Monday, May 1, 2023

Halaman 6 : Al-Baqarah, 2:30-37

PERKATAAN HARI INI


قال   Berkata
1722 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS  

  1. Manusia dijadikan sebagai khalifah di muka bumi dan diajari banyak bahasa (2:30-33)
  2. Allah memuliakan Adam dengan memerintahkan para malaikat bersujud (2:34)
  3. Adam dan Hawa tinggal di syurga dan sikap syaitan terhadap mereka (2:35-37)

Ulangkaji

Allah ar-Rahman ar-Rahim mengingatkan kita bahawa Dia menjadikan macam-macam rahmat untuk kita di muka bumi  dan di langit. Ingat! Allah sudah berikan kita macam-macam, maka kita mesti bertanggung jawab buat yang terbaik. Ingat bahawa Allah Maha Mengetahui setiap perbuatan kita.


Ayat 30

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةًۭ ۖ قَالُوٓا۟ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ٣٠

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".


Pengajaran

Bermula dengan perkataan  "Iz" menunjukkan satu ketika dahulu.

Allah SWT hendak ingatkan kita satu peristiwa iaitu Dia jadikan khalifah untuk menggantikan kepimpinan di muka bumi ini. Manusia dijadikan berfungsi sebagai Khalifah yang bermaksud pengganti, pemimpin atau penguasa  (khalfun).

Malaikat bertanya: Adakah Allah akan jadikan pemimpin dari kalangan makhluk yang menumpahkan darah? Mengikut tafsir, sebelum Nabi Adam, sudah ada makhluk lain di bumi iaitu golongan jin. Mereka ini suka melakukan kerosakan dan bunuh-membunuh. 

Malaikat tahu mereka bertasbih hanya dengan anugerah daripada Allah.

Bila kita baca ayat ini, Allah SWT respon kepada Malaikat, "Dia tahu apa yang maliakat tidak tahu."

Malaikat tahu trek rekod makhluk di dunia sebelum Adam adalah tidak baik. Mereka berbuat kerosakan di bumi (tufsidun - ayat 11, yufsidun - ayat 27). Orang yang ada ciri kafir dan munafik memang akan buat kerosakan. Sifat kerosakan yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini telah berlaku di bumi sebelum Nabi Adam. Manusia ada potensi untuk buat kerosakan.

Allah tetap hendak buat manusia sebagai khalifah di bumi menunjukkan rahsia yang Allah sembunyikan. Kita mesti buktikan itu menyalahi apa yang disampaikan oleh Malaikat.


Ayat 31-33

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلْأَسْمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسْمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ٣١

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".

قَالُوا۟ سُبْحَـٰنَكَ لَا عِلْمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ ٣٢

Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئْهُم بِأَسْمَآئِهِمْ ۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسْمَآئِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّىٓ أَعْلَمُ غَيْبَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ ٣٣

Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".


Pengajaran

Allah ajarkan kepada Nabi Adam nama-nama setiap benda yang ada di dunia. Kita yang boleh membaca al-Quran yang boleh berkata-kata adalah kerana Allah yang ajar kita berkomunikasi. Allamahulbayan

Kalau kita hendak jadi orang yang betul, mestilah atas dasar ilmu.

Doa dari ucapan malaikat pada ayat 32: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

Allah ajarkan kepada Nabi Adam terminologi, istilah-istilah, kata nama bagi semua benda dalam berbagai bahasa yang ada di dunia. Rahsianya ialah, bani Adam diajarkan ilmu. 

Potensi belajar itu ada pada kita sebagai bani Adam. Tugas kita ialah terus mengkaji  dan mengeluarkan rahsia alam ini.

Subhanallah - Maha Suci Allah. Ucapan tasbih berasal daripada perkataan sabaha (سبح)

سبح  --> berenang: Bermakna Allah SWT melangkau daripada segala-galanya.

Pada ayat 30 perkataan تَعْلَمُون dan pada ayat 32 عَلَّمْتَنَا --> berkenaan ilmu iaitu daripada perkataan علم 

قول - konsep perkataan untuk kita beramal. Bukan cakap omong kosong. Bila kita bercakap ia membina kesungguhan dalam hati kita. Kesannya, bila kita baca al-Quran, ia akan menguatkan hati kita dan kita berpotensi untuk mengeluarkan perkataan yang baik-baik daripada diri kita. 

Dengan membaca dan mengkaji al-Quran, ia akan menguatkan kata-kata dalam hati kita yang akan menjelmakan dalam perkataan dan perbuatan yang baik untuk diri kita, keluarga dan masyarakat.

Kita mesti mengakui bahawa segala ilmu yang kita tahu adalah yang diajar oleh Allah. Allah ingatkan kita bahawa Dia mengetahui  segala rahsia di langit dan di bumi, yang kita zahirkan atau sembunyikan. Setiap yang kita cakap di hati atau di mulut semuanya Allah SWT tahu, maka kita mestilah cakap sebagai seorang pemimpin yang diajar oleh Allah bukan diajar oleh syaitan. 


Ayat 34-37

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٣٤

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

وَقُلْنَا يَـٰٓـَٔادَمُ ٱسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ ٱلْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٣٥

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".

فَأَزَلَّهُمَا ٱلشَّيْطَـٰنُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ ۖ وَقُلْنَا ٱهْبِطُوا۟ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّۭ ۖ وَلَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّۭ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍۢ ٣٦

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

فَتَلَقَّىٰٓ ءَادَمُ مِن رَّبِّهِۦ كَلِمَـٰتٍۢ فَتَابَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ٣٧

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.


Pengajaran

Allah suruh Malaikat sujud sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan Nabi Adam. Semua Malaikat sujud kecuali Iblis. Ia menolak dan menyombongkan diri dan ia termasuk orang-orang yang Kafir.

Setelah Nabi Adam ada potensi dengan ilmu, dan Malaikat mengaku mereka tiada ilmu kecuali yang diajar oleh Allah. Allah bagi ujian kepada Malaikat, Iblis dan Nabi Adam dan kepada kita manusia. Sujud sebagai tanda penghormatan untuk menghargai kehadiran makhluk baru. 

Malaikat sujud, lulus ujian. Iblis enggan (aba) sujud sebab tak puas hati kepada Allah dan dia menyombongkan diri.  Iblis gagal ujian tersebut.

Kalau kita enggan kerana tidak menghargai authoriti, ini adalah adalah teknologi iblis.

Ujian untuk Nabi Adam dan Hawa: Allah tempatkan mereka di syurga dan larang mereka mendekati satu pohon. Adam gagal ujian tersebut. Mereka gagal kerana godaan Iblis dan dikeluarkan daripada Syurga. 

Kita kena betulkan mesej bahawa kegagalan Nabi Adam bukan kerana Hawa yang menggoda, TETAPI kerana godaan SYAITAN kepada mereka berdua (faazallahumassyaitan). Sumber evil di dunia bukanlah lelaki atau perempuan, tetapi syaitan.

Ada tiga penjuru permusuhan

  1. Lelaki bermusuh dengan perempuan (merendahkan wanita)
  2. Perempuan bermusuh dengan lelaki (feminism)
  3. Iblis bermusuh dengan manusia menyebabkan lelaki dan perempuan bergaduh antara satu sama lain. Iblis suka lelaki dan perempuan bergaduh. Kita mesti buktikan kita tidak ikut iblis dengan selalu kembali kepada Allah SWT.

Rahsia penting dari ayat 37 ialah 3 potensi yang amat bermakna bagi kita sebagai khalifah (pengganti Nabi Adam):

  1. Potensi kita ialah belajar dan mengajar. Untuk melengkapkan proses pembelajaran kita mesti ajar, tulis, share untuk melonjakkan potensi kita sebagai khalifah.
  2. Kita boleh diuji dan boleh gagal. Kegagalan juga adalah potensi untuk membolehkan kita lebih faham. Belajar dari kegagalan untuk memperbaiki apa yang kita buat.
  3. Bila belajar, diuji dan tersilap kita diajar untuk bertaubat. Bertaubat ialah rahsia besar untuk meningkatkan potensi kita sebagai individu, ayah, ibu, atau pemimpin.

Kalau kita buat salah, cepat-cepat bertaubat

Yakin Allah Maha Penerima Taubat (at-Tawwab)

Yakin Allah Maha Penyayang (ar-Rahim)

Walau apa pun ujian dalam hidup, RAHSIA KEJAYAAN ialah dengan segera BERTAUBAT. Itulah yang berlaku kepada manusia yang pertama, Nabi-nabi dan pemimpin terdahulu yang berjaya, bila sedar buat silap mereka segera bertaubat.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Mantapkan potensi kita dengan belajar dan mengajar (2:31-33)
  2. Elakkan sombong kerana ia menyebabkan kufur (2:34)
  3. Jika silap, cepatlah bertaubat (2:37)

Lega kerana Allah Yang Maha Pemurah telah memberitahu rahsia untuk meningkatkan potensi diri. Allah juga yakinkan kita bahawa Dia Maha Penerima taubat, jadi bila tersilap, kita mesti cepat-cepat bertaubat. Jangan biarkan dosa menumpulkan potensi besar yang Allah berikan kepada kita.

Hendaklah kita jelas untuk giat belajar dan mengajar al-Quran untuk menjadi orang yang terbaik. Jangan sombong dengan sedikit ilmu yang ada. Kalau saya silap, akui kesilapan dan cepat-cepat bertaubat.

Ya Allah, kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Kami mengaku kami lemah. Engkau sahaja yang berkuasa meningkakan potensi kami sebagai makhluk terbaik yang Engkau ciptakan. Ya Allah Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, ajarkan kami al-Quran. Jadikan kami orang yang berilmu, beriman, beramal soleh dan bertaqwa. 

Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat sombong dan bangga diri. Jadikan kami orang yang suka bertaubat dan beristighfar. Tingkatkan potensi kami untuk menjadi manusia yang sentiasa memperbaki amalan dalam segala kerja buat kami. Jadikan al-Quran sebagai syafaat untuk kami di akhirat dengan rahmatMu ya Allah. Kurniakan kami taufik dan hidayah agar kami berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Aamiin ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...