Thursday, October 5, 2023

Halaman 439 Fatir (35:39-45)

 

PERKATAAN HARI INI 


مَقَتَ  Kemurkaan. 

6 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS  

  1. Khalifah dan hakikat kekafiran (35:39)
  2. Mendebat orang Musyrik perihal penyembahan berhala serta pengingkaran dan penolakan mereka terhadap tauhid (35:40-41)
  3. Pengingkaran orang Musyrik terhadap risalah kenabian dan memperingatkan mereka terhadap ancaman akan dibinasakan (35:42-44)4.Jika Allah SWT menghukum terus manusia di atas kesilapan yang mereka lakukan (45)
  4. Jika Allah SWT menghukum terus manusia di atas kesilapan yang mereka lakukan (45)

         

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman terakhir Surah Fatir supaya Allah SWT beri pedoman untuk kita terus bersyukur.

 

Pada halaman lepas kita telah bincang tentang hadiah yang diwariskan oleh Allah SWT kepada mereka yang dipilih-Nya.

 

Surah Fatir bermula dengan Alhamdulillah. Kita memuji Allah SWT kerana salah satunya kerana Allah SWT menjadikan para malaikat yang ada sayap 2,3,4 atau mungkin lebih. Kita telah melihat bahawa malaikat ini salah satu batalion yang menyampaikan wahyu, yang diketuai oleh Jibril. Bila kita diberikan al-Quran, ia adalah satu waris yang dipindahkan dan juga kita dipilih dalam kalangan hamba-hambanya untuk menerima al-Quran.

 

Bila bercakap tentang diwariskan, ia melambangkan generasi demi generasi mendapat al-Quran ini.

 


Ayat 35:39

 

هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَكُمْ خَلَٰٓئِفَ فِى ٱلْأَرْضِ فَمَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُۥ وَلَا يَزِيدُ ٱلْكَٰفِرِينَ كُفْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ إِلَّا مَقْتًا وَلَا يَزِيدُ ٱلْكَٰفِرِينَ كُفْرُهُمْ إِلَّا خَسَارًا

 

Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri; dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran diwariskan kepada generasi-generasi (خَلَٰٓئِفَ) atau khalifah-khalifah sebagai amanah untuk menguruskan bumi ini menjadi  tempat yang bagus dan aman.
  2. Perkataan  خَلَٰٓئِفَ juga membawa maksud banyak perbezaan. Ada banyak perbezaan tetapi kita cuba uruskan perbezaan-perbezaan itu dengan cara yang terbaik. Inilah fungsi generasi yang diwariskan dengan al-Quran.
  3. Sesiapa yang kufur kepada Allah SWT, tidak mahu mengikut kepada al-Quran, tidak syukur, maka kekufuran itu memberi kesan kepada mereka:
    • Mereka akan jadi orang yang lebih murka kepada Tuhan (مَقْتًا).
    • Kemurkaan itu datang daripada Allah SWT. Ini satu perkara yang amat hina.
    • Mereka menjadi orang yang rugi.
  4. Kita bersyukur, Allah SWT tetap beri peluang kepada kita untuk baca al-Quran, menghirup oksigen sambil kita memohon keampunan daripada Allah SWT, membaiki kesalahan yang telah kita lakukan.

 

Ayat 35:40

 

قُلْ أَرَءَيْتُمْ شُرَكَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَرُونِى مَاذَا خَلَقُوا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ أَمْ لَهُمْ شِرْكٌ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ أَمْ ءَاتَيْنَٰهُمْ كِتَٰبًا فَهُمْ عَلَىٰ بَيِّنَتٍ مِّنْهُ بَلْ إِن يَعِدُ ٱلظَّٰلِمُونَ بَعْضُهُم بَعْضًا إِلَّا غُرُورًا

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah ciptakan dari bahagian bumi ini?. Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Atau pernahkah Kami memberi mereka sebuah Kitab (mengakui mereka menjadi kongsi Kami), maka (dengan itu menjadilah) perkongsian mereka berdasarkan keterangan yang terdapat dari Kitab itu? "(Tidak ada sesuatu alasan pun) bahkan orang-orang yang zalim itu, terpedaya dengan kata-kata yang disebutkan oleh setengahnya kepada yang lain, kata-kata yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT ajar Nabi SAW untuk berhujah dengan orang kafir. Allah SWT suruh Nabi SAW tanya kepada orang kafir:
    • apakah yang boleh dibuat oleh makhluk-makhluk yang mereka sembah?
    • tunjukkan apa yang mereka telah cipta dari bumi?
    • adakah mereka mempunyai peranan dalam mencipta dan menguruskan langit?
    • pernahkan Allah berikan kitab kepada mereka sehingga mereka mendapat keterangan yang jelas daripadanya?
  2. Orang-orang zalim itu menjanjikan kebohongan belaka. Mereka tipu sesama sendiri. Ada syaitan yang al-Gharur, peranannya cucuk sana sini memperdaya mereka.
  3. Sistem pentadbiran yang tidak ada asas daripada al-Quran akan menyebabkan kita tertipu.

 

Ayat 35:41

 

إِنَّ ٱللَّهَ يُمْسِكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ أَن تَزُولَا وَلَئِن زَالَتَآ إِنْ أَمْسَكَهُمَا مِنْ أَحَدٍ مِّنۢ بَعْدِهِۦٓ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

 

Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

 

Pengajaran

  1. Ayat ini menerangkan tentang Allah SWT. Allah SWT tahan langit dan bumi daripada berantakan. Apabila seseorang berbuat dosa, langit dan bumi tidak suka. Langit bergegar apabila berlaku kekufuran dan kesyirikan kepada Allah SWT. Kadang-kadang ada berlaku gegaran sikit-sikit sebab Allah SWT hendak bagi preview bahawa sebenarnya Allah SWT boleh bagi gegaran lebih besar yang boleh hancurkan bumi ini, tetapi Allah SWT tahan. Tiada siapa yang boleh menahan bumi yang berantakan jika Allah SWT tidak menahannya.
  2. Allah SWT menyatakan perkara ini selepas menyatakan tentang kekufuran dan kesyirikan kerana dua perkara ini tidak disukai oleh semua makhluk yang sudah taat kepada Allah SWT. Tetapi ada makhluk yang tidak taat, ia kufur dan mensyirikkan Allah SWT.
  3. Allah SWT غَفُورًا  حَلِيمًا- Maha Sabar dengan orang yang kufur ini, yang membuang hadiah daripada Allah SWT. Allah SWT Maha Pengampun, memberi peluang kepada orang kafir untuk bertaubat.
  4. Kita juga kena belajar jadi 'haleem', sabar dengan anak-anak yang buat silap, tahan kemarahan. Nabi Ibrahim AS digelar 'haleem' kerana sangat sabar menghadapi orang-orang yang didakwahkannya.

 

Ayat 35:42

 

وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَٰنِهِمْ لَئِن جَآءَهُمْ نَذِيرٌ لَّيَكُونُنَّ أَهْدَىٰ مِنْ إِحْدَى ٱلْأُمَمِ فَلَمَّا جَآءَهُمْ نَذِيرٌ مَّا زَادَهُمْ إِلَّا نُفُورًا

 

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sebenar-benar sumpahnya: demi sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, sudah tentu mereka akan menjadi orang-orang yang lebih betul jalan ugamanya dari sebarang umat yang lain. Setelah datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, (maka kedatangannya itu) hanya menyebabkan mereka bertambah liar dari kebenaran,

 

Pengajaran

  1. Orang tidak beriman itu bersumpah bersungguh-sungguh bahawa mereka akan menerima peringatan dan amaran daripada rasul. Bila datang peringatan, mereka bertambah jauh dari kebenaran.
  2. Kita kena jaga jangan jadi begitu kerana ini adalah cara berfikir orang-orang yang kufur kepada hadiah daripada Allah SWT. Mereka mengharapkan sesuatu yang memberi kesan kepada mereka tetapi mereka semakin jauh daripada Allah SWT.

 

Ayat 35:43

 

ٱسْتِكْبَارًا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَكْرَ ٱلسَّيِّئِ وَلَا يَحِيقُ ٱلْمَكْرُ ٱلسَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِۦ فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا سُنَّتَ ٱلْأَوَّلِينَ فَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ ٱللَّهِ تَبْدِيلًا وَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ ٱللَّهِ تَحْوِيلًا

 

Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu.

 

Pengajaran

  1. Mereka sombong di bumi dan berusaha membuat tipu daya terhadap rasul. Mereka hanya ambil apa yang memberi manfaat kepada mereka sahaja. Itulah sebabnya mereka tidak dapat hidayah, malah makin jauh.
  2. Apa yang mereka rancang untuk buat tidak baik, kesannya balik kepada mereka juga.
  3. Allah SWT bertanya adakah mereka tidak melihat bahawa tidak ada perubahan tentang ketentuan Allah SWT? Siapa yang buat buruk akan dapat balasan buruk dan siapa yang buat baik akan dapat kebaikan. Itulah peraturan Allah SWT yang tidak akan berubah sepanjang zaman.

 

Ayat 35:44

 

أَوَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَكَانُوٓا۟ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعْجِزَهُۥ مِن شَىْءٍ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَلَا فِى ٱلْأَرْضِ إِنَّهُۥ كَانَ عَلِيمًا قَدِيرًا

 

(Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya dari mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

 

Pengajaran

  1. Untuk mendapat bukti tentang ketentuan-Nya, Allah SWT suruh mereka berjalan untuk melihat kesan kebinasaan orang terdahulu. Orang kafir diingatkan bahawa mereka lebih lemah daripada orang terdahulu.
  2. Tidak ada suatu pun yang dapat melemahkan Allah SWT, baik di langit mahu pun di bumi. Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
  3. Kalau kita berpegang dengan al-Quran, kita pasti menang kerana ia datang daripada Allah SWT. Allah SWT tidak boleh dikalahkan.
  4. Di sebalik matahari, COVID19 dan sebagainya ini adalah kebesaran Allah SWT.
  5. Kita tidak mampu melawan Allah SWT kerana:
    • ilmu tidak cukup. Allah SWT tahu segala-galanya.
    • kalau kita tahu banyak pun sebenarnya kita tidak berkuasa. Yang berkuasa hanyalah Allah SWT.
  6. Apabila kita tahu Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa, dan Allah SWT Maha Sabar lagi Maha Pengampun, maka kita puji betul-betul kepada Allah SWT. Ini berbalik kepada ayat pertama iaitu Alhamdulillah kerana Allah SWT ada malaikat yang hebat, boleh hancurkan kita bila-bila masa apabila kita buat dosa.

 

Ayat 35:45

 

وَلَوْ يُؤَاخِذُ ٱللَّهُ ٱلنَّاسَ بِمَا كَسَبُوا۟ مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَآبَّةٍ وَلَٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِعِبَادِهِۦ بَصِيرًۢا

 

Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.

 

Pengajaran

  1. Kalaulah Allah SWT mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Allah SWT tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak.
  2. Tetapi Allah SWT tidak bertindak dengan serta merta, bahkan Allah SWT memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu.
  3. Kemudian apabila sampai tempoh mereka, maka Allah SWT akan membalas masing-masing dengan adilnya, kerana sesungguhnya Allah SWT sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.
  4. Kita ucap Alhamdulillah di awal surah Fatir. Dalam ayat ini Allah SWT ingatkan kita bahawa Allah SWT beri kita peluang untuk bertaubat supaya kita dapat mengucap Alhamdulillah di akhirat nanti seperti yang dinyatakan dalam ayat 34: ٱلْحَزَن عَنَّا أَذْهَبَ ٱلَّذِىٓ لِلَّهِ ٱلْحَمْدُ ( "Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami".)
  5. Menurut Ibnu Mas'ud, "Hampir si kumbang terkena azab di lubangnya akibat dosa anak Adam."
  6. Kita bersyukur kepada Allah SWT dengan peluang ini kita gunakanlah untuk baca al-Quran, mendirikan solat dan selalu menolong orang (infak) secara sembunyi atau secara terang-terangan.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Pelihara diri supaya tidak menjadi kufur, tidak dimurkai dan tidak menjadi orang yang rugi (35:39)
  2. Elakkan diri daripada sumber yang syirik (35:40)
  3. Selalu hargai kebesaran Allah SWT yang menjaga alam ini (35:41)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya pelihara diri daripada menjadi kufur agar tidak jadi orang yang dimurkai dan rugi.

 

Saya jelas saya mesti pelihara diri supaya tidak menjadi kufur, tidak dimurkai dan tidak menjadi orang yang rugi. Saya jelas saya mesti elakkan diri daripada sumber yang syirik. Saya jelas saya mesti selalu hargai kebesaran Allah SWT yang menjaga alam ini.

 

Ya Allah, pelihara kami supaya tidak menjadi kufur, tidak dimurkai dan tidak menjadi orang yang rugi. Ya Allah, jauhkan kami daripada sumber yang syirik. Ya Allah, bimbing kami untuk selalu hargai kebesaran Mu yang menjaga alam ini.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...