Thursday, October 5, 2023

Halaman 437 Fatir (35:19-30)

 

PERKATAAN HARI INI 


 حَرَّ / حَرَرَ Panas.

15 kali disebut di dalam al-Quran





SINOPSIS  

  1.  Perumpamaan orang mukmin dan orang kafir serta pengutusan para rasul kepada   seluruh manusia (35:19-26)
  2.  Petunjuk lain akan keesaan dan kuasa Allah SWT serta keadaan ulama di hadapan   pelbagai pemandangan dan panorama jagat raya (35:27-30)




Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 437 Surah Fatir. Semoga kita terus istiqomah bersama al-Quran dan diizinkan menuju ke syurga Allah SWT.

 

Fatir bermaksud Pencipta yang membentuk dengan cara yang terbaik bagi setiap yang Allah SWT ciptakan.

 

Pada ayat 18 kita telah belajar bahawa orang-orang yang terkesan dengan peringatan daripada al-Quran ini adalah mereka yang takut kepada Allah SWT dalam keadaan bersendirian, dan mereka mendirikan solat.

 

Dalam surah Yasin yang kita akan tengok nanti, yang terkesan dengan al-Quran dan takut dengan Tuhan. Solat dan al-Quran adalah dua perkara yang hampir sama. Orang yang baca al-Quran mesti solat, orang yang solat mesti baca al-Quran. Kalau dua-dua ini tidak digabungkan, maka ia akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat yang terbaik daripada amalan al-Quran dan solat.

 


Ayat 35:19

 

وَمَا يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ

 

Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat.

 

Pengajaran

  1. Tidak sama orang yang buta dengan orang yang dapat melihat. Apatah bila dapat melihat kebesaran Allah SWT dengan mata hati.

Ayat 35:20

 

وَلَا ٱلظُّلُمَٰتُ وَلَا ٱلنُّورُ

 

Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang,

 

Pengajaran

  1. Bila kita mahu baca al-Quran, itu bermakna kita sudah mula mendapat cahaya masuk ke dalam hati kita. Seperti cahaya matahari, ada orang yang dapat cahaya yang terang benderang kerana dia pergi keluar rumah. Kalau duduk di dalam rumah pun masih dapat manfaat daripada cahaya matahari melalui buah/makanan.
  2. Perkataan 'Nur' adalah singular. 'Zulumat', plural. Dalam kehidupan kita ada banyak kegelapan. Contoh: kekeliruan, ketidakpastian adalah juga kegelapan selain daripada dosa-dosa.
  3. Dapat membaca al-Quran, berzikir, kerja dengan amanah, itu adalah kesan daripada mendapat cahaya.

 

Ayat 35:21

 

وَلَا ٱلظِّلُّ وَلَا ٱلْحَرُورُ

 

Dan tidaklah sama suasana yang teduh dengan yang kencang panasnya.

 

Pengajaran

  1. Tempat panas dan tempat teduh tidak sama. Tempat teduh di akhirat ialah di syurga. Tempat panas di neraka.

 

Ayat 35:22

 

وَمَا يَسْتَوِى ٱلْأَحْيَآءُ وَلَا ٱلْأَمْوَٰتُ إِنَّ ٱللَّهَ يُسْمِعُ مَن يَشَآءُ وَمَآ أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِى ٱلْقُبُورِ

 

Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).

 

Pengajaran

  1. Allah SWT bawakan perkara-perkara yang tidak sama ini untuk membina cara kita berfikir.
  2. Orang yang hidup dan orang yang mati, tidak sama.
  3. Allah SWT boleh mendengar sesiapa yang dikehendaki.
  4. Kita tidak boleh mendengar orang yang berada di dalam kubur.

 

Ayat 35:23

 

إِنْ أَنتَ إِلَّا نَذِيرٌ

 

Engkau tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT bawakan perkara ini kerana peranan Nabi SAW hanya satu sahaja, iaitu sebagai pemberi peringatan tetapi tidak boleh menjadikan orang mendengar.
  2. Yang boleh menyebabkan orang itu dengar adalah dengan izin Allah SWT. Bila Nabi SAW mengingatkan orang-orang musyrik Mekah, tetapi mereka tidak mahu mengambil pelajaran daripada al-Quran yang disampaikan, mereka ini seperti orang mati. 
  3. Dalam setiap hari kehidupan kita, kalau kita tidak mendengar al-Quran, tidak membaca al-Quran ia seperti mati. Sebab itu dalam rumah, kita kena baca al-Quran supaya rumah kita tidak jadi sebagai kubur. Ibu ayah kena bersemangat menghidupkan al-Quran di rumah.

 

Ayat 35:24

 

إِنَّآ أَرْسَلْنَٰكَ بِٱلْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

 

Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.

 

Pengajaran

  1. Banyak kali Allah SWT gunakan perkataan peringatan (نَذِيرًا). Bila kita dapat tengok sungai, laut, awan, gunung dan sebagainya ini, ia adalah peringatan kepada kita bahawa mereka semua sudah ikut peraturan, kalau kita tidak ikut peraturan, sebenarnya kita kena berjaga-jaga.
  2. Ada orang terkesan dengan peringatan seperti COVID19, banjir, gempa bumi yang baru berlaku. Ada orang tidak terkesan, menganggapnya sebagai biasa sahaja. Orang beriman mengambil manfaat daripada perkara tersebut.
  3. Nabi SAW diutuskan dengan kebenaran, ada tujuan. Begitu juga alam maya pada ini ada tujuannya. Sungai, laut, matahari, semuanya ada fungsi. Jadi, kita sepatutnya berfikir apa pula fungsi kita di dunia ini? Adakah sekadar untuk makan, minum, tidur, mati? Itulah cara berfikir orang-orang yang hidup.

 

Ayat 35:25

 

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَبِٱلزُّبُرِ وَبِٱلْكِتَٰبِ ٱلْمُنِيرِ

 

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (syariat) yang terang jelas.

 

Pengajaran

 

1.     Bila Nabi SAW membawa peringatan, mereka tidak suka.

2.     Nabi-nabi sebelum ini juga didustakan.

 


Ayat 35:26

 

ثُمَّ أَخَذْتُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

 

Kemudian Aku timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).

 

Pengajaran

  1. Jika peringatan-peringatan itu tidak disikapi dengan cara yang betul, ia akan menjemput lebih banyak azab daripada Allah SWT.
  2. Peringatan boleh datang daripada al-Quran, rasul, alam dan sejarah yang ada.

 

Ayat 35:27

 

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ ثَمَرَٰتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَٰنُهَا وَمِنَ ٱلْجِبَالِ جُدَدٌۢ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ

 

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT suruh perhatikan bahawa Allah SWT menurunkan hujan yang menumbuhkan pokok-pokok dan mengeluarkan buah-buahan yang berbagai warna. Bila lihat buah mangga bersama anak-anak kita, ajak mereka berfikir.
  2. Lihat gunung-ganang yang di antaranya ada diantara lorong-lorongnya berwarna-warni. Ada pergunungan di New Mexico yang berwarna merah. Ada juga yang berwarna hitam.  Pelbagai warna ini untuk kita dapat kaitkan dengan manusia, binatang yang juga ada pelbagai warna. Ia memberi kesan kepada solat kita.
  3. Orang yang bersama al-Quran akan mendapat basirah iaitu mata hati untuk memahami peringatan. Semoga kita istiqomah bersama al-Quran, sumber basirah dan nur. 

 

Ayat 35:28

 

وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلْأَنْعَٰمِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهُۥ كَذَٰلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَٰٓؤُا۟ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

 

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

 

Pengajaran

  1. Binatang juga ada berbagai warna. Ada kucing hitam ada kucing kuning. Tidaklah yang hitam lebih baik daripada yang kuning.
  2. Manusia juga ada berbagai warna. Jangan bersifat perkauman. Jangan kita mengutuk orang yang berbeza warna kulit kerana semua manusia dicipta oleh Allah SWT (Fatir). Allah SWT sudah cipta dengan adunan berbagai warna. Pelangi pun ada berbagai warna, jika tidak, hilanglah cantiknya.
  3. Orang yang paling takut kepada Allah SWT adalah dalam kalangan orang yang berilmu. Kalau belajar tinggi tetapi tidak takut kepada Allah SWT, maksudnya ilmu itu tidak sampai.
  4. Allah SWT Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun. Dengan sifat al-Aziz yang tegas, Allah SWT boleh menghancurkan sahaja orang yang tidak takut kepada-Nya. Tetapi dengan sifat al-Ghafur, Allah SWT beri masa untuk kita memohon keampunan daripada-Nya. Itu tanda kasih sayang daripada Allah SWT.

 

Ayat 35:29

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَٰرَةً لَّن تَبُورَ

 

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;

 

Pengajaran

  1. Puncak seseorang yang berilmu:
    • Selalu tilawah al-Quran
    • Mendirikan solat
    • Menginfak sebahagian daripada harta sama ada secara rahsia atau secara terang-terangan.
  2. Pelaburan begini tidak mungkin rugi. Boleh naik hingga 700 kali ganda ganjaran daripada Allah SWT.

 

Ayat 35:30

 

لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِۦٓ إِنَّهُۥ غَفُورٌ شَكُورٌ

 

Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).

 

Pengajaran

  1. Allah SWT sentiasa sempurnakan janji-Nya dan sentiasa beri ganjaran tambahan kepada orang yang melakukan tiga perkara di atas.
  2. Allah Maha Pengampun dan Maha Menghargai. Allah SWT bangga dengan mereka di hadapan malaikat. Allah SWT akan tambah lagi rezeki bagi mereka.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Istiqamah menyampaikan khabar gembira dan amaran (35:24)
  2. Tuntut ilmu agar menjadi orang yang takut kepada Allah SWT (35:28)
  3. Baca al-Quran, dirikan solat dan berinfak untuk tidak mengalami kerugian dalam kehidupan (35:29)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya baca al-Quran, dirikan solat dan berinfak untuk tidak mengalami kerugian dalam kehidupan.

 

Saya jelas saya mesti istiqamah menyampaikan khabar gembira dan amaran. Saya jelas saya mesti tuntut ilmu agar menjadi orang yang takut kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti baca al-Quran, dirikan solat dan berinfak untuk tidak mengalami kerugian dalam kehidupan.

 

Ya Allah, bimbing  istiqamah menyampaikan khabar gembira dan amaran. Saya jelas saya mesti tuntut ilmu agar menjadi orang yang takut kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti baca al-Quran, dirikan solat dan berinfak untuk tidak mengalami kerugian dalam kehidupan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...