Thursday, October 5, 2023

Halaman 438 Fatir (35:31-38)

 

PERKATAAN HARI INI

 

وَرِثَ  Mewarisi. 

35 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS    

    1. Al-Quran mengisahkan kitab-kitab terdahulu, 3 kategori pewaris al-Quran dan    ganjaran bagi orang mukmin (35:31-35)
    2. Balasan bagi orang kafir, hal ehwal mereka di dalam neraka dan balasan terhadap kekafiran mereka (35:36-38)




Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 438 Surah Fatir.

 

 

Ayat 35:31

 

وَٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَٰبِ هُوَ ٱلْحَقُّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ ٱللَّهَ بِعِبَادِهِۦ لَخَبِيرٌۢ بَصِيرٌ

 

Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha Melihat dan memerhatikan.

 

Pengajaran

  1. Apa yang kita baca daripada al-Quran adalah satu kebenaran dan ia juga adalah satu tujuan.
  2. Tujuan hidup kita mestilah berasaskan kebenaran yang ada daripada wahyu daripada pencipta kita.
  3. Al-Quran membenarkan kitab-kitab terdahulu.
  4. Allah SWT Maha Melihat. Syariat orang-orang sebelum zaman Nabi SAW berbeza dari zaman Nabi SAW. Allah SWT tahu ada satu yang sama iaitu iman, tetapi kemampuan setiap umat itu berbeza. Allah SWT tahu dan Allah SWT amat melihat apa yang berlaku.

 

Ayat 35:32

 

ثُمَّ أَوْرَثْنَا ٱلْكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِۦ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌۢ بِٱلْخَيْرَٰتِ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَضْلُ ٱلْكَبِيرُ

 

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

 

Pengajaran

  1. Al-Quran ini Allah SWT wariskan kepada generasi seterusnya. Al-Quran adalah warisan yang amat mahal dan Allah SWT memilih orang yang diwariskan dengannya. Jika kita dipilih untuk bersama al-Quran, itu adalah satu kemuliaan.
  2. golongan orang yang menerima al-Quran
    • Ada orang yang dapat al-Quran tetapi terus berbuat dosa. Tidak mengendahkan ajaran al-Quran dan menzalimi diri sendiri. Di sudut lain, al-Quran tetap menjadi kabar gembira buat mereka, memberi harapan kepada mereka yang pernah berbuat dosa. Bila tersilap, mereka mohon ampun. Al-Quran menjadi penawar.
    • Ada yang dapat al-Quran tetapi tidak terkesan sangat. Mereka ambil al-Quran sambil lewa.
    • Ada orang yang bersegera kepada kebaikan.
  3. Al-Quran bukan hanya untuk orang baik sahaja. Jangan berputus asa bila tidak dapat bersama dengan al-Quran. Kita terus berazam sehingga menjadi golongan ketiga.
  4. Kita dapat membaca al-Quran, dapat buat kebaikan adalah dengan izin daripada Allah SWT, bukan dengan kekuatan atau kelebihan kita. Semua ini adalah satu kurniaan yang besar daripada Allah SWT.
  5. Jika kita rasa kita banyak kesilapan, teruskan bersama al-Quran kerana kita akan mendapat hadiah besar yang ditawarkan oleh Allah SWT.

 

Ayat 35:33

 

جَنَّٰتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ

 

(Balasan mereka ialah) Syurga - syurga " Adn ", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.

 

Pengajaran

  1. Mereka yang berjaya ke syurga akan mendapat perhiasan gelang-gelang emas dan mutiara.
  2. Mereka juga dapat memakai pakaian daripada sutera.
  3. Di dunia ini jangan pakai pakaian yang diharamkan seperti sutera (kepada lelaki) ataupun dibeli dari sumber yang tidak halal.
  4. Saidatina Khadijah infakkan semua harta untuk perjuangan Islam. Beliau hanya mengharapkan balasan syurga di akhirat. Semoga kita juga dapat mengikut jejak Saidatina Khadijah dengan banyakkan infak.

 

Ayat 35:34

 

وَقَالُوا۟ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَذْهَبَ عَنَّا ٱلْحَزَنَ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌ شَكُورٌ

 

Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: "Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat);

 

Pengajaran

  1. Mereka yang masuk ke syurga, mengucapkan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah menghapuskan segala kesedihan mereka di dunia. Semoga kita dapat masuk ke syurga.
  2. Menurut Ibnu Abbas, dalam kesedihan kita khuatir jika masuk neraka, tiba-tiba kita berada di syurga, kita ucap Alhamdulillah. Menurut Qatadah, kita sedih kerana kematian orang yang kita sayang, kita jumpa mereka di syurga, kita gembira dan mengucapkan Alhamdulillah. Menurut Muqatil, kita tidak tahu apa yang Allah SWT akan beri kepada kita, maka bila sampai di syurga, kita gembira dan kita ucap Alhamdulillah. Menurut Ikrimah, kita diampunkan dosa oleh Allah SWT maka sampai di syurga kita ucapkan Alhamdulillah.
  3. Mereka juga mengatakan bahawa sesungguhnya betul lah Allah SWT Maha Pengampun, dan Allah SWT balas dengan syurga kepada orang-orang tilawah al-Quran, solat dan infak.

 

Ayat 35:35

 

ٱلَّذِىٓ أَحَلَّنَا دَارَ ٱلْمُقَامَةِ مِن فَضْلِهِۦ لَا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلَا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ

 

Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu".

 

Pengajaran

  1. Apabila sampai di syurga (Dar al-Muqamah) mereka berada di tempat yang kekal, tidak ada rasa lelah. Di dunia kita mungkin berpindah randah, akhirnya kita pindah ke kubur menuju akhirat.
  2. Tidak ada lelah, rasa 'burnt out' di sana nanti. Memang kita rasa berbaloi segala kebaikan- kebaikan dan pengorbanan yang kita buat.
  3. Semoga di akhirat nanti kita ditempatkan di syurga.

 

Ayat 35:36

 

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا۟ وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا كَذَٰلِكَ نَجْزِى كُلَّ كَفُورٍ

 

Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.

 

Pengajaran

  1. Menurut Ibnu 'Atiyah, orang kufur tidak akan dimatikan supaya mereka merasa azab yang semakin lama, semakin berat.
  2. Mereka mendapat balasan azab kerana tidak mensyukuri hadiah (al-Quran, solat dan infak) daripada Allah SWT sewaktu di dunia.

 

Ayat 35:37

 

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَٰلِحًا غَيْرَ ٱلَّذِى كُنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَآءَكُمُ ٱلنَّذِيرُ فَذُوقُوا۟ فَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِن نَّصِيرٍ

 

Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".

 

Pengajaran

 

1.     Mereka menjerit-jerit mahu keluar dari azab untuk buat amal soleh.

2.     Mereka mengatakan yang mereka tidak akan buat kejahatan lagi.

3.     Allah SWT menemplak mereka dan mengungkit peluang yang Allah SWT sudah berikan tetapi mereka memilih untuk kufur.


Ayat 35:38

 

إِنَّ ٱللَّهَ عَٰلِمُ غَيْبِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

 

Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Ia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT mengetahui segalanya termasuk apa yang ada dalam hati kita.

2.     Kalau kita diberi panjang umur, diberi peluang bersama al-Quran, dirikan solat dan juga infak, jangan tangguh lagi. Walau penat, walau lesu, tetapi kita tetap memburu segala ganjaran daripada Allah SWT.

 

RESOLUSI

 

Ingat!

 

  1. Sentiasa berlumba pada kebaikan apabila sudah berinteraksi dengan al-Quran (35:32)
  2. Sentiasa bersyukur walau ada kesedihan di dunia untuk menjadi ahli syurga (35:34)
  3. Jika berasa lelah dan lesu, kuatkan semangat dan terus beramal untuk menuju daerah yang indah (35:35)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan beri ganjaran syurga sekiranya saya sentiasa bersyukur.

 

Saya jelas saya mesti sentiasa berlumba pada kebaikan apabila sudah berinteraksi dengan al-Quran. Saya jelas saya mesti sentiasa bersyukur walau ada kesedihan di dunia untuk menjadi ahli syurga. Saya jelas saya mesti kuatkan semangat dan terus beramal untuk menuju daerah yang indah.

 

Ya Allah bimbing kami untuk sentiasa berlumba pada kebaikan apabila sudah berinteraksi dengan al-Quran. Ya Allah, jadikan kami orang yang bersyukur walau ada kesedihan di dunia untuk menjadi ahli syurga. Ya Allah, kuatkan semangat kami untuk terus membuat amal soleh, jauhkan kami dari rasa lelah dan lesu agar kami berjaya menuju syurga.

 

 Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...