Friday, June 2, 2023

Halaman 106 Al-Nisa', 4:176 - Al-Maidah, 5:1-2

 

PERKATAAN HARI INI     

       

وَفَى   Memenuhi janji, menyempurnakan

66 kali disebut di dalam Al Quran





SINOPSIS  

 

  1. Waris Al-Kalaalah atau waris saudara lelaki dan saudara perempuan sekandung (seibu dan seayah) atau sebapa (4:176)
  2. Memenuhi akad, larangan melakukan pelanggaran, bekerjasama untuk melakukan kebaikan, dan memuliakan syiar Allah SWT (5:1-2)






Mukaddimah

 

Alhamdulillah hari ini kita akan mempelajari ayat terakhir dalam surah al-Nisa' dan memulakan surah al-Ma'idah, surah kelima iaitu surah terakhir dalam kalangan surah Madaniyyah. Insya Allah, dengan mempelajari al-Quran kita akan dapat keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi sekarang.

 

Dihujung surah al-Nisa', tiba-tiba bercakap semula tentang harta pusaka. Apa yang disampaikan ini adalah penting sangat untuk kita beri perhatian.

 

Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa orang beriman berpegang teguh kepada panduan daripada al-Quran yang menjadi cahaya penerang 'burhan' dalam segala urusan kehidupan. Nabi Isa a.s. tidak sombong/merengus untuk beribadah kepada Allah walaupun pengikutnya mengatakan yang dia anak Tuhan. Kita diperingatkan untuk tidak mensucikan orang-orang yang kita hormat dalam hidup kita dan orang yang dihormati juga kekal menjadi hamba Allah. Bila kita ambil manfaat dan pedoman daripada al-Quran, kita tidak akan sombong/merengus.

 

Ayat [4:176]

 

یَسۡتَفۡتُونَكَ قُلِ ٱللَّهُ یُفۡتِیكُمۡ فِی ٱلۡكَلَـٰلَةِۚ إِنِ ٱمۡرُؤٌا۟ هَلَكَ لَیۡسَ لَهُۥ وَلَدࣱ وَلَهُۥۤ أُخۡتࣱ فَلَهَا نِصۡفُ مَا تَرَكَۚ وَهُوَ یَرِثُهَاۤ إِن لَّمۡ یَكُن لَّهَا وَلَدࣱۚ فَإِن كَانَتَا ٱثۡنَتَیۡنِ فَلَهُمَا ٱلثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَۚ وَإِن كَانُوۤا۟ إِخۡوَةࣰ رِّجَالࣰا وَنِسَاۤءࣰ فَلِلذَّكَرِ مِثۡلُ حَظِّ ٱلۡأُنثَیَیۡنِۗ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ أَن تَضِلُّوا۟ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَیۡءٍ عَلِیمُۢ

 

"Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

 

Asbabun nuzul: Nabi SAW telah melawat seorang sahabat yang sakit bernama Jabir. Jabir memberitahu yang dia tidak mempunyai anak dan tidak juga mempunyai ibu-bapa lagi. Sahabat bertanya Nabi SAW bagaimana hendak uruskan harta pusaka Jabir. Ayat ini turun pada musim panas. Ayat [4:12] tentang pembahagian harta pusaka turun pada musim sejuk.

 

Mesej:

 

  1. ٱلْكَلَـٰلَةِ (Kalaalah) berlaku apabila seseorang yang mati, tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai orang tua.
  2. Dalam urusan pembahagian harta pusaka, anak kita menjadi hijab atau dinding, daripada adik beradik untuk mendapat harta tetapi dengan syarat.  
  3. Dalam konteks ini, bila si mati tidak mempunyai anak, saudara perempuan akan mendapat 1/2 harta pusaka dan saudara lelaki mendapat seluruh harta pusaka. Kalau si mati mempunyai lebih daripada seorang saudara perempuan, mereka dapat 2/3 harta. Kalau si mati ada saudara lelaki dan perempuan, bahagian lelaki sama dengan bahagian dua saudara perempuan (rujuk pakar Faraid untuk penerangan terperinci).
  4. Allah SWT tetapkan lelaki mendapat lebih daripada harta pusaka kerana mereka ada tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Lelaki kena menjaga adik dan kakak perempuannya dan juga keluarganya sendiri. Ini berkaitan dengan ayat [4:34]
  5. ٱلرِّجَالُ قَوَّ ٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲ وَبِمَاۤ أَنفَقُوا۟ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡۚ
  6. "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."

  7. Allah menjelaskan tentang urusan pembahagian harta ini supaya kita tidak sesat dan tidak merengus. Ikutlah panduan daripada Allah dalam urusan pembahagian harta pusaka kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba Nya.
  8. Allah tetapkan hukum faraid untuk menyelesaikan banyak masalah. Orang yang telah meninggal dan yang masih hidup terjaga hubungan dan hak masing-masing.
  9. Pantun:

 

Umat Yahudi diberi amaran

Hormati wahyu bersama Nabi Musa

Jangan merengus disuruh Tuhan

Urus bersungguh harta pusaka

 



TAMAT SURAH AL-NISA'

 

SURAH KELIMA : AL-MA'IDAH

 

Al-Ma'idah, bermakna hidangan daripada langit. Tema bagi surah ini ialah 'semakin banyak kurniaan yang Allah beri, makin besar tanggungjawab dan perlu berjuang untuk Allah'.

 

Perbezaan dan Persamaan Ringkas Surah Al-Nisa' dan Al Ma'idah.

 

No

Al-Nisa'

Al-Ma'idah

1

Ayat pertamanya Allah memanggil   یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ "Wahai manusia"

Ayat pertamanya Allah memanggil    یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟  "Wahai orang-orang yang beriman"

2

Tentang hubungan dalam keluarga

Tentang hubungan masyarakat dan perinciannya

3

Kedua-dua surah menyebut tentang keadilan.

4

 

Tentang menyempurnakan syariat, perincian tentang makanan

5

Menceritakan tentang ahli kitab. Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum/agama yang besar agar kembali kepada agama yang sebenar.

6

Arak hampir diharamkan.

Arak diharamkan terus.

7

 

Surah terakhir diturunkan.

8

Tentang perempuan ahli kitab boleh dikahwini

Halal dan haram dalam makanan

 

Walaupun surah in adalah yang terakhir turun tetapi ia adalah yang kelima dalam susunan al-Quran. Al-Quran diturunkan dari langit atas ke langit bawah adalah seperti susunan yang terdapat dalam al-Quran sekarang (Reading of the ummah). Bila diturunkan kepada Nabi SAW ia mengikut keadaan semasa waktu itu. Jawapan kepada masalah hidup kita sekarang mungkin ada dalam surah-surah yang berbeza di sepanjang al-Quran.

 

Surah al-Ma'idah banyak menyebut tentang perundangan. Kitab Taurat hanya menyebut tentang undang-undang, manakala Zabur pula hanya tentang nilai (ingat Allah). Al-Quran menggabung nilai dan peraturan untuk panduan seluruh manusia.

 

Ayat [5:1]

 

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَوۡفُوا۟ بِٱلۡعُقُودِۚ أُحِلَّتۡ لَكُم بَهِیمَةُ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ إِلَّا مَا یُتۡلَىٰ عَلَیۡكُمۡ غَیۡرَ مُحِلِّی ٱلصَّیۡدِ وَأَنتُمۡ حُرُمٌۗ إِنَّ ٱللَّهَ یَحۡكُمُ مَا یُرِیدُ

 

"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum sesuai dengan yang Ia kehendaki."

 

Pengajaran

 

  1. Allah ingatkan orang-orang beriman supaya tunaikan janji-janji (  أَوۡفُوا۟ بِٱلۡعُقُودِۚ) yang telah dibuat. Menurut Imam Al-Alusi ada 3 jenis janji (akad):
    • Akad dengan Tuhan
    • Akad dengan diri untuk menjadi manusia yang baik
    • Akad dengan sesama manusia
  2. Mesej akad ini adalah untuk orang beriman. Janganlah kita pandang ringan akad-akad yang telah dibuat. Kalau ambil ringan bermakna ada isu iman. Contoh: Akad suami semasa menerima nikah adalah untuk ambil tanggungjawab menjaga isteri yang telah diserahkan oleh wali. Antara pemimpin dan rakyat juga ada akad. Bila diundi, bermakna orang sudah memberi amanah. Dengan bank, dengan vendor, semua kita ada akad. Akad-akad ini semua adalah social contract.
  3. Allah bantu kita dengan memberi panduan, maka kita mesti ikut panduan-panduan tersebut.
  4. Panduan dalam ayat ini:
    • Halal makan binatang-binatang ternak.
    • Tidak boleh memburu ketika dalam ihram.

 

Ayat [5:2]

 

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحِلُّوا۟ شَعَـٰۤىِٕرَ ٱللَّهِ وَلَا ٱلشَّهۡرَ ٱلۡحَرَامَ وَلَا ٱلۡهَدۡیَ وَلَا ٱلۡقَلَـٰۤىِٕدَ وَلَاۤ ءَاۤمِّینَ ٱلۡبَیۡتَ ٱلۡحَرَامَ یَبۡتَغُونَ فَضۡلࣰا مِّن رَّبِّهِمۡ وَرِضۡوَ ٰنࣰاۚ وَإِذَا حَلَلۡتُمۡ فَٱصۡطَادُوا۟ۚ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ أَن صَدُّوكُمۡ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ أَن تَعۡتَدُوا۟ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰنِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

 

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."

 

Pengajaran

 

  1. Allah menyeru orang-orang beriman supaya:
    • Jangan langgar syiar agama.
    • Jangan ganggu kehormatan bulan-bulan haram.
    • Jangan ganggu haiwan untuk bayar denda (hadyu) dan haiwan yang ditanda untuk korban (qalaid)
    • Jangan ganggu orang yang hendak pergi ke Baitul Harram untuk berniaga dan mencari keredhaan Allah SWT.
  2. Orang yang menang janganlah menekan orang yang pernah menekan kita dulu. Ceritanya ialah: Orang Musyrik Mekah pernah menghalang Baginda SAW untuk masuk  ke Mekah untuk umrah. Mereka buat perjanjian Hudaibiyah tetapi orang kafir melanggar perjanjian tersebut.
  3. Allah menyuruh kita bantu membantu dalam membuat kebajikan dan melarang tolong menolong dalam perkara dosa dan pencerobohan.
  4. Allah menyuruh kita membina takwa kerana takwa itulah yang menyebabkan kita bersatu-padu dan tolong menolong.
  5. Orang yang melanggar perintah Allah akan mendapat azab yang berat.
  6. Sekarang kita berada dalam keadaan perit dan kita perlu kembali kepada Allah dengan bekerjasama, membantu antara satu sama lain.


Pantun:

 

Aur mencengkam tebing berkawan

Deras air mudik ke muara

Kita tolong atas kebajikan

Membina takwa elak bencana









RESOLUSI HALAMAN 106

 

Ingat !!


  1. Jangan mengambil ringan mengenai perwarisan harta yang difardukan (4:176)
  2. Penuhi janji bagi membuktikan keimanan (5:1)
  3. Sentiasa sokong dan tolong perkara kebajikan dan taqwa dalam apa cara sekalipun (5:2)

Lega kerana Allah SWT turunkan al-Quran sebagai cahaya dalam hidup saya sebagai panduan pewarisan harta serta pembinaan iman dan takwa.

 

Saya jelas untuk tidak ambil ringan mengenai pewarisan harta. Saya mesti penuhi janji dan menyokong perkara kebajikan dan takwa.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami.

 

Ya Allah, bantu kami untuk laksanakan segala perintah-Mu dalam urusan pewarisan harta. Bimbing kami untuk menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang penuhi janji. Pimpin kami untuk menjadi orang yang suka menolong dalam perkara kebajikan dan takwa. Ya Allah, terangi hidup kami dengan cahaya kebenaran daripada rasul dan al-Quran. Ya Allah, ampuni dosa-dosa kami. Pimpinlah kami dengan rahmat dan kasih sayang-Mu agar kami berjaya sampai ke syurga.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


     











































































































Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...