Wednesday, May 3, 2023

Halaman 52 : Ali-’Imran, 3:16-22


PERKATAAN HARI INI 


قَنَتَ   = Orang yang taat dan merendah diri

13 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS 

  1. Siapa hamba yang disayangi  [3:16-17]
  2. Penyataan akan keesaan Allah SWT keadilan-Nya dan agama yang diterima [18-20]
  3. Balasan kejahatan membunuh para nabi [21-22]


Mukadimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT  kita dapat bersama al-Quran untuk terus mendalami surah Ali-’Imran (Keluarga Imran). Surah lepas banyak bercerita tentang iman, surah ini pula  banyak bercerita tentang Islam. Menyerah diri kepada Allah.

Semoga amalan kita mentadabbur al-Quran bersama MQT dicatat oleh Allah sebagai amalan kebajikan yang akan mendapat ganjaran yang terbaik daripada Allah SWT. 

Mesej penting dalam surah Ali-’Imran ini ialah Islam adalah agama keadilan.



Ayat [3:16]


ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ إِنَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ١٦

"(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka"

Pengajaran

  1. Ayat ini adalah rahsia bagaimana untuk menjadi hamba yang disayangi Allah. Allah melihat kepada hamba-hambaNya yang disayangi (ibad) yang dijanjikan syurga di mana ada sungai yang mengalir di bawahnya.
  2. Keindahan dan kedamaian syurga ditawarkan kepada semua hamba Allah.
  3. Hamba yang Allah sayang ialah orang beriman, selalu berdoa minta ampun dan mohon dilindungi oleh Allah daripada azab neraka. 
  4. Dosa berasal daripada perkataan ذُنُوبَ (ekor binatang), sesuatu yang tidak cantik. Dengan berdoa memohon ampun, kita minta Allah tutup aib kita.  
  5. Janganlah kita rasa selamat daripada azab neraka.
  6. Hendaklah kita berusaha membaiki amal kita. 


Ayat [3:17]


ٱلصَّـٰبِرِينَ وَٱلصَّـٰدِقِينَ وَٱلْقَـٰنِتِينَ وَٱلْمُنفِقِينَ وَٱلْمُسْتَغْفِرِينَ بِٱلْأَسْحَارِ ١٧

"(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur."

Pengajaran

  • Orang yang disayangi Allah ialah orang yang ada sifat berikut (Kelima-lima perkara ini tidak semestinya ada pada setiap orang. Namun, kita kena usahakan untuk mempunyai semua sifat ini):
    • Sabar - hatta dalam beribadah
    • Jujur - Berkata benar
    • Taat - Allah suruh, terus buat.  Contoh: solat di awal waktu
    • Sentiasa infak - membina akaun akhirat
    • Istighfar pada waktu sahur 
  • Orang-orang yang mempunyai sifat-sifat di atas sedang menempah syurga daripada Allah SWT.
  • Orang yang segera melakukan ketaatan, merendahkan dirinya ke tikar sembahyang. Orang begini kurang tidur pada waktu malam.
  • Istighfar di waktu pagi itu adalah umpama 'brake' untuk mengingatkan diri kita dari terus lalai dan terbabas dalam kehidupan.


Ayat [3:18]


شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْعِلْمِ قَآئِمًۢا بِٱلْقِسْطِ ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ١٨

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Pengajaran

  1. Ayat ini menjelaskan lagi siapakah hamba yang disayangi. Iaitu orang-orang yang betul-betul berjuang atas keadilan. Inilah sifat Islam yang perlu ada, bukan duduk bermuram durja. 
  2. Allah mempersaksikan kepada kita bahawa Dia adalah saksi ('شَهِدَ) yang benar-benar adil. 
  3. Allah mentadbir seluruh alam dengan keadilan.
  4. Malaikat dan orang-orang berilmu mengakui bahawa tiada Tuhan lain yang berhak disembah melainkan Allah yang Maha Adil, Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
  5. Allah memberi kemuliaan kepada orang berilmu dengan meletakkan kedudukannya setaraf dengan Allah dan malaikat. 
  6. Hamba yang disayangi Allah bukan sahaja mempunyai sifat-sifat dalam ayat 17, dia juga memperjuangkan keadilan.
  7. Hamba yang disayangi tidak duduk diam. Jika nampak sesuatu yang tidak betul, dia akan menegur.
  8. Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. 
  9. إِلَٰهَ (Ilah) bermaksud ketaatan. Sumber ketaatan dan ketenangan adalah daripada Allah. 


Ayat [3:19]


إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ ١٩

"Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya."

Pengajaran

  1. Hanya agama Islam yang diredhai Allah. 
  2. Allah tidak suka orang yang bertelingkah kerana mereka ada penyakit dengki, suka mengawal orang lain dan merasa mereka sahaja yang betul.
  3. Allah ingatkan agar kita jangan jadi orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat Nya.
  4. Allah menghisab setiap perbuatan kita.


Ayat [3:20]


فَإِنْ حَآجُّوكَ فَقُلْ أَسْلَمْتُ وَجْهِىَ لِلَّهِ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِّلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْأُمِّيِّـۧنَ ءَأَسْلَمْتُمْ ۚ فَإِنْ أَسْلَمُوا۟ فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ ۖ وَّإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ ٱلْبَلَـٰغُ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ ٢٠

"Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku". Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang "Ummi" (orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu)?" Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya."

Pengajaran

  1.  Allah ajar kita cara mematikan hujjah orang yang berhujjah untuk membantah seruan kepada Islam (حَآجُّوكَ), iaitu dengan mengatakan "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku".
  2. Orang Islam yang sebenarnya mestilah bersifat memperjuangkan keadilan.
  3. Allah juga ajar supaya kita berdakwah mengajak orang yang belum Islam untuk memeluk Islam dan mematuhi perintah Allah.
  4. Kewajipan kita hanya berdakwah bersungguh-sungguh, berdoa dan berserah kepada Allah. Orang ikut atau tidak dakwah kita bukan hak kita. Apa yang ada dalam hati masing-masing adalah milik Allah SWT. Contoh: Tugas kita ajak anak, keluarga dll tapi kalau mereka degil, serah kepada Allah, jangan sedih atau hilang sabar. 
  5. Tetap istiqamah, taat, bersabar,  dan jujur untuk terus sampaikan hidayah Allah SWT. 
  6. Solat malam dan istighfar untuk bina kekuatan berdakwah.
  7. Yakin, Allah sentiasa melihat apa yang kita buat samada menyampaikan yang baik atau berdegil terhadap hidayah Allah.
  8. Allah sayang kepada orang yang mengajak kepada kebaikan. Apa yang ada dalam hati masing-masing, Allah tahu. 
  9. Allah tidak perhatikan orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah, iaitu Allah tidak kisah kepada mereka. Semoga kita tidak jadi orang yang tidak diperhatikan oleh Allah.


Ayat [3:21]


إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيْرِ حَقٍّۢ وَيَقْتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِٱلْقِسْطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١

"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

Pengajaran

  1. Janganlah kita 'membunuh' orang yang memperjuangan keadilan-keadilan seperti Bani Israel membunuh nabi-nabi dan orang-orang yang mengikut nabi-nabi. 
  2. Adil mesti dipasakkan dengan Islam. Contoh: Suami isteri ada tugas masing-masing. Janganlah pula isteri nak jadi suami, suami nak jadi isteri. Isteri yang keluar bekerja. Terbalik, maka nanti lahirlah lelaki-lelaki lembut. 
  3. Allah akan memberi azab yang perit kepada orang yang menentang keadilan yang dibawa oleh Nabi SAW.
  4. Hendaklah kita menjadi orang yang memperjuangkan keadilan agar disayangi oleh Allah SWT. 


Ayat [3:22]


أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٢٢

"Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan."

Pengajaran

  1. Orang yang menentang hidayah Allah walaupun buat amalan baik, Allah tidak terima amalan mereka dan tidak tolong mereka. 
  2. Orang itu (kufur) adalah seperti kambing gemuk yang menunggu mati kerana keracunan ( حَبِطَتْ ). Contoh: Kalau kita beramal banyak tetapi tidak berlaku adil, songlap duit, kerja 8 jam tetapi mencuri masa untuk perkara lain.  Orang begini, di dunia rugi, di akhirat pun rugi. 


RESOLUSI 


Ingat !!
  1. Jadi hamba yang disayangi Allah? Doa keimanan dan keampunan [3:16]
  2. Sentiasa menyerah diri kepada Allah SWT [3:20]
  3. Elakkan amalan dari jadi sia-sia dengan cara beriman kepada ayat-ayat Allah SWT [3:21]

Lega kerana Allah SWT mengajar cara menjadi orang yang dicintai-Nya.

Saya jelas untuk berusaha menjadi hamba yang disayangi Allah, berdoa untuk keimanan dan keampunan, serah diri kepada Allah dan elakkan amalan menjadi sia-sia dengan beriman kepada ayat-ayat Nya.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Ya Tuhanku, berilah kami petunjuk agar kami dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepada kami dan kepada kedua orang tua kami dan agar kami dapat berbuat kebajikan yang Engkau ridhai; dan berilah kami kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu kami. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...