Wednesday, May 3, 2023

Halaman 55 : Ali-’Imran, 3:38-45

 

PERKATAAN HARI INI 


طَابَ /  طَيَبَ  =  Baik, bagus, lazat, manis 

50 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   

  1. Kisah Nabi Zakaria dan Nabi Yahya (Doa Nabi Zakaria agar dikurniakan anak yang soleh dan kelahiran Nabi Yahya) [3:38-41]
  2. Kisah Maryam [3:42-44]
  3. Kisah Nabi Isa a.s. [3:45]


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat terus mempelajari surah Ali-’Imran tentang kisah keluarga Imran. Pada halaman lepas, Allah menceritakan bahawa ibu Maryam telah bernazar untuk anaknya berkhidmat kepada Allah. 

Selepas Maryam lahir, Nabi Zakaria tepilih sebagai penjaga Maryam. Setiap kali Nabi Zakaria masuk ke tempat ibadah Maryam, baginda dapati ada makanan istimewa di sisi Maryam yang direzekikan oleh Allah SWT. Nabi Zakaria sangat terkejut melihat kekuasaan dan kehebatan Allah.



Ayat [3:38]


هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُۥ ۖ قَالَ رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ ٣٨

"Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".


Ayat [3:39]


فَنَادَتْهُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَهُوَ قَآئِمٌۭ يُصَلِّى فِى ٱلْمِحْرَابِ أَنَّ ٱللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَىٰ مُصَدِّقًۢا بِكَلِمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَسَيِّدًۭا وَحَصُورًۭا وَنَبِيًّۭا مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ٣٩

"Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".


Malaikat memberitahu Nabi Zakaria yang baginda akan mendapat zuriat yang beriman, ketua, tidak berkahwin dan menjadi nabi. Nabi Yahya tidak berkahwin kerana terlalu sibuk dengan urusan dakwahnya. Pada masa yang sama Maryam juga mengandung.

Pengajaran Ayat 38-39

  1. Formula berdoa yang dimakbulkan oleh Allah SWT ialah berdoa apabila iman kita sedang meningkat pada masa dan tempat yang sesuai serta disertai dengan asmaul husna. Contoh dalam ayat ini, Nabi Zakaria a.s berdoa semasa baginda berdiri di mihrab melihat kekuasaan dan kehebatan Allah SWT yang diberikan kepada Maryam, Nabi Zakaria berdoa untuk mendapatkan zuriat yang baik.
  2. Salah satu amalan para nabi ialah berdoa meminta zuriat yang soleh untuk menerusan legasi agama. 
  3. Allah Maha Mendengar dan makbulkan doa terutama dalam hal perjuangan agama.
  4. Satu lagi tips doa dimakbulkan ialah berdoa berulang-kali terutama dalam solat.
  5. Doa yang mustajab hendaklah dimulakan dengan rasa merendah diri, diiringi dengan rintihan dan berdoa minta yang terbaik untuk agama, diri dan keluarga.



Ayat [3:40]


قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَـٰمٌۭ وَقَدْ بَلَغَنِىَ ٱلْكِبَرُ وَٱمْرَأَتِى عَاقِرٌۭ ۖ قَالَ كَذَٰلِكَ ٱللَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ ٤٠

Nabi Zakaria berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya"

Pengajaran

  1. Berdoalah terus kepada Allah SWT  kerana semua yang berlaku adalah di bawah kuasa-Nya. Jangan berdoa melalui perantara/wakil. Allah dengar doa setiap hamba-Nya tidak kira siapa kita.
  2. Allah boleh buat apa sahaja. Allah boleh kurniakan anak kepada Nabi Zakaria yang sangat tua dalam keadaan isterinya mandul. Allah ciptakan Nabi Adam tanpa ayah dan ibu. Allah juga jadikan Nabi Isa hanya ada ibu tetapi tiada ayah. 
  3. Malaikat tidak berkuasa untuk buat apa-apa, begitu juga manusia dan makhluk lain.  Semuanya berlaku dan terjadi hanya dengan kuasa dan izin Allah SWT. 



Ayat [3: 41]


قَالَ رَبِّ ٱجْعَل لِّىٓ ءَايَةًۭ ۖ قَالَ ءَايَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ ٱلنَّاسَ ثَلَـٰثَةَ أَيَّامٍ إِلَّا رَمْزًۭا ۗ وَٱذْكُر رَّبَّكَ كَثِيرًۭا وَسَبِّحْ بِٱلْعَشِىِّ وَٱلْإِبْكَـٰرِ ٤١

Nabi Zakaria berkata lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)". Allah berfirman: "Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi".


Nabi Zakaria tidak boleh bercakap selama 3 hari. Itu lah tanda baginda akan mendapat anak. Walaupun tidak boleh bercakap, baginda diperintahkan oleh Allah untuk berzikir. 

Pengajaran

  1. Setiap orang akan melalui ujian dan cabaran dalam kehidupan yang bertujuan untuk meneguhkan prinsip kebenaran. 
  2. Orang yang berjaya dalam ujian akan mendapat hadiah/nikmat yang besar. 
  3. Ada masanya kita perlu menggunakan bahasa isyarat.
  4. Untuk berjaya dalam ujian dan cabaran, kita hendaklah banyak berzikir, bertasbih pada waktu petang dan waktu pagi (solat tahajjud).
  5. Prinsip taat kepada Allah dan taat kepada ketua amat penting. Tidak kira ketua di mana, termasuk dalam rumah. Di rumah, ada juga kalanya (situasinya) yang  suami kena dengar cakap isteri. Contoh dalam ayat ini, Nabi Zakaria taat mengikut perintah Allah, maka Allah kurniakan anak kepada baginda.



Ayat [3: 42]


وَإِذْ قَالَتِ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَـٰمَرْيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰكِ وَطَهَّرَكِ وَٱصْطَفَىٰكِ عَلَىٰ نِسَآءِ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٤٢

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).


Nabi Zakaria mendapat anak yang Allah namakan sebagai Yahya. Nabi Yahya membenarkan kalimat daripada Allah yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Dalam ayat ini malaikat memberitahu Mayram bahawa beliau adalah wanita pilihan Allah SWT (  ٱصْطَفَىٰكِ ). Allah mensucikan Maryam iaitu beliau tidak pernah disentuh oleh lelaki, tidak berbuat perkara-perkara yang tidak baik dan beliau satu-satunya wanita pilihan Allah dalam dunia yang dimuliakan untuk membawa kebenaran tentang Allah SWT dengan melahirkan Nabi Isa a.s.   


Ayat [3: 43]


يَـٰمَرْيَمُ ٱقْنُتِى لِرَبِّكِ وَٱسْجُدِى وَٱرْكَعِى مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ ٤٣

"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk ".


Pengajaran Ayat 42-43

  1. Agama Islam memuliakan wanita.
  2. ٱقْنُتِى - Maryam sangat taat pada perintah Allah. Segala yang Allah perintah, dituruti. Kita juga hendaklah mengikuti jejak Maryam yang dipilih Allah dalam ketaatan kepada-Nya.  
  3. Sujud tak mestinya dalam solat. Boleh jadi sujud tilawah atau sujud syukur.
  4. Wanita mesti jadi orang yang sentiasa siap kerana Allah, banyak bersujud dan selalu solat berjemaah (di masjid atau di rumah).



Ayat [3: 44]


ذَٰلِكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ ۚ وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ إِذْ يُلْقُونَ أَقْلَـٰمَهُمْ أَيُّهُمْ يَكْفُلُ مَرْيَمَ وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ إِذْ يَخْتَصِمُونَ ٤٤

"Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam)."

Pengajaran

  1. Ini adalah ayat "flashback" yang Allah ceritakan kepada Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana Allah memilih Nabi Zakaria untuk menjaga Maryam. 
  2. Ini menunjukkan semua cerita tentang Nabi-nabi terdahulu adalah datangnya daripada Allah SWT. Bukan rekaan Nabi  Muhammad SAW. Orang Kristian terkejut bila Nabi Muhammad SAW tahu tentang cerita Maryam.
  3. Dalam agama Islam, akses kepada kitab tidak terhad kepada orang-orang alim agama seperti dalam agama Kristian.  



Ayat [3: 45]


إِذْ قَالَتِ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَـٰمَرْيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍۢ مِّنْهُ ٱسْمُهُ ٱلْمَسِيحُ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًۭا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ ٤٥

"(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah)."

Pengajaran

  1. Allah memberitahu Maryam khabar gembira tentang kelahiran anaknya, Isa. Anaknya ini paling masyhur di dunia dan di akhirat walaupun lahir tanpa ayah. 
  2. Allah SWT mengangkat dan memberi kemuliaan kepada orang yang betul-betul berjuang kerana Allah.
  3. Ibu mestilah meneguhkan prinsip kebenaran, mensucikan dirinya dan selalu mengadu kepada Allah SWT sekiranya ia mahukan anak yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.  
  4. Stres dalam kehidupan wanita adalah ujian untuk menguatkan prinsip kebenaran agar dapat mendidik anak dan keluarga menjalankan perintah Allah SWT.
  5. Wali (ayah, abang) mesti memahami bahawa wanita fitrahnya adalah mudah merasa stres kerana sifat biologi itu dijadikan oleh Allah SWT juga sebagai ujian kepada lelaki untuk memimpin dengan sabar dan berpandukan hidayah Allah SWT.



RESOLUSI


Ingat !!

  1. Memilih tempat yang sesuai, suci dan bersih ketika berdoa/memohon kepada Allah SWT [3:38]
  2. Menjaga diri daripada mengikut hawa nafsu dan menundukkan pandangan daripada melihat perkara-perkara maksiat [3:39]
  3. Meyakini bahawa kekuasaan Allah SWT tiada batasan dan Allah SWT boleh menjadikan sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan [3:40]


Lega kerana Allah SWT mengajar saya untuk menjadi wanita dan ibu yang dimuliakan.

Saya jelas untuk menjaga diri daripada mengikut hawa nafsu agar saya menjadi orang yang dimuliakan Allah SWT.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Ya Allah, kurniakan kami rezeki yang banyak dan kesihatan yang baik agar kami dapat melakukan amal soleh yang terbaik. Ya Allah, peliharalah anak-anak kami dan keturunan kami daripada godaan syaitan yang direjam. 

Ya Allah, bantu kami untuk menjaga diri daripada mengikut hawa nafsu dan menundukkan pandangan daripada melihat perkara-perkara maksiat. 

Ya Allah, kurniakan kami kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...