Friday, June 2, 2023

Halaman 108 Al-Maidah, 5:6-9

 


PERKATAAN HARI INI

          

غَسَلَ  Membersihkan, mandi

4 kali disebut dalam al-Quran








SINOPSIS  

 

  1. Kewajipan berwuduk, mandi janabah, tayamum, dan mengingat nikmat kurniaan Allah SWT [5:6-7]
  2. Jujur dan adil ketika menjadi saksi dan ketika memberikan keputusan, serta ganjaran pahala bagi orang mukmin  [5:8-9]








Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita dikurniakan peluang untuk mendalami kalamullah, agar kita terus disinari cahaya daripada Allah pada hari ini dan seterusnya. Dalam keadaan sekarang, kita menghadapi berbagai cabaran, kita doakan agar seluruh umat Islam mendapat manfaat yang terbaik dengan solusi daripada al-Quran. Semoga peluang mendalami ilmu ini dapat melonjakkan kualiti kita sebagai hamba Allah SWT.

 

Kita sentiasa perlukan pertolongan daripada Allah SWT. Syarat untuk memohon pertolongan adalah dengan kita puji Allah SWT dan merasai kebesaran-Nya dengan membaca 4 ayat pertama al-Fatihah. Bacaan ini akan memenuhi hati dan jiwa kita dengan kebesaran Allah, bukan kebesaran ujian yang melanda. Kalau tidak fokus kepada kebesaran Allah, kita akan hilang perspektif iman dan hilang motivasi untuk menguruskan segala cabaran dalam apa yang berlaku dalam hidup kita.

 

Semoga kita dapat membina generasi yang mencari solusi daripada al-Quran bagi menangani apa saja masalah dalam kehidupan.


 

Ayat [5:6]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًۭا فَٱطَّهَّرُوا۟ ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌۭ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءًۭ فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًۭا طَيِّبًۭا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍۢ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

 

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur."

 

Ayat ini adalah seruan kepada orang beriman. Surah Al-Ma'idah ini ada yang turun di Mekah, ada yang turun di Madinah tetapi ia disebut sebagai surah Madaniyyah. Surah dikategorikan ikut fasa sebelum atau selepas hijrah. Bukan ikut tempat diturunkan.

 

Pantun:

 

Betapa indah bunga melor

Tumbuh menegak di atas pancang

Makanan diatur, cara hidup dialur

Indahnya syariat dari Yang Penyayang

 

Pengajaran

 

  1.  sebelum ini bercakap tentang makanan. Jika kita menjaga makanan, kita juga kena bersihkan diri kita dengan wuduk. Kita kena jaga amalan dan hubungan dengan Allah SWT. Hubungan diri sendiri dengan Allah saling terkait.
  2. Hendaklah kita jaga makanan fizikal dengan memilih yang halalan toiyyibah dan jaga rohani dengan mengerjakan solat.
  3. makanan Allah SWT beritahu cara wuduk iaitu:  basuh muka, kedua belah tangan meliputi siku, sapu sebahagian dari kepala, dan basuh kedua belah kaki meliputi buku lali.
  4. Kalau berhadas besar kena bersuci dengan mandi wajib.
  5. Kalau sakit yang tidak boleh kena air, atau tidak ada air, dibolehkan bertayammum dengan debu yang bersih. Perlu sapu muka dan tangan sahaja.
  6. Allah tidak mahu menyusahkan kita tetapi Allah mahu kita bersih.
  7. Umat Islam sudah diajar tentang makanan dan kebersihan 1400 tahun yang lalu.
  8. Bab bersih ini memang amat penting dalam Islam. Hikmah Covid ini, kita kena amalkan makanan yang toiyyibah dan jaga kebersihan.
  9. Kita kena jaga wahyu akhir ini betul-betul agar terus mendapat nikmat daripada Allah SWT.
  10. Allah melengkapkan nikmat-Nya bila kita dapat berwuduk, solat dan bersujud.
  11. Wuduk lambang kebersihan dan kesempurnaan.

Ayat [5:7]

 

وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثَـٰقَهُ ٱلَّذِى وَاثَقَكُم بِهِۦٓ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

 

"Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada."

 

Mesej dan Tindakan

  1. Wuduk ada kaitan dengan persediaan keadilan.
  2. Orang yang bersyukur akan ditambah nikmat. Orang yang tidak bersyukur, nikmat banyak mana pun akan hancur.
  3. Makanan itu nikmat, wuduk itu nikmat.
  4. Puncak nikmat ialah bila kita dapat solat.
  5. Untuk mendapat nikmat hendaklah solat.
  6. Nikmat bukan percuma. Ingat nikmat ingat perjanjian kita "Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)"
  7. Allah Maha Mengetahui segala yang ada di dalam hati manusia.
  8. Allah ingin mengangkat darjat kita dengan ujian dan pastikan kita berwuduk dan solat.
  9. Salah satu nikmat bila kita ambil wuduk, kita yakin Allah sebenarnya tahu sebarang cabaran yang melanda, seperti Covid dan banjir. Allah tahu isi hati kita.. Kalau emak ayah kita tahu anaknya susah, mereka tidak akan duduk diam. Inikan pula Allah.
  10. Kalau kita rasa kelam kabut bagaimanapun, pastikan menjaga solat. Pastikan keluarga kita juga menjaga solat. 

 

Ayat [5:8]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

 

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

 

Mesej dan Tindakan

 

  1. Allah menyuruh orang-orang yang beriman bangkit memperjuangkan keadilan.
  2. Kalau seseorang itu menjaga wuduk, jaga solat, ia akan menjaga perjanjian-perjanjian dengan Allah dan dengan manusia. Kalau ia melihat ada perkara yang tidak kena, ia akan bangkit memperjuangkannya kerana Allah ( قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ ).
  3. Hendaklah kita berlaku adil kerana adil ada kaitan dengan takwa. Walaupun kita sudah berada di atas setelah menang, jangan balas perbuatan buruk orang lain.  Jika kita solat tetapi kita tidak kisah pun untuk berlaku adil, itu tandanya takwa kita masih tidak cukup.
  4. Adil ialah memberi sama rata tetapi bila ada elemen 'qist' kita mengelak dari tidak adil dengan memberi mengikut keperluan masing-masing yang menerima. Contohnya ada 3 orang anak. Lelaki diberi songkok, perempuan diberi tudung. Kalau dua orang anak perempuan yang berbeza umur, tak akan mahu memberi tudung yang sama saiz. Pasti berbeza mengikut kesesuaian. Kumpulan B40, M40 contohnya, berbeza kemampuan dan tidak bolehlah diberi sama rata. Yang penting, jangan pilih bulu atau pilih warna.
  5. Allah tahu apa yang kita buat. Allah mengingatkan supaya adil itu jangan dibuat main-main.
  6. Tetaplah kita perjuangkan keadilan kerana itu manifestasi orang yang membaca al-Quran, jaga makan yang halal, jaga wuduk, jaga solat, jaga adil. Sesiapa yang menjaga semua ini, Allah akan bersihkan, bukan setakat di luar, malah membersihkan jiwa-jiwa kita.

Pantun:

 

Selepas sujud, duduk bersimpuh

Doa munajat mohon keberkatan

Kepalanya tegak, harga diri penuh

Bangkit berjuang untuk keadilan
















































































Ayat [5:9]


 

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ ۙ لَهُم مَّغْفِرَةٌۭ وَأَجْرٌ عَظِيمٌۭ  

 

"Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar."

 

Mesej dan Tindakan

  1. Allah menjanjikan keampunan dan ganjaran yang amat besar kepada orang yang jaga iman, jaga wuduk, jaga solat dan jaga keadilan.
  2. Untuk mendapat keampunan dan ganjaran yang besar daripada Allah, hendaklah kita bukan sekadar duduk dalam rumah tapi kita juga perjuangkannya di luar rumah.
  3. Orang yang boleh berlaku adil akan mendapat ganjaran yang lebih besar daripada Allah SWT.
  4. Hanya orang yang beramal dan bertindak sahaja yang buat silap. Dengan maghfirah daripada Allah, segala kesilapan kita akan ditutup.
  5. Walaupun kita rasa dihina, teruskan beramal soleh, jangan give up kerana ini ada keampunan dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT. 

Pantun:

 

Mayang sari nampaknya ikal

Anak berlari di pohon pauh

Kebenaran itu akan kekal

Rasa benci kan mereda teduh
































RESOLUSI 


Ingat !!


  1. Jaga kebersihan sebagai tanda keimanan [5:6]
  2. Banyakkan mengingat nikmat Allah dan janji kita kepada Allah SWT [5:7]
  3. Tegakkan keadilan dan jangan berat sebelah pada orang yang tidak sekumpulan/sefahaman dengan kita [5:9]


Lega kerana Allah SWT akan beri keampunan dan ganjaran besar sekiranya saya  jaga iman, jaga wuduk, jaga solat dan jaga keadilan.

 

Saya jelas untuk jaga kebersihan, banyak mengingat nikmat Allah dan janji kepada Allah. Saya mesti berjuang untuk tegakkan keadilan.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami.

 

Ya Allah, bantu kami untuk jaga kebersihan luaran dan dalaman. Jadikan kami orang yang mensyukuri nikmat-Mu, dapat menunaikan janji kepada-Mu dan kepada manusia lain. Ya Allah jadikan kami orang yang adil dalam urusan kehidupan kami. Ya Allah, ampuni dosa-dosa kami. Pimpinlah kami dengan rahmat dan kasih sayang-Mu agar kami berjaya sampai ke syurga.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



 












































































Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...