Monday, May 1, 2023

Halaman 7 : Al-Baqarah, 2:38-48

PERKATAAN HARI INI


هدى Hidayah, petunjuk
316  kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Adam dan Hawa tinggal di syurga dan sikap syaitan terhadap mereka (2:38-39)
  2. Perkara yang diminta dari Bani Israel (2:40-43)
  3. Contoh-contoh keburukan moral Kaum Yahudi (2:44-48)


Mukadimah

Salah satu daripada permintaan kita di dalam surah al-Fatihah, اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ "tunjukanlah kami jalan yang lurus". Allah terus memberikan al-Quran sebagai petunjuk/hadiah/hidayah. Allah ajar kita ilmu untuk memahami petunjuk dari al-Quran agar kita menjadi khalifah yang terpimpin. 

Sebagai khalifah yang bertanggung jawab meneruskan risalah yang dibawa oleh Nabi, kita mesti kembali kepada az-Zikr iaitu al-Quran. Al-Quran mengingatkan kita kepada fitrah yang kita sudah mengaku Allah sebagai Tuhan dengan berbagai kisah yang mungkin kita lupa. Bila kita baca dan kaji al-Quran, kita semakin ingat kepada Allah Taala.

Khalifah yang bermaksud pengganti, pemimpin, atau penguasa mungkin berbuat KHILAF (silap atau buat sesuatu yang berbeza daripada apa yang Allah hendak kita buat). 

Jadi kita mesti sentiasa rujuk manual agar tidak silap. Kalau silap, kita tak boleh berfungsi seperti tujuan sebenar Allah cipta kita iaitu untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Setiap kita ada perbezaan. Kita ada tahap ilmu dan latar belakang yang berbeza. Tetapi, dengan ada ilmu kita dapat menguruskan perbezaan dengan petunjuk daripada al-Quran.


Ayat 38-39

قُلْنَا ٱهْبِطُوا۟ مِنْهَا جَمِيعًۭا ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدًۭى فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٣٨

Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita".

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ٣٩

Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.


Pengajaran

Allah menyuruh Adam, Hawa dan Iblis turun daripada syurga gara-gara godaan Syaitan. 

Jangan kita terjebak dengan perkara dosa walaupun ianya kita anggap kecil. Daripada dosa yang kecil boleh membawa kesan yang besar. Contoh: Kalau di pejabat, mula-mula ambil sehelai kertas untuk kegunaan peribadi, lama-lama ambil rasuah yang besar. Itu cara syaitan menggoda. Dia goncang sikit-sikit, tapi bila hilang rasa bersalah, kita mungkin akan buat dosa lain yang lebih besar. 

Bagaimana hendak menguruskan godaan syaitan? 

  1. Pastikan apa ilmu yang kita hendak ikut itu adalah petunjuk daripada al-Quran dan Sunnah.
  2. Pastikan nota yang kita buat adalah seperti yang dikehendaki oleh Allah. 

Semak dengan al-Quran dan Sunnah untuk pastikan ia selari dengan apa yang Allah kehendaki, bukan ikut sahaja apa yang disampaikan oleh sesiapa. Jangan jadi Pak Turut!

Dua Janji Allah yang amat hebat, kalau ikut hidayah (al-Quran) betul-betul:

  1. Tidak bimbang/takut - perkara yang belum berlaku
  2. Tidak sedih - perkara yang telah berlaku

Itulah rahsia jiwa yang tenang! Sakit psikologi minimumnya berpunca daripada dua perkara tersebut. Yakinlah sekiranya kita mengikut petunjuk al-Quran, kita hanya takut melanggar peraturan Allah, maka Allah akan menjaga kita. Hidup akan sentiasa TENANG. Orang yang sentiasa membaca al-Quran, ikut betul-betul, insya Allah kita akan ceria gembira kerana inilah kesannya bila kita betul-betul ikut hidayah daripada Allah SWT. 

Kadang-kadang kita berjumpa orang yang membaca al-Quran tapi mukanya tidak ceria, mungkin kerana mereka tidak baca, faham dan amal al-Quran. Mereka tidak betul-betul menghargai hadiah daripada Allah SWT. 

Siapakah orang yang dapat hadiah tapi tidak dapat manfaat daripada hadiah tersebut?

  • Mereka ialah orang kufur iaitu orang yang tidak bersyukur hadiah daripada Allah. Bila dapat Quran, dapat Rasul, dapat hidayah daripada Allah mereka kata tidak penting dan mendustakannya. Jadi kita mesti elakkan daripada menjadi orang yang tidak bersyukur dan mendustakan al-Quran yang merupakan hidayah daripada Allah SWT.


Ayat 40-43

يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا۟ بِعَهْدِىٓ أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّـٰىَ فَٱرْهَبُونِ ٤٠

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

وَءَامِنُوا۟ بِمَآ أَنزَلْتُ مُصَدِّقًۭا لِّمَا مَعَكُمْ وَلَا تَكُونُوٓا۟ أَوَّلَ كَافِرٍۭ بِهِۦ ۖ وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِى ثَمَنًۭا قَلِيلًۭا وَإِيَّـٰىَ فَٱتَّقُونِ ٤١

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.

وَلَا تَلْبِسُوا۟ ٱلْحَقَّ بِٱلْبَـٰطِلِ وَتَكْتُمُوا۟ ٱلْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ٤٢

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ ٤٣

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.


Pengajaran

Allah panggil Bani Israel untuk ingatkan mereka tentang 8 perkara:

  1. nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka
  2. tunaikan janji kepada Allah
  3. takutlah HANYA kepada Allah
  4. jangan campur adukkan kebenaran dengan kebatilan
  5. jangan sembunyikan kebenaran kalau kita tahu itu kebenaran
  6. dirikan solat
  7. tunaikan zakat
  8. rukuk bersama orang yang rukuk (Solat ikut Nabi Muhammad SAW  - Bani Israel solat tapi ada yang tidak rukuk)

Bila kita baca al-Quran, kita kena ingat bahawa ini sebenarnya Allah panggil kita! Walaupun dalam ayat ini Allah panggil Bani Israel tetapi oleh kerana al-Quran adalah mukjizat yang relevent untuk kita maka kita kena ambil perhatian. Israel (bahasa Hebrew) maksudnya hamba Allah. Jadi, memang Allah panggil kita, HAMBA-Nya.

Huda ada kaitan dengan pentunjuk atau hadiah. Allah bagi kita hadiah al-Quran dan Allah bimbing kita hingga sampai kembali ke syurga.

Mengikut Asfahani ada 4 jenis hidayah:

  1. Akal - Hadiah yang Allah bagi pada semua orang 
  2. Nabi yang mengajak kepada hidayah
  3. Orang yang mahu petunjuk
  4. Masuk syurga

Kita bertuah kerana Allah berikan hadiah al-Quran dan Allah pimpin. Hadiah itu mesti dihargai. Jangan jadi seperti Bani Israel yang tidak hargai hadiah daripada Allah (Kitab Taurat dan peringatan Allah yang dibawa oleh Nabi Musa). Bila Allah beri peluang dalam hidup kita, bila Allah beri al-Quran kita kena utamakan al-Quran. Kalau kita dapat Quran, Allah akan berikan segala-galanya. 


Ayat 44-48

۞ أَتَأْمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ ٱلْكِتَـٰبَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ٤٤

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ ٤٥

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ٤٦

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّى فَضَّلْتُكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ ٤٧

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا لَّا تَجْزِى نَفْسٌ عَن نَّفْسٍۢ شَيْـًۭٔا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَـٰعَةٌۭ وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌۭ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ ٤٨

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.


Pengajaran

  1. Allah ingatkan kepada kita supaya tidak jadi seperi Bani Isreal yang menyuruh orang lain buat kebaikan sedangkan mereka lupa diri mereka sendiri. "Mereka Cakap tidak serupa bikin". Kita berdoa agar tidak ikut perangai mereka. 
  2. Kalau kita dah baca al-Quran, Allah akan ingat kita dan Allah bantu kita untuk melaksanakan kebaikan demi kebaikan. Kita jangan takut untuk terus buat kebaikan, terus sampaikan kebaikan yang dibawa oleh al-Quran. Terus beramal dengan Hadis Nabi yang membawa maksud "Sampaikan dariku walaupun satu ayat".
  3. Orang Islam sekarang mungkin orang tak tengok pada al-Qurannya tapi orang tengok pada perangai kita, pada lifestyle kita. Oleh itu kita mesti pastikan perangai dan lifestyle kita ikut al-Quran, ikut Sunnah supaya itulah yang menjadi mesej kebaikan kepada orang lain yang meihat kita. Sampaikan mesej al-Quran dan Sunnah melalui gaya hidup kita.
  4. Untuk konsisten, istiqamah dalam berbuat kebaikan maka kita mestilah minta pertolongan daripada Allah dengan sabar dan solat. Dua perkara ini memang berat kecuali bagi orang yang khusyuk. Untuk menjadi orang yang khusyuk, kita mestilah membuat kebaikan hanya kerana Allah kerana kita hendak bertemu Allah yang telah memberi  hadiah dan banyak kebaikan untuk kita. 
  5. Kita menghargai hadiah Allah dan membalasnya dengan membuat kebaikan, rendah diri dan rindu untuk berjumpa Allah SWT. Kebaikan yang kita buat adalah sebagai BEKALAN kepada kita untuk kembali bertemu-Nya. Gunakan segala nikmat dan potensi yang kita ada (harta, anak, kesihatan, ilmu dsbnya) untuk menghargai al-Quran agar bila berjumpa Allah kita akan dimuliakan dengan mendapat hadiah yang didambakan iaitulah syurga.
  6. Dapat hidayah dan tunaikan janji, barulah kita akan dapat fadhal (kurniaan daripada Allah). 
  7. Nikmat al-Quran yang kita dapat mestilah kita hargai, sebarkan kebaikan dalam diri, kepada keluarga dan kepada dunia agar kita mendapat mendapat syafaat/pertolongan daripada Allah di dunia dan hari akhirat. 
  8. Buat kebaikan, minta pertolongan daripada Allah, terus berdoa agar dengan rahmat-Nya kita berjaya berjumpa Allah di syurga.
  9. Teruskan membaca dan mengkaji al-Quran kerana inilah hidayah Allah. Kalau kita terus menghargai hadiah ini Allah akan menangkan umat Islam.
  10. Kalau ada mesej yang baik jangan disembunyikan. 
  11. Kalau ada agenda jangan pentingkan agenda sendiri atau kumpulan kita, utamakan agenda Allah. 
  12. Penting untuk kita sampiakan kebenaran. 
  13. Jaga hubungan dengan manusia dan jaga hubungan dengan Allah.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Ingin tenang? Ikuti hidayah (2:38)
  2. Selalu ingat nikmat dan tunaikan janji (2:40)
  3. Ingin pertolongan Allah? Sabar dan solat (2:45)

Lega kerana Allah bagi solusi untuk kita menjadi orang yang tenang dan berjaya di dunia dan akhirat.

Hendaklah kita jelas untuk ikut apa yang Allah tunjuk dalam ayat-ayat di atas.

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi hadiah al-Quran kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Kurniakan kami bantuan untuk berpegang teguh kepada hadiah Mu ya Allah. Kami amat memerlukan hidayah-Mu. 

Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa menghargai nikmat-Mu, menunaikan janji, tidak menyembunyikan kebenaran, menyampaikan kebenaran, mendirikan solat seperi yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah, kurniakan kami kekuatan dan istiqamah menyampaikan mesej kebenaran daripada-Mu dan semoga kami dapat menjaga hubungan baik dengan keluarga, jiran, kawan-kawan dan semua manusia di dunia. 

Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai syafaat untuk kami di akhirat dengan rahmatMu ya Allah. Kurniakan kami taufik dan hidayah agar kami berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Aamiin ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...