Wednesday, May 3, 2023

Halaman 56 : Ali-’Imran, 3:46-52

 

PERKATAAN HARI INI 


 كَلَّمَ  Berkata, bercakap, bertutur

75 kali disebut dalam al-Quran



SINOPSIS   

1. Sambungan kisah Nabi Isa [3:46-51]

2. Kisah Nabi Isa dengan kaumnya yang beriman dan yang kafir [3:52]



Mukadimah

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kita dapat terus bersama baca, faham dan amal untuk mendalami lagi hidayah daripada Allah sebagaimana yang dinasihatkan kepada Nabi Adam dan Hawa ketika turun ke muka bumi supaya terus berpegang kepada 'hudaya' iaitu hidayah dari Allah SWT. Orang yang berpegang kepada hidayah tidak akan bimbang dan tidak sedih pada hari-hari mendatang, Insya Allah.

Kita ulang-ulang membaca al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari memohon menjadi orang yang diberi hidayah dan bukan jalan orang yang dimurkai Allah dan bukan jalan orang yang disesatkan. Salah satu ciri orang yang dimurkai banyak diterangkan dalam Surah al-Baqarah yang telah kita pelajari. Orang yang disesatkan adalah orang Nasrani yang ada amalan baik tetapi mereka tidak berdasarkan peraturan Allah.

Ini adalah sambungan kisah al-Masih Isa Ibnu Maryam. Menurut Ibnu Kathir, perkataan al-Masih ada kaitan dengan 'masaha' bermakna 'yang disentuh'. Nabi Isa boleh menghidupkan yang mati dan menyembuhkan yang sakit bila disentuh (dengan izin Allah). Nabi Isa ada pengetahuan tentang Taurat dan Injil. Bila ulamak Bani Israel membaca dengan perubahan, Nabi Isa boleh tegur menyebabkan mereka sakit hati dan tidak suka dengan Nabi Isa. Malah mereka tidak terima Nabi Isa sebagai sebahagian daripada mereka.

Dajjal juga disebut al-Masih kerana boleh melakukan yang sama seperti Nabi Isa a.s. dengan sentuhannya.  Al-Masih Dajjal hendak jadi rasul penipu. Dia dengan kuasanya (dengan izin Allah) menyebabkan ramai orang beriman gagal kerana terpengaruh dengan tipu dayanya. 



Ayat [3:46]


وَيُكَلِّمُ ٱلنَّاسَ فِى ٱلْمَهْدِ وَكَهْلًۭا وَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ٤٦

"Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh."

Pengajaran

  1. Antara mukjizat besar Nabi Isa ialah boleh berbicara dengan manusia ketika dalam buaian. Ibunya tidak bercakap, hanya menunjuk kepadanya, maka Nabi Isa bercakap. 
  2. Ayat ini menunjukkan Nabi Isa tidak wafat. Ketika dewasa, sekitar umur 32 tahun (  وَكَهْلًا ), baginda dikejar oleh Bani Israel dan diselamatkan oleh Allah. Nanti ketika kembali semula ke dunia, baginda akan sambung umur ketika itu dan akan bercakap dengan manusia.
  3. Di zaman Nabi Isa, orang soleh sangat sedikit. Bila Nabi Isa turun semula, baginda akan dikelilingi oleh orang-orang Soleh. Nabi Isa akan kembali ke dunia untuk bercakap dan membenarkan  tentang Nabi Muhammad SAW dan akan bersama orang-orang yang soleh. Baginda adalah hamba Allah. 



Ayat [3:47]


قَالَتْ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى وَلَدٌۭ وَلَمْ يَمْسَسْنِى بَشَرٌۭ ۖ قَالَ كَذَٰلِكِ ٱللَّهُ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ إِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًۭا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ ٤٧

"Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."

Pengajaran

  1. Ini mengajar kita bahawa segala berita baik atau tidak hendaklah kita cepat-cepat mengadu kepada Allah SWT. Ini cara mahu membina prinsip. Kita sebut masyaAllah, subhanallah bila mendengar sesuatu. Kalau kita terus saja melompat kepada pemberi berita, bermakna kita tidak kuat memegang kepada prinsip al-Haq yang ditekankan dalam surah Ali-’Imran. Dalam ayat ini malaikat membawa berita kepada Maryam tetapi dia terus mengadu kepada Allah, bukan kepada malaikat. 
  2. Allah Maha Berkuasa menciptakan ( يَخْلُقُ ) Nabi Isa a.s tanpa ayah walaupun Maryam tidak pernah disentuh oleh kulit ('bashar') manusia (lelaki) lain. Nabi Isa diberikan sebagai 'fadhal' Allah, kalimah Allah. Nabi Adam juga dijadikan dengan 'kun fa yakun'. Tidak ada ayah dan ibu. 
  3. Allah ceritakan tentang kejadian Nabi Isa supaya kita dapat merasa kagum dengan kekuasaan-Nya agar bertambah keimanan kita. Contohnya, bila diceritakan kepada orang Najran yang beragama Kristian, mereka kagum, menangis tersungkur kerana mendapat jawapan kepada persoalan tentang kejadian Nabi Isa a.s. 



Ayat [3:48]


وَيُعَلِّمُهُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ ٤٨

"Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil."

Pengajaran

  1. Allah ajar 2 perkara kepada Nabi Isa a.s. iaitu kitab Taurat dan kitab injil ( ٱلْحِكْمَةَ ). Nabi Isa a.s. mahir kitab Taurat yang asli. Baginda boleh tegur ulamak Bani Israel yang ubah-ubah kitab Taurat. Itulah sebab utama Bani Israel benci kepada Nabi Isa. Bani Israel menafikan Nabi Isa sebagai kaum mereka kerana baginda tiada ayah (tiada nasab Bani Israel).
  2. Dalam hidup, janganlah kita kutuk melampau-lampau kecuali perkara yang dibenci oleh Allah SWT dan, jangan suka melampau-lampau kecuali dalam perkara yang disukai Allah.
  3. Orang yang mempunyai ilmu agama yang sahih dibenci oleh musuh Allah SWT.



  Ayat [3:49]


وَرَسُولًا إِلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَنِّى قَدْ جِئْتُكُم بِـَٔايَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ أَنِّىٓ أَخْلُقُ لَكُم مِّنَ ٱلطِّينِ كَهَيْـَٔةِ ٱلطَّيْرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًۢا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۖ وَأُبْرِئُ ٱلْأَكْمَهَ وَٱلْأَبْرَصَ وَأُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِى بُيُوتِكُمْ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةًۭ لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ٤٩

"Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman."

Pengajaran

  1. Segala yang berlaku adalah dengan izin Allah ( بِإِذْنِ ٱللَّهِ ). Mukjizat Nabi Isa boleh menghidupkan burung yang dibuat daripada tanah liat, menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang buta dan penyakit kusta, dengan izin Allah.
  2. Allah SWT menunjukkan kebenaran dan kehebatan-Nya melalui mukjizat Nabi Isa untuk meneguhkan prinsip orang yang beriman.



Ayat [3:50]


وَمُصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَىَّ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعْضَ ٱلَّذِى حُرِّمَ عَلَيْكُمْ ۚ وَجِئْتُكُم بِـَٔايَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ ٥٠

"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku."

Pengajaran

  1. Ayat ini mencerahkan siapa Nabi Isa. Nabi Isa bukan tiba-tiba muncul dengan satu ajaran baru. Baginda membawa undang-undang yang membenarkan kitab Taurat. 
  2. Janganlah kita mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT. Contoh: Nabi Yaakub tidak suka makan daging unta tetapi Bani Israel terus mengharamkan daging unta. Nabi Isa menghalalkan apa yang Bani Israel haramkan.
  3. Orang yang bertaqwa dan taat kepada Allah dan Rasul tidak wajar membuat peraturan sendiri. Mesti ikut hidayah daripada al-Quran. 



Ayat [3:51]


إِنَّ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ ۗ هَـٰذَا صِرَٰطٌۭ مُّسْتَقِيمٌۭ ٥١

"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus"


Pengajaran

  1. Orang yang mendapat nikmat Allah adalah orang yang beribadat hanya kepada-Nya dengan hidayah al-Quran. 
  2. Allah tegaskan bahawa Nabi Isa bukan anak tuhan seperti yang dipercayai oleh orang Kristian.
  3. Janganlah kita memandai-mandai sebelum mendapat kebenaran dari Allah dan Rasul. Dapatkan kebenaran dan panduan daripada al-Quran.
  4. Al-Quran membenarkan Taurat dan Injil.



Ayat [3:52]


۞ فَلَمَّآ أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ ٱلْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ قَالَ ٱلْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ ٥٢

"Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)."


Hawariyyun ialah pengikut Nabi Isa a.s. Mereka dikaitkan dengan nelayan di Palestin. Mereka beriman dan mereka adalah orang yang berserah diri kepada Allah. Mereka adalah orang Islam. 

Pengajaran

  1. Kita mestilah yakin bahawa segala kelebihan/kekuatan yang berlaku adalah dengan izin Allah. Bani Israel kagum dengan mukjizat tetapi tidak meletakkannya kepada Allah. Orang-orang berilmu mereka pada waktu itu membuang 'biiznillah' sehingga institusi Bani Israel porak peranda.
  2. Buatlah kebaikan hanya kerana Allah SWT, bukan untuk mengharap ganjaran dunia. Bani Israel sanggup kufur kepada Nabi Isa a.s. kerana mengharapkan ganjaran dunia. Ayat ini memberi motivasi kepada orang Ansar di Madinah dan untuk kita agar terus menyokong perjuangan Nabi Muhammad SAW dan buat demi untuk mendapat redha Allah SWT.
  3. Perjuangan menegakkan kebenaran mestilah ikut disiplin yang ditetapkan oleh Allah seperti yang ditunjukkan oleh rasul. 
  4. Sebarang pertelagahan dalam perjuangan Islam, perlu kembali kepada Allah dan Rasul.  
  5. Setiap orang beriman boleh membantu agama Allah dengan kapasiti masing-masing. Contoh: Guru, doktor, jurutera, menteri dll ada peranan untuk menegakkan Islam di tempat kerja bukan buat kerja kerana ganjaran dunia sahaja. Contoh: Kita mungkin berjuang untuk hak asasi manusia seperti memberi orang makan orang miskin tetapi bukan buat kerana Allah. 



RESOLUSI 


Ingat !!

1. Yakin yang setiap masa Allah berkuasa menjadikan sesuatu [3:47]

2. Bina iman sebaik mungkin agar kebesaran Allah dirasai [3:49]

3. Sentiasa jadi penolong agama Allah dalam pelbagai aspek kehidupan [3:52]


Lega kerana Allah SWT memberi motivasi untuk menjadi penolong agama mengikut kapasiti saya.

Saya jelas untuk terus berusaha membina iman agar dapat menjadi penolong agama Allah yang berkesan.

Ya Allah, tingkatkan iman dan takwa kami. Kami yakin bahawa Engkau berkuasa menjadikan sesuatu. Ya Allah, pimpin kami untuk menjadi penolong agama-Mu dalam pelbagai aspek kehidupan.

Ya Allah, berilah kami petunjuk agar kami dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepada kami dan kepada kedua orang tua kami dan agar kami dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah kami kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...