Wednesday, May 3, 2023

Halaman 60 : Ali-'Imran, 3:78-83


PERKATAAN HARI INI 


حَسِبَ  = Mengira, muhasabah, menyangka

Disebut 109 kali dalam Al Quran



SINOPSIS   

  1. Antara bentuk pembohongan kaum Yahudi [3:78]
  2. Pembohongan yang direka oleh ahli kitab terhadap para nabi [79-80]
  3. Perjanjian dan persepakatan para nabi untuk saling membenarkan antara satu sama lain dan perintah untuk beriman [3:81-83]



Mukadimah

Alhamdulillah kita dapat teruskan pengajian di halaman 60 surah ali-'Imran, tentang keluarga 'Imran yang mempunyai prinsip kebenaran al-Haq sebagai contoh bagi kita yang berdoa "tunjukkan kami jalan yang lurus". Hari ini kita akan lihat bagaimana hendak memastikan al-Haq dapat dilaksanakan dalam kehidupan kita.

Surah ini menekankan prinsip al-Haq dalam kehidupan walaupun apa cabarannya. Ada pelajaran daripada peristiwa Peperangan Uhud yang patut kita beri perhatian. Kita ingin membangunkan rohani untuk menambah keimanan kita yang akan menumbuhkan cinta kepada Allah. Bila ada kecintaan kepada Allah, mudah kita mahu mengikuti perintah-Nya dan menjauhkan larangan-Nya. 



Ayat [3:78]


وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًۭا يَلْوُۥنَ أَلْسِنَتَهُم بِٱلْكِتَـٰبِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ ٧٨

"Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)."


Pengajaran

  1. Bani Israel memutar belitkan (يَلْوُۥنَ) kitab. Mereka mengubah kandungan kitab Taurat. Contoh: Jika solat, mereka mengatakan cuma berdiri sahaja, tidak payah sujud, rukuk.  Orang ramai merasakan yang itu betul sedangkan hakikatnya, ia bukan daripada kitab. 
  2. Memutar belit kitab boleh berlaku kerana kurang ilmu atau berilmu tetapi mereka mengubah sesuatu itu untuk manfaat diri sendiri bukan untuk memperjuangkan prinsip al-Haq. 
  3. Kita hendaklah beramal berdasarkan ilmu yang jelas yang ada asas daripada al-Quran dan Nabi SAW. Contoh dalam masyarakat kita: Ada orang yang membaca surah tertentu dalam al-Quran  untuk mendapat anak yang cantik, bukan supaya anak itu beramal dengan isi surah itu. Sedangkan tidak ada asas daripada Nabi SAW mengatakan begitu.
  4. Memutar belit ini selalu berlaku dengan orang yang dekat dengan kitab. Namun mereka bercakap seolah-olah sesuatu perkara itu daripada kata-kata Allah dalam kitab, sedangkan itu adalah pendustaan. Mereka bias (berat sebelah). Mereka 'highlight' sesuatu dan menyembunyikan sesuatu lain. Contohnya pasal riba atau arak. Walaupun orang itu tahu bahayanya, tetapi mereka tidak mengambil peduli. 
  5. Janganlah kita berdusta atas nama Allah atau Nabi.



Ayat [3:79]


مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا۟ عِبَادًۭا لِّى مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُوا۟ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ ٱلْكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ ٧٩

"Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya."


Dalam tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Abbas ada berkata tentang mereka, orang Yahudi dan Nasrani dari Najran,  bertemu nabi SAW dan baginda membenarkan mereka menginap di Masjid Nabawi. Esoknya mereka berdebat dengan baginda SAW dan bertanya, "Apakah kamu ingin menyembahmu seperti orang Nasrani lakukan kepada Nabi Isa?" Mereka bertanya kerana  nabi SAW mengajak mereka kepada Islam.


Pengajaran

  • Mengajak orang kepada Islam ini penting, tetapi mesti kena caranya. Kita tidak mahu dipersoalkan di akhirat kenapa kita tidak mengajak mereka ke jalan Allah.
  • Bila mengajak orang kepada Islam bukan bermakna kita cuba mempengaruhi mereka supaya mendewa-dewakan kita. Mesti ajak manusia untuk menghambakan diri kepada Allah SWT (rabbani).
  • Ustaz-ustaz, penceramah, pakar motivasi, fasilitator perlu berhati-hati supaya tidak membiarkan pengikut 'merahibkan' mereka sebagai selebriti ikutan kerana memang ramai manusia yang mencari akidah. 
  • Bila sudah popular dan dipuji, hati manusia mudah berkocak. Merasa pandai dan boleh buat apa saja kepada peminat/pengikut. Untuk memasti hati terjaga daripada mengajak manusia mendewa-dewakan kita, ada 2 syarat:
    • Pasakkan segala yang dikata  kepada al-Quran. Jangan beri kredit/penghargaan kepada diri sendiri. 
    • Sentiasa belajar al-Quran dan jangan merasa diri bagus. 



Ayat [3:80]


وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُوا۟ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ أَرْبَابًا ۗ أَيَأْمُرُكُم بِٱلْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ ٨٠

"Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?"


Pengajaran

  1. Nabi tidak akan menyuruh orang menyembah malaikat, menyembah nabi dan menyuruh orang kufur setelah beriman. 
  2. Kalau dapat kebaikan daripada manusia hendaklah kita berjaga-jaga, mesti beri kredit kepada Allah SWT.  Jika kita dipuji, kembalikan kepada Allah.
  3. Bersedia menyerah diri (مُّسْلِمُونَ) kepada kebenaran . Bila ditegur, asalkan mesej yang disampaikan adalah dari Allah, terimalah dengan lapang dada. 
  4. Bila Allah memberi ruang untuk kita belajar, gunakan betul-betul. Kita hendaklah melatih lidah supaya tidak bercabang dan memutar belitkan fakta. 
  5. Teruskan belajar (تَدْرُسُونَ) secara berstruktur supaya dapat menghindarkan diri kita daripada memanipulasi orang lain atau kita dimanipulasi. 
  6. Para penceramah janganlah menggunakan agama untuk kepentingan diri dengan memutar belitkan perkataan dan memainkan perasaan pendengar. Contoh: Ada pengikut yang pernah histeria dan terpukau oleh kata-kata penceramah sehingga sanggup bayar beribu-ribu kepada penceramah.
  7. Betulkan niat kaji al-Quran untuk mendapat hidayah bukan untuk dapatkan ilmu bagi tujuan mempengaruhi orang kepada kita untuk kepentingan diri.



Ayat [3:81]


وَإِذْ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ لَمَآ ءَاتَيْتُكُم مِّن كِتَـٰبٍۢ وَحِكْمَةٍۢ ثُمَّ جَآءَكُمْ رَسُولٌۭ مُّصَدِّقٌۭ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥ ۚ قَالَ ءَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِى ۖ قَالُوٓا۟ أَقْرَرْنَا ۚ قَالَ فَٱشْهَدُوا۟ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ ٨١

"Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."


Pengajaran

  1. Para nabi ada perjanjian dengan Allah (مِيثَٰقَ). Kalau kita beriman kepada Nabi, kita juga kena ambil perjanjian ini dengan memahaminya betul-betul apa yang perlu dibuat. 
  2. Nabi Muhammad SAW datang dan membenarkan nabi-nabi yang lalu. Dalam Taurat dan Injil ada tersebut tentang nabi akhir zaman bernama Ahmad. 
  3. Dengan mengucap dua kalimah syahadah bermakna kita bersaksi dan berjanji atas kebenaran yang ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Orang yang bersaksi tidak akan buat kesilapan. Kalau buat kesilapan dia akan perbaiki berasaskan kebenaran. 



Ayat [3:82]


فَمَن تَوَلَّىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ٨٢

"Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik."


Pengajaran

  1. Sebagai umat Islam, kita bukan sekadar bersyahadah kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi kita juga membenarkan nabi-nabi yang lain. 
  2. Orang yang bersyahadah tidak mudah memfokuskan kepada kesilapan. Kita mengaku ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Contoh: Dalam rumah tangga setelah akad nikah, suami isteri mesti mengaku ada kelebihan dan kekurangan pasangan supaya tidak fokus kepada kesilapan sahaja.
  3. Sesiapa yang ingkar kepada syahadah/perjanjian maka mereka adalah orang-orang yang fasik.



Ayat [3:83]


أَفَغَيْرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُۥٓ أَسْلَمَ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ طَوْعًۭا وَكَرْهًۭا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ ٨٣

"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan."


Pengajaran

  1. Segala yang ada di bumi ini menyerah diri kepada Allah dan mengikut peraturan Allah أَسْلَمَ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ. Contoh: Air mengikut peraturan Allah. Air, mengikut kimia ialah H20 tidak akan menjadi H202 atau HO, di mana-mana pun dalam dunia ini. Sistem dalam perut kita juga menyerah diri kepada Allah yang membolehkan keluarnya asid pada kadar yang sesuai untuk pencernaan makanan. Matahari ikut Allah, bulan ikut Allah, perut ikut Allah, tak akan lah kita nak melawan Allah?
  2. Rugi kalau kita tidak menyerah mengikut peraturan Allah yang sebenar-benarnya.
  3. Semoga semakin banyak ilmu kita, semakin tunduk kita kepada Allah. Kita tetap merendahkan muka ke bawah sebagai tanda kita berserah diri kepada-Nya.
  4. Sempena dengan Hari Kebangsaan ini, marilah kita bebaskan diri dari kehambaan kepada manusia dan menyerahkan diri kepada Allah seperti apa yang telah dilakukan oleh para sahabat nabi SAW 
  5. Pilihlah untuk menjaga keislaman ini agar kita kembali kepada Allah dalam keadaan terbaik.



RESOLUSI 


Ingat !

  1. Jangan mudah terpedaya dengan pendapat yang salah mengenai wahyu [3:78]
  2. Jadilah hamba kepada Allah SWT bukan menghambakan manusia lain kepada kita [3:79]
  3. Jaga keislaman dan keimanan dalam diri dan keluarga [3:80]

Lega kerana Allah SWT mengingatkan saya agar tidak memanipulasi orang atau biarkan diri dimanipulasi.

Saya jelas untuk tidak mudah terpedaya dengan kata-kata manusia. Saya mesti pastikan berusaha belajar ilmu secara berstruktur agar dapat menjadi hamba Allah SWT serta dapat menjaga keislaman dan keimanan diri dan keluarga.

Ya Allah, jauhi kami dari terpedaya dengan pendapat yang salah mengenai wahyu. Lindungi kami dari orang yang memutar belitkan al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Ya Allah, bantu kami menjadi hamba-Mu yang berpegang pada syahadah kami agar kami dapat menjaga Islam dan iman kami. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami agar mata hati kami tidak dikaburi dengan dosa-dosa yang kami lakukan. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...