PERKATAAN HARI INI: رَكَعَ
Ruku', tunduk. 13 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Sifat orang mukmin yang benar dan sempurna (112)
Permohonan ampunan untuk orang musyrik dan syarat siksaan atas dosa (113-116)
Taubat dan kejujuran orang yang ikut perang Tabuk dan 3 orang yang tidak ikut perang (117)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pelajaran pada halaman 205 surah al-Tawbah yang mengingatkan kita tentang taubat iaitu kembali kepada Allah. Walaupun surah ini tidak ada 'bismillahirrahmanirrahim' tetapi taubat muncul berkali-kali di dalam surah ini. Ini menceritakan walaupun di medan perang, sebenarnya rahsia untuk kejayaan di dalam kehidupan kita ini adalah kembali kepada Allah SWT iaitu taubat.
Bagi orang munafik, ahli kitab dan musyrik yang dinyatakan dalam surah al-Tawbah ini, Allah menegur untuk mereka kembali, bukannya menegur untuk membenci.
Ayat 9:112
ٱلتَّـٰٓئِبُونَ ٱلْعَـٰبِدُونَ ٱلْحَـٰمِدُونَ ٱلسَّـٰٓئِحُونَ ٱلرَّٰكِعُونَ ٱلسَّـٰجِدُونَ ٱلْـَٔامِرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱلْحَـٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ١١٢
"(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)."
Pengajaran
- Allah menerangkan tentang orang-orang beriman yang telah menjualkan dirinya kepada Allah SWT. Sebenarnya diri kita ini adalah milik Allah. Tetapi bila Allah kata Allah berjual beli dengan diri kita sebenarnya ini adalah sebagai satu peringatan kepada kita bahawa sebenarnya asalnya kita ini memang milik Allah SWT. Kita bukan milik kita, bukan milik sesiapa. Kita milik Allah. Tetapi bila Allah gunakan dalam al-Quran istilah قَرْضًا حَسَنًا Allah nak pinjam itu adalah sebagai satu teguran. Contoh: Pinjam itu macam ayah dah bagi duit pada anak, sedangkan duit itu memang duit ayah. Tapi bila ayah cakap dia nakpinjam, maksudnya ayah cakap begitu kerana anak ini mungkin kedekut sangat pada si ayah.
- Bila Allah menggunakan perkataan إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ kita kena ingat bahawa Allah lebih tinggi daripada kita. Allah boleh sahaja nak ambil kita, tetapi kerana Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana, dan Allah juga Maha Penyantun Maha Penyayang (رَءُوفٌ رَّحِيمٌ) sehinggakan Allah menggunakan bahasa-bahasa itu untuk memujuk kepada kita.
- Siapakah orang beriman yang sanggup menjual dirinya? Mereka ialah orang-orang yang:
- bertaubat - orang yang sedar dia ada buat salah dalam kehidupan jadi dia bertaubat kepada Allah SWT. Nabi SAW walaupun tidak ada dosa (maksum) tetapi Nabi SAW banyak bertaubat kerana taubat ini adalah tanda kehambaan. Apatah lagi kita sebagai hamba sudah tentunya kita ada banyak dosa, maka sudah pastinya kita kena bertaubat.
- beribadah kepada Allah - bila kita dah bertaubat kepada Allah, kita kena banyak-banyak beribadah kerana Allah SWT. Bukan buat kerana orang lain. Contoh: solat kerana Allah, bukan kerana mak suruh.
- sentiasa memuji Allah
- mengembara. Ini ada kaitan dengan orang yang berpuasa. Sifat kedua-dua orang ini sama. Iaitu waktu orang makan dia tidur, waktu orang tidur dia makan. Orang-orang ini sanggup mengembara untuk menyampaikan dakwah atau berjual beli untuk cari keuntungan yang halal untuk digunakan pada jalan Allah. Dalam masa yang sama juga dia berpuasa
- ruku' - orang yang selalu ruku' dan sujud tandanya dia kembali kepada Allah
- sujud - mereka ini solat berjemaah
- mengajak kepada kebaikan
- mencegah daripada kemungkaran
- dan memelihara terhadap hukum-hukum Allah - bila dapat kuasa dalam negara, mereka melaksanakan hukum-hukum Allah termasuklah wasiat, faraid, aurat. Kerana ada kuasa, dia laksanakan semua hudud Allah. Kalau kita belum dapat kuasa sempurna, maka setiap orang beriman yang sedang menjual dirinya pada Allah mesti buat lapan perkara diatas
- Orang-orang yang melakukan semua perkara di atas akan mendapat khabar gembira.
- Puncak tadabbur ialah dengan kita manfaatkan dalam waktu solat. Bila baca Quran dalam solat, kita akan dapati kefahaman kita akan membantu kita berfikir apa yang Allah suruh kita fikir. Ia membantu kita khusyuk dalam solat.
Ayat 9:113
مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن يَسْتَغْفِرُوا۟ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوٓا۟ أُو۟لِى قُرْبَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ ١١٣
" Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka."
Pengajaran
- Ini adalah tentang hubungan dengan orang musyrik. Al-Musyrikin adalah kata nama yang bermaksud orang itu sudah sah (confirm) musyrik. Selagi orang itu masih hidup, dia mungkin berbuat syirik tetapi tanggungjawab pada kita ialah untuk mengajak orang itu ke arah hidayah kepada iman dan bertauhid kepada Allah. Tetapi al-Musyrik ini sah (confirm) bila dia meninggal dalam keadaan syirik.
- Kita tidak boleh minta ampun kepada orang yang confirm meninggal sebagai al-Musyrikin. Selagi orang itu belum meninggal, dia dipanggil musyrikin. Istilah 'al' itu sangat penting supaya kita tidak menghukum.
- Kita bertanggungjawab memberi penjelasan kepada musyrikin. Janganlah kita sewenang-wenangnya panggil seseorang itu kafir atau musyrik selagi kita tidak memberi penjelasan kepada mereka. Hendaklah kita segan kepada Allah SWT kerana tidak buat tugas kita.
- Kita kenalah bawa bayyinah kepada orang musyrik. Kalau dia tolak barulah dia jadi ahli neraka. Keadaan ini kita dapat lihat dalam kisah Nabi Ibrahim yang telah ajak ayahnya bersungguh-sungguh kepada iman.
Ayat 9:114
وَمَا كَانَ ٱسْتِغْفَارُ إِبْرَٰهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَن مَّوْعِدَةٍۢ وَعَدَهَآ إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُۥٓ أَنَّهُۥ عَدُوٌّۭ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ ۚ إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَأَوَّٰهٌ حَلِيمٌۭ ١١٤"
Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar."
Pengajaran
- Allah tegur Nabi Ibrahim yang memohon ampun untuk ayahnya selepas dia meninggal. Sepanjang hayatnya Nabi Ibrahim menyeru ayahnya dengan lembut dan penyantun. Inilah yang perlu dibuat oleh kita sekiranya ada ahli keluarga yang musyrik.
- أَوَّٰهٌ maksudnya selalu kembali kepada Allah. Bila kita ada masalah dalam hidup, biasanya kita akan kembali kepada keluarga kita. Keluarga kita adalah orang yang paling kita sayang. Kalau ada masalah di luar rumah, kita mengadu kepada keluarga. Cabaran bagi Nabi Ibrahim, bila balik ke rumah, ayahnya pula yang tidak membantunya. Pada waktu itu Nabi Ibrahim kembali kepada Allah SWT. Itulah sebabnya Allah rakam kisah ini sebagai أَوَّٰهٌ dan حَلِيمٌ . حَلِيمٌ ini lebih tinggi daripada sabar. Sabar menghadapi ayahnya, sabar menghadapi ujian ketika anaknya kena sembelih, sabar kena tinggal anak di Mekah. Inilah sifat yang kita ingin bina dalam diri kita.
Ayat 9:115
وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِلَّ قَوْمًۢا بَعْدَ إِذْ هَدَىٰهُمْ حَتَّىٰ يُبَيِّنَ لَهُم مَّا يَتَّقُونَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ ١١٥
" Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Ia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."Mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Pengajaran
- Mendapat hidayah adalah satu proses. Allah akan beri hidayah kepada seseorang itu sampai orang itu jelas apa yang dia perlu pelihara atau dia jauhi. Dia amat jaga dirinya daripada masalah dengan bantuan daripada Allah SWT.
- Bagi setiap manusia, Allah akan hantar punca hidayah. Ada hidayah datang melalui penceramah, ada melalui pendakwah, ada melalui YouTube dan sebagainya. Setiap orang akan diberikan penjelasan (tibyan) hidayah sampai dia jelas.
- Inilah realiti yang kita kena ambil peluang. Kalau kita ada ilmu sedikit, contohnya daripada My #QuranTime, kita sampaikan kepada orang-orang di sekitar kita. Kita harapkan kitalah sebagai salah satu tentera Allah yang akan menyampaikan hidayah. Tetapi kalau kita tidak buat kerja ini, Allah tahu macam mana nak menguruskan hidayah ini sampai kepada manusia. Akan ada orang lain yang buat. Apa yang kita buat adalah untuk diri kita.
- Seorang hamba tidak akan diazab oleh Allah SWT semata-mata kerana kesesatannya kecuali jika hamba itu melanggar perintah-perintah yang sudah dijelaskan. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Ayat 9:116
إِنَّ ٱللَّهَ لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۚ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍۢ ١١٦
" Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala alam langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan tidaklah ada bagi kamu selain dari Allah sesiapa pun yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong."
Pengajaran
- Nabi Ibrahim ada masalah di dalam dan di luar rumah. Dia berada dalam keadaan tertekan. Namrud di luar rumah dan ayah di dalam rumah. Nabi Ibrahim kembali tawajjuh kepada Allah untuk menjelaskan hidayah sampai jelas kepada orang-orang pada waktu itu.
- Tetapi bila mereka tidak layan, Allah menegaskan bahawa Dialah yang menguasai segala di langit dan bumi. Allahlah yang menghidup dan mematikan, tiada pelindung dan penolong selain daripada Allah SWT.
- Ini adalah pujukan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW. Nabi SAW tetap menyampaikan dakwah sampai ke hujung usia walaupun berhadapan dengan berbagai cabaran.
- Ayat ini juga memberi pujukan kepada kita bila berdepan dengan berbagai cabaran dalam usaha menyampaikan baiyyinah dalam keluarga dan masyarakat. Perjuangan hanya pencen bila nyawa kita ditarik oleh Allah SWT
لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِىِّ وَٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ فِى سَاعَةِ ٱلْعُسْرَةِ مِنۢ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍۢ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُۥ بِهِمْ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ ١١٧
" Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka."
Pengajaran
- Taubat manusia adalah di antara dua taubat Allah. Allah beri peluang untuk kita baiki kesilapan kita. Allah hendak lihat kita respond atau tidak. Kalau kita respond, contohnya Nabi SAW taubat, Muhajirin dan Ansar mengikut berjuang dalam Perang Tabuk bersama-sama Nabi dalam masa kesukaran. Itu tanda mereka itu bertaubat kepada Allah. Taubat mereka bukan solat taubat 2 rakaat, tetapi taubat mereka adalah solat wajib di perbatasan perang.
- Allah sangat sayang kepada kita semua. Hasil perjuangan Nabi SAW dan sahabat-sahabat membolehkan kita hidup senang sekarang.
- Pada hari ini kita juga kena teruskan perjuangan dengan menegakkan sistem Islam sebagai tanda kita taubat selain daripada solat sunat taubat yang kita lakukan.
Ingat!
- Sentiasa muhasabah diri untuk menjadi mukmin sebenar (112)
- Ajak ke arah kebaikan pada musyrik ketika hidupnya (113)
- Contohi Nabi Ibrahim yang pelembut namun tegas atas dasar keimanan (114)
Saya berasa lega kerana Allah SWT ajar cara menjadi mukmin sebenar.
Saya jelas saya mesti sentiasa muhasabah diri untuk menjadi mukmin sebenar. Saya jelas untuk ajak ke arah kebaikan pada musyrik ketika hidupnya. Saya jelas saya mesti contohi Nabi Ibrahim yang pelembut namun tegas atas dasar keimanan.
Ya Allah, pimpin kami menjadi mukmin yang sebenar iaitu orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang beribadah dan sifat-sifat yang tersebut dalam ayat 9:112. Ya Allah, bimbing kami untuk ajak pada musyrik ke arah kebaikan. Ya Allah, jadikan kami orang yang pelembut namun tegas atas dasar keimanan seperti Nabi Ibrahim.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.