Friday, June 2, 2023

Halaman 107 Al-Maidah, 5:3-5

 

PERKATAAN HARI INI

          

حَرَّمَ   Melarang, mengharamkan

83 kali disebut dalam al-Quran





SINOPSIS 

 

  1. Makanan-makanan yang diharamkan, disempurnakan agama Islam oleh Allah SWT, dan keadaan darurat [5:3]
  2. Makanan yang dihalalkan oleh Allah SWT dan kebenaran untuk menikahi wanita dari kalangan Ahlul Kitab [5:4-5]






Mukaddimah

 

Alhamdulillah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dapat teruskan pembelajaran di halaman 107. Pada halaman lepas, Allah memanggil orang-orang beriman supaya tunaikan janji.

 

Kita memohon Allah memberi hidayah kepada kita kerana kita perlu berada di jalan yang lurus di dunia dan dipimpin sampai ke syurga Allah SWT.

 


Ayat [5:3]

 

حُرِّمَتۡ عَلَیۡكُمُ ٱلۡمَیۡتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحۡمُ ٱلۡخِنزِیرِ وَمَاۤ أُهِلَّ لِغَیۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلۡمُنۡخَنِقَةُ وَٱلۡمَوۡقُوذَةُ وَٱلۡمُتَرَدِّیَةُ وَٱلنَّطِیحَةُ وَمَاۤ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّیۡتُمۡ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ وَأَن تَسۡتَقۡسِمُوا۟ بِٱلۡأَزۡلَـٰمِۚ ذَ ٰلِكُمۡ فِسۡقٌۗ ٱلۡیَوۡمَ یَىِٕسَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِن دِینِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡیَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِینَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَیۡكُمۡ نِعۡمَتِی وَرَضِیتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِینࣰاۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِی مَخۡمَصَةٍ غَیۡرَ مُتَجَانِفࣲ لِّإِثۡمࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ

 

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

 

Asbabun Nuzul: Ayat ini turun pada hari Jumaat di Padang Arafah. Masa itu umat Islam sudah menang selepas perjanjian Hudaibiyah. Nabi masuk ke Mekah tanpa berperang dan menunaikan Haji Wada' (Perpisahan).  Saidina Umar orangnya tegas. Tetapi bila mendengar khutbah akhir Baginda SAW, Saidina Umar menangis kerana beliau sedar perjuangan di sisi Nabi Muhammad SAW bakal berakhir.

 

Pengajaran

 

  1. Allah menerangkan 10 ciri-ciri makanan yang haram. Selain itu adalah halal. Yang halal adalah sangat banyak.
    • Bangkai
    • Darah
    • Daging khinzir
    • Apa yang disembelih selain nama Allah
    • Binatang yang mati tercekik. Orang jahiliah suka mencekik kambing mereka dan memakannya
    • Binatang yang mati dipukul
    • Binatang yang mati jatuh
    • Binatang yang mati ditanduk
    • Binatang yang menjadi makanan haiwan buas yang tidak sempat disembelih
    • Binatang yang disembelih atas nama berhala, bukan kerana Allah
  2. Allah juga mengharamkan mengundi nasib dengan anak panah. Pada zaman jahiliah, mereka akan mengundi nasib menggunakan anak panah. Perbuatan ini adalah dosa besar.
  3. Allah memberitahu bahawa agama Islam telah disempurnakan setelah satu jangka masa yang panjang (أَكْمَلْتُ ). Kita tidak perlu lagi kitab, buku atau teori lain.
  4. Allah juga sempurnakan nikmat-Nya kepada kita.Allah hanya redha dengan agama Islam.
  5. Persoalan yang timbul: Awal ayat tentang makanan, tapi diakhiri dengan sempurnanya agama? Ini adalah kerana makanan yang halal adalah satu nikmat yang besar daripada Allah SWT. Bila kita dapat menjaga makanan, dan makanan itu halal, itu melambangkan kita menjaga peraturan, kesempurnaan bagi sesuatu agama dan kita menjaga perjanjian dengan Allah SWT.
  6. Jika darurat dan dalam kelaparan yang hampir nak mati ( مَخْمَصَةٍ ) barulah boleh makan yang diharamkan sekadar untuk menyelamatkan nyawa.
  7. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.
  8. Dalam hidup kita, kalau ada haram dan halal, ada had dalam menjaga makanan, itu tandanya kita dibekalkan peraturan untuk selesaikan masalah. Kalau dalam hidup kita ada masalah, kita jaga had peraturan ini, insya Allah kita akan dapat solusi daripada langit, iaitu daripada Allah SWT.

Pantun:

 

Bangkai dan darah sentiasa diperiksa

Tidak dimakan jangan dileka

Panduan makanan dijelaskan semua

Tanda Islam sudah sempurna


 

Ayat [5:4] Berkaitan Makanan Yang Dihalalkan

 

یَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَاۤ أُحِلَّ لَهُمۡۖ قُلۡ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّیِّبَـٰتُ وَمَا عَلَّمۡتُم مِّنَ ٱلۡجَوَارِحِ مُكَلِّبِینَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ ٱللَّهُۖ فَكُلُوا۟ مِمَّاۤ أَمۡسَكۡنَ عَلَیۡكُمۡ وَٱذۡكُرُوا۟ ٱسۡمَ ٱللَّهِ عَلَیۡهِۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِیعُ ٱلۡحِسَابِ

 

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya"

 

Pengajaran

 

  1. Makanan yang Allah halalkan itu semuanya adalah toyyibat (yang baik-baik). Ia membawa kebaikan kepada kita dari segi fizikal dan kebersihan.
  2. Binatang yang ditangkap oleh binatang buruan yang terlatih adalah halal. Semasa melepaskan binatang buruan hendaklah sebut nama Allah
  3. Makanan adalah salah satu tanda identiti umat Islam. Jika tersilap makan tanpa sedar, cepat-cepat beristighfar.Makanan juga adalah lambang takwa. Bab makanan dan takwa perlu dijaga kerana balasan daripada Allah adalah amat cepat.
  4. Makanan yang tidak halal memberi kesan kepada doa dan amal ibadah kita






























































Ayat [5:5]

 

ٱلۡیَوۡمَ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّیِّبَـٰتُۖ وَطَعَامُ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ حِلࣱّ لَّكُمۡ وَطَعَامُكُمۡ حِلࣱّ لَّهُمۡۖ وَٱلۡمُحۡصَنَـٰتُ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ وَٱلۡمُحۡصَنَـٰتُ مِنَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ إِذَاۤ ءَاتَیۡتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحۡصِنِینَ غَیۡرَ مُسَـٰفِحِینَ وَلَا مُتَّخِذِیۤ أَخۡدَانࣲۗ وَمَن یَكۡفُرۡ بِٱلۡإِیمَـٰنِ فَقَدۡ حَبِطَ عَمَلُهُۥ وَهُوَ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ

 

"Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi."

 

Sebahagian pendapat menyatakan bahawa ayat ini turun di Mekah selepas kejayaan umat Islam menawan Mekah. Islam sudah menang. Nabi SAW wafat 83 hari selepas turun ayat [5:3]. Ayat ini bukan hanya hukum, ini juga merupakan bayangan kepada para sahabat bahawa selepas Nabi wafat., mereka akan terus berjuang dan mereka akan berhadapan dengan ahli-ahli kitab di banyak tempat seperti di Rom.

 

Pengajaran

 

  1. Pada hari ini ( ٱلْيَوْمَ ) Allah menghalalkan yang baik-baik. Allah isytiharkan jangan ikut manusia dalam soal halal haram. Ikut panduan halal haram dari Allah SWT. Orang Yahudi dahulu mengharamkan apa yang dihalalkan. Contohnya daging unta. Hanya kerana Nabi Yaakub tidak memakannya, mereka terus haramkan.
  2. Orang Islam boleh memakan makanan yang disembelih oleh ahli kitab.
  3. Lelaki Islam juga boleh berkahwin dengan perempuan ahli kitab yang menjaga kehormatannya dengan syarat memberikan mahar.
  4. Dalam halaman ini, memang banyak menyebut hal makanan. Para sahabat dahulu, sukar untuk mendapatkan makanan. Mereka perlu perjuangkan.
  5. Kita kena mengambil al-Quran sebagai perjuangan dalam hidup, bukan sekadar panduan beragama dan ritual semata-mata.
  6. Kita kena terus berjuang untuk mencari makanan yang halal dan mewujudkan kemudahan makanan halal di negara-negara  bukan Islam.
  7. Hasil perjuangan Nabi SAW selama 23 tahun adalah makanan yang halal dan peraturan yang lengkap.
  8. Kita mestilah meneruskan perjuangan Nabi SAW untuk memastikan yang negara kita akan terus mudah untuk mendapatkan makanan yang halal dan mengikut peraturan yang telah dilengkapkan oleh Allah SWT daripada al-Quran.
  9. Kita mesti berjuang menjaga keimanan dan memastikan identiti Islam terus terjaga di bumi ini agar kita tidak menjadi orang yang rugi di akhirat.

 

Pantun:

 

Menata air di dalam piring

Dijamu sekali bersama halua

Jaga makanan amatlah penting

Menjadi asas iman dan takwa

































"YOU ARE WHAT YOU EAT"




RESOLUSI 

 

Ingat !!


  1. Jangan takut kepada manusia tetapi takut kepada Allah SWT [5:3]
  2. Sentiasa menjaga status makanan yang dimakan agar ia membina takwa [5:4]
  3. Berusaha dapatkan makanan yang halal, baik dan bernutrisi sebagai tuntutan agama [5:5]

 

Lega kerana Allah SWT memberi peraturan halal haram makanan. Lebih banyak makanan yang halal daripada yang haram.

 

Saya jelas untuk tidak takut kepada manusia tetapi takut kepada Allah semata-mata. Saya mesti jaga status makanan yang dimakan agar terjaga iman dan takwa. Saya mesti berusaha dapatkan makanan halal, baik dan bernutrisi.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami.

 

Ya Allah, jauhi kami daripada takut kepada manusia. Jadikan kami orang yang hanya takut kepada-Mu. Ya Allah rezekikan kami dengan makanan yang halal, baik dan bernutrisi agar kami dapat menjaga iman dan takwa. Ya Allah, ampuni dosa-dosa kami. Pimpinlah kami dengan rahmat dan kasih sayang-Mu agar kami berjaya sampai ke syurga.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.





Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...