Monday, June 5, 2023

Halaman 153: Al-A'raf, 7:23-30

 

PERKATAAN HARI INI : 


هبط  Turun, keluar. 

8 kali disebut dalam al-Quran.




SINOPSIS  


1.     Doa Nabi Adam dan Hawa dan turun ke bumi (23-25)

2.     Keperluan dunia untuk anak Nabi Adam dan peringatan kepada mereka akan fitnah     syaitan (26-27)

3.     Penetapan hukum orang musyrik adalah mengikuti nenek moyang (28-30)







Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT yang mengizinkan kita terus berada pada Juz yang kelapan surah al-A'raf surah yang ketujuh. Maksud al-A'raf ialah tempat tertinggi yang berada di antara syurga dan neraka. Inilah antara perkara yang ingin kita belajar daripada surah ini untuk menetapkan pendirian dalam kehidupan kita, jangan berada di atas pagar. Kita khuatir kita berada di antara syurga dan neraka walaupun memang Allah memberikan peluang untuk pergi ke syurga tetapi ia cukup menyeksa kepada kita untuk menunggu untuk diberikan rahmat di akhirat nanti. Ya Allah, tambahkan ilmu untuk kami makin dekat kepada Mu.

 

Dalam al-Fatihah ada 3 perkara penting; 1) akidah - iman kita kepada Allah SWT (ayat satu hingga empat), 2) ayat lima menceritakan bahawa kita beribadah perlu mengikut syariat untuk kita terus sampai kepada Allah SWT, 3) ayat enam hingga tujuh itu berkaitan dengan sirath - jalan kehidupan kita, akhlak kita. Tiga perkara inilah yang menjadi komponen utama dalam agama kita, ringkasan pada surah al-Fatihah yang ingin kita teruskan pada halaman 153 untuk kita mengkaji tentang akidah, syariat dan akhlak.

 

Pada halaman lepas ayat yang ke-22, Adam dan Hawa sudah digoda oleh syaitan. Kita jelas bahawa bukannya Hawa yang menggoda Adam atau bukan Adam menggoda Hawa, tetapi yang menggoda adalah pihak ketiga namanya syaitan yang memberi nasihat dan menggoda sedikit demi sedikit. Diberikan logik-logik yang sedikit demi sedikit tetapi hakikatnya semua logik itu adalah penipuan daripada syaitan. Akhirnya bila syaitan bersumpah bahawa 'aku ini adalah konsultan/penasihat', Adam dan Hawa terbeli pujukan tersebut, maka kesannya ialah mereka mendekati pohon tersebut, makan buah pohon itu dan akhirnya apa yang berlaku, Allah mengajarkan kepada Nabi Adam doa taubat (ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah, 2:37). 

 

Ayat [7:23]


 قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ


Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Nabi Adam dan Hawa mengaku bahawa mereka bersalah. Pengajarannya: dalam rumah tangga bukan sekadar suami sahaja kena bertaubat, isteri juga kena bertaubat.
  2. Kita nampak perbezaan di antara iblis dan juga Nabi Adam. Persamaan yang ada antara Nabi Adam dan Iblis:
    • Adam ada pilihan, Iblis juga ada pilihan dalam hidup.
    • Adam boleh bercakap terus dengan Allah, Iblis juga boleh bercakap terus dengan Allah.
    • Adam dimuliakan pada satu masa dan Iblis juga berada dalam syurga pada satu masa yang sama.
    • Adam boleh menjadi orang yang lebih tinggi daripada malaikat, begitu juga Iblis.
    • Adam pernah tidak taat kepada Allah, Iblis juga pernah tidak taat untuk sujud kepada Nabi Adam yang disuruh oleh Allah.
  3. Tetapi beza Adam dan Iblis ialah apabila Iblis melakukan kesilapan, Iblis tidak mengaku kesilapannya. Malah dia salahkan Allah pula "Engkau yang menyebabkan aku sesat". Tetapi Nabi Adam sebaliknya, dia berdoa mengaku kesilapannya "Jika Engkau tidak mengampunkan dan tidak merahmati kami Ya Allah, kami jadi orang yang rugi".
  4. Kesan bila kita mengaku kesilapan, kita mohon ampun maka insya Allah kita mendapat kasih sayang daripada Allah SWT. Allah tutup kesilapan-kesilapan yang ada (  لَنَا تَغْفِرْ ). Bayangkan dibuka kembali facebook kita, tiba-tiba ada satu posting orang senaraikan semua kesilapan kita, rasanya memang serabut kita. Tak mampu nak masuk TV atau nak jumpa orang. Memang malu. Tapi kalau perkara itu masih lagi tak keluar dan viral dalam sosial media, tak ada orang cakap pasal kelemahan kita yang pernah kita buat, sebenarnya itu tanda Allah mengampunkan kita.
  5. Nabi Adam mohon betul-betul keampunan diberikan dan dalam masa yang sama Allah berikan kasih sayang ( وَتَرْحَمْنَا ) agar kita tidak rasa bersalah sangat. Kalau kita rasa bersalah 24 jam memang makan pun tidak lalu kerana ada orang yang kena kecam sampai keluar TV, macam-macam sosial media sehingga stres dan akibatnya ada yang masuk hospital keranasakit jantung.
  6. Ini adalah salah satu daripada cara pengurusan stres di dalam al-Quran iaitu mengaku silap, minta Allah ampun dan minta Allah menyayangi. Manusia ini kalau hendak minta ampun pada manusia, sayang manusia bila kita buat silap, tak sama. Dia akan ingat "aku boleh ampunkan tetapi untuk tunjuk kasih sayang belum tentu lagi". Tapi Allah boleh memberi kasih sayangNya walaupun selepas manusia membuat dosa dan kesilapan dan itulah yang kita perlukan yang kita perlu imankan. 

  

 Ayat [7:24] 

قَالَ ٱهْبِطُوا۟ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

Allah berfirman: "Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Setelah Adam dan Hawa mohon ampun, Allah perintah mereka supaya turun dari syurga.
  2. Bila turun ke bumi, terjadinya musuh tiga penjuru ; a) Lelaki - Adam, b) Perempuan - Hawa, c) Iblis. Kita akan berhadapan dengan realiti itu. Lelaki memusuhi wanita, wanita memusuhi lelaki. Tetapi dalam masa yang sama, wanita memusuhi iblis, iblis memusuhi wanita, iblis memusuhi lelaki, lelaki memusuhi iblis. Tiga penjuru ini adalah perjuangan hidup kita di atas muka bumi ini. Allah beritahu pada Nabi Adam dan juga kita agar jangan lupa kepada musuh-musuh yang boleh wujud dalam kehidupan kita.
  3. Bumi adalah tempat tinggal sementara ( مُسْتَقَرٌّۭ).
  4. Di atas muka bumi ini Allah akan beri kenikmatan sebagai tempat untuk bekerja. Contoh: Allah bagi macam-macam makanan walaupun kita tidak perlu. Kita ada macam-macam pakaian walaupun kita hanya perlu pakaian yang menutup aurat.
  5. Semua nikmat ini adalah preview kepada syurga yang pernah kita duduki dan akan kita duduki suatu hari nanti insya-Allah. Apabila kita berusaha bersungguh-sungguh, bila dapat makan sedap kita akan termotivasi untuk menginginkan makanan yang lebih sedap lagi apabila sampai di akhirat nanti.
  6. Ini realiti yang Allah bongkar agar kita sedar bahawa sebenarnya dunia sementara, dan nikmat yang ada ini sedikit berbanding apa yang ada di dalam syurga.
  7. Bila kita tahu kita telah turun status, kita nak naik balik, kita kena berpandukan kepada ayat-ayat 26-27.


 

Ayat [7:25]

 قَالَ فِيهَا تَحْيَوْنَ وَفِيهَا تَمُوتُونَ وَمِنْهَا تُخْرَجُونَ


Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)".

 

Mesej dan Tindakan:


1.     Ini janji Allah yang menyebabkan kita tahu bahawa kita tidak kekal, kita kena buat persediaan untuk kembali balik ke negeri syurga.

 

Ayat [7:26]

 

يَٰبَنِىٓ ءَادَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَٰرِى سَوْءَٰتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah gunakan seruan 'Wahai Bani Adam' supaya kita ingat sejarah dahulu: a) bahawa Adam dihasad oleh Iblis, b) Adam pernah gagal dan bertaubat. Apa cara kita jangan ditipu oleh iblis dan dapat bertaubat?
  2. Pakaian adalah anugerah daripada Allah. Allah berikan idea untuk kita berhias. Perhiasan tidak salah. Allah beri kepada kita rasa kenikmatan. Salah satunya ialah pakaian jadi cantik. Kalau sekadar untuk tutup aurat, pakai guni pun boleh. Tetapi Allah kata teruskan berhias ( وَرِيشًا ).
  3. رِيشًا ini bergantung pada budaya. Yang pentingnya Allah kata ini adalah satu anugerah yang Allah turunkan. Ini penting sangat kerana kita kena ingat, 'wahai bani Adam', sejarah Nabi Adam ini berpakaian dan kemudian buat silap, tidak berpakaian. Jadi bila turun ke bumi ini, Allah siapkan sekali dengan pakaian. Tak payah pakai daun-daun syurga. Itu yang berlaku, bila Nabi Adam tersilap, terus  rasa malu dan pakai daun di syurga, dan kita turun ke dunia ini tidak perlu pakai daun , bahkan diberi pelbagai jenis pakaian.
  4. Kita dapat idea buat macam-macam daripada pokok dan tumbuhan seperti buat kapas untuk pakaian. Semua idea itu bukan manusia yang mempunyai idea tersebut. Itu adalah anugerah daripada Allah SWT.
  5. Pakaian takwa adalah lebih baik. Penggunaan 'wa' bermaksud 'dan', iaitu yang menutup aurat dan juga yang cantik perlu disekalikan dengan dalaman (hati).
  6. Allah kata pakaian ini adalah tanda kebesaran Allah, agar kita berzikir. Maksudnya, setiap kali kita nampak anak pakai pakaian menutup aurat yang cantik dan dalam masa yang sama dia berperangai elok (takwa), sebenarnya kita kena berzikir dan ingat ini adalah daripada Allah SWT.
  7. Tengok pakaian cantik sahaja terus ingat pada Allah. Itu adalah kehebatan dan betapa Islam ini bukan zikir bila dengar khutbah saja atau baca Quran baru dapat peringatan. Tengok orang pakai pakaian yang cantik, yang menutup aurat, yang orang tu perangainya pula baik, kita akan ingat terus pada  Allah يَذَّكَّرُونَ ,  ingat pada Allah SWT sumber zikir.
  8. Kita beli pakaian yang cantik tu bukan melihat pakaian sekadar pakaian, tetapi itu anugerah Allah, dan sebagai sumber zikir. Kita akan ingat baiknya Allah, tidak adalah kita kena pakai daun sahaja bila turun ke atas muka bumi ini. 

Ayat [7:27]


يَٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ ۗ إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا ٱلشَّيَٰطِينَ أَوْلِيَآءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

 

Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Godaan syaitan paling ekstrim ialah sampai manusia membuka auratnya. Targetnya ialah sampai terbuka pakaian. Industri pornografi adalah kerja syaitan.
  2. Perangkap tidak akan lupa pelanduk, pelanduk yang sering lupa kepada perangkap. Syaitan sentiasa perhatikan kita 24 jam. Kita baca Quran dia cakap 'hebat juga aku baca Quran', ujub timbul. Kita buat jahat dia suruh buat jahat lagi.
  3. Allah bongkarkan dalam ayat ini agar kita sedar bahawa sebenarnya pakaian amat penting. Syaitan sentiasa mencari jalan bagaimana cara untuk tarik kita buat segala perkara keji ( فَـٰحِشَةًۭ ). 

Ayat [7:28]

 

وَإِذَا فَعَلُوا۟ فَٰحِشَةً قَالُوا۟ وَجَدْنَا عَلَيْهَآ ءَابَآءَنَا وَٱللَّهُ أَمَرَنَا بِهَا ۗ قُلْ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَأْمُرُ بِٱلْفَحْشَآءِ ۖ أَتَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?"

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Perkara keji ada kaitan dengan aurat. Mula-mula mungkin tidak menutup aurat, tetapi akhirnya membawa kepada perbuatan keji seperti zina, LGBT. Semua perkara ini ada kaitan dengan tujuan syaitan ini yang sudah berazam untuk menyesatkan bani Adam yang dia tidak puas hati selama ini.
  2. Orang-orang yang tidak beriman itu apabila melakukan perbuatan keji, mereka kata 'mereka ikut nenek moyang dan ikut perintah Allah'. Contohnya orang musyrik tawaf tanpa pakaian. Kononya ikut fitrah manusia yang dilahirkan tanpa pakaian. Kalau boleh syaitan mahu manusia ini jangan berpakaian, jangan jadi cantik macam di syurga.  Syurga ada pakaian. Tapi bila syaitan goda, goda dan terus goda, akhirnya terlucut pakaian pada Nabi Adam dan Hawa.
  3. Allah tidak pernah menyuruh kepada perbuatan keji. Semua perkara yang mereka buat adalah berdasarkan andaian semata-mata.

 

Ayat [7:29]

 

قُلْ أَمَرَ رَبِّي بِالْقِسْطِ وَأَقِيمُواْ وُجُوهَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ كَمَا بَدَأَكُمْ تَعُودُونَ

 

Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Allah menyuruh kita untuk ; a) adil, b) sentiasa hadir ke masjid - bila iman sudah disiapkan mesti bersedia untuk ke masjid, c) menyembah Allah dengan cara yang ikhlas bukan yang dicampur adukkan.
  2. Mula-mula kita di syurga berpakaian, kemudian tidak berpakaian. Bila kita lahir, kita tidak berpakaian, kemudian berpakaian. Kemudian ada orang pilih untuk tidak berpakaian balik, atau separuh pakaian. Sebenarnya Allah kata, " Sila ambil pakaian yang baik-baik, agar bila sampai ke akhirat nanti kamu akan dapat pakaian yang asal semula iaitu sampai ke syurga".
  3. Tetapi kalau kita tidak ikut 3 perkara di atas, kesannya kita tidak akan dapat pakaian atau kamu akan mendapat pakaian daripada tembaga yang mendidih. Ini bukan seperti yang kamu diciptakan. Kamu dicipta untuk merasai mendapat pakaian yang indah-indah di syurga, sampai di dunia pun dapat yang cantik yang menutup aurat dengan takwa, dan kamu akan kembali untuk mendapat pakaian tersebut.




























































































































































































































































Ayat [7:30]

 

فَرِيقًا هَدَىٰ وَفَرِيقًا حَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلضَّلَٰلَةُ ۗ إِنَّهُمُ ٱتَّخَذُوا۟ ٱلشَّيَٰطِينَ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ

Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ada kumpulan yang mendapat hidayah, ada pula kumpulan yang dapat kesesatan.
  2. Apa beza orang yang dapat hidayah dengan orang yang sesat? Mereka mengambil syaitan sebagai  أَوْلِيَآءَ.
  3. Syaitan ada dua, jin dan manusia. Apakah ciri syaitan? Syaitan misinya adalah untuk menyesatkan manusia agar tidak berpakaian. Jadi kalau sesorang itu menutup aurat, dia pakai cantik-cantik kemudian bina takwa, sebenarnya dia mendapat hidayah ( فَرِيقًا هَدَىٰ ). Tetapi kalau dia ambil takwa sahaja, pakaian di luar diambil setengah-setengah (tidak menutup aiurat dengan sempurna), dia sebenarnya sedang berada bersama syaitan.
  4. Kita tahu kalau orang yang tidak menutup aurat (dia tahu wajib tutup aurat tetapi lawan) dia sedang bersama satu kumpulan namanya syaitan. Ini adalah satu perkara yang amat besar. Kita kena ingat surah an-Nur belum turun lagi. Tapi Allah sudah setkan minda pada orang-orang beriman sebenarnya kalau kamu tutup aurat, kamu sebenarnya sedang dapat hidayah. Belum lagi dapat arahan kewajipan zakat, haji, dan kewajipan menutup aurat. Mindsetnya sudah disiapkan kerana menutup aurat bukan sekadar tutup di luar sahaja tapi sebenarnya kita tidak mahu menyokong perjuangan syaitan yang cuba untuk melucutkan pakaian Nabi Adam dan Hawa pada suatu masa dahulu.
































RESOLUSI 

 

Ingat !!


1.     Mengakui kesilapan setiap kali buat dosa untuk menjadi orang berjaya (23)

2.     Berjaga-jaga permusuhan tiga penjuru antara iblis, lelaki dan wanita (24)

3.     Jaga takwa untuk melindungi diri masing-masing (26)

 

Lega kerana saya akan jadi orang yang berjaya kalau saya mengakui kesilapan setiap kali saya buat dosa.

 

Saya jelas, untuk mengakui kesilapan setiap kali buat dosa supaya saya menjadi orang berjaya. Saya juga mesti berjaga-jaga permusuhan tiga penjuru antara iblis, lelaki dan wanita. Saya jelas saya mesti jaga takwa untuk melindungi diri daripada syaitan.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, jadikan kami orang yang mengakui kesilapan setiap kali buat dosa supaya kami menjadi orang berjaya. Ya Allah, bantu kami untuk berjaga-jaga terhadap permusuhan tiga penjuru antara iblis, lelaki dan wanita. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi orang yang takwa dan lindungi kami  daripada syaitan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...