PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Larangan menikahi isteri orang lain dan bolehnya menikahi wanita-wanita yang bukan mahram [3:24]
- Syarat-syarat bernikah dengan hamba perempuan [3:25].
- Penerangan hukum Islam [3:26]
MUKADDIMAH
Alhamdulillah kita dapat meneruskan pembelajaran hari ini masuk juz kelima. Pengalaman bersama My #QuranTime memberi peluang kepada kita untuk merenung secara ringkas setiap ayat al-Quran. Kita dapat melihat kasih sayang Allah yang disampaikan melalui ayat-ayat yang dibacakan. Mendengar bacaan yang bagus dan tadabbur setiap ayat memang membuat hati kita terkesan. Semoga Allah ar-Rahman terus mengajar dan memudahkan kita belajar dan menyampaikan al-Quran.
Didiklah anak lelaki dan juga anak perempuan dengan Surah al-Nisa' ini supaya mereka tahu apa hak dan tanggung jawab mereka setelah memasuki gerbang perkahwinan.
Ayat [4:24]
وَٱلْمُحْصَنَٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ كِتَٰبَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَٰفِحِينَ فَمَا ٱسْتَمْتَعْتُم بِهِۦ مِنْهُنَّ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَٰضَيْتُم بِهِۦ مِنۢ بَعْدِ ٱلْفَرِيضَةِ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
"Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
PENGAJARAN
- Haram menikah dengan isteri orang.
- Perempuan yang bersuami ( ٱلْمُحْصَنَٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآء ) sepatutnya dikubukan/dilindungi oleh suaminya. Sebelum berkahwin dikubukan oleh ayah/wali. Janganlah biarkan kubu itu dikacau oleh orang lain. Jika wanita itu sengaja mahu keluar dari kubu, bermakna dia tidak menghargai kubu tersebut.
- Tawanan perang yang menjadi hamba sahaya di zaman dahulu, boleh dikahwini jika ia beriman kepada Allah.
- Di tempat kerja, jagalah hubungan di antara lelaki perempuan. Jangan main-main dan jangan sampai terminat isteri orang.
- Ini teguran Allah untuk menjaga kerukunan masyarakat di dalam keluarga.
- Menurut Imam Thobari dalam tafsirnya, haram kahwin muta'ah/kawin kontrak. Ia ada unsur ke arah zina. Tidak ada mahar, tidak ada kesan iddah bila bercerai dan tidak ada harta warisan.
- Lelaki yang hendak berkahwin mesti mencari harta ( أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم ) untuk mahar. Orang dahulu menginfaq semua harta untuk agama sehingga tinggal kurma dan 'qul huwallah' sahaja untuk dijadikan mahar. Jangan samakan kita di zaman ini dengan mereka.
- Lelaki yang mahu berkahwin itu sedang menyiapkan 'kubu'/tempat perlindungan untuk bakal isteri. Ia mengambil alih kubu yang telah disediakan oleh walinya sebelum ini. Tidak mahu berjumpa ayah mertua dan berkawin di tempat lain, itu namanya, tidak mahu membina kubu.
- Kahwin muta'ah adalah kahwin untuk bersenang-senang sahaja. Kalau sudah bersenang-senang, sepatutnya, kenalah beri mahar sebagai kewajipan. Tidak mahulah sekadar membayar 'sewa' sahaja.
- Allah Amat Mengetahui dan Amat Bijaksana. Allah tahu siapa yang مُّحْصِنِينَ yang mahu menjaga wanita itu. Siapa yang مُسَٰفِحِينَ 'safaha' tidak matang dalam melihat peraturan Allah.
- Allah Maha Mengetahui apa agenda seseorang itu.
- Janganlah kita mahu menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan.
Ayat [4:25]
وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ ٱلْمُحْصَنَٰتِ ٱلْمُؤْمِنَٰتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُم مِّن فَتَيَٰتِكُمُ ٱلْمُؤْمِنَٰتِ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَٰنِكُم بَعْضُكُم مِّنۢ بَعْضٍ فَٱنكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَءَاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ مُحْصَنَٰتٍ غَيْرَ مُسَٰفِحَٰتٍ وَلَا مُتَّخِذَٰتِ أَخْدَانٍ فَإِذَآ أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَٰحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى ٱلْمُحْصَنَٰتِ مِنَ ٱلْعَذَابِ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِىَ ٱلْعَنَتَ مِنكُمْ وَأَن تَصْبِرُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba - abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
PENGAJARAN
- Zaman dulu, lelaki yang tidak berkemampuan boleh berkahwin dengan hamba atau tawanan perang kerana mahar mereka lebih rendah berbanding wanita merdeka.
- Lelaki yang hendak berkahwin, mestilah mendapat izin daripada wali wanita. Jika tawanan perang, mesti dapat izin daripada yang berkuasa.
- Lelaki mestilah berikan mahar yang sesuai dengan standard wanita yang hendak dikahwini.
- Perempuan yang hendak dikahwini mestilah wanita yang baik, bukan perempuan yang berbuat keji dan bukan yang ada lelaki simpanan.
- Jika wanita yang dikahwini berbuat keji, ia mesti dihukum.
- Sesiapa yang takut berbuat kerosakan ( ٱلْعَنَتَ ) yang membawa kepada berzina, berkahwinlah.
- Kalau tidak mampu kahwin, bersabarlah.
- Sebelum kahwin mestilah taubat dulu supaya tidak membuat dosa yang lain selepas kahwin.
- Allah menawarkan keampunan dengan syarat lelaki bina kubu dan wanita menjaga kubu agar tidak diserang oleh syaitan.
Ayat [4:26]
يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
"Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
PENGAJARAN
- Allah mahu membezakan antara yang hak dengan yang batil.
- Allah mahu memimpin manusia menjadi orang yang baik-baik.
- Allah hendak kita bertaubat. Dengan bertaubat, Allah boleh membantu kita pada setiap masa.
- Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah tahu apa yang kita perlukan.
- Hidup ini adalah perjalanan yang panjang. Ia adalah ujian. Allah menjadikan hidup dan mati untuk menguji siapa yang terbaik di antara hambaNya. Allah Yang Maha Mengetahui.
RESOLUSI
Ingat !!
- Jaga batas pergaulan dengan pasangan orang lain [4:24]
- Buat pilihan yang tepat dalam membina hubungan antara lelaki dan wanita [4:25].
- Taubat selalu agar disayangi Allah SWT [4:26]
Lega kerana Allah SWT sayang sekiranya saya bertaubat.
Saya jelas untuk jaga batas pergaulan dengan pasangan orang lain. Saya mesti pastikan keluarga saya buat pilihan yang tepat dalam membina hubungan antara lelaki dan wanita. Saya jelas untuk sentiasa bertaubat agar disayangi Allah SWT.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran.
Ya Allah, bantu kami untuk jaga batas pergaulan dengan pasangan orang lain. Tolong kami buat pilihan yang tepat dalam membina hubungan antara lelaki dan wanita.
Ya Allah ampuni kami, terimalah taubat kami. Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.