Thursday, June 1, 2023

Halaman 83 Al-Nisa', 4:27-33

 

PERKATAAN HARI INI

        

تَابَ /     تَوَبَ   Bertaubat, kembali ke pangkal jalan

87 kali disebut di dalam al-Quran

 

SINOPSIS

   

1.      Penjelasan mengapa ada hukum-hukum sebelum ayat ini [4:27-28]

2.      Haram memakan harta dengan cara yang batil, larangan melampaui batas dan kebenaran bermuamalah dengan kerelaan [4:29-30]

3.      Pahala menjauhi dosa-dosa besar [4:31)

4.      Larangan bersikap dengki dan perintah untuk selalu memohon anugerah kepada Allah [4:32]

5.      Pembahagian harta warisan kepada ahli waris sesuai haknya [4:33]

 

CATATAN (BACA-FAHAM-AMAL)  Tuan Fazrul Ismail,  Ustaz Tarmizi Abdul Rahman

 

Doa:

 سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ 

2:32  "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

 

 رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا 

20:114 "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"

 

Mukaddimah

 

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT dengan hidayah, limpah kurnia dan 'inayah daripada-Nya kita dapat meneruskan perbincangan surah al-Nisa' pada halaman 83. Sama-sama  kita mengemudi dan menjunjung tanggung jawab bersama al-Quran ini agar kita diberi syafaat oleh Allah di akhirat nanti. Semoga dengan mendalami juz kelima ini,  kita semakin cinta dan rasa rindu dengan al-Quran.

 

Surah al-Fatihah mengingatkan kita bahawa hidayah adalah yang paling bermakna di dalam kehidupan kita ini. Walaupun kita memohon diberi pangkat dan harta, tetapi permohonan yang paling utama ialah untuk mendapatkan hidayah daripada Allah SWT. Tanpa pancaran cahaya hidayah, harta dan pangkat tidak berguna untuk membawa kita berjaya kembali ke syurga. 

 

Hari ini kita akan melihat 'Why' (kenapa) Allah turunkan peraturan-peraturan kepada umat Islam. Biasanya inilah format ayat-ayat Madaniyah. Allah berikan peraturan, Allah berikan sebabnya supaya kita mudah menerima 'big picture' (gambaran luas) bagi sesuatu peraturan.

 

Dalam Surah al-Nisa' Allah memperjuangkan wanita, anak yatim, harta pusaka dan juga pengurusan keluarga. 

 

Ayat [4:27]

 

وَٱللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلشَّهَوَٰتِ أَن تَمِيلُوا۟ مَيْلًا عَظِيمًا

 

"Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya."

 

Mesej:



1.     Kita telah diingatkan bahawa jika berbuat kesilapan, hendaklah bertaubat. 

2.    Kalau kita melihat kesilapan dalam keluarga dan masyarakat juga hendaklah kita bertaubat agar dibantu oleh Allah untuk membetulkan kesilapan tersebut. 

3.    Taubat adalah ciri seorang hamba.

4.    Semua peraturan adalah untuk kita bertaubat bila tersilap. 

5.    Dalam diri kita ada syahwat. Syahwat ialah hawa nafsu yang amat kuat untuk berbuat dosa. Jika tidak dijaga, sangat mudah tergelincir. 

6.    Orang yang tidak mahu bertaubat adalah orang yang mengikut syahwat ( ٱلشَّهَوَٰتِ ). 

7.    Apabila seseorang itu mengikut peraturan Allah, bermakna ia sedang bertaubat.

8.    Orang yang tidak menjaga hak wanita dan anak yatim serta tidak menjalankan faraid adalah mereka yang mengikut syahwat.

9.     Utamakan peraturan Allah supaya tidak berlaku penyelewengan dalam urusan keluarga dan masyarakat.

 

Ayat [4:28]

 

يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ ٱلْإِنسَٰنُ ضَعِيفًا

 

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."

 

Mesej:



1.       Peraturan Allah adalah untuk memastikan semua hak manusia dan makhluk lain terjaga. 

2.      Manusia adalah makhluk yang  lemah. Jika terlalu mengikut syahwat, manusia mudah mengambil kesempatan ke atas setiap perkara. 

3.    Allah sentiasa bersedia meringankan beban daripada manusia dengan menetapkan hak masing-masing. Kalau tersilap juga, Allah juga bersedia menerima taubat sekiranya kita bertaubat.

 

Ayat [4:29]

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

 

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu."

 

Mesej:



1.     Seruan Allah kepada orang beriman supaya tidak memakan harta secara batil. Contoh: Jualan online ada peniaga yang menipu dan memakan secara batil dengan memanipulasi perasaan pembeli. 

2.       Jika tidak berasaskan  kebenaran dan hanya untuk menipu, ia sudah pasti melibatkan memakan harta yang batil.  

3.       Jual beli yang dibenarkan ialah yang sudah diredhai atau dipersetujui oleh kedua-dua pihak. 

4.      Jika ekonomi tidak dikawal, ekonomi akan merudum, orang akan protes dan ia boleh mengakibatkan berbunuhan sesama manusia kerana tidak berpuas hati. 

5.       Bila manusia tidak menjaga kasih sayang, hancurlah  kasih sayang dalam masyarakat.

 

 

Ayat [4:30]

 

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا

 

"Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya)."

 

Mesej:



1.       Orang yang menipu dan memakan harta secara batil, balasan bagi mereka adalah neraka. 

2.       Tidak siapapun dapat menghalang balasan Allah.

 

Ayat [4:31]

 

إِن تَجْتَنِبُوا۟ كَبَآئِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

 

"Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)."

 

Mesej:



1.    Jauhkan diri dari dosa-dosa besar (zina, membunuh, syirik dan menipu dalam perniagaan), Allah akan menutup dosa-dosa kecil kita. Allah akan memasukkan kita ke dalam tempat yang mulia. 

2.       Hendaklah kita bersungguh-sungguh menghindarkan diri dari melakukan dosa besar.

 

Ayat [4:32]

 

وَلَا تَتَمَنَّوْا۟ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا ٱكْتَسَبُوا۟ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ مِّمَّا ٱكْتَسَبْنَ وَسْـَٔلُوا۟ ٱللَّهَ مِن فَضْلِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًا

 

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

 

Mesej:



1.       Lelaki dan perempuan ada ganjaran masing-masing jika berbuat baik. 

2.       Kalau hendak kurniaan yang mantap, mohonlah daripada Allah. 

3.       Kalau kita beramal yang baik, akan dapat yang baik untuk diri kita.

4.       Bila Allah memberi kurniaan pada seseorang, bersamanya ada tanggung jawab. 

5.       Jangan dengki kepada orang lain. Semua orang ada kelebihan masing-masing. Buatlah yang terbaik untuk kembali kepada Allah dalam keadaan sejahtera.

6.       Allah tahu segalanya.

 

Ayat [4:33]

 

وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوَٰلِىَ مِمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ وَٱلَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمَٰنُكُمْ فَـَٔاتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدًا

 

 

"Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu."

 

Mesej:



1.       Jadilah diri kita dan bersyukur dengan apa yang kita ada. Kesan membanding banding, maka akan hilang rasa bersyukur. 

2.       Allah memberi mengikut fungsi. Lelaki pasti akan berkahwin dan kena mencari nafkah. Wanita tidak wajib mencari nafkah.

3.       Jelaskan hutang, wasiat ⅓ dan selebihnya di faraidkan. Kebanyakkan ulamak setuju bahawa wasiat adalah untuk orang yang tidak dapat faraid.

4.       Allah menyaksikan semua ini. Umpama ada cctv yang sentiasa memerhatikan. Allah tahu siapa yang benar-benar jujur.

 

RESOLUSI

 

Ingat !!

1.     Utamakan taubat tanpa tangguh atau berpaling [4:27]

2.     Semak dan ambil sumber yang halal sahaja [4:29]

3.     Jauhi dosa besar agar Allah SWT tutup kesalahan kecil kita [4:31]

 

Lega kerana Allah SWT bersedia menerima taubat saya.

 

Saya jelas untuk segera bertaubat atas apa jua kesilapan. Saya mesti pastikan rezeki saya daripada sumber yang halal. Saya juga mesti jauhi dosa besar agar Allah tutup kesalahan kecil saya.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran. 

 

Ya Allah ampuni kami, terimalah taubat kami. Jauhi kami daripada rezeki yang tidak halal dan daripada dosa-dosa besar. Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

 

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...