Wednesday, May 3, 2023

Halaman 51 : Ali-’Imran, 3:10-15


PERKATAAN HARI INI 


حًشَرَ  Mengumpulkan, menghimpunkan

43 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Nasib orang-orang kafir yang terpedaya dengan harta dan keturunan mereka dan contoh mereka [3:10-13]
  2. Kecintaan kepada As-Syahaawat di dunia [3:14]
  3. Syurga lebih baik dari dunia dan kemewahannya [3:15]


Mukadimah


Alhamdulillah kita dapat terus mentadabbur al-Quran. Semoga Allah berikan kepada kita taufik dan istiqamah untuk belajar bersungguh-sungguh nikmat al-Quran yang diturunkan kepada kita sebagai hidayah. Semoga kefahaman ini dapat mengubah kita menjadi orang yang bertaqwa. Sekurang-kurangnya kita dapat memahami ayat-ayat yang dibaca dalam solat. 

Dengan membaca al-Fatihah kita terus memuji Allah yang memberi kita al-Quran dan menghantar rasul SAW Dalam dua kalimah syahadah kita mengaku "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah". Nabi SAW adalah utusan Allah tanda Allah amat sayang kepada kita. Kalau tidak, sukar untuk kita dapat baca, faham dan amal al-Quran. Nabi Muhammad SAW sebagai uswatun hasanah (role model) bagaimana al-Quran dibaca dan diamal.

Dalam surah Ali-’Imran (Keluarga Imran) kita akan belajar bagaimana hendak menguatkan prinsip (al-Haq) seperti yang ditunjukkan oleh keluarga Imran. Melalui keteguhan prinsip mereka, lahirlah seorang tokoh wanita yang bernama Maryam (ibu Nabi Isa a.s). Dengan prinsip yang teguh kita tidak mudah goyah dalam kehidupan.



Ayat [3:10]


إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَن تُغْنِىَ عَنْهُمْ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيْـًۭٔا ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ وَقُودُ ٱلنَّارِ ١٠

"Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka."

Pengajaran

  1. Harta atau anak jika tidak diguna dengan cara yang baik akan menjadi bahan bakar api neraka.
  2. Harta yang Allah kurniakan mestilah diguna dengan baik agar dapat membawa kebaikan di akhirat.
  3. Anak mestilah dididik dengan surah Ali-’Imran dan dirancang dengan baik agar dapat menjadi aset untuk membuat kebaikan. 


Ayat [3:11]


كَدَأْبِ ءَالِ فِرْعَوْنَ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ ٱللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ ۗ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ١١

"(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya."

Pengajaran

  1. Allah bawakan contoh orang yang tidak memanfaatkan harta dan anak ke jalan Allah iaitu Firaun dan orang-orang yang terdahulu (Kaum Aad dan Thamud). Mereka bersungguh-sungguh (كَدَأْبِ) mengumpul harta, pangkat dan pengaruh tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Allah. 
  2. Sesuatu kaum disiksa kerana dosa, maka janganlah kita jadi seperti mereka. 
  3. Siksaan Allah kepada orang mendustakan ayat-ayat Allah amat berat di dunia dan di akhirat. 

Ayat [3:12]


قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ ١٢

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan".

Pengajaran

  • Orang kufur mendapat dua ancaman Allah: 
    • mereka akan dikalahkan di dunia
    • mereka akan dihalau ke neraka Jahannam.
  • Ancaman itu adalah kepada orang-orang yang tidak menggunakan harta dan anak-anak mengikut panduan Allah. Harta yang sepatutnya membawa ketenangan akan menjadi seburuk-buruk tempat. 
  • Buaian (ٱلْمِهَادُ) sepatutnya menenangkan tetapi bagi mereka ini tidak berlaku kerana mereka dahulu tenang membuat harta tanpa panduan Allah.

Ayat [3:13]


قَدْ كَانَ لَكُمْ ءَايَةٌۭ فِى فِئَتَيْنِ ٱلْتَقَتَا ۖ فِئَةٌۭ تُقَـٰتِلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَأُخْرَىٰ كَافِرَةٌۭ يَرَوْنَهُم مِّثْلَيْهِمْ رَأْىَ ٱلْعَيْنِ ۚ وَٱللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِۦ مَن يَشَآءُ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَعِبْرَةًۭ لِّأُو۟لِى ٱلْأَبْصَـٰرِ ١٣

"Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya)."

Cerita Perang Badar yang asalnya orang Islam menahan orang musyrik Mekah kerana mahu mengambil harta sahaja dan mereka tidak membawa senjata pun tetapi Allah menentukan mereka berperang. Orang Islam ada seramai 300 orang sahaja tetapi musuh nampak mereka seolah-olah ramai kerana Allah menurunkan bantuan kepada orang Islam. Orang Islam tetap tenang menghadapi musuh yang ramai  (1000 orang).

Pengajaran

  1. Kemenangan dalam Perang Badar adalah kerana umat Islam ada prinsip.
  2. Walaupun tentera Islam sedikit, tetap mampu menang dengan bantuan Allah. Di sisi Allah tiada yang mustahil.
  3. Bila kita yakin pada Allah, yang ramai pun nampak sedikit dengan bantuan Allah. 
  4. Banyak tidak semestinya menang, sedikit tidak semestinya kalah. Semua bergantung kepada bantuan Allah. 
  5. Bila mata hati dikotori dengan syahawat, kita tidak akan dapat melihat dengan jelas (Itulah yang berlaku kepada pasukan Musyrik Mekah).
  6. Hanya orang yang melihat dengan mata hati (لِّأُو۟لِى ٱلْأَبْصَٰرِ) yang celik dapat melihat bantuan Allah. 
  7. Mata hati kita yang selalu tercalar dan dikaburi perlu disucikan selalu dengan istighfar.
  8. Bantuan Allah datang kepada orang yang beriman.


Ayat [3:14]


زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَـٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ وَٱلْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔابِ ١٤

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."

Pengajaran

  • Cabaran dalam perjuangan keimanan kepada lelaki (Senarai semak rahsia lelaki): 
    • Perempuan: Memang fitrah lelaki suka perempuan tapi jangan sampai 'extreme' dan tidak berpandukan iman. 
    • Anak pinak : Ada orang yang menggunakan anak untuk menunjuk-nunjuk. Ikut contoh Nabi Zakaria yang mahu anak untuk perkara yang baik, berkhidmat untuk agama. 
    • Harta benda : Tompok-tompokkan emas, perak, kuda, binatang ternakan dan ladang. Zaman sekarang, kuda tidak ada jadi orang mahu kereta mahal.  Zaman dahulu, binatang ternakan adalah aset penting untuk menjana duit. Sekarang ini, orang berbangga dengan ramai staff, komputer dan aset lain. 
  • Psikologi lelaki dan wanita adalah berbeza bukan untuk menunjukkan kelemahan tetapi untuk kita sama-sama uruskan dengan baik. 
  • Kecintaan kepada perkara-perkara di atas adalah fitrah lelaki.
  • Kecintaan perempuan pula berbeza-beza, mungkin berubah setiap hari. Jadi, lelaki mesti memahami psikologi yang berbeza ini. Lelaki perlulah meraikan perubahan minat wanita.
  • Manusia sentiasa tidak merasa cukup. Contoh: Sudah ada sebuah kereta, mahu yang kedua pula.  Nampak kereta terkini, dia juga mahu. Nampak isteri orang, dia pun mahu juga.
  • Semua itu adalah kesenangan dunia (مَتَٰعُ) yang perlu diurus dengan iman.
  • Cara mengurus ialah dengan mengingati tentang kelebihan di syurga.  Di sisi Allah lah tempat kembali yang terbaik. Di situlah ada segalanya.
  • Kecintaan yang berlebihan akan mengaburi mata hati.


Ayat [3:15]


۞ قُلْ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيْرٍۢ مِّن ذَٰلِكُمْ ۚ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَٰجٌۭ مُّطَهَّرَةٌۭ وَرِضْوَٰنٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ ١٥

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;"

Pengajaran

  • Segala apa yang dicintai di dunia, mesti diurus dengan baik kerana semuanya tidak boleh dibawa ke alam kubur. 
  • Orang bertakwa menjauhi segala yang membawa kepada kerosakan yang akhirnya membuatnya terjerat ke neraka.
  • Allah menjanjikan ganjaran yang lebih baik lagi kepada orang yang bertaqwa: 
    • Syurga yang di bawahnya ada air sungai yang mengalir. Fitrah manusia memang suka         tempat yang cantik.
    • Pasangan yang bersih. Hatinya suci selain fizikalnya tiada lagi haid dan sebagainya.
    • Keredaan daripada Allah Yang Maha Kaya 
  • Allah Maha Melihat hamba-hambaNya yang disayangi. 



RESOLUSI 



Ingat !!
  1. Harta dan anak perlu dimanfaatkan untuk menjadi sumber pahala di akhirat [3:10]
  2. Ingin kemenangan? Dapatkan pertolongan Allah SWT [3:13]
  3. Berhati-hati dengan ganjaran dunia dan ganjaran akhirat yang lebih kekal [3:14-1]

Lega kerana Allah SWT mengajar cara mengurus kecintaan yang berbeza antara lelaki dan wanita.

Saya jelas untuk manfaatkan harta dan anak untuk menjadi sumber pahala di akhirat.

Ya Allah, bimbing kami untuk manfaatkan harta dan anak untuk menjadi sumber pahala di akhirat. Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Ya Tuhanku, berilah kami petunjuk agar kami dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepada kami dan kepada kedua orang tua kami dan agar kami dapat berbuat kebajikan yang Engkau ridhai; dan berilah kami kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu kami. Ya Allah ampunkan kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...