Wednesday, May 3, 2023

Halaman 53 : Ali-’Imran, 3:23-29


PERKATAAN HARI INI 


دَعَا /   دَعَوَ  = Doa, menyeru, mengajak

212 kali disebut dalam al-Quran
 


SINOPSIS

  1.  Ahli kitab berpaling dari hukum Allah SWT [3:23-25]
  2. Bukti-bukti kekuasaan Allah SWT, keagungan-Nya, pengaturan-Nya terhadap makhluk dan semua pasrah kepada-Nya [3:26-27]
  3. Ketaatan kepada orang kafir dan peringatan terhadap hari kiamat [3:28-29]

Mukadimah


Alhamdulillah, kita terus bersemangat mengkaji sumber hidayah tentang keluarga contoh yang mengikut prinsip kebenaran daripada wahyu iaitu keluarga Imran. Dalam surah Ali-’Imran ini Allah tidak menyebut nama-nama ahli keluarga secara am kecuali nama Maryam dan Nabi Isa. Dalam al-Quran, ada ayat yang menyebut nama dan ada yang tidak menyebut nama. 

Menurut Imam Sya'rawi, jika sesuatu nama dinyatakan dalam Al-Quran, perkara itu mungkin tidak akan berulang lagi dalam sejarah. Jika tidak disebutkan nama, ia mungkin akan berulang dalam sejarah hidup manusia.

Tema ayat pada halaman ini ialah bagaimana membina prinsip, kekuatan dalam diri, keluarga dan masyarakat. Salah satu sifat orang-orang kufur ialah tidak mahu berjuang bersama-sama orang-orang yang memperjuangkan keadilan, malah membunuh orang yang memperjuangkan keadilan. Amalan mereka adalah sia-sia umpama kambing gemuk yang keracunan.



Ayat [3:23]


أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًۭا مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ يُدْعَوْنَ إِلَىٰ كِتَـٰبِ ٱللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌۭ مِّنْهُمْ وَهُم مُّعْرِضُونَ ٢٣

"Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu)."

Pengajaran

  1. Allah memberitahu kita tentang orang-orang terdahulu (Bani Israel) yang mendapat bahagian (نَصِيبًا) daripada kitab. Mereka suka kerana mendapat kitab. Mereka baca dan faham tetapi tidak beramal dengan kandungan kitab.
  2. Jauhkan dari menjadi seperti perangai Bani Israel yang baca dan belajar kitab tetapi bila diminta berhukum dengan panduan daripada kitab, mereka enggan. Jika ditegur berdasarkan al-Quran, mereka berpaling, contohnya dalam ekonomi dan bisnes yang ada riba mereka tidak ikut peraturan kitab. 
  3. Allah memberi penekanan ini untuk kita mendapat pelajaran supaya kita boleh beramal dengan apa yang dibaca dan difahami daripada al-Quran.
  4. Yang membezakan seorang itu beriman atau tidak, bila mereka beramal dan berhukum dengan peraturan Allah.
  5. Dakwah ialah mengajak orang mengikut peraturan Allah.


Ayat [3:24]


ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا۟ لَن تَمَسَّنَا ٱلنَّارُ إِلَّآ أَيَّامًۭا مَّعْدُودَٰتٍۢ ۖ وَغَرَّهُمْ فِى دِينِهِم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ ٢٤

"Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung". Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan."

Pengajaran

  1. Bani Israel beranggapan yang mereka masuk neraka sekejap sahaja. Akhirnya, pasti masuk syurga. 
  2. Jangan terpedaya dengan teori yang direka oleh Bani Israel yang meringan dan meremehkan azab neraka.


Ayat [3:25]


فَكَيْفَ إِذَا جَمَعْنَـٰهُمْ لِيَوْمٍۢ لَّا رَيْبَ فِيهِ وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ ٢٥

"Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.”

Pengajaran

  1. Orang yang beriman mestilah sensitif tentang akhirat yang tidak ada ragu-ragu tentangnya. 
  2. Orang beriman akan berdoa untuk dielakkan dari api neraka walaupun satu saat, kerana neraka sangat azab. Ia amat bahaya. Jangan diremehkan. 
  3. Allah tidak menzalimi. Manusia yang menzalimi diri mereka sendiri. 

Ayat [3:26]


قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ٢٦

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."


Nabi s.aw mengajar ayat ini (dan ayat 27) kepada seorang sahabat, Maaz, yang ada hutang. Ayat ini adalah doa sebenarnya yang dimulakan dengan ٱللَّهُمَّ . Kalaupun hutang sebesar gunung pun, Allah tetap akan membantu jika kita memohon pertolongan Allah (ada tersebut dalam hadis). Al-Mulk (ٱلْمُلْكَ) diberikan kepada Nabi Daud dalam peristiwa Thalut. Nabi Daud diberi kuasa dan kebijaksanaan untuk memimpin.

Pengajaran

  1. Allah mengajar bagaimana untuk membina prinsip yang kuat. 
  2. Kepimpinan yang baik ialah kepimpinan yang dibantu oleh Allah. 
  3. Allah memberi kuasa dan boleh mencabut kuasa itu dari sesiapa pun. 
  4. Allah memberi kuasa bila kita beriman kepada-Nya. 
  5. Allah boleh memuliakan atau menghina sesiapa pun. 
  6. Jangan main-main dengan kuasa yang Allah berikan.
  7. Allah akan memberi, memuliakan, atau menghina kerana ia adalah peraturan Allah. 
  8. Yang baik hanyalah Allah. Ada kuasa, kita jalankan. Jika tidak ada kuasa, kita tetap terus buat tugas mana yang kita ada. Allah berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  9. Pemimpin-pemimpin yang mendapat kuasa, mesti bersyukur. Jika kufur, Allah akan menggantikan dengan pemimpin lain. Namruz dan Firaun adalah contoh orang yang tidak bersyukur. Firaun malah mengaku pula dia Tuhan. Allah boleh mengeluarkan (دفع) sesiapa sahaja dari kekuasaan sekiranya kufur.
  10. Jika kita tidak mengikut peraturan Allah, kita sedang menempah maut. 
  11. Hendaklah kita berdoa mengikut apa yang Allah suka. Apa yang Allah suka, kita ikut. 
  12. Janganlah kita berpaling dari peraturan Allah. Berpaling itu adalah lambang pendustaan.
  13. Kuasa bukan hanya melibatkan orang politik tetapi untuk semua bidang. Doktor, imam masjid, hatta ayah juga ada bidang kuasa masing-masing yang mesti dijalankan mengikut peraturan Allah. Yang benar-benar berkuasa hanyalah Allah.
  14. Pemimpin yang ada kuasa mestilah menggunakan kuasa untuk menegakkan amar ma’ruf.  Contoh: perjuangkan keadilan untuk orang miskin dan anak yatim. 
  15. Orang yang bersaksi kepada Allah SWT mesti mendirikan keadilan (قائما بالقسط). Salah satu cara menegakkan keadilan adalah dengan kuasa.
  16. Segala kebaikan itu ada pada Allah bukan pada orang yang mendapat kuasa. Kita akan baik jika kita mengikut perintah dan peraturan Allah. Bila kita kenal Allah, kita akan sangat yakin dengan-Nya.


Ayat [3:27]


تُولِجُ ٱلَّيْلَ فِى ٱلنَّهَارِ وَتُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِى ٱلَّيْلِ ۖ وَتُخْرِجُ ٱلْحَىَّ مِنَ ٱلْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ ٱلْمَيِّتَ مِنَ ٱلْحَىِّ ۖ وَتَرْزُقُ مَن تَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍۢ ٢٧

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".


Pengajaran

  1. Proses memasukkan siang ke dalam malam bukan mudah dan amat mencabar ( تُولِجُ ). Proses itu memerlukan tenaga dan kaedah yang besar. Hanya Allah yang mampu melakukannya. 
  2. Allah juga mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup. Contoh: Mengeluarkan ayam dari telur.  Imam Al-Alusi menyebut, Allah boleh mengeluarkan hati yang hidup dari hati yang mati iaitu ada orang Islam lahir dari keluarga bukan Islam.
  3. Hendaklah kita membina iman yang kuat bahawa Allah memberi rezeki kepada sesiapa tanpa terbatas.


Ayat [3:28]


لَّا يَتَّخِذِ ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلْكَـٰفِرِينَ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ ٱللَّهِ فِى شَىْءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُوا۟ مِنْهُمْ تُقَىٰةًۭ ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفْسَهُۥ ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلْمَصِيرُ ٢٨

"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali."

Pengajaran

  1. Jangan mengambil wali dari kalangan orang kafir dengan meninggalkan orang beriman. Berkawan dengan orang kafir sebagai sahabat, tidak salah. Malah Nabi SAW juga berbuat baik dengan orang kafir Madinah. 
  2. Wali mesti dipilih dalam kalangan orang yang beriman. Orang yang tidak beriman tidak akan memperjuangkan orang beriman. Orang Islam yang tidak suka kebaikan, mereka juga adalah umpama mengikut Thaghut. 
  3. Orang beriman tidak boleh bergantung harap kepada orang kafir. Allah hanya bersama dengan orang  beriman yang juga mengambil orang beriman untuk bergantung dan sebagai pelindung. 
  4. Kita  boleh berbaik dengan orang kafir hanya untuk mengelak bahaya yang ditakuti (تُقَىٰةً) seperti ancaman bunuh. Namun, tetap tidak memberi ketaatan dan tidak berharap 100% kepada mereka.
  5. Allah ingatkan kita kepada-Nya jualah tempat kembali. مَصِيرُ dari perkataan صار, kita berjalan tetapi akhirnya akan tetap kembali ke tempat permulaan tersebut. Kita akan kembali kepada Allah dan Allah hanya akan terima kita jika kawan setia kita adalah orang beriman sahaja.


Ayat [3:29]


قُلْ إِن تُخْفُوا۟ مَا فِى صُدُورِكُمْ أَوْ تُبْدُوهُ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَيَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ٢٩

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Pengajaran

  • Allah mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati dan apa yang ada di langit dan di bumi.
  • Perkataan 'tuliju'(تُولِجُ), 'tukhriju' (تُخْرِجُ) , 'tarzuqu' (تَرْزُقُ) berkaitan isu tentang hati kita. 
  • Berhati-hati apabila bercampur dengan orang yang tidak beriman kerana hati kita cenderung untuk mengikut mereka kerana kita takutkan tekanan. 
  • Apabila menghadapi tekanan daripada orang yang tidak beriman:
    • Kita kena selalu ingat bahawa Allah boleh melakukan apa sahaja. Allah Maha Berkuasa dan tiada yang mustahil bagi Allah. Allah boleh memasukkan malam kepada siang dengan mudah, maka masalah kita juga Allah boleh bantu.
    • Kita mestilah berwalikan Allah sekiranya mahu kehidupan yang bercahaya. Allah Maha berkuasa mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan juga sebaliknya.
    • Allah yang memberikan rezeki tanpa hisab. Allah yang Maha Berkuasa menguruskan segala sesuatu. Contoh: Orang takut rezeki tersekat jika tidak mengikut apa yang bos yang tidak beriman suruh. Ada bos yang tidak benarkan staf solat dan kita ikut. Sedangkan rezeki itu adalah daripada Allah. 
  • Yakinlah Allah Maha Berkuasa kerana Allah berulang-kali mengingatkan kita tentang kekuasaannya agar kita tidak terpengaruh dengan tekanan kuasa manusia.


RESOLUSI 


Ingat !!
  1. Jauhkan diri dari sifat Yahudi dan Nasrani yang mengingkari kitab suci Allah setelah diberikan kepada mereka [3:23]
  2. Jangan mudah terpedaya dengan apa yang disampaikan oleh seseorang tanpa dalil yang sahih [3:24]
  3. Pelajari akidah yang betul dan jauhi akidah yang terpesong kerana ia menyebabkan azab yang pedih [3:25]

Lega kerana Allah SWT mengingatkan saya agar tidak mudah terpengaruh dengan kuasa manusia yang boleh menyebabkan terpesong akidah.

Saya jelas untuk berusaha menjauhkan diri daripada mengingkari al-Quran agar tidak mudah terpedaya dengan proganda yang memesongkan akidah. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...