PERKATAAN HARI INI
سَلِمَ = Menyerah diri, selamat, sentosa
157 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Beriman kepada seluruh para nabi dan menerima Islam [3: 84-85]
- Orang kafir dan taubat [3:86-91]
Mukadimah
Alhamdulillah kita dapat teruskan pembelajaran untuk terus menjadi hamba yang merdeka. Membebaskan kehambaan daripada manusia kepada kehambaan kepada Allah SWT. Itulah yang perlu kita isi dalam hari-hari merdeka kita menuju kepada Allah SWT. Semoga bila sampai di akhirat nanti kita diizinkan untuk merdeka sebebas-bebasnya dengan ganjaran daripada Allah SWT.
Hari ini kita akan mendalami apakah rahsia-rahsia dan panduan untuk kita sentiasa diberi hidayah oleh SWT sehingga kita mampu menjadi hamba yang sentiasa disayangi dan diperhati oleh Allah SWT.
Program bermula dengan bacaan Surah al-Nasr, surah Madaniyah yang dikaitkan dengan kemasukan semula Nabi SAW ke Mekah dengan nusrah (bantuan) daripada Allah SWT. Allah highlight bantuan-Nya dulu baru dapat kemenangan kerana semuanya berlaku dengan izin-Nya. Kita sambut kemenangan dengan tasbih, tahmid dan memohon keampunan. Semoga Allah terus memberi merdeka kepada kita.
Kita tingkatkan keimanan kita dan rohani kita dengan mentaddabur ayat-ayat Allah. Surah al-Baqarah banyak mengenai hati, keimanan, dan perangai Bani Israel. Di dalam surah ali-'Imran ini pula banyak menceritakan mengenai seruan kepada Islam kepada orang-orang Nasrani. Istilah dakwah diberi penekanan.
Ayat [3:84]
قُلْ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ ٨٤
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)"
Pengajaran
- Perkataan muslimun (مُسْلِمُونَ) ialah untuk mengajar Nabi SAW dan kita semua untuk bagaimana beriman kepada Allah.
- Isi dakwah Nabi Muhammad SAW tidak terpisah dari para nabi sebelumnya. Nabi Muhammad SAW beriman kepada nabi-nabi terdahulu termasuk Nabi Musa dan Nabi Isa dan nabi-nabi lain. Tidak ada 'racism'. Inilah Islam yang sebenarnya yang sukar bagi orang-orang yang ingkar dan ada masalah hati untuk memahami.
- Apa yang diturunkan (أُنزِلَ عَلَىٰٓ) kepada nabi-nabi dan keturunan mereka adalah tanggung jawab bukan kemuliaan. Kita yang menerima ayat ini juga mesti bertanggung jawab menyampaikan kebenaran tentang Islam kepada semua manusia termasuk kawan-kawan yang bukan Islam.
- Kita hanya istimewa jika kita mengikut kepada peraturan Allah yang Maha Hebat.
- Hendaklah kita hindarkan diri daripada sikap perkauman.
Ayat [3:85]
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ ٨٥
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
Pengajaran
- Islam sahaja agama yang diterima oleh Allah SWT. Sesiapa yang mencari agama selain Islam, tidak akan diterima oleh Allah. Di akhirat, mereka menjadi orang yang rugi kerana tidak berpandukan kepada kebenaran.
- 'Pluralism' yang mengatakan semua agama sama, adalah salah. 'Plural' tak salah kerana agama memang banyak. 'Pluralism' itu yang salah kerana bukan semua agama sama. Allah hanya menerima agama Islam. Namun, kita tetap berbaik-baik dan bekerjasama dengan Ah Chong dan lain-lain. Peluang yang ada mestilah kita gunakan untuk sampaikan tentang agama Islam.
- Kita tidak boleh berkompromi tentang akidah. Ayat ini adalah keterangan tentang hak Allah SWT.
Ayat [3:86]
كَيْفَ يَهْدِى ٱللَّهُ قَوْمًۭا كَفَرُوا۟ بَعْدَ إِيمَـٰنِهِمْ وَشَهِدُوٓا۟ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقٌّۭ وَجَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٨٦
"Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.”
Ayat [3:87]
أُو۟لَـٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ ٱللَّهِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ ٨٧
"Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).”
Ayat [3:88]
خَـٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ ٨٨
"Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian.”
Pengajaran Ayat 86-88
- Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang zalim. Menurut Asfahani, hidayah akan sampai kepada seseorang melalui 4 cara:
- Umum - Menggunakan akal.
- Melalui nabi-nabi dan al-Quran.
- Yang dicari betul-betul - jangan menzalimi apa yang diberikan
- Hidayah di akhirat nanti - Dipimpin ke syurga.
- Allah melaknat orang yang telah didakwah, tetapi tetap tidak mahu kembali kepadaNya.
- Orang yang kufur akan diazab oleh Allah SWT. Mereka kekal dalam neraka dan tidak akan ditolong oleh Allah SWT.
- Kita hendaklah jaga jati diri sebagai orang Islam dan bersyukur atas nikmat dilahirkan sebagai Islam.
- Bila kita dapat peluang belajar al-Quran, mengenal nabi, janganlah sampai kita memilih untuk kufur. Contoh: janganlah kita mengatakan sibuk, tak 'cool' baca al-Quran.
- Janganlah kita memandang ringan kepada kebenaran yang kita tahu atau menyembunyikan kebenaran.
Ayat [3:89]
إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ ٨٩
"Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi.”
Pengajaran
- Allah memberikan peluang untuk kita bertaubat sekiranya pernah tersilap.
- Jika sedar dan bertaubat serta memperbaiki kesilapan, Allah Maha Pengampun.
- Menghargai keimanan, menghargai kebenaran rasul dan menghargai kitab mesti disemak setiap hari. Adakah kita semakin beriman dan komited dengan kebenaran dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasul dan komited dengan al-Quran? Jika tidak, kita kena bertaubat dan perbaiki (أَصْلَحُوا۟) cara kita memahami sunnah Nabi SAW, memperbaiki interaksi kita dengan al-Quran dan iman yang terangkum dalam rukun iman.
Ayat [3:90]
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بَعْدَ إِيمَـٰنِهِمْ ثُمَّ ٱزْدَادُوا۟ كُفْرًۭا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلضَّآلُّونَ ٩٠
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.”
Pengajaran
- Allah tidak menerima taubat orang-orang yang kafir sesudah beriman, kemudian bertambah kufur malah memusuhi al-Quran dan rasul.
- Orang-orang yang sesat (ٱلضَّآلُّونَ) adalah orang-orang yang ada peluang beriman tetapi kembali kufur dan bertambah kufur, malah memusuhi rasul, kitab, dan orang beriman.
Ayat [3:91]
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَمَاتُوا۟ وَهُمْ كُفَّارٌۭ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ ٱلْأَرْضِ ذَهَبًۭا وَلَوِ ٱفْتَدَىٰ بِهِۦٓ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٩١
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun. “
Pengajaran
- Orang yang mati dalam keadaan kafir, Allah tidak akan menerima ikat jamin daripada mereka walaupun jaminannya emas seluas bumi.
- Gunakan harta untuk perjuangan mengikut rasul, gunakan harta dan potensi yang ada untuk memperjuangkan al-Quran dan membuktikan keimanan di dunia ini.
- Orang yang tidak mahu memberi nusrah (pertolongan) kepada Allah akan rugi dan kecewa.
RESOLUSI
Ingat !!
- Keimanan kepada nabi dan rasul perlu difahami serta dikuatkan/dikukuhkan setiap masa [3:84]
- Bertaubat dan melakukan kebaikan untuk mengelakkan diri dari menjadi orang zalim [3: 89]
- Pelihara iman yang ada dalam diri kerana ia lebih mahal dari bumi yang dipenuhi emas [3:91]
Lega kerana Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk bertaubat dan terus melakukan kebaikan untuk mengelakkan diri daripada menjadi orang zalim.
Saya jelas untuk mengukuhkan keimanan kepada nabi dan rasul, bertaubat dan pelihara iman.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa. Ya Allah kukuhkan keimanan kami kepada nabi dan rasul. Tolong kami untuk meneruskan tanggung jawab menyampaikan Islam seperti yang dilakukan oleh nabi dan rasul.
Ya Allah, terimalah taubat kami, ampunkan kami, jauhi kami daripada menjadi orang zalim. Peliharalah iman kami agar kami tidak menjadi orang yang rugi di dunia dan rugi di akhirat
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami agar mata hati kami tidak dikaburi dengan dosa-dosa yang kami lakukan. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.