PERKATAAN HARI INI
حَضَرَ = Hadir, muncul, datang, ada
25 kali disebut dalam Al-Quran
SINOPSIS
- Balasan setimpal di akhirat [3:30]
- Cinta kepada Allah SWT dengan cara mengikuti dan mentaati Rasullullah SAW [3:31-32]
- Pemilihan dan pemuliaan para nabi dan kisah isteri Imran yang menazarkan janin dalam perutnya untuk beribadah kepada Allah [3:33-37]
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan baca, faham, amal al-Quran pada hari ini. Semoga Allah terima segala amal kita dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran dengan berpegang teguh kepada prinsip kebenaran yang sedang dibincangkan dalam surah Ali-’Imran.
Ayat [3:30]
يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍۢ مُّحْضَرًۭا وَمَا عَمِلَتْ مِن سُوٓءٍۢ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُۥٓ أَمَدًۢا بَعِيدًۭا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفْسَهُۥ ۗ وَٱللَّهُ رَءُوفٌۢ بِٱلْعِبَادِ ٣٠
"(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya."
Pengajaran
- Allah mengingatkan kita yang apa sahaja kebaikan atau keburukan yang dilakukan, walaupun kecil, akan dihadirkan pada hari akhirat. Contoh: Baca al-Quran, berkata perkara baik, senyum, keluar tandas dengan kaki kanan semuanya pun diambil kira.
- Perbuatan buruk akan membuatkan kita semakin jauh daripada Allah.
- Pada hari akhirat orang yang bersalah mahu dijauhkan dari keburukan yang dilakukannya itu dengan jarak jauh dan jangkamasa yang panjang (أَمَدًۢا بَعِيدًا) kerana semuanya akan dihadirkan untuk perhitungan.
- Allah memberi amaran yang Dia amat murka dengan orang yang membuat keburukan.
- Allah juga mengingatkan kita bahawa Dia Amat Penyayang dan Amat Memahami kelemahan hambaNya (رَءُوفٌۢ). Mungkin orang lain tidak akan faham keperitan yang kita lalui tetapi Allah faham. Allah memahami segala cabaran yang kita hadapi asalkan kita terus menjaga dan memperbaiki amalan kita.
Ayat [3:31]
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٣١
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pengajaran
- Teknik untuk mendapat kasih sayang Allah ialah dengan mencintai Nabi Muhammad SAW iaitu dengan ikut rapat-rapat (فَٱتَّبِعُونِى) apa yang Baginda SAW buat.
- Hijrah Rasulullah SAW adalah satu perjuangan untuk berpindah dari keburukan di Mekah kepada kebaikan di Madinah. Kemudian, bila keadaan mengizinkan Baginda SAW kembali semula ke Mekah kerana Nabi Muhammad SAW membawa kebaikan ke seluruh alam (Rahmatan lil'alamin). Baginda SAW bukan berhijrah kerana melarikan diri tetapi atas arahan Allah.
- Janganlah kita sekadar ikut Nabi Muhammad SAW pada fizikal seperti memakai jubah atau menyimpan janggut. Ikutan yang paling utama ialah mengikut tauladan Baginda SAW dalam berkomunkasi yang baik dengan semua orang samada orang ternama, hamba sahaya, malah termasuk orang yang kencing dalam masjid.
- Bila kita benar-benar mengikut Nabi Muhammad SAW (إتباع), Allah akan mengampunkan kita dan kita akan dapat cinta Allah SWT. Contoh: Nabi Muhammad SAW elak makan makanan yang berbau sebelum ke masjid untuk solat, maka hendaklah kita ikut.
Ayat [3:32]
قُلْ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٣٢
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir."
Pengajaran
- Allah perintahkan kita untuk taat ( أَطِيعُوا۟) kepada-Nya dan Rasul-Nya.
- Taat (اطاع/طاعة) bermakna ikut perintah tetapi tidak ikut dekat-dekat. Contoh: Makan makanan halal, tetapi tetap makan makanan berbau kuat sebelum pergi solat di masjid.
- Allah tidak suka orang kufur (tidak menghargai sunnah Nabi SAW).
- Hendaklah kita ikut dekat-dekat sunnah Nabi Muhammad SAW dengan sebaik mungkin agar kita menjadi orang yang disayangi oleh Allah SWT.
Ayat [3:33]
۞ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰٓ ءَادَمَ وَنُوحًۭا وَءَالَ إِبْرَٰهِيمَ وَءَالَ عِمْرَٰنَ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ ٣٣
"Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing)."
Pengajaran
- Empat tokoh yang dipilih oleh Allah SWT melebihi tokoh lain adalah Nabi Adam, Nabi Nuh, keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran.
- Nama Nabi Adam dan Nabi Nuh tidak disebutkan keluarga (ءَالَ) kerana ada ahli keluarga mereka yang tidak menjadi contoh ikutan untuk kita membina keluarga atas dasar kebenaran.
- Nabi Adam dan Nabi Nuh terus berjuang mengutamakan Allah dalam kehidupan walaupun ada ahli keluarga yang tidak ikut kerana hidayah adalah milik Allah SWT.
- Nabi Ibrahim dan Imran serta keluarga mereka menjadi contoh teladan dalam perjuangan menegakkan ketauhidan kepada Allah SWT.
- Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah bukan untuk suka-suka atau berlibur tetapi kerana hendak menukar keburukan kepada kebaikan.
Ayat [3:34]
ذُرِّيَّةًۢ بَعْضُهَا مِنۢ بَعْضٍۢ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٣٤
"(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui."
Ayat [3:35]
إِذْ قَالَتِ ٱمْرَأَتُ عِمْرَٰنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرْتُ لَكَ مَا فِى بَطْنِى مُحَرَّرًۭا فَتَقَبَّلْ مِنِّىٓ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ٣٥
"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Pengajaran Ayat 34-35
- Hendaklah kita mengikut contoh isteri Imran yang menazarkan anak yang ada di dalam kandungannya untuk berkhidmat hanya kepada Allah semata-mata agar kita juga dimuliakan oleh Allah SWT.
- Hendaklah kita sentiasa berdoa agar Allah terima amal kita sebagai lambang kerendahan hati kepada Allah SWT seperti isteri Imran dan Nabi Ibrahim ketika mendirikan asas Kaabah .
- Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa sahaja yang dikata oleh hamba-Nya.
- Allah SWT akan mengabulkan doa orang yang berdoa dengan rendah hati.
Ayat [3:36]
فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّى وَضَعْتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلْأُنثَىٰ ۖ وَإِنِّى سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ ٣٦
"Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
Pengajaran
- Allah tidak membezakan seseorang kerana jantinanya lelaki atau perempuan. Yang menjadikan seseorang itu mulia ialah kerana takwanya.
- Ibu-bapa hendaklah berdoa agar anak dan keturunannya dilindungi oleh Allah SWT daripada syaitan yang direjam seperti yang dilakukan oleh isteri Imran.
- Kita sangat mengharapkan bantuan Allah SWT untuk menjaga anak-anak kita.
- Doa adalah satu aktiviti yang amat penting dalam kehidupan kita kerana ia membuat kita bercakap perkara yang positif dalam hidup. Doa adalah komunikasi kita dengan Pencipta kita. Nabi SAW banyak berdoa.
Ayat [3:37]
فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍۢ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًۭا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا ۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا ٱلْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًۭا ۖ قَالَ يَـٰمَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَـٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ ٣٧
"Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".
Pengajaran
- Allah SWT mengiktiraf usaha ibu yang bersungguh-sungguh mendidik dan berdoa untuk anak menjadi orang yang mulia.
- Orang dimuliakan Allah SWT akan mendapat rezeki yang tak disangka-sangka.
- Allah SWT memberi rezeki yang banyak kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya sekiranya kita serahkan diri kepada-Nya
RESOLUSI
Ingat !!
- Ikut syariat Nabi Muhammad SAW jika cintakan Allah SWT [3:31]
- Mencontohi kesabaran para nabi dan meneladani tokoh ayah dalam al-Quran seperti Nabi Ibrahim a.s dan Imran [3:32-33]
- Betulkan niat kita kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui [3:35]
Lega kerana Allah SWT mengajar cara berdoa untuk dapat zuriat keturunan yang mulia.
Saya jelas untuk berjuang dan ikut rapat-rapat kepada sunnah Nabi SAW.
Ya Allah, kurniakan kami rezeki yang banyak dan kesihatan yang baik agar kami dapat melakukan amal soleh yang terbaik. Jadikan kami orang yang sabar dalam menghadapi segala ujian yang Engkau berikan. Ya Allah, bantu kami untuk membetulkan niat hanya kerana-Mu dalam segala amalan yang kami lakukan. Ya Allah, peliharalah anak-anak kami dan keturunan kami daripada godaan syaitan yang direjam.
Ya Allah, berilah kami petunjuk agar kami dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepada kami dan kepada kedua orang tua kami dan agar kami dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah kami kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu kami.
Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.