Monday, June 5, 2023

Halaman 152: Al-A'raf, 7:12-22

 


PERKATAAN HARI INI:



  مَنَعَ  Menghalang, menegah. 

17 kali disebut dalam al-Quran.





SINOPSIS  


1.     Penyesatan syaitan dan pengusirannya dari syurga (12-18)

2.     Kisah Nabi Adam di syurga dan tipu daya syaitan (19-22)








Mukaddimah

 

Alhamdulillah kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 152 daripada surah al-A'raf yang membongkar kepada kita penerangan lanjut kepada surah al-An'am iaitu berkaitan dengan tauhid yang bercakap tentang kehebatan Allah SWT pada 'ayatillah', atau 'alaillah'. Pada surah al-A'raf ini Allah SWT membawakan kisah 'ayyamillah' kepada mereka yang memperjuangkan tauhid, dan kepada mereka yang mendustakannya, tetapi Allah mulakan dahulu pada halaman 152 ini tentang satu kisah penting sorotan dari sejarah manusia, Nabi Adam a.s.

 

Susunan al-Quran dimulakan dengan peraturan dari surah al-Baqarah sampai al-Mai'dah. Surah al-An'am dan al-A'raf meneguhkan lagi apa yang kita perlu bina dalam kehidupan iaitu tauhid.

 

Ummul Quran al-Fatihah penting untuk kita hayati dalam kehidupan seharian. Kita melihat bahawa sebenarnya kita perlukan hidayah yang amat penting daripada Allah SWT untuk menghalang daripada serangan syaitan yang sudah berazam untuk menggoda manusia seperti yang diwartakan pada halaman ini.

 

Pada ayat 11 Allah mengingatkan kita yang Dia telah mencipta Nabi Adam, kemudian menyuruh malaikat dan iblis sujud. Tetapi iblis tidak mahu sujud. Ini menunjukkan kepada tahap-tahap ciptaan manusia  daripada fizikalnya sampai kepada spiritualnya dan juga disampaikan dalam ayat ini  tentang hubungan di antara manusia dengan malaikat dan juga dengan jin. Iblis adalah daripada kalangan jin.

 

 

Ayat [7:12]

 

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا۠ خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِى مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُۥ مِن طِينٍ

 

Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahkanmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah perintah iblis ( أَمَرْتُكَ) sujud tapi dia enggan. Ini adalah sujud pemuliaan.  Allah bertanya mengapa iblis tidak mahu sujud?
  2. Allah memberi tugas kepada Nabi Adam dan menyuruh iblis untuk hormat. Iblis ada kemahiran memberi alasan. Alasan iblis tidak diterima oleh Allah SWT.
  3. Dia menyatakan yang dia dicipta daripada api dan Adam daripada tanah. Iblis cuba membanding-bandingkan. Dia rasa dirinya lebih hebat.
  4. Dalam surah lain, iblis kata dia hanya hendak beribadah kepada Allah. Ini adalah hujah orang yang menyatakan rasa macam logik. Iblis hanya mahu mentauhidkan Allah jadi dia tidak mahu ikut cakap orang lain. Yang penting hanya ikut cakap Allah. Ini adalah logik apabila kita tidak mahu menghormati orang yang Allah suruh jalankan tugas. Itulah sebenarnya kemahiran iblis.
  5. Bila seseorang tidak mahu ikut arahan Allah kerana dia rasa diri lebih baik, sebenarnya dia sedang mengikut iblis. Baik macam manapun kita masih lagi perlu menjadi lebih baik. Bukannya jadi orang baik, tetapi pandang orang lain dengan pandangan hina. Jangan pandang diri kita terlalu hebat sehingga menyebabkan kita jadi sombong.

 

Ayat [7:13]

 

قَالَ فَاهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَاخْرُجْ إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرِينَ

 

Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".

 

Mesej dan Tindakan:


1.     Iblis tak mahu ikut perintah Allah kerana dia takabbur ( تَتَكَبَّرَ ) .

2.     Takabbur menyebabkan seseorang menjadi hina.

3.     Di dalam kehidupan, semakin tinggi pangkat, sepatutnya kita semakin merendah diri, baru orang itu digelar orang yang mulia.

 

Ayat [7:14]

 

قَالَ أَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

 

Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Iblis memohon kepada Allah untuk ditangguhkan hukuman hingga hari kebangkitan.
  2. Iblis bukan tidak percaya kepada tuhan. Dia percaya kepada tuhan yang Maha Kuasa, sebab itu dia minta tolong.
  3. Janganlah kita suka bertangguh-tangguh untuk buat kebaikan. Kita juga tak mahu cepat-cepat atau terlalu tergesa-gesa sangat sebab ia juga daripada syaitan.

 Ayat [7:15]

 

قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ

 

Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)".

 

Mesej dan Tindakan:

Allah beri tempoh kepada iblis.

 

 

Ayat [7:16]

 

قَالَ فَبِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرٰطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

 

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Iblis berjanji akan menghalang anak Adam dari berbuat kebaikan. Apabila hendak mendirikan solat syaitan akan cuba halang,  hendak membaca quran syaitan akan cuba halang . Hendak menjadi pekerja yang amanah di tempat kerja pun dihalang. Semua dalam hidup kita ada syaitan yang menunggu.
  2. Hendaklah kita sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada tipu daya iblis.

 

Ayat [7:17]

 

ثُمَّ لَءَاتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَٰنِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَٰكِرِينَ

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Iblis ada empat strategi untuk menghalang manusia:
    • Dari Depan - iaitu hari akhirat, dengan mendustakan hari kebangkitan. Syaitan akan pastikan kita ambil mudah pasal akhirat.
    • Dari belakang - ialah dengan menghiasi dunia mereka dan membuat mereka cinta kepada dunia. Mesti hias elok-elok rumah dekat dunia tapi rumah di akhirat diabaikan. 
    • Dari kanan - iaitu samarkan perkara agama mereka. Mereka tidak faham al-Quran, tidak kisah tentang solat dan akhirat, tetapi bab dunia semuanya pandai.
    • Dari kiri - iaitu merasakan bahawa dosa atau menjadikan mereka bersifat munafik dan menjadikan mereka cintakan kepada kemunafikan. Bercampur aduk amalan buruk baik dalam kehidupan seharian.
  2. Untuk menguruskan cabaran syaitan, salah satu poin pentingnya ialah syukur. Allah bagi macam-macam di dunia ini. Kalau kita bersyukur, maka insya Allah kita akan menjadi orang yang tidak mudah digoda oleh syiatan.
  3. Tanda syukur kita yang paling besar ialah apabila kita dapat baca pada setiap hari  ٱلْعَٰلَمِينً  رَبِّ  لِلَّهِ  ٱلْحَمْدُ  dalam solat.
  4. Solat dapat menghalang kita daripada pelbagai cabaran. Kalau dengan solat juga kita masih berbuat mungkar, maka kita perlu semak solat kita. Puji Allah betul-betul, syukur betul-betul dan jelmakan di luar solat.

Ayat [7:18]

 

قَالَ اخْرُجْ مِنْهَا مَذْءُومًا مَّدْحُورًا ۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنْهُمْ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمْ أَجْمَعِينَ 

 Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah perintahkan iblis keluar daripada syurga sebagai makhluk terhina serta terusir.
  2. Allah mengingatkan kita supaya tidak mengikut syaitan yang mengajak manusia ke jalan songsang.
  3. Sesiapa yang ikut iblis akan dimasukkan ke dalam neraka bersamanya. 

 

Ayat [7:19]

 

وَيَٰٓـَٔادَمُ ٱسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ ٱلْجَنَّةَ فَكُلَا مِنْ حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ

"Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim".

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Allah mengingatkan Nabi Adam dan Hawa untuk makan apa sahaja dalam syurga tetapi jangan dekati satu pohon. Kalau dekati pohon itu, berdosa.
  2. Ada yang bertanya, "ini syurga dekat mana?". Banyak ulamak kata ini syurga awal. Tidak sama dengan syurga abadi.

 

Ayat [7:20]

 

فَوَسْوَسَ لَهُمَا ٱلشَّيْطَٰنُ لِيُبْدِىَ لَهُمَا مَا وُۥرِىَ عَنْهُمَا مِن سَوْءَٰتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّآ أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ

تَكُونَا مِنَ ٱلْخَٰلِدِينَ

 

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Menyambung kisah Nabi Adam dan Hawa. 'Project in action' bagi iblis. Apa yang dirancang oleh iblis bermula. Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada mereka agar pakaian mereka terbuka dan aurat mereka terbuka.
  2. Bisikan itu dibuat sedikit demi sedikit pada  lapisan hati pertama iaitu 'sadr'.
  3. Syaitan menggoda Adam dan Hawa. Bukannya Adam digoda oleh Hawa seperti yang difahami oleh agama Kristian. Mereka melihat wanita sebagai penggoda. Yang sebenarnya menggoda adalah syaitan.
  4. Dalam surah al-Baqarah disebut 'faazallahuma'. Dalam ayat ini disebut  فَوَسْوَسَ. Apa bezanya? Was-was adalah tiup, 'azallahuma' itu dia cuba jatuhkan sedikit demi sedikit. Mula-mula buat salah sikit, kemudian buat kesalahan yang semakin besar.
  5. Dalam ayat ini, syaitan tiup pemikiran jahat kepada Adam dan Hawa sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya mereka berdua mendekati pohon tersebut.
  6. Tujuan ekstrim perjuangan syaitan ini ialah hendak memastikan manusia ini tidak berpakaian. Indusri pornografi, TV, internet, itu adalah projek syaitan. Hendaklah kita berjaga-jaga dalam rumah dan dalam masyarakat. Iklan-iklan janganlah guna strategi syaitan. Jangan manipulasi wanita yang dianggap komoditi seperti masyarakat jahiliyah. Islam mengangkat wanita dalam kehidupan.
  7. Syaitan tiupkan was-was dengan nasihat: Tuhan kamu melarang kamu menghampiri pohon ini agar mereka tidak jadi malaikat atau orang yang kekal dalam syurga.

 

Ayat [7:21]

 

وَقَاسَمَهُمَآ إِنِّى لَكُمَا لَمِنَ ٱلنَّٰصِحِينَ

Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".

 

Mesej dan Tindakan:


1.     Iblis bersumpah yang dia hanya memberi nasihat. Mula-mula Nabi Adam tidak percaya.

 

 

Ayat [7:22]

 

فَدَلَّىٰهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا ٱلشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْءَٰتُهُمَا  فَدَلَّىٰهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا ٱلشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ ٱلْجَنَّةِ ۖ وَنَادَىٰهُمَا رَبُّهُمَآ أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَن تِلْكُمَا ٱلشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُمَآ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?"

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Syaitan memujuk Adam dan Hawa dengan tipu daya.
  2. Syaitan mempunyai strategi, sedikit demi sedikit. Projek menggoda ini bukannya dalam jangka masa pendek. Istilah فَلَمَّا menunjukkan ia memakan masa. Lama-lama mereka mendekati dan makan buah itu maka terbukalah aurat mereka. Kemudian mereka menutup dengan daun-daun dari syurga. Allah mengingatkan mereka bahawa Dia telah melarang mereka dari memakan buah dari pohon itu.
  3. Kesannya sampai nampak aurat dan mereka dikeluarkan daripada syurga.
  4. Pengajaran:
    • Syaitan ini buat marketing secara bersembunyi dan perlahan-lahan.  Syaitan akan memasukkan was-was sedikit demi sedikit pada setiap masa berulang kali.
    • Mohonlah berlindung dari syaitan bila hendak beramal termasuk bila mahu membaca al-Quran.


















































































































































































































































































RESOLUSI 

 

Ingat !!


  1. Jangan rasa diri hebat hingga menyebabkan perasaan ego muncul dalam diri (12)
  2. Berjaga-jaga dengan godaan iblis dari pelbagai sudut dengan rasa syukur (17)
  3. Berhati-hati dengan tiupan perasaan was-was dari syaitan yang akan menyebabkan maruah kita jatuh (22) 

Lega kerana Allah SWT ingatkan saya supaya bersyukur agar saya dapat berjaga-jaga daripada godaan iblis yang datang daripada berbagai sudut.

 

Saya jelas, untuk tidak merasa diri hebat hingga menyebabkan perasaan ego muncul dalam diri. Saya mesti berjaga-jaga dengan godaan iblis dari pelbagai sudut dengan rasa syukur. Saya jelas saya mesti berhati-hati dengan tiupan perasaan was-was dari syaitan yang akan menyebabkan maruah saya jatuh.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah,  jauhi kami daripada merasa diri hebat hingga menyebabkan perasaan ego muncul dalam diri kami. Ya Allah, lindungi kami daripada godaan iblis yang datang dari pelbagai sudut. Jadikan kami orang yang bersyukur. Ya Allah, lindungi kami dari tiupan perasaan was-was dari syaitan yang akan menyebabkan maruah kami jatuh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...