Thursday, October 5, 2023

Halaman 435 Fatir (35:4-11)

 

PERKATAAN HARI INI 


 غَرَّ/ غَرَرَ  Menipu, memperdaya. 

27 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

  1. Pujukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW apabila didustai (35:4)
  2. Pengukuhan akan kepastian Hasyr [dibangkitkan dan dikumpulkan makhluk pada Hari Kiamat], peringatan agar waspada terhadap syaitan, serta balasan bagi orang Mukmin dan orang kafir (35:5-8)
  3. Antara tanda dan bukti kuasa Allah SWT dalam menegaskan kebenaran adanya Ba'ts (35:9-11)

       

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 435 Surah Fatir. Semoga Allah SWT memberi peluang kepada kita untuk menelusuri setiap patah ayat al-Quran, semoga Allah SWT terima amal kita dan terus membimbing kita hingga sampai ke Syurga Firdaus.

 

Semoga apa yang kita buat bukanlah sekadar rutin, tetapi ia adalah sebagai satu amal. Ada beza di antara 'faal' dan 'amal'. 'Faal' itu ialah apa yang dibuat tanpa kita sedar. Orang yang tidak rugi adalah orang yang percaya bahawa al-Quran adalah kalam daripada Allah SWT yang memimpin untuk kita beramal, iaitu buat sesuatu dengan penuh kesedaran.

 

Surah Saba' dan Surah Fatir bermula dengan Alhamdulillah. Surah Saba' banyak bercerita tentang sejarah Nabi Sulaiman AS dan Kerajaan Saba'. Dalam surah Fatir ini banyak bercerita tentang alam sekitar sebagai bukti kebesaran Allah SWT.

 

Dengan membaca al-Quran, Allah beri ganjaran atas setiap huruf yang dibaca. Semoga dengan tadabbur, Allah SWT berikan keberkatan seperti yang di sebutkan dalam Surah Sad, 38:29. Seruan Allah SWT untuk kita dapat keberkatan daripada al-Quran ialah dengan kita tadabbur dan ambil peringatan.

 

كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ إِلَيْكَ مُبَـٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَـٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

 

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

 

Ayat 35:4

 

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ

 

Dan jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad), maka sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu sebelummu telah juga didustakan (oleh kaumnya masing-masing). Dan (Ingatlah), kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

 

Pengajaran

  1. Pada ayat lepas, Allah SWT beritahu bahawa ramai yang setuju Allah SWT lah pemberi rezeki. Tetapi ramai juga yang berpaling daripada Allah yang memang mengurniakan kita macam-macam dalam hidup kita.
  2. Dalam ayat ini Allah SWT beritahu bahawa rasul-rasul sebelum ini juga pernah didustakan.
  3. Allah SWT ingatkan Nabi SAW dan kepada kita supaya teruskan tugas untuk mengajak ramai kepada kebaikan. Kita mungkin ada kelemahan, tetapi bukanlah kelemahan itu menyebabkan kita berhenti daripada mengajak manusia kepada Allah SWT. Biarkan Allah SWT uruskan. Kita buat tugas kita.

Ayat 35:5

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلْغَرُورُ

 

Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).

 

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan kepada seluruh manusia bahawa janji Allah SWT amat benar, iaitu kita akan dikembalikan kepada Allah SWT. Semua perkara akan dihisab oleh Allah SWT.
  2. Jangan sampai keimanan kepada hari akhirat itu diambil sambil lewa. Janganlah kita ditipu oleh kehidupan dunia. Contoh: Kerja keras hendak cari duit sampai tidak sempat baca al-Quran. Jangan hanya cari duit untuk bagi makan keluarga, tetapi mesti ada perancangan untuk memberi makanan iman dengan ajar al-Quran, solat , masa untuk bercakap. Semua itu adalah pelaburan penting untuk membina keluarga untuk sampai ke akhirat nanti. Contoh lain, ada orang yang sportholic - asyik bersukan, gila game, gila filem, gila mencari followers sampai mengabaikan solat dan tanggungjawab seharian atau timbul perasaan buruk dalam hati.  Itu tandanya sudah ditipu oleh kehidupan di dunia. Merasakan hidup ini hanya dengan hiburan, kemewahan dan kemegahan diri.
  3. Allah SWT ingatkan agar jangan beri peluang kepada syaitan untuk menipu kita sehingga kita lalai dan menderhaka. Jangan biarkan syaitan membawa konsep yang salah tentang Allah SWT. Contoh: Orang yang ambil rasuah kalau dia bayar zakat, pergi umrah, Allah SWT akan ampunkan dosa rasuah itu. Semudah itu dia melihat Allah SWT itu boleh disogok dengan rasuahnya. Sebenarnya duit rasuah adalah duit kotor yang tidak boleh dizakatkan. Ia perlu diserah kepada baitulmal, perlu bertaubat dan jangan ulang lagi buat rasuah.

 

Ayat 35:6

 

إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُوا۟ حِزْبَهُۥ لِيَكُونُوا۟ مِنْ أَصْحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ

 

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka

 

Pengajaran

  1. Allah SWT menegaskan lagi tentang syaitan dalam ayat ini. Syaitan adalah musuh yang nyata. Maka kita kena jadikannya sebagai musuh. Jangan pula kita berkawan dengan syaitan itu sendiri.
  2. Syaitan ini adalah tentera iblis. Iblis adalah ketua jin yang tidak beriman kepada Allah SWT. Syaitan berfungsi untuk menyerang dan menggoda manusia. Bila kita tahu ia musuh, maka kita kena bersiap siaga kena tahu bagaimana untuk memastikan musuh ini jangan menyerang kita. Salah satu caranya ialah dengan Taawuz.
  3. Ia seperti perumpamaan "Pelanduk lupa jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk". Syaitan akan cari jalan untuk merosakkan amalan kita. Contoh: timbulkan rasa riak bila kita buat baik. ٱلْغَرُورُ  akan menipu, memberikan was-was kepada kita. Orang buat baik, syaitan serang cara baik. Orang buat jahat, syaitan akan buat orang itu putus asa daripada rahmat Allah SWT.
  4. Bila kita buat baik, jangan sampai kita tertipu oleh syaitan. Syaitan sentiasa berusaha untuk dapatkan seramai mungkin menjadi pengikutnya ke neraka. Ketuanya Iblis sudah berazam untuk menggoda anak Adam kecuali orang-orang yang ikhlas kepada Allah SWT.

 

Ayat 35:7

 

ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

 

Orang-orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang kufur ialah orang yang ikut syaitan. Bagi mereka azab yang berat.
  2. Lawan kufur ialah orang yang syukur. Kalau seseorang itu bersyukur dia tidak boleh duduk diam sahaja. Dia percaya nikmat yang dia dapat adalah daripada Allah SWT dan dia beramal dengan apa yang Allah SWT beri, maka kesannya dua manfaat: mendapat keampunan dan ganjaran yang besar.
  3. Orang yang bersyukur tidak mahu mendapat ganjaran besar di dunia disebabkan penipuan syaitan. Dia akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat nanti.
  4. Bila Allah SWT beri hidayah kepada seseorang, ia akan dapat membezakan yang baik dengan yang tidak.

 

Ayat 35:8

 

أَفَمَن زُيِّنَ لَهُۥ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ فَرَءَاهُ حَسَنًا فَإِنَّ ٱللَّهَ يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ فَلَا تَذْهَبْ نَفْسُكَ عَلَيْهِمْ حَسَرَٰتٍ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ

 

Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT memujuk Nabi SAW untuk jangan stres dengan karenah orang musyrik.
  2. Pengikut syaitan membuat perancangan tahap demi tahap untuk merosakkan perkara kebaikan. Contoh: Sesetengah media memang merancang untuk menjatuhkan orang-orang yang berpegang kepada agama. Mereka nampakkan Islam sebagai pengganas, Islamophobia - jangan dekat dengan orang Islam. Mereka membuat perancangan jangka panjang (يَصْنَعُونَ).
  3. Allah SWT lebih mengetahui perancangan orang-orang yang tidak berasaskan hidayah Allah SWT.
  4. Kita jangan rasa down dengan perancangan kuncu-kuncu syaitan tetapi kita kena terus bersemangat. Dengan panduan al-Quran kita akan lebih objektif, dapat membezakan yang baik atau tidak baik.

 

Ayat 35:9

 

وَٱللَّهُ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ ٱلرِّيَـٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَسُقْنَـٰهُ إِلَىٰ بَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَحْيَيْنَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ كَذَٰلِكَ ٱلنُّشُورُ

 

Dan Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).

 

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kepada kita, Allah lah yang mengirimkan angin, kemudian menggerakkan awan, dan akhirnya membawa awan itu ke satu daerah yang tandus yang akhirnya menurunkan air yang menyuburkan bumi yang tandus.
  2. Allah SWT suruh kita berfikir. Tengok hujan, tengok tumbuh-tumbuhan. Tempat yang cantik itu asalnya tanah kosong. Hujan itu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Itu menunjukkan Allah SWT berkuasa membangkitkan suatu perkara yang pada awalnya tidak ada apa-apa. Bila sampai di akhirat nanti, mudah sahaja Allah SWT hendak bangkitkan semula manusia yang mati.

 

Ayat 35:10

 

مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعِزَّةَ فَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ ٱلْكَلِمُ ٱلطَّيِّبُ وَٱلْعَمَلُ ٱلصَّٰلِحُ يَرْفَعُهُۥ وَٱلَّذِينَ يَمْكُرُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَكْرُ أُو۟لَٰٓئِكَ هُوَ يَبُورُ

 

Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.

 

Pengajaran

  1. Bila kita sudah nampak bahawa kita akan dibangkitkan, kita hendak cari kemuliaan ini di mana sebenarnya? Adakah dekat dunia sahaja sampai meninggal habis?
  2. Siapa yang hendakkan kemuliaan, maka bagi Allah lah segala kemuliaan yang ada, maka dekatilah Allah SWT. Ramai yang tertipu dengan dunia, dia hendak mencari kemuliaan dengan dunia, padahal dunia ini dengan harta, status, populariti dll semua itu adalah tipuan semata-mata kalau ianya tidak membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT, itu tidak mulia.
  3. Kalau hendak mulia, kita kena dekati Allah dengan kalimah yang baik - lailahaillallah, nasihat, baca al-Quran. Segala perkataan baik yang kita keluarkan semuanya akan naik. Untuk tolak lagi hingga sampai kepada Allah SWT, tidak cukup dengan cakap sahaja, tetapi kena buat amal soleh. Itulah yang akan meningkatkan lagi kedudukan kita di sisi Allah SWT. Inilah formula untuk berjaya di dunia dan di akhirat.
  4. Orang yang cakap tidak baik dan ambil tindakan yang tidak baik, mereka rugi. Bagi mereka azab seksa yang berat.
  5. Bagi kita orang yang beriman, kalau perancangan sudah baik, pastikan ia diteruskan dengan amal yang soleh supaya kita mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT.

 

Ayat 35:11

 

وَٱللَّهُ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ جَعَلَكُمْ أَزْوَٰجًا وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنثَىٰ وَلَا تَضَعُ إِلَّا بِعِلْمِهِۦ وَمَا يُعَمَّرُ مِن مُّعَمَّرٍ وَلَا يُنقَصُ مِنْ عُمُرِهِۦٓ إِلَّا فِى كِتَٰبٍ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ

 

Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan tentang penciptaan manusia. Semua itu adalah amat mudah bagi Allah SWT. Mudah bagi Allah SWT untuk bangkitkan kita di akhirat nanti.
  2. Samada kita dibangkitkan itu lebih mulia atau lebih hina daripada asal kejadian kita bergantung samada kita ini berbalik kepada Allah SWT ataupun tidak.
  3. Dalam hadis Nabi SAW daripada Anas bin Malik: "Barangsiapa yang ingin rezekinya luas dan dipanjangkan umurnya, hubungkan silaturrahim." Menjaga silaturrahim maksudnya ialah menjaga hubungan dengan adik-beradik, ibu ayah dan saudara-mara. Kalau kita jaga silaturrahim, rezeki kita akan diluaskan dan kita akan dimuliakan di dunia sampai ke akhirat.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Terus berkongsi dan mengingatkan kebenaran walaupun dinafikan atau didustakan (35:4)
  2. Jangan biarkan syaitan menipu dalam kehidupan kita (35:5)
  3. Isi kehidupan dengan perkataan yang baik dan perbanyakkan amal soleh (35:10)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan naikkan darjat saya sekiranya saya cakap yang baik dan buat amal soleh.

 

Saya jelas saya mesti terus berkongsi dan mengingatkan kebenaran walaupun dinafikan atau didustakan. Saya jelas untuk tidak biarkan syaitan menipu dalam kehidupan saya. Saya jelas saya mesti isi kehidupan dengan perkataan yang baik dan perbanyakkan amal soleh.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk terus berkongsi dan mengingatkan kebenaran walaupun dinafikan atau didustakan. Ya Allah, lindungi kami daripada syaitan yang direjam. Ya Allah, bimbing kami untuk isi kehidupan dengan perkataan yang baik dan perbanyakkan amal soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...