PERKATAAN HARI INI
خَرَجَ Mengeluarkan, diusir
182 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Cinta negara dan disiplin menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya [4:66-68]
Pahala taat kepada Allah dan Rasul [4:69-70]
Tata cara perang dalam Islam [4:71-74]
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita memanjatkan kesyukuran di hari yang barakah ini untuk meneruskan pengajian di halaman 89. Surah al-Nisa' mengangkat wanita yang dipandang hina di zaman jahiliah dan dipandang kelas kedua oleh pelbagai golongan di dunia hari ini.
Surah ini penuh peraturan untuk membawa kebahagiaan di dalam dan di luar rumah. Secara ringkasnya yang kita perhatikan, ia bercerita tentang keadilan dan bercakap tentang golongan orang munafik di zaman Nabi SAW sebagai panduan supaya hati yang sakit dapat diubati. Jangan sampai ia menjadi nifa' dan munafik yang menjejaskan hubungan sosial dalam masyarakat.
Surah al-Fatihah menghidupkan hati dan membuka potensi yang ada dalam diri kita. Ia mengingatkan kita kepada tiga perkara:
Aqidah - Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Allah Menguasai Hari Pembalasan. Itulah fitrah kita yang mesti selalu dibersihkan untuk meletakkan Allah sebagai sumber segala-galanya.
Ibadah - Tentang syariat yang kita jadikan sebagai kehidupan kita.
Sirath - Jalan kehidupan (Lifestyle) kita seharian. Kita ingin bersama orang-orang yang diberi nikmat.
Hari ini kita akan lihat siapa orang-orang yang diberi nikmat oleh Allah SWT.
Ayat [4:66]
وَلَوْ أَنَّا كَتَبْنَا عَلَيْهِمْ أَنِ ٱقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ أَوِ ٱخْرُجُوا۟ مِن دِيَـٰرِكُم مَّا فَعَلُوهُ إِلَّا قَلِيلٌۭ مِّنْهُمْ ۖ وَلَوْ أَنَّهُمْ فَعَلُوا۟ مَا يُوعَظُونَ بِهِۦ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُمْ وَأَشَدَّ تَثْبِيتًۭا
"Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka)."
Mesej:
Orang yang betul-betul beriman kepada Allah dan kitab, mereka akan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber hukum. Selain merujuk al-Quran kita juga mestilah merujuk sunnah Nabi SAW sebagai panduan kehidupan.
Allah menjelaskan kemantapan iman akan terhasil sekiranya kita sanggup mati (berjuang/berperang) dengan meninggalkan kediaman kerana mengikut perintah Allah.
Golongan munafik tidak akan sanggup mati dan meninggalkan kediaman walaupun diperintahkan oleh Allah SWT kerana mereka mensyirikkan Allah.
Orang beriman akan bersedia untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan walaupun perlu menghadapi ujian kematian dan meninggalkan kediaman.
Janganlah kita terperangkap dalam zon selesa hingga tidak sanggup berjuang demi untuk meneguhkan keimanan.
Ayat [4:67]
وَإِذًۭا لَّـَٔاتَيْنَـٰهُم مِّن لَّدُنَّآ أَجْرًا عَظِيمًۭا
"Dan (setelah mereka berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka - dari sisi Kami - pahala balasan yang amat besar;"
Mesej:
Berbuat dua perkara itu adalah puncak perjuangan.
Orang yang bersedia untuk mati dan meninggalkan kediaman kerana memperjuangkan keimanan akan mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah SWT.
Orang munafik tidak suka infak masa, tenaga, kepakaran dan lain-lain untuk perjuangan sedangkan perjuangan di luar rumah amat penting kerana ia ada kaitan dengan menjaga setiap rumah yang ada.
Ayat [4:68]
وَلَهَدَيْنَـٰهُمْ صِرَٰطًۭا مُّسْتَقِيمًۭا
"Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus"
Mesej:
Orang yang sedia berjuang akan dipimpin oleh Allah SWT ke jalan yang lurus.
Ini lah perkataan yang kita baca dalam Surah al-Fatihah. Kita mahu jalan yang lurus untuk diri, keluarga, negeri dan negara. Kalau perlu berjuang, kita berjuang. Kalau perlu kita berhijrah untuk menyelamatkan iman, kita berhijrah.
Ayat [4:69]
وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّـٰلِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُو۟لَـٰٓئِكَ رَفِيقًۭا
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)."
Asbabul nuzulnya ialah kisah seorang sahabat, Tsauban yang bertemu Baginda SAW dengan muka pucat. Bila baginda SAW bertanya kenapa, dijawab "dia terlalu rindu kepada baginda SAW dan takut tidak dapat bertemu Rasulullah di akhirat kelak. Kalau masuk syurga sekali pun, belum tentu dapat bertemu. Jika dia masuk neraka, lagilah tidak bertemu." Itulah wawasan sahabat. Allah turunkan ayat ini bukan hanya berita gembira untuk Tsauban tetapi untuk kita semua juga. Taatlah Allah dan taat rasul.
Mesej:
Siapa yang mentaati Allah dan rasul, akan bersama orang-orang yang diberi nikmat.
Taat kepada rasul melibatkan perjuangan praktikal yang perlu dibuat setiap hari. Bukan hanya duduk membaca al-Quran, tetapi terus mengamalkan sunnah-sunnah nabi. Antara sunnah-sunnah Nabi s.a.w. bukan hanya memakai celak, tetapi juga berkongsi kebaikan.
Empat kumpulan orang yang diberi nikmat:
Nabi SAW
Sidiqqin - Mereka ini yang mantap imannya seperti Saidina Abu Bakar. Membenarkan kebaikan dan tidak mendustakan. Inilah yang perlu kita bina. Janganlah kita mendustakan kebaikan yang dibuat oleh orang. Khuatir nanti benda baik dalam diri kita terhapus kerana kita berdusta. Kita mungkin tak mampu buat kebaikan seperti orang lain tetapi jangan mendustakan.
Syuhada - orang-orang yang syahid
Orang-orang yang soleh
Hendaklah kita berkawan baik ( رَفِيقًا ) dengan orang-orang yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya supaya di akhirat kita dapat bertemu dengan orang-orang yang tergolong dalam empat kategori itu. Rafiqa, maksudnya orang yang sentiasa lembut dan menenangkan.
Ayat [4:70]
ذَٰلِكَ ٱلْفَضْلُ مِنَ ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ عَلِيمًۭا
"Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya)"
Mesej:
Dalam keserabutan dan cabaran di Madinah, sahabat-sahabat tetap berjuang bersama-sama Nabi SAW.
Orang-orang yang berkawan baik dengan orang yang taat kepada Allah dan Rasul akan mendapat limpah kurnia daripada Allah SWT.
Apabila kita belajar dan beramal dengan al-Quran, akhirnya kita akan dapat bersama-sama dengan Nabi SAW dan semua golongan yang diberi nikmat.
Cukuplah Allah yang tahu betapa rindunya kita untuk bersama-sama orang-orang yang diberi nikmat oleh-Nya. Tak perlulah kita mengada-ngada dan menunjuk-nunjuk baik.
Ayat [4:71]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ خُذُوا۟ حِذْرَكُمْ فَٱنفِرُوا۟ ثُبَاتٍ أَوِ ٱنفِرُوا۟ جَمِيعًۭا
"Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai."
Mesej:
Allah menyeru orang-orang beriman untuk pergi berperang secara sukarela kerana menjaga negara.
Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk berjuang.
Kalau ada keperluan untuk berjuang, maka hendaklah lakukan secara berkumpulan atau secara serentak dalam kumpulan yang kecil atau besar.
Ayat [4:72]
وَإِنَّ مِنكُمْ لَمَن لَّيُبَطِّئَنَّ فَإِنْ أَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةٌۭ قَالَ قَدْ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَىَّ إِذْ لَمْ أَكُن مَّعَهُمْ شَهِيدًۭا
"Dan sesungguhnya ada di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata: "Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang bersama-sama mereka".
Mesej:
Orang Munafik suka melambat-lambatkan pergi berperang.
Jika terjadi sesuatu kepada orang beriman, mereka berkata mereka bersyukur tidak terlibat dalam musibah perang tersebut.
Antara ciri orang Munafik ialah mereka tidak pergi berjemaah solat subuh dan isyak kerana orang lain tidak nampak dalam keadaan gelap. Waktu lain mereka muncul kerana hendak menunjuk-nunjuk untuk kepentingan peribadi seperti hendak dapat projek dll.
Ayat [4:73]
وَإِنَّ مِنكُمْ لَمَن لَّيُبَطِّئَنَّ فَإِنْ أَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةٌۭ قَالَ قَدْ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَىَّ إِذْ لَمْ أَكُن مَّعَهُمْ شَهِيدًۭا
"Dan demi sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia (kemenangan) dari Allah, sudah tentu ia mengatakan (dengan sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan kasih mesra antara kamu dengannya: "Alangkah baiknya kalau aku turut serta bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang amat besar?"
Mesej:
Orang Munafik tidak menghargai orang beriman yang berjuang untuk ugama.
Mereka hanya kesal tidak turut berjuang kerana tidak dapat harta rampasan perang.
Ayat [4:74]
فَلْيُقَـٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يَشْرُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا بِٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَمَن يُقَـٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًۭا
"Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar."
Mesej:
Orang beriman yang mengutamakan kebahagian akhirat akan sentiasa sanggup untuk berjuang di jalan Allah.
Sesiapa yang mati syahid atau menang ketika berjuang di jalan Allah akan mendapat ganjaran yang besar. Hadis ada menyebut tentang barang siapa yang berhajat untuk mati syahid, walaupun ia meninggal dunia di atas katil, tetap dianggap syahid. Inilah yang berlaku kepada Khalid al-Walid.
RESOLUSI MTQ123
Ingat !!
Taati Allah dan Rasul untuk bersama orang yang mendapat ganjaran/nikmat [4:69]
Berjuanglah dengan jemaah bersama-sama [4:71]
Selalu memberi komitmen terbaik dalam berjuang atas jalan kebaikan, bukan mengelak [4:72]
Lega kerana Allah SWT akan berikan ganjaran yang besar sekiranya saya taat kepada Allah dan Rasul.
Saya jelas untuk taat kepada Allah dan Rasul. Saya mesti bersedia untuk berjuang bersama-sama dalam jemaah dengan memberikan komitmen terbaik.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.
Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa taat kepada Mu dan taat kepada Rasul-Mu. Bantu kami untuk berjuang bersama-sama jemaah yang Engkau redhai. Bimbing kami untuk memberi komitmen terbaik dalam berjuang atas jalan kebaikan.
Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.