuji Allah SWT. Alhamdulillah, samada kita ada hutang atau
tidak, kita tetap memuji Allah SWT. مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ Allah adalah penguasa di hari pembalasan, hari
agama. Allah SWT akan bertanya tentang din (ugama/jalan hidup) kita
yang ada kaitan dengan dain (hutang). Allah bagi kita macam-macam di
atas dunia ini. Allah Ar-Rahman Ar-Rahim memberi kita nafas. Allah pinjamkan
kepada kita televisyen, facebook dan umur yang ada sekarang. Allah bagi kita
macam-macam, tak cukup kita boleh minta lagi.
Bila kita baca مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ kita mesti ingat bahawa
kita akan bertemu Penguasa Hari Agama. Penguasa yang berkaitan dengan hari addain.
Deen dan Dain dari kata akar yang sama. Agama kita ini adalah agama yang
menitikberatkan deen (transaksi bersama Allah) dan dain
(transaksi sesama manusia). Hubungan manusia dengan Allah penting dan
hubungan sesama manusia juga penting.
Menurut ulamak bernama
Ibnu Qawis Maudad, ayat ini mengandungi 30 hukum. Kita akan mengambil
beberapa perkara penting agar kita yang berhutang dan memberi hutang
mengetahui bagaimana al-Quran menyelesaikan isu ini.
Ayat yang paling panjang
ini akan menguatkan keimanan kita dalam segala kepayahan yang ada.
Ayat [2:282]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ
أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى فَٱكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌۢ بِٱلْعَدْلِ
ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ
ٱلَّذِى عَلَيْهِ ٱلْحَقُّ وَلْيَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْـًۭٔا
ۚ فَإِن كَانَ ٱلَّذِى عَلَيْهِ ٱلْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ
أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُۥ بِٱلْعَدْلِ ۚ وَٱسْتَشْهِدُوا۟ شَهِيدَيْنِ
مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌۭ وَٱمْرَأَتَانِ مِمَّن
تَرْضَوْنَ مِنَ ٱلشُّهَدَآءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَىٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَىٰهُمَا
ٱلْأُخْرَىٰ ۚ وَلَا يَأْبَ ٱلشُّهَدَآءُ إِذَا مَا دُعُوا۟ ۚ وَلَا تَسْـَٔمُوٓا۟
أَن تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَىٰٓ أَجَلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ أَقْسَطُ
عِندَ ٱللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَـٰدَةِ وَأَدْنَىٰٓ أَلَّا تَرْتَابُوٓا۟ ۖ إِلَّآ
أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً حَاضِرَةًۭ تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ
جُنَاحٌ أَلَّا تَكْتُبُوهَا ۗ وَأَشْهِدُوٓا۟ إِذَا تَبَايَعْتُمْ ۚ وَلَا يُضَآرَّ
كَاتِبٌۭ وَلَا شَهِيدٌۭ ۚ وَإِن تَفْعَلُوا۟ فَإِنَّهُۥ فُسُوقٌۢ بِكُمْ ۗ وَٱتَّقُوا۟
ٱللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ ٱللَّهُ ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ ٢٨٢
Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang
diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis
(hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu
menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis
sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan
hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan
jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia
mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang
itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi
itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan
hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian
kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua
orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika
yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat
diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila
mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara
hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang
demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan)
keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan
kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama
sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi
apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu
disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka
sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada
kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah
(dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
Pengajaran
- Ini adalah ayat yang mendebarkan kerana Allah
memanggil kita dengan "Wahai orang-orang yang beriman!". Sebagai
orang yang mengaku beriman, maka kita mestilah beri perhatian kepada urusan
berkaitan hutang kerana ayat sebelumnya (ayat 281) Allah SWT mengingatkan
bahawa kita akan dikembalikan kepadaNya untuk mendapat balasan sesuai dengan
apa yang kita lakukan semasa di dunia.
- Ayat 281 adalah ayat perantaraan antara ayat
riba, dan selepas itu adalah ayat ini, tentang hutang. Maksudnya orang yang
berani melawan Allah, Allah akan mengistiharkan perang apabila masih lagi
hendak ambil riba (pinjaman dengan tambahan).
Allah laknat orang yang terlibat dengan riba iaitu orang memberi, yang
mengambil, yang menulis tentangnya dan saksi yang ada.
- Ayat ini ialah tentang pinjaman yang tidak ada
tambahan. Allah mulakan ayat dengan memanggil kita dengan panggilan
"wahai orang-orang beriman". Untuk memahami ayat ini kita kena
membina iman, walaupun iman kita mungkin setipis kulit bawang ketika ini.
Dengan panggilan ini, Allah siapkan mindset kita supaya dengar pesanan
tentang hutang ini dengan teliti sebab kita beriman kepada Allah, malaikat
yang mencatat apa yang kita buat selama ini, kita juga beriman kepada rasul,
hari akhirat, kitab dan qada' qadar.
- Pada ayat
إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ ulamak mengatakan ada 3 transaksi yang
berkaitan iaitu: ada yang jual beli ( تَدَايَنتُم), pesan dahulu, dan hutang (ambil dulu bayar
kemudian) semuanya mestilah ditulis SEBELUM transaksi berlaku.
- Kewajipan pertama yang berkaitan dengan 3
transaksi ini ialah tulis. Penulis mesti menulis dengan adil. Di zaman Arab
dahulu, ramai yang tidak boleh menulis dan mereka tetap kena mencari,
walaupun sukar, orang yang boleh menulis. Syarat penulis ialah ia mesti adil
kepada kedua-dua pihak iaitu yang memberi hutang dan yang menerima hutang.
Tidak boleh menulis untuk kepentingan pemberi hutang sahaja. Tulis seperti
yang Allah ajarkan iaitu mesti bersifat adil.
- Hendaklah orang yang berhutang itu menulis dan
merencanakan perincian hutangnya supaya orang yang berhutang itu sedar apa
yang ada dalam dokumen tersebut. Yang berhutang, 'imlak' iaitu memberitahu
penulis. Jika tidak 'imlak' dia tidak sedar apa yang dijanjikan tentang
hutang itu. Penulisan mesti dibuat
supaya orang yang berhutang tidak memanipulasikan hutang itu. Contoh: Selepas
berhutang dia mungkin terlupa atau buat-buat lupa.
- Hutang berlegar di dalam kehidupan kita.
Menurut Imam Ar-Razi, ayat ini panjang kerana apa yang terkandung di dalamnya
memanjang hingga ke akhirat.
- Umur kita yang terhad ini adalah hutang
daripada Allah SWT. Oleh itu kita juga mesti menulis hutang ini dan
merencanakan umur dengan teliti sebab
kita akan dipersoalkan tentang umur kita di akhirat (إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ).
- Kalau orang yang berhutang itu tidak mampu
menulis sendiri, hendaklah wali (penjaga) menulis untuk nya.
- Setiap transaksi hutang mesti ada saksi yang dipercayai
iaitu dua orang lelaki atau satu lelaki, dua orang wanita.
- Peranan saksi adalah untuk mengingatkan orang
yang berhutang dan pemberi hutang kalau mereka lupa atau buat-buat lupa (تَضِلَّ ) tentang perjanjian hutang mereka. Saksi
wajib hadir apabila dipanggil untuk memberi keterangan transaksi hutang yang
mereka terlibat. Contoh: bila pihak
mahkamah panggil saksi wajib hadir.
- Proses memberi hutang adalah ketat di dalam
al-Quran. Bukan mudah-mudah sahaja seperti yang kita anggap. Jika tidak,
orang yang memberi hutang pula yang susah untuk minta hutang.
- Allah ingatkan 2 perkara penting iaitu: 1)
Jangan enggan/jemu menulis hutang kecil atau besar, dan 2) Jangan enggan bila
dipanggil untuk jadi saksi.
- Punca stress yang paling besar ialah hutang
yang mencengkam dan manusia yang menakutkan kita.
- "Barangsiapa yang mengambil harta manusia
untuk berhutang dengan niat akan membayar, Allah akan memudahkan baginya.
Barangsiapa yang mengambil harta manusia untuk berhutang dan menggunakannya
tanpa mahu membayarnya, maka Allah akan membinasakan nya" (Hadis Riwayat
Bukhari).
- Allah Maha Adil
(أَقْسَطُ). Allah tidak akan menzalimi siapa pun.
- Mencatat hutang akan mengelakkan keraguan.
Allah yang jadi pengadil. Kelemahan manusia dari segi psikologinya, mereka
akan overclaim kebaikan tapi bila berhutang, akan mahu sesuatu hutang itu
kurang baginya.
- Jual beli tunai, tidak perlu ditulis.
- Jangan menyusahkan penulis atau saksi-saksi.
Siapa yang berbuat begitu, ia ada masalah fasik di dalam hatinya, iaitu
mereka tidak taat dan derhaka kepada Allah.
- Syarat bertaqwa dalam urusan berhutang ialah
dengan menulis hutang disertakan dengan saksi. Inilah cara Allah melindungi
orang-orang yang memberi hutang dan yang berhutang. Orang yang bertakwa,
sedar mereka berhutang dalam pengawasan Allah.
- Hutang yang tidak diselesaikan akan
dipersoalkan di akhirat.
|
RESOLUSI
Ingat !! - Lantik penulis hutang yang adil
- Jangan menindas orang lemah ketika berhutang
dan melaksanakan transaksi.
- Elakkan dosa besar dengan tidak menyusahkan urusan catatan hutang atau
bisnes.
Lega kerana Allah SWT
mengingatkan salah satu sifat orang bertawqa ialah menulis dalam urusan
berhutang.
Saya jelas untuk menulis
bila ada transaksi hutang supaya dapat menjaga hubungan sesama manusia dan menjaga
hubungan dengan Allah.
Ya Allah kami berlindung
kepadamu dari dosa dan berhutang. Mudahkan urusan dalam kehidupan kami agar
kami terhindar daripada berhutang. Bantu kami untuk melunaskan hutang yang
Engkau pinjamkan kepada kami dalam berbagai bentuk; umur kami, kesihatan
kami, ilmu kami, anak-cucu kami dan semua yang kami ada. Bantu kami menjaga
hubungan sesama manusia.
Ya Allah, jadikan kami
orang yang suka besedekah dan berwakaf agar dapat membantu orang lain yang
memerlukan bantuan. Berikan kami kekuatan untuk melaksanakan perintah Mu
dalam urusan berhutang.
Ya Allah ampunkan segala
dosa kami. Jauhi kami dari azab
neraka. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun
Maha Penyayang. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|