Wednesday, May 3, 2023

Halaman 59 : Ali-’Imran, 3:71-77

 

PERKATAAN HARI INI 


  لَبِسَ  =  Pakai, menutup

  23 kali disebut di dalam Al-Quran



SINOPSIS   

  1. Memanipulasi dan fanatisme agama [3:71-74]
  2. Sikap sebahagian ahli kitab yang menunaikan amanah dan menepati janji [3:75-77]



Mukadimah

Alhamdulillah kita dapat belajar bersama-sama sebagai usaha untuk mendapat hidayah daripada Allah SWT. Kita mulakan dengan membaca al-Fatihah bagi memohon doa agar Allah tunjukkan kita jalan orang yang diberi nikmat, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan jalan orang yang sesat kerana manusia ada potensi untuk menjadi baik atau sebaliknya seperti yang disebutkan dalam surah Al-Syams, 91:8  فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا "Maka Dia mengilhamkan kepada-nya (jalan) kejahatan dan ketakwaan".

Dengan membaca dan mengkaji al-Quran kita harap akan menjadi lebih baik. Tidak semestinya hari ini kita belajar, esok terus jadi baik. Ia adalah proses transformasi yang mungkin memakan masa. Perubahan adalah milik Allah SWT, yang pentingnya kita mesti berusaha untuk berubah menjadi lebih baik. Kita mahu mengajak lebih ramai lagi untuk mendapat hidayah Allah. 



Ayat [3:71]


يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تَلْبِسُونَ ٱلْحَقَّ بِٱلْبَـٰطِلِ وَتَكْتُمُونَ ٱلْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ٧١

"Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?”


Ayat [3:72]


وَقَالَت طَّآئِفَةٌۭ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ ءَامِنُوا۟ بِٱلَّذِىٓ أُنزِلَ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَجْهَ ٱلنَّهَارِ وَٱكْفُرُوٓا۟ ءَاخِرَهُۥ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ٧٢

"Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula".”


Ayat [3:73]


وَلَا تُؤْمِنُوٓا۟ إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ ٱلْهُدَىٰ هُدَى ٱللَّهِ أَن يُؤْتَىٰٓ أَحَدٌۭ مِّثْلَ مَآ أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَآجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ ۗ قُلْ إِنَّ ٱلْفَضْلَ بِيَدِ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ ٧٣

"Dan (mereka berkata lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya."


Ayat [3:74]


يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِۦ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ ٧٤

"Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar."


Pengajaran Ayat 71-74

  1. Orang-orang yang memahami kitab janganlah mencampuradukkan atau menyembunyikan (تَلْبِسُونَ) kandungan kebenaran dari al-Quran. Contoh: Tidak mahu membincangkan bab riba, judi, arak dan hutang kerana bimbangkan akan terjejas kedudukan. Kesannya akan rosaklah masyarakat.
  2. Dakwah kepada Islam mesti disampaikan dengan jelas. Kita tidak boleh menyamar menjadi orang kafir untuk mengajak kepada Islam dan juga tidak boleh memaksa orang masuk Islam. 
  3. Ulamak Kristian berusaha untuk mengajak orang ikut agama mereka. 
  4. Kita mesti yakin bahawa Allah memberi petunjuk sebenar kepada pengikut Nabi Muhammad SAW. 
  5. Limpah kurnia (فَضْل) Allah akan diberi kepada sesiapa berusaha mencari hidayah. 
  6. Kita mestilah berusaha dan memohon doa untuk mendapat limpah kurnia daripada Allah.
  7. فَضْلِ terdapat dalam pelbagai bentuk, antaranya kelebihan menjadi rasul, mendapat kitab dan belajar al-Quran.
  8. Hidayah dan rahmat Allah adalah untuk semua manusia, bukan hanya untuk pengikut Nabi Isa sahaja. 
  9. Kurniaan Allah adalah amat besar, maka kita mesti banyak berdoa memohon limpah kurniaannya.


Ayat [3:75]


۞ وَمِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍۢ يُؤَدِّهِۦٓ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍۢ لَّا يُؤَدِّهِۦٓ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَآئِمًۭا ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا۟ لَيْسَ عَلَيْنَا فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ سَبِيلٌۭ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ ٧٥

"Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)."


Pengajaran

  1. Sebagai orang yang beriman, kita mestilah bersikap amanah apabila diberi kepercayaan menjaga harta atau membuat sesuatu tugas. 
  2. Jangan buli orang yang lemah atau yang kurang faham. 
  3. Sebagai orang berilmu, janganlah kita berdusta terhadap kebenaran yang Allah sampaikan dalam al-Quran. 
  4. Janganlah kita rampas hak orang lain. Kita juga tidak boleh hanya menjaga hak kita sahaja dan membiarkan hak orang lain dizalimi. 



Ayat [3:76]


بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِۦ وَٱتَّقَىٰ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَّقِينَ ٧٦

"Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”


Pengajaran

  1. Hendaklah kita menyempurnakan janji agar menjadi orang yang bertaqwa. 
  2. Allah mengasihi orang yang menyempurnakan janji dan bertaqwa. Janji kita banyak: kepada Allah, Rasul dan janji dengan manusia lain seperti isteri/suami, bapa mertua, anak-anak, kawan, bos, staf dll. Semua janji itu mesti ditepati.
  3. Jangan pilih-pilih untuk tunaikan janji walaupun kepada orang bukan Islam.
  4. Tunaikan janji kita dengan Allah iaitu kita berjanji dalam syahadah "Allah sebagai Tuhan" maka kita mestilah tunaikan hak tersebut. Salah satu hak Allah ialah kita mengkaji al-Quran untuk mendapat hidayah. 
  5. Janji dengan rasul ditunaikan dengan mengikut rapat-rapat sunnah Nabi SAW sebagai contoh teladan. 



Ayat [3: 77]


إِنَّ ٱلَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ ٱللَّهِ وَأَيْمَـٰنِهِمْ ثَمَنًۭا قَلِيلًا أُو۟لَـٰٓئِكَ لَا خَلَـٰقَ لَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ ٧٧

"Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”


Pengajaran 

  • Janganlah kita menyalahgunakan sumpah dan janji untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit (ثَمَنًا قَلِيلً). 
  • Orang yang menukar kebenaran dengan kebatilan akan mendapat balasan berikut:
    • Di akhirat nanti, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik walau sedikitpun (لَا خَلَٰقَ لَهُمْ فِى ٱلْءَاخِرَةِ),
    • Allah tidak akan bercakap dengan mereka,
    • Allah tidak melihat dan tidak memberi rahmat kepada mereka,
    • Allah tidak membersihkan dosa mereka dan mereka akan diazab. 
  • Orang yang berbuat sesuatu mengikut jalan yang tidak halal adalah menjejaki langkah ahli kitab yang menukar kebenaran kepada yang batil.



RESOLUSI 


Ingat !!

  1. Jangan campur adukkan dan menyembunyikan kebenaran [3:71]
  2. Hidayah milik Allah namun bagi manusia perlu diusahakan [3:73]
  3. Jangan bersifat perkauman dan menunggang agama untuk melakukan kezaliman [3:75]

Lega kerana Allah SWT beritahu saya akan disayangi-Nya kalau saya menepati janji.

Saya jelas untuk tidak campur adukkan dan menyembunyikan kebenaran. Saya juga jelas untuk berusaha mendapatkan hidayah Allah. Saya jelas untuk elakkan diri daripada bersifat perkauman dan menunggang agama untuk kepentingan diri sendiri.

Ya Allah jadikan kami orang yang menyampaikan kebenaran. Berikan kami kesabaran dan kekuatan untuk terus berusaha mendapat hidayah dan menunaikan janji. Jauhi kami dari bersifat perkauman dan menunggang agama untuk melakukan kezaliman. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...